Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Jatuh hati di MalaysiaSEBELUM melintasi Selat Melaka, lelaki dari tanah seberang ini hanya kenal nama Tan Sri P. Ramlee. Itu satu-satunya nama seniman milik Malaysia yang melekat dalam minda seperti yang diserapkan oleh guru lakonannya sepanjang mulai serius di lapangan lakonan. Dalam naif, pemilik nama Hardy Hartono Danurussami, 27, itu turut mengakui, dia tidak pernah kenal mana-mana wanita popular dari Kuala Lumpur sebelum disunting dan tunduk bawah telunjuk sutradara, Erma Fatima. Jangan salah anggap, hubungan mereka tidak dibumbui perasaan cinta sebaliknya kasih sebagai pelakon dengan pengarah semata-mata. Dari situ, nama Fazura dan Neelofa sudah begitu serasi di bibirnya, bahkan dengan pantas, dia mudah mengalirkan emosi saat digandingan bersama dalam Kitab Cinta yang pernah disiarkan di TV AlHijrah. "Bila sudah dipertemukan dan bekerja dengan Erma, dia persis kakak-kakak, emak-emak sifatnya, garang tapi hatinya baik. Bila sudah bekerja dengan produksi di Malaysia baru saya tahu serba sedikit perkembangan industri di sini. Setahu saya juga, Erma pernah menuntut di Indonesia, jadi dia sangat sedar tentang membawa saya masuk ke sini dalam drama arahannya," ujar Hardy tersekat-sekat. Mencari pesona daripada garis senyuman di wajahnya, ternyata sebagai penulis, saya juga masih mencari-cari faktor peledak yang bakal meletus daripada namanya. "Setakat ini, lakonan adalah jalan hidup saya. Jika mulanya saya menyambut peluang yang datang, kesempatan itu harus saya jalani dengan ikhlas. Saya percaya, jika kita benar-benar ikhlas, berusaha untuk dilihat sebagai yang terbaik serta jadi diri sendiri, harus akan ada hasilnya," ujar Hardy yang mengakui semakin intim untuk kembali ke Malaysia. Populariti mencanak Menduga pandangannya, persoalan tentang populariti sengaja diusulkan. Apa benar sangkaan segelintir pihak, kelangsungan Hardy dalam drama Melayu di Malaysia hanya untuk mengukuhkan nama sementelah populariti di di tanah air sendiri tidak sehebat mana. Pendek kata, belum cukup popular untuk dijual namanya. Jadi di tahap mana, Hardy berdiri? "Saya sifatkan saya ini masih anak-anak, masih bayi dalam dunia lakonan. Baru berlakon beberapa buah sinetron dan serta dua buah filem, Pengantin Topeng dan Not For Sale Keperawanan Bukan Untuk Di Jual. Saya terima tawaran berlakon karya Malaysia dengan fokus mahu menimba pengalaman dan keyakinan. "Apabila saya keluar dari kelompok seharian, saya juga kenal budaya lain, maksudnya saya memperkayakan budaya kehidupan dalam hidup saya. "Bagi saya, pandangan bahawa sanggup terima tawaran drama di Malaysia kerana belum popular di Indonesia itu satu pandangan nakal. Bagi saya, Erma sendiri, seorang pengarah besar di sini, namanya juga dikenali di kalangan orang Indonesia termasuk rakan-rakan saya seperti Samuel Rizal, dia juga pernah berlakon dengan produksi Malaysia dan masih mahu jika diberi peluang," katanya satu-persatu. Antara model, pemain sinetron atau pelakon filem, Hardy memilih filem sebagai cabang yang mahu didalami. "Kerja model itu menyenangkan tapi tidak mampu berterusan begitu, berlakon sinetron itu capek (memenatkan) kerana jumlah episod sangat banyak, tapi filem, walaupun ada banyak peringkat, praproduksi, penggambaran dan promosi sebelum tayangan tapi hasilnya lebih puas," katanya yang bermain dalam sinetron Aqso dan Madina, 1 Cinta Beda Rasa dan Dinda Kirana.
Mengakui lagi, dirinya seorang yang suka menyendiri jika diberi pilihan, Hardy menyifatkan dia seorang yang pemalu. Mungkin atas sebab itu juga, pencinta sukan bola keranjang itu tidak ramai kawan dan dianggap sombong. "Saya pemalu, lebih introvert dan jika diberi pilihan saya lebih suka berdiam tapi bidang menuntut sesuatu yang berbeza, mungkin sebab itu saya lambat dikenali berbanding teman seangkatan yang lain," katanya yang semakin mesra kala topik nama-nama kenalannya dipetik dalam perbualan. Negeri 5 Menara Dia mengakhiri pertemuan dengan satu khabar gembira. Selain khabar angin konon-kononnya drama Kitab Cinta akan dibawa ke pentas Istana Budaya, Hardy sempat memberitahu, dia juga terlibat sebagai salah seorang pelakon dalam projek sebuah filem besar adaptasi daripada novel popular, Negeri 5 Menara tulisan Ahmad Fuadi. Besar hati atas peluang itu, kata Hardy: "Ramai pelakon besar lain terlibat seperti Ikang Fauzi, Andhika Pratama serta Lulu Tobing. Saya bawa watak salah pelajar dalam filem itu yang ketika sudah dewasa." Sebelum bicaranya ditutup, ditebak hatinya lagi sama ada telah tertusuk panahan cinta di Kuala Lumpur, Hardy menunduk. "Belum ada yang melamar, tapi kalau sudah jodoh di sini saya okey. Datang ke sini juga rasanya seperti balik ke rumah sendiri," tutur jejaka berdarah Belanda itu seperti berkias meninggal sebuah kenyataan, degup jantungnya ada tertinggal di sini. | ||
Posted: Kontroversi AIM18 berterusanDI SEBALIK kritikan dan sentimen negatif para pemerhati muzik, AIM18 tetap mendapat sokongan padu daripada semua pihak. ANUGERAH Industri Muzik tahun ini (AIM18) sejak awal pelancarannya sudah terpalit pelbagai kontroversi. Bermula dengan pengumuman penghapusan kategori album terbaik mengikut genre muzik, pengumuman senarai pencalonan dalam satu sidang media pada Selasa lalu berlangsung dalam suasana tegang. Banyak pindaan pemilihan dan syarat pencalonan dalam AIM18 dilakukan sehingga ia kurang disenangi pemerhati muzik tanah air. Kekeliruan paling nyata, apabila soal kewarganegaraan antara perkara yang menjadi isu panas. Secara mutlaknya, AIM18 menetapkan, setiap album haruslah sekurang-kurangnya 60 peratus dihasilkan oleh anak Malaysia, dihasilkan di Malaysia, dan juga berbahasa Melayu. Untuk single pula, ia mesti 100 peratus digubah oleh komposer tempatan dan juga di bawah label tempatan. Ini bermakna, jika seseorang artis Malaysia itu menyanyi atau menggubah lagu dengan sendiri, tetapi bernaung dengan label luar negara, secara automatik penyanyi itu tidak layak bertanding. Hanya calon atau artis yang bernaung di bawah label Malaysia dan berdaftar dengan Persatuan Industri Rakaman Malaysia sahaja yang layak bertanding. Itu yang berlaku kepada Zee Avi dan kumpulan Hujan. Biarpun penyanyi dari Malaysia, Zee Avi tidak layak bertanding kerana albumnya diterbitkan oleh label luar negara manakala Hujan terkandas gara-gara salah seorang anggotanya, juga komposer yang menghasilkan lagu-lagu dalam album Hujan, Hang Dimas merupakan warga Indonesia. Di sebalik kegagalan Zee Avi dan Hujan membolosi AIM, ada nama-nama yang bukan warga Malaysia turut tercalon, sedangkan ada artis Malaysia yang dirasakan lebih layak tidak terpilih. Itulah yang dipersoalkan. SHEILA MAJID serius ketika ditemu bual wartawan usai sidang akhbar AIM18 yang mengundang suasana tegang di ibu kota, baru-baru ini. "Artis atau tenaga kerja luar negara masih layak bertanding seandainya mereka bernaung di bawah label tempatan. Sebaliknya, jika seseorang artis Malaysia itu menyanyikan lagu komposer Malaysia, tetapi bernaung di bawah label luar negara, dia masih tidak layak," jelas wakil Persatuan Industri Muzik Malaysia (Paimm) yang bertanggungjawab menghakimi pencalonan AIM18. Setiap persoalan ada penjelasan namun suara-suara tidak puas hati terhadap AIM18 masih kedengaran. Pihak artis sendiri merasakan sesuatu yang kabur sedang dihadapi apabila Hujan sendiri dinafikan hak pencalonan mereka dalam beberapa kategori individu dan teknikal. Penyanyi senior, Sheila Majid yang menerima empat pencalonan berharap agar kriteria pertandingan AIM dikemaskinikan dan penganjur harus mencari jalan penyelesaian secara rasional dalam soal syarat yang dikenakan untuk setiap penyertaan. "Memang banyak bahagian yang kabur terkandung dalam syarat-syarat penyertaan untuk AIM. Ia sering berubah-ubah dan setiap tahun, masalah yang sama dibangkitkan. Soalan yang sama diulang-ulang dan masih terus ditagih penjelasan. "Bagi saya RIM selaku penganjur harus duduk berbincang dan mengenal pasti setiap isu tersebut selain memberikan definisi yang terbaik untuk setiap kriteria dan mencari rasional di sebalik keputusan dibuat agar industri muzik dapat terus berkembang," tegas Sheila yang tercalon hasil album rakaman konsertnya, The Malaysian Philharmonic Orchestra Celebrates 25 Years of Sheila Majid. Buat pertama kali dalam sejarah penganjurannya, AIM kali ini bersifat telus dalam soal penghakiman apabila senarai nama panel juri yang diketuai oleh Pengarah Muzik, Datuk Ramli MS diumumkan kepada khalayak. Seramai 83 penggerak industri muzik tempatan termasuklah wakil stesen radio dan televisyen serta wakil media terlibat menghakimi 811 pencalonan. | ||
Posted: Johan cepat lupa
RAMAI yang mula bercakap tentang nilai komedi regu Jozan dan Johan yang lahir menerusi program realiti Raja Lawak ini. Kemunculan Johan dan program komedi Edisi Khas di TV3 juga antara faktor yang menggilap kemahiran Jozan memecahkan ketawa di ruang tamu semua peminatnya. Tidak pernah mengikat dirinya untuk bergerak hanya sebagai pelawak, selepas sebulan menjadi penyampai sambilan jemputan di stesen radio Era, Johan juga sedang berkira-kira untuk menerima tawaran sebagai penyampai tetap di stesen radio itu bagi mengendalikan program Riuh Pagi Era. Dia yang kini mengendalikan program Hujung Minggu Di Era menjelaskan tawaran itu dibuat selepas pihak pengurusan berpuas hati dengan gaya penyampaiannya dan respons daripada pendengar. Barangkali, debaran Johan untuk dinilai sebagai pelawak yang menyeluruh juga sedang diuji melalui filem pertama lakonannya, Raya Tak Jadi yang mula ditayangkan pada Khamis lalu. Filem gandingan bersama Saiful Apek itu mengisahkan pasangan dua beradik Syuib (Apek) dan Bob (Johan) yang terlibat dengan rancangan penculikan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu yang bakal menyebabkan pengumuman tarikh sambutan hari raya bakal ditunda. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |