Adsense

Ahad, 18 September 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Alleycats boleh bertahan 20 tahun lagi

Posted:

Alleycats boleh bertahan 20 tahun lagi

Alleycats boleh bertahan 20 tahun lagi

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar ASWAD YAHYA


GLEN Salay (kiri) merupakan vokalis baru Alleycats yang menggantikan mendiang Loganathan yang meninggal dunia empat tahun lalu.


ALLEYCATS merupakan antara kumpulan pemuzik yang paling lama ditubuhkan di negara ini. Dengan usianya 43 tahun, kumpulan berasal dari Pulau Pinang itu masih aktif bermain muzik sama ada di kelab-kelab malam termasuklah juga merakamkan album-album baru.

Penyanyi utama Alleycats, Datuk David Arumugam berkata, sebagai satu-satunya anggota asal kumpulan itu, dia akan memastikan agar kumpulannya itu terus bertahan biarpun ia di terajui oleh anggota-anggota yang baru.

"Saya akan pastikan Alleycats terus hidup dalam bidang muzik di negara ini. Buat masa ini, saya sedang menggilap bakat penyanyi-penyanyi baru Alleycats seperti Dasha Loga dan Glen Salay. Mereka inilah antara yang akan meneruskan perjuangan Alleycats.

"Malah, lagu-lagu Alleycats juga masih diminati ramai dan saya yakin ia boleh bertahan sehingga 20 tahun lagi. Perjuangan kami sudah lama di mana kalau boleh saya mahu menubuhkan Muzium Alleycats. Cuma bila dan di mana tempatnya saya belum pasti," katanya.

David menyatakan keyakinannya itu sewaktu sidang akhbar selepas pratonton Konsert Sampaikan Salam Alleycats di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, Khamis lalu yang menyaksikan kali kedua mereka beraksi di panggung itu sejak empat tahun lalu.

Sewaktu beraksi di hadapan hampir 1,200 penonton itu, penyanyi berambut afro itu menegaskan, dia tidak patah semangat biarpun hampir kesemua anggota asal Alleycats menarik diri dan membawa haluan masing-masing.

"Mana perginya anggota-anggota asal Alleycats? Itu dia orang punya fasal. Saya pun kurang pasti. Cuma yang saya tahu, bekas bassis kami, Frank Ong sudah lama pergi Amerika Syarikat kerana belajar muzik dan Khoo Fook Sin (keybordis) berhijrah ke Taiwan jadi penerbit album.

"Begitu juga dengan adik saya (Shanmugan) yang bermain gitar keluar daripada Alleycats kerana dia tidak mahu keluar jauh dari Pulau Pinang. Alasan Shanmugan, anak-anaknya sudah besar dan dia tidak mahu tinggal jauh daripada mereka," jelasnya.

Di awal penubuhannya, Alleycats dianggotai oleh tujuh anggota asalnya iaitu mendiang Loganathan (penyanyi - seruling), Chester Anthony Passerella (saksofon), Shanmugam (gitaris), Tan Kim Hock (dram), Khoo Fook Sin (keyboard), Frank Ong (bassis) dan David Arumugam (penyanyi - percussion).

Kini selepas 43 tahun, David meneruskan perjuangan Alleycats bersama anggota-anggota baru iaitu David John, 42, (dram), Nazaruddin Abdullah, 49, (gitar), Glen Salay, 42, (penyanyi), Loh Kum Swee, 57, (bass), Dasha Loga (penyanyi) dan Prawing Aroonratana, 59, (keyboards).

Tuah Memey pakai Vera Wang

Posted:

Tuah Memey pakai Vera Wang

Tuah Memey pakai Vera Wang

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar JEFFRI IRAN


MEMEY dan Norman Hakim bersama Winnie Sin (tengah) menunjukkan lakaran baju untuk majlis perkahwinan mereka nanti.


SEJAK pasangan sensasi ini mengumumkan perkahwinan mereka yang akan berlangsung pada 24 September ini, ia ternyata telah mencetus polemik di kalangan peminat hiburan.

Apatah lagi dengan jumlah penajaan sebanyak RM12 juta untuk majlis resepsi istimewa mereka pada 28 September ini di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur, sesungguhnya ia adalah cukup luar biasa.

Kejutan demi kejutan terus mendatangi Memey Suhaiza dan Norman Hakim yang tidak pernah menyangka majlis perkahwinan mereka kelak akan menjadi sebegitu gah.

Terbaru, aktres muda berusia 23 tahun itu bakal menyarungkan gaun pengantin rekaan pereka termasyhur dunia, Vera dalam majlis resepsi yang berkonsepkan New York itu.

Sesungguhnya memang menjadi idaman setiap wanita yang memasang impian untuk menggayakan gaun pengantin rekaan pereka ternama itu dalam majlis perkahwinan mereka.

Mana tidaknya. Vera bukanlah calang-calang pereka kerana hampir kesemua selebriti terkenal Hollywood pernah menggayakan rekaan eksklusifnya dalam majlis perkahwinan mereka.

Antaranya ialah Victoria Beckham, Mariah Carey, Alicia Keys, Jennifer Lopez sehinggalah kepada anak-anak kenamaan dunia seperti Chelsea Clinton dan Ivanka Trump.

Lalu, Memey berhak untuk berasa bangga dengan pencapaian tersebut walaupun gaun yang akan disarungkan ke tubuhnya pada hari istimewa itu bukanlah rekaan eksklusif daripada Vera.

"Saya memang cukup terkejut apabila diberitahu akan memakai gaun pengantin Vera yang tidak pernah langsung saya bayangkan.

"Seperti mana yang pernah saya katakan sebelum ini, seboleh-bolehnya saya mahu majlis perkahwinan saya dengan Norman berlangsung dalam suasana penuh kesederhanaan.

"Tetapi, apabila ada pihak menawarkan rezeki yang saya anggap cukup besar ini, bagi saya ia adalah satu pengiktirafan buat saya selepas melalui episod hidup penuh duka selama tiga tahun.

"Segala kesabaran dan pengorbanan saya selama tempoh itu berbalas dengan penghormatan tertinggi seperti ini untuk perkahwinan saya," ujar Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi ketika ditemui di Lord's Tailor, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebelum Memey, pengacara E! News Asia, Marion Caunter pernah memakai gaun pengantin pereka ternama itu pada majlis resepsinya sekitar penghujung tahun lalu.

Gaun rekaan Vera berwarna kulit (skin colour) itu merupakan persalinan kedua yang akan dipakai oleh Memey untuk upacara memotong kek dengan padanan kasut yang direka khas oleh Profesor Datuk Dr. Jimmy Choo.

Untuk menambahkan seri Memey pada malam itu nanti, aktres itu akan memakai kain layah (veil) yang bertatahkan mutiara emas laut selatan bagi melengkapkan pemakaian gaun pengantin itu.

Menurut wakil Rafflesia The Pearl Centre yang juga perunding perkahwinan bakal pengantin sensasi ini, Bill Bora, gaun itu bukanlah yang direka oleh Vera untuk Memey seperti mana yang digembar-gemburkan sebelum ini.

"Saya ingin memperbetulkan fakta tersebut kerana pihak Vera memberitahu, jika ingin pereka itu sendiri yang mengukur dan mereka gaun itu secara eksklusif, ia memerlukan masa selama enam bulan.

"Oleh itu, kami membuat keputusan untuk membeli gaun daripada koleksi terbaru Vera dan proses pemilihan telah dilakukan di Hong Kong bersama-sama agen pereka itu.

"Daripada empat gaun yang diberikan kepada kami untuk dipilih, Pengarah Rafflesia, Winnie Sin cukup tertarik dengan rekaan yang berkonsepkan Bohemian," kata Bill yang ditemui pada majlis tersebut.

Namun, bagi menghormati permintaan daripada pihak Vera dan perjanjian yang telah dilakukan, harga untuk baju tersebut terpaksa dirahsiakan.

Begitu juga dengan syarat yang telah ditetapkan apabila tiada sebarang penambahan atau pengubahsuaian boleh dilakukan terhadap gaun tersebut.

Ujarnya lagi, sebelum ini memang sudah ada dua gaun yang direka untuk majlis resepsi itu tetapi rekaannya kelihatan lebih kurang sama.

Jadi, sebagai memberi kelainan, pihaknya memikirkan tentang gaun Vera bagi memberikan impak yang lebih besar untuk majlis itu.

Untuk majlis itu juga nanti, Memey juga akan menyarungkan gaun pengantin yang berkonsepkan Cosmopolitan di mana ia merupakan rekaan khas oleh Rafflesia Pearl Wedding Gown yang julung kali diperkenalkan.

"Ini juga kali pertama pihak Rafflesia tampil dengan jenama gaun pengantin ini dan kami mahu menjadi perintis memandangkan gaun pengantin mutiara ini semakin meluas pasarannya.

"Bagi menyempurnakan gaun pengantin Memey bagi acara berarak masuk ke dalam dewan itu, kami telah memilih tiga pereka tempatan untuk menghasilkannya. Tetapi, maaf kerana kami tidak boleh mendedahkan siapakah pereka-pereka tersebut.

"Gaun dan kain layah yang akan dipakai oleh Memey pada malam itu akan dihiasi dengan mutiara berkualiti tinggi hasil daripada ternakan mutiara di Jepun," jelasnya sambil menunjukkan rekaan gaun tersebut yang bernilai RM500,000.

Dalam majlis itu juga, Bill mengumumkan empat artis wanita yang akan menjadi pengapit Memey iaitu Miera Leyana, Nur Fathia, Julia Ziegler dan Ainur Syakina Azman atau lebih kenali sebagai Eina yang sebelum ini membintangi filem Ratu the Movie.

Manakala dua pengapit lelaki yang sudah pun disahkan akan mengiringi Norman kelak ialah Fahrin Ahmad dan Afiq Muiz.