Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Sekadar pengkarya seniBERSALUT senyum, tangis, gurau serta selaut gejolak rasa, berembun mahupun berpanas semuanya mereka zahirkan tanpa banyak penolakan. Upah bukanlah isu pokok tetapi apa yang lebih penting, kerja mereka dinilai sebagai sebuah karya yang bermaruah. Mencantumkan tiga pemain layar daripada tiga generasi berbeza, Fauziah Nawi, Rosyam Nor dan Fouziah Gous, mereka ini antara wajah dominan yang sering bertandang ke ruang tamu kita semua. Setiap kali Syawal, wajah mereka paling dinanti-nantikan. Mereka antara wajah wajib yang menghiasi skrin televisyen. Pernah ada penonton yang bersungut, jemu kata mereka, lantaran kekerapan wajah yang sama bergulir mengisi banyak saluran tempatan. Tidak kurang ada hati yang membentak dan mengkritik. Drama air mata yang biasanya mendapat rating yang tinggi dikira sebagai keterlaluan. Ia bersifat melankolik, klise dan paparan kesedihan melampau sehingga membunuh keseronokan berhari raya. Kepada Rosyam, Fauziah Nawi dan Fouziah Gous, isu itu diajak bercanda dan luahan-luahan mereka berlegar dalam emosi Aidilfitri yang masih basah. Rosyam
Ikatan antara Rosyam dan Fauziah Nawi tidak perlu dipaksa lagi bahkan sudah sebati berlakon bersama sejak hampir sepuluh tahun lalu. Bersama Fouziah Gous sendiri, walaupun daripada angkatan yang jauh lebih junior, mereka pernah berkolaborasi dalam drama Trilogi Cinta. Masuk terus ke topik yang diusulkan, pemilik rumah produksi Suhan Movies itu segera mengakui bahawa inilah tahun pertama kelibatnya tidak terselit dalam drama raya 2011. "Nampaknya, muka saya hanya masuk beraya dalam surat khabar. Sebenarnya sudah tujuh bulan saya berehat seketika daripada lakonan. "Memang kebetulan saya sedang berehat sekejap daripada lakonan lepas penat buat Trilogi Cinta dan Pilih Kasih," ujarnya. Ditanya merajukkah dia gara-gara selalu menjadi buah mulut orang yang sinis dengan kekerapan kemunculannya mengisi drama-drama raya di kaca televisyen? "Merajuk dalam lakonan tiada dalam kamus hidup saya. Saya akan tetap berlakon sampai ke hujung hari. "Cuma tahun ini, orang tak boleh salahkan saya kononnya selalu buat cerita sedih dan mati semasa raya. "Peliknya, drama sedih dan mati itu jugalah yang penonton ingat. Maknanya drama begitu yang paling berkesan. "Saya cuma paparkan realiti dalam kehidupan, tentang hidup melarat. "Bagi saya orang yang kritik cerita sebegitu adalah orang tak pernah kenal erti susah. Saya alaminya. "Bapa saya pernah tiada wang untuk bayar zakat fitrah untuk kami sekeluarga. "Soal mati pula, memang ada orang meninggal hari raya begitu juga dengan hubungan anak dengan ibu bapa, memang ada orang hanya teringat nak jumpa ibu bapa pada musim raya," kata Rosyam yang berharap setiap karyanya akan menyebarkan dakwah walaupun sebesar kuman. Dia akan terus diingati dengan judul seperti Daun Ketupat Kering, Pondok Buruk, Takdir Sedang Berbisik, Beras Kunyit Di Pagi Syawal, dan Mentari Merah Di Ufuk Timur. "Budaya raya orang Melayu memang dari dahulu lagi diraikan dengan meriah. Tak cukup dengan persiapan dan sambutan, stesen televisyen juga berlumba-lumba terbitkan bermacam program raya. "Siang hari orang suka tengok program nyanyian dan hiburan, bila malam, orang akan tengok cerita sedih, " katanya. Mula masuk pejabat esok setelah seminggu bercuti raya, sambutan lebaran bagi Rosyam sekeluarga hanya di sekitar ibu kota memandang rumah ibunya terletak di Kampung Melayu, Subang, Selangor manakala rumah mertuanya pula di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Fauziah Nawi jadi galang ganti
Fauziah Nawi yang mesra dibahasakan ibu oleh kebanyakan artis dan kerabat seni pula sekadar muncul untuk satu-satunya telemovie raya terbaru tahun ini. Katanya, banyak drama lakonannya yang tersiar itu ialah drama ulangan yang sudah diulang siar sejak bertahun-tahun. "Bila banyak drama kita tersiar, orang akan kata saya banyak terima tawaran, padahal itu semua ulangan. "Saya anggap itu rezeki tapi dari sudut negatifnya, tawaran untuk saya makin kurang sebab ada stesen tidak gemarkan wajah yang sudah terlalu kerap disiarkan. "Tahun ini juga, saya tidak berlakon iklan raya macam yang ditonton dalam iklan Ribena sejak tahun 2007," katanya yang bakal muncul dengan telemovie Bara Cinta Ramadan untuk TV3 pada 12 September nanti. Meleret senyumnya diusik si Rosyam, kedekatan ibu kepada dua cahaya mata itu bersama Rosyam sudah tidak asing di mata umum. "Dia (Rosyam) macam dah manja dengan saya. Kalau saya ada kerja lain, dia akan merajuk manja, kata saya tak sudi berlakon dengannya. "Dia tetap akan minta kelapangan dan saya pula jenis yang tak pandai ambil lebih daripada satu tawaran pada satu-satu masa. "Sampai sekarang saya masih sukakan lakonan kami dalam drama Takdir Sedang Berbisik. "Rosyam jadi anak saya yang lumpuh, manakala isterinya lakonan Umie Aida bermain kayu tiga dengan lelaki lain (Faizal Hussien). "Saya ketuk muka Rosyam dengan kertas dan cakap dia degil. Momen itu dapat dirasai dan dalam drama itu juga, watak saya tidak perlu menangis beria-ria. "Saya suka babak bercakap seorang diri, kononnya nak tumpang tidur di pangkal pokok getah dan mati di situ dalam cerita berkenaan," kenang Fauziah Nawi. Menganggap tiada kelainan ketara dari segi konsep kesemua program raya setiap tahun, aktivis seni berusia 58 tahun itu faham benar dengan budaya penonton sekarang. "Bila ada drama sedih, mendayu-dayu, ada yang merungut tetapi drama sebegitu yang melekat dalam fikiran penonton. "Ada juga yang terhibur dan berasa seronok dengan kesedihan yang dipaparkan. "Best kata mereka. Kalau ada komedi yang merapu-rapu sangat, kita sendiri rasa tak larat nak tonton, jadi kena ada elemen melodrama, baru jiwa Melayu. "Selebihnya, program nyanyian dan bersalam-salaman, itu sahaja," katanya jujur. Emosi raya ibu kepada dua anak, Pit dan Siti yang mewarisi bakat seninya itu sebenarnya lebih halus. Dalam usia sepertinya, dia sebak mengenangkan hari raya tidak lagi dapat disambut bersama kedua orang tua. Doa terhadap arwah suami juga tak padam di ingatan. "Saya masih ingat pesan ibu supaya jangan tinggalkan rumah pada malam hari raya. Saya macam galang ganti ibu dan nenek. "Sehari sebelum raya saya sudah memasak bermacam lauk-pauk sebab rumah saya yang jadi tumpuan adik-beradik yang lain. "Mereka datang berbuka puasa dan akan cakap masakan saya macam masakan arwah ibu. Itu pun sudah cukup bahagia," katanya yang akan mula bekerja selepas 10 Syawal nanti. Anak dara masuk dapur
Wajah wanita muda dengan tanda dagang rambut panjang mengurai ini belum lagi masuk senarai wajah paling wajib untuk bulan Syawal. Tapi raut wajah manisnya kini sudah membuatkan ramai terpukau dengan keayuannya bertudung. Nama Fouziah Gous sedang menjadi sebutan sebagai aktres yang meneraju program-program televisyen dengan produk yang mantap dan padu. Ketawa Fouziah yang sampai awal ke lokasi fotografi. Katanya, kombinasi ini kalau dilihat secara kasar tampak janggal tetapi sebenarnya ada benang halus yang sudah lama menyulam hubungan kimia antara mereka bertiga. "Saya berlakon dengan Abang Rosyam Nor untuk Trilogi Cinta dan kemudian dengan ibu Fauziah dalam filem Rasuk. "Sebenarnya ada ikatan antara kami," ujarnya yang turut merujuk kepada kekerapan Rosyam beregu bersama Fauziah Nawi. Teruja dengan telefilem 'Tribute To P. Ramlee' di bawah bumbung Suhan Movies, Fouziah sempat menghabiskan masa selama dua minggu untuk produk Kalau Dah Jodoh lakonan bersama Zahiril Adzim dan Iqram Dinzly. "Sepanjang bulan puasa saya banyak buat persiapan raya dan buat kuih raya. Sejak usia 16 tahun saya sudah belajar buat kuih raya sendiri," ujarnya ketawa manja. Masuk ke dalam emosi program raya yang berbaur sedih, ujarnya ada bagusnya khalayak dijentik sebegitu. "Bila puasa, emosi mereka lain sedikit dan ramai yang mahu berbuat amal. Begitu juga drama, ada realiti yang dipaparkan. "Malah, banyak yang boleh dipelajari daripada mesej-mesej sedih, sayu, pilu dan gembira yang dipaparkan," ujarnya. | ||||||
Hati Fida ditawan cinta pelawak Posted: Hati Fida ditawan cinta pelawak
PANTAS tersebar cerita bunga-bunga cinta antara dua pucuk muda. Fida yang manis bertudung sedang bermain rasa dengan pelawak pelapis terkenal anggota Sepah, Mamat. Tidak main sorok-sorok sebaliknya mereka mesra dan yakin tampil depan khalayak. Perkataan sedang mengenali antara satu sama lain memang meluncur laju daripada mulut pasangan ini. Seakan satu template khas buat selebriti berpasangan untuk mengucapkan perkataan-perkataan tersebut. Klise namun itulah realiti yang sedang bergulir dalam rasa dan perjalanan hari-hari Rafidah Ibrahim, 25, dan Mohd. Noor Murad (Mamat), 26. Namun sedang enak melihat kelibat dan gaya pasangan 'bercinta' ini, ada khabar yang menyatakan bahawa Fida turut bercinta dengan pengurus yang sudah lama menjaga jadual dan kehidupannya sebagai artis baru. Terbuka untuk berbicara hal ini, Fida berkongsi untuk menjelaskan keadaan. Beraya di mana tahun ini? FIDA (F): Sama seperti tahun-tahun lalu, saya beraya di Kampung Baru, Kuala Lumpur sahaja. Tapi kalau tiba-tiba emak saya mahu ke Taiping, kami akan ke sana menziarahi keluarga. Mungkin tahun ini raya berlainan sedikit kerana sudah dikenali melalui Kasih Alia. Impak besar buat Fida? F: Drama bersiri Kasih Alia memang memberi impak dalam kerjaya lakonan saya. Ia sebuah drama yang dalam dan penuh dengan elemen rasa, ada cinta dan dendam. Kasih Alia banyak mengajar dan menguji saya tentang penghayatan watak sebagai Kasih dan Alia. Saya rasa drama ini yang paling membuka mata khalayak terhadap watak saya. Proses kenal-mengenal kalian di tahap mana sekarang? F: Memang dalam proses tersebut. Kami jarang berjumpa sebab masing-masing sibuk dengan kerjaya. Cuma berhubung melalui telefon justeru proses perkenalan kami agak lambat berjalan kerana jarang bertemu. Ambil masa saya rasa. Lemas bila hanya cerita itu yang ditonjolkan? F: Nak kata lemas itu tidak tetapi saya dapat rasa bahawa cerita 'cinta' itu lebih banyak diceritakan dan berulang-ulang malah melebihi cerita kerjaya kami sekarang. Tetapi saya tidak nafikan juga cerita ini membuatkan orang lebih mengenali saya dan Mamat. Maksudnya? F: Dulu orang hanya kenal saya, Fida sebagai seorang pelakon dan Mamat sebagai ahli Sepah dan pelawak. Tetapi selepas keluar cerita 'cinta' kami, orang nampak karakter lain kami selain pelakon dan pelawak. Maksudnya khalayak lebih dekat dengan kami. Tapi khabarnya Fida sebenarnya bercinta dengan pengurus sendiri, Shahzemir? F: Nama pun pengurus, jadi dia sebenarnya menguruskan saya sahaja. Saya kenal dia sudah lama dan selesa berkawan. Kami ada batas profesional. Memang kami rapat sehingga orang anggap bercinta. Terus terang, saya selesa dengannya sejak zaman kami belajar lagi. Bukan bercinta masa belajar dan kemudian diambil menjadi pengurus? F: Saya dulu menyanyi, dia pula ada grup. Waktu itu mereka cari penyanyi untuk grup mereka dan akhirnya saya menjadi vokalis mereka. Sejak itukami rapat. Dia yang banyak ajar saya tentang menyanyi dan sekarang dia menguruskan jadual saya sebagai pelakon. Malah lagu-lagu nyanyian saya dalam drama adalah hasil nukilan Shah. "Ada chemistry di situ. Saya memang jenis senang rapat dengan orang. Mungkin itu sebab orang anggap kami bercinta walhal tidak," katanya. – SOFIATUL SHIMA WAN CHIK | ||||||
Posted: Kucing satukan Zizan, Juliana
KISAH cinta Juliana Evans dan Zizan Raja Lawak sudah lama bertebaran di Internet. Namun kedua-duanya mengambil sikap jujur bahawa mereka hanya kenalan dan masih menyemai cinta. Sewaktu sesi fotografi ini diadakan, Zizan membawa buah hatinya bernama Greysie - kucing kesayangannya yang kadangkala pemalu dan terkadang aktif. Bila ditanya kenapa dibawa, jawapannya jujur, Juliana mahu bertemu mata dengan kucing penghibur kala sunyinya itu. Kemahuan sahabat dituruti. Siapa kata mereka bercinta, kalau begitu, bukan? "Mana ada kami bercinta? Memang tidak betul sama sekali tetapi saya mengaku rapat dengannya. Kami pernah keluar bersama selepas penggambaran filem tetapi bersama rakan-rakan yang lain termasuk pengurus Zizan, Marina. Dia juga kawan saya," kata Juliana. Ujar Zizan yang kini semakin menjadi pilihan pengarah, tiada istilah cinta lokasi yang wujud antara mereka. Rapat memang rapat namun jarang ada sesi pertemuan yang dibawa-bawa keluar selain di lokasi. Penzahiran cinta ini dapat dilihat keserasiannya melalui filem Hantu Bonceng yang memasuki pawagam pada Rabu lalu. Kedua-duanya membawa watak utama dalam filem arahan Ahmad Idham ini.
Baru dan hijau lagi atas nama pelakon, mereka sedaya upaya memberikan yang terbaik untuk dipertontonkan. "Usai tayangan perdana ini saya lega sedikit sebab saya lihat orang tidak berhenti ketawa. "Sebelum ini saya bimbang, orang akan ketawa pada peringkat awal tetapi mendatar selepas itu. "Tetapi reaksi orang ramai di luar sana, saya belum tahu lagi. Itu yang membuatkan saya berdebar-debar. Saya harap siapa sahaja yang menontonnya terhibur," ujarnya yang memegang watak Amran. Buat Juliana, ini juga pertaruhan perdananya. Membawakan watak utama bernama Maya dan Ayu, bukan dua karakter itu rupanya tentangan utama dirinya. "Aksi paling susah apabila saya kena memakai kanta lekap berwarna putih. Saya sungguh tidak selesa dan mata sentiasa berair. "Sebab itu, apabila ada adegan yang memerlukan saya memakai kanta lekap putih itu, saya akan melakonkannya dengan bersungguh supaya adegan yang sama tidak perlu diulang semula.
"Saya boleh buka kanta lekap dengan segera," luahnya yang sebelum ini muncul dalam filem Kami The Movie. Usai cerita cinta kedua pelakon ini bertebaran, terbaru nama Zizan disebut-sebut kononnya dia sudah berubah. Dia didakwa sudah naik kepala dan bermegah dengan kehebatan dan kedudukannya sekarang. "Saya tidak faham apabila dikatakan megah diri dengan apa yang saya peroleh dalam kerjaya sekarang, sedangkan saya masih berpijak di bumi nyata dan tahu asal usul saya. "Mungkin ini tanggapan orang tetapi jujurnya tiada apa yang perlu saya banggakan kerana banyak lagi perkara dalam bidang seni yang perlu saya pelajari," katanya jujur. Satu sahaja kebenarannya, jika bagus penghayatan Zizan dalam filem perdananya, kemungkinan besar cerita negatifnya akan tenggelam. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |