Harian Metro: Rap |
Posted: 29 Sep 2011 06:26 AM PDT "SYUKUR Alhamdulillah, akhirnya kebenaran itu berpihak padaku. Akhirnya dia memohon maaf di atas kesilapannya selama ini terhadapku". Itulah status yang ditulis komposer sensasi, Julfekar Ahmad Shah di laman facebooknya, baru-baru ini hingga menimbulkan persoalan apakah kemelut antara dia dengan penyanyi Farawahida Razali, 26, sudah berakhir? Bagaimanapun apabila diminta komen penyanyi yang popular dengan lagu Tanpamu, Fara enggan mengulas lanjut. Katanya, dia ada alasan kukuh untuk berbuat demikian. Alasannya mudah saja, tidak mahu mengimbas semula cerita lama.
Sebenarnya, saya memang tidak pernah berdendam dengannya dari dulu lagi kerana saya tetap kenang jasanya menaikkan nama saya dalam bidang hiburan dulu. "Saya sudah memaafkannya sebagai saudara sesama Islam dan kami juga yang putuskan untuk sama-sama bermaafan ketika itu. "Walaupun sudah berbaik, saya tidak mahu lagi ada kaitan dengannya termasuk bekerjasama dalam album pada masa akan datang. Saya percaya lebih baik begitu saja demi menjaga nama baik keluarga," katanya ketika dihubungi. Fara mengakui telefon bimbitnya tidak berhenti berdering dihubungi pihak media apabila keluar kenyataan Julfekar di akhbar mengatakan mereka sudah berbaik semula. Difahamkan, Julfekar menarik semula saman terhadap Farawahida yang difailkan tiga tahun lalu apabila mahkamah mengeluarkan perintah supaya membuat permohonan maaf berhubung isu yang timbul. Fara memohon maaf sebagaimana diperintahkan di hadapan hakim mahkamah, Datuk Nor Bee Ariffin pada 21 September lalu. Apapun, Fara berharap cerita kontroversi yang pernah melanda hidupnya sebelum ini tidak diungkit lagi kerana ia sudah pun menjadi sejarah. Walaupun ia pahit untuk ditelan, Fara percaya ada hikmah di sebalik semua keperitan itu. Kata Fara, apa yang berlaku mematangkan dirinya dan kini sudah mula belajar berdikari yang sebelum ini tidak pernah terfikir olehnya. "Saya sendiri tidak percaya dengan pencapaian diri selepas hidup berdikari sejak tahun lalu. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang sudah tertulis dalam hidup. "Malah, saya bangga dengan apa yang dikecapi sekarang. Banyak perkara yang saya belajar sejak mula berdikari menguruskan karier seni. "Contohnya, saya buat semua perkara dari A hingga Z dan ia pengalaman baru dalam hidup. Ia juga memberi kepuasan yang lebih pada diri sendiri. "Kalau dulu saya bergantung pada orang lain untuk membawa saya memenuhi undangan persembahan, tapi kini saya sudah ada lesen memandu sendiri. Saya juga sudah memiliki kereta sendiri sehari sebelum Aidilfitri lalu. "Ia juga duit dari titik peluh melalui undangan persembahan yang tidak putus diterima setiap bulan. Mungkin orang tidak percaya, saya tidak pernah minta duit sesen pun dari ibu bapa atau hutang duit dengan orang, sejak berkecimpung dalam bidang seni, hampir tujuh tahun lalu. "Sayalah juga yang membantu keluarga untuk mempunyai rumah lebih selesa di Taiping, Perak. Bapa juga hanya menjadi penjamin bila saya membeli kereta tahun ini," katanya . Buat masa ini, Fara juga tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman tiada masalah bekerjasama dengan komposer lain. Fara ingin mengubah persepsi orang yang selama ini menganggap hanya boleh bekerja dengan Julfekar saja. "Terbaru, saya bekerjasama dengan Manusia Putih untuk single terbaru, Jangan Tanya Aku Lagi, selepas dua tahun tidak ada lagu baru. Single ini juga menjadi lagu tema untuk drama bersiri Mata Ayer menerusi slot Legenda di TV3. "Saya juga bekerjasama dengan komposer baru, Tot untuk lagu raya berjudul Hayati Raya Sejati yang dihasilkan hampir tujuh tahun dalam bidang nyanyian. "Saya juga ada terfikir membuka syarikat sendiri untuk menguruskan karier seni Fara menafikan lagu Jangan Tanya Aku Lagi menceritakan kisah silamnya dan menegaskan lagu ditulis Manusia Putih itu tidak ada kaitan dengan dirinya. "Tapi saya akui sukakan judul lagu itu malah lagu dan liriknya memang mencipta khas buat saya. Selama ini, orang tanya bila saya nak keluar lagu baru, kini jawapan saya mudah saja, Jangan Tanya Aku Lagi. Lebih bermakna, single ini dihasilkan dengan duit sendiri dan bukan ditaja mana-mana pihak. "Proses pembikinan single ini juga membabitkan tempoh empat bulan dan saya puas hati dengan hasilnya. Alhamdulillah, single ini mendapat sambutan baik dari peminat sejak mula diputarkan di radio tempatan, dua bulan lalu. Menyusul selepas ini adalah single kedua," katanya. Mengenai hubungannya dengan bakal doktor muda yang hangat diperkatakan itu, Fara enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu menghebohkan kisah cintanya. Katanya, dia masih dalam fasa mengenali hati budi. "Insya-Allah, saya pasti tidak akan sorok hari bahagia dari pihak media dan peminat yang banyak menyokong karier saya selama ini apabila sampai masanya nanti," katanya merancang membeli rumah sendiri sebelum fikir soal kahwin. PROFIL: NAMA PENUH: Farawahida Razali PENCAPAIAN: Artis Baru Wanita Popular - Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 dan Juara Etnik Kreatif AJL23 menerusi lagu Persoalan Cinta ALBUM: Farawahida, Tanpamu, Semuanya Ada Di Sini dan Farawahida 2009 |
Posted: 29 Sep 2011 05:53 AM PDT KETIKA kembali memegang tampuk presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) buat penggal ketiga pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Karyawan pada 30 Jun lalu, ayat pertama yang keluar dari mulut Datuk Freddie Fernandez ialah ingin terus menjaga kebajikan karyawan seni terutamanya pemberian pencen untuk artis veteran. Karyawan memperkenalkan Skim Pencen itu sejak enam tahun lalu bagi membantu mereka meneruskan kehidupan. Namun, disebabkan kekurangan dana ia terpaksa dihentikan sejak November lalu, menjadikan nasib sebahagian artis veteran semakin kelam.
Bagaimanapun Freddie berjanji akan merancang pelbagai aktiviti untuk mencari wang dan paling cepat ia akan berjalan selepas hari raya. Menepati janjinya, Karyawan tampil dengan majlis makan malam dinamakan Malam Gala Seribu Bintang 2011 bagi mengumpul dana Tabung Penggiat Seni Karyawan. Kali ini, mereka bergabung dengan Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah (Pbank) yang juga mencari dana untuk mengisi tabung bantuan mereka menerusi penganjuran majlis itu.
Freddie berkata, Karyawan sudah menjalinkan kerjasama dengan Pbank sejak 2000 lagi menerusi pembabitan artis-artis dalam majlis yang dianjurkan. Dia bersyukur diberi peluang itu apatah lagi melihatkan Pbank satu pertubuhan aktif mengadakan aktiviti bagi mengisi tabung mereka. "Menerusi kerjasama erat ini tercetus idea untuk menganjurkan majlis Malam Gala Seribu Bintang 2011 ini. Saya sangat berterima kasih kepada PBank kerana pilih kami terbabit sama sekali gus dapat membantu mengukuhkan dana tabung Karyawan," katanya pada sidang media yang diadakan di Sime Darby Convention Centre, baru-baru ini. Sidang media ini dihadiri Naib Yang Di Pertua 1 Pbank, Toh Puan Noor Suzana Abdullah yang juga Toh Puan Bendahara Kedah dan Timbalan Yang DiPertua Pbank, Datuk Wira Abdul Rahman Ismail serta artis tanah air, Datuk Yahya Sulong, MY Shamsuddin, Pak Limra, Datin Paduka Julie Sudiro dan Natasha Hudson. Meneliti barisan artis yang kuat serta kepelbagaian acara yang bakal ditampilkan, Freddie optimis program ini akan mendapat sambutan masyarakat sekali gus mencapai matlamat mereka. Sementara itu, Natasha yang pertama kali terbabit dengan program amal sebegini meluahkan perasaan teruja apabila diundang Albert untuk menjayakannya.
"Ini satu program bagus untuk membantu masyarakat dan artis veteran. Di sinilah perlunya sikap prihatin kita untuk membantu mereka. Saya berterima kasih kepada Karyawan yang menganjurkan program ini serta pihak lain yang turut sama terbabit," katanya. Yahya Sulong yang berdepan masalah kesihatan dan semakin uzur terharu dengan bantuan berterusan diberikan Karyawan bagi membantu artis veteran. Katanya jika kesihatannya baik pada malam itu, dia akan membuat persembahan kepada penonton. "Kalau saya tak sakit, Insya-Allah saya akan main dram malam itu. Saya nak tunjukkan kebolehan main dram serta berlawak kepada penonton sebagai menghargai sokongan yang diberikan. Saya harap program sebegini akan diteruskan kerana artis veteran memang perlukan perhatian semua pihak," katanya. Bagi yang berminat untuk menyaksikan persembahan Malam Gala Seribu Bintang 2011, bolehlah membeli meja bernilai RM50,000 (untuk penaja utama dengan 2 meja menempatkan 20 orang), RM30,000 (untuk penaja bersama dengan 2 meja 20 orang), RM20,000 (2 meja 20 orang), RM10,000, RM5,000 dan RM3,000 (untuk 1 meja 10 orang). |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |