Adsense

Jumaat, 30 September 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ubah angin

Posted: 29 Sep 2011 03:33 PM PDT

Hip

Walaupun bertudung, Marshanda tidak kisah bawa watak jahat

SEBUT saja namanya, peminat tentu saja terbayangkan watak penuh emosi dan dramatik, yang sememangnya cukup sinonim dengan wanita muda dikenali sebagai Adriani Marshanda Irwan Yusuf ini.

Begitupun, sejak akhir-akhir ini, minat pelakon berusia 22 tahun bertubuh kecil ini lebih terarah kepada lakonan drama keagamaan serta watak penuh adat sopan. Tindakannya itu tentulah bersebab. Marshanda yang ditemui ketika penulis mengikuti rombongan liputan pakej Indo Pek di Jakarta baru-baru ini mendedahkan, dia berbuat demikian kerana terdorong untuk menjaga tatasusila sebagai seorang isteri, di samping kesesuaian dengan imej bertudung yang dikenakan.

Jika dilihat lakonannya dalam sinetron Sejuta Cinta Marshanda dan Benci Bilang Cinta, dia tampil manja di sisi bekas kekasih hati, Baim Wong, yang tentu saja membuatkan ramai peminat perempuan di luar sana cemburu dengannya.

Di luar lokasi, isteri kepada pengacara MTV Indonesia, Ben Kasyafani, ini pada hakikatnya mudah menguntumkan senyuman, petah berbicara, malah sentiasa ceria.

Walaupun tampil dengan imej sopan dan bertudung, namun karakter sebenarnya tidak disembunyikan. Malah berdepan dengan wanita kelahiran ibu kota Indonesia ini menyenangkan siapa saja.
"Saya sekarang sibuk dengan kuliah dalam jurusan perhubungan awam, yang diikuti sejak 2008 lagi. Saya juga baru selesai penggambaran sinetron Dari Sujud Ke Sujud dan kini, tumpuan adalah kepada rumah tangga dan kuliah.

"Selepas sinetron ini saya berhenti berlakon selama dua bulan kerana memberi tumpuan kepada peperiksaan yang bermula pada 26 September," kata penuntut Universitas Pelita Harapan, Tangerang, Indonesia ini.

Bagi Marshanda, meskipun bertudung litup, berimej sopan, watak antagonis masih mampu dilakonkannya dengan baik, tetapi dari perspektif yang berbeza sesuai dengan penampilan terbarunya.

Tiada batasan dalam berkarya, itu tanggapan Marshanda sehingga mampu melonjakkan namanya di antara pelakon disegani di Indonesia.

"Bagi lakonan di layar perak, saya lebih gemar karakter yang mencabar berbanding sinetron. Saya pernah mencuba watak antagonis dalam sinetron, tetapi sukar untuk diterima penonton.

"Bagi saya tidak ada karakter tertentu untuk dipilih. Mungkin sesuatu yang kompleks atau mencabar. Apa pun, selagi ada keupayaan untuk membawakan watak itu apa salahnya mencuba," jelasnya yang mula bertudung sejak Jun tahun lalu, selepas terbabit dalam filem Ketika Cinta Bertasbih.

Dia yang baru enam bulan bergelar isteri turut berazam untuk kekal mempertahankan bidang lakonan, bahkan dia mendapat dorongan positif daripada suami tercinta.

Setelah tujuh tahun meniti perjalanan dalam dunia seni, Marshanda pada hakikatnya lebih menumpukan kepada lakonan sinetron berbanding layar lebar.

Dia berasakan, berlakon di layar lebar kurang memberi impak kepada penonton, berbanding sinetron yang terpaksa menempuh penggambaran berminggu-minggu lamanya.

Karier nyanyian tidak dilupakan

BAKAT lakonan dan nyanyian wanita muda ini bergerak seiring, bahkan Marshanda atau lebih mesra disapa dengan panggilan Chacha tidak pernah meletakkan imej yang dikenakan sekarang sebagai halangan untuknya bergerak aktif dalam bidang seni suara.

Pernah tampil dengan album solo Bidadari dan Marshanda sekitar 2005, dia ingin mengorak langkah lebih jauh lagi agar dikenali dalam dunia muzik.

"Sekarang saya mempunyai album mini untuk nada dering berjudul Sisi Marshanda yang turut memuatkan lagu runut bunyi Dari Sujud Ke Sujud nyanyian saya sendiri.
"Malah saya juga ada tiga lagu muat turun nada dering, Cinta Yang Kembali, Sahabat Diri Sendiri dan Daddy," jelasnya.

Tidak membataskan kebolehannya kepada lontaran vokal semata-mata, Marshanda turut menjinakkan diri dalam bidang penulisan lagu.

Buktinya, dia mencipta sepenuhnya lagu Sahabat Diri Sendiri, yang bergenre balada. Lebih daripada itu, dia turut berhasrat menghasilkan album sendiri.
"Saya mensasarkan, pada tahun depan saya akan mempunyai album hasil ciptaan saya sendiri, tetapi buat masa sekarang saya perlu banyak belajar cara penghasilan lagu.

"Suami tidak pernah menghalang atau melarang saya untuk terus terbabit dalam bidang seni, bahkan dia jugalah yang memberi dorongan kepada saya," katanya yang semakin yakin dengan dirinya selepas mengubah penampilan.
Bahkan sejak tampil dengan imej terbaru, gaya tudungnya kini menjadi ikutan anak gadis di Indonesia.

INFO:Adriani Marshanda Irwan Yusuf
Umur: 22 tahun
Asal: Jakarta, Indonesia
Status: Berkahwin - isteri kepada Ben Kasyafani
Kerjaya: Penyanyi, pelakon, penyampai
Sinetron: Bidadari, Keluargaku Mata Hatiku, Kisah Sedih Di Hari Minggu, Kisah Kasih di Sekolah, Adam dan Hawa, Manis dan Sayang, Hikmah 2, Putri Yang Terbuang, Soleha, Aqso dan Madina, Benci Bilang Cinta, Maha Kasih, Maha Cinta, Hingga Akhir Waktu, Anak Cucu Adam, Sejuta Cinta Marshanda dan Dari Sujud Ke Sujud.


'Saya tak sembunyi'

Posted: 29 Sep 2011 03:27 PM PDT

Hip

Shahrir

Shahrir

Shahir hilang hampir tiga bulan kerana bercuti

PELBAGAI versi spekulasi timbul apabila juara Akademi Fantasia (AF) musim kelapan, Ahmad Shahir Zawawi atau Shahir, 23, sekali lagi menghilangkan diri dari dunia seni hampir tiga bulan yang lalu. Ada mendakwa dia mahu berehat bagi menenangkan kekusutan, namun tidak kurang mengatakan dia mahu meninggalkan terus bidang glamor yang baru diceburi.

Sebelum ini juga, jejaka dari Perak itu pernah mencetuskan kontroversi apabila tidak muncul di beberapa acara, selain pernah membatalkan sesi fotografi dengan media pada saat akhir tanpa memaklumkan kepada pihak pengurusannya, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB). Pada ketika itu, sukar untuk menjejaki jejaka ini. Panggilan telefonnya tidak pernah berjawab sama ada dari media mahupun pihak pengurusan. Baru setahun jagung bergelar penyanyi, sudah pelbagai masalah dicetuskan. Justeru, ada yang melabelkan dia artis bermasalah, namun jejaka yang keluar dari kepompong persembunyian dan membuat kemunculan khas di majlis rumah terbuka Astro, baru-baru ini kurang senang dicop sebegitu.

Apa pun untuk mendapatkannya bagi sesi temuramah juga bukan mudah apabila media diminta hanya berbuat demikian selepas Shahir selesai membuat persembahan kerana bimbang moodnya terganggu.

Permintaan berkenaan kami turuti dan sebaik selesai mendendangkan sebuah lagu, Shahir yang diiringi beberapa wakil AESB sedia untuk sesi temu bual, malah kelihatan cukup bersedia menjawab apa saja soalan mengenai kerjaya tetapi masih mahu berdolak-dalik selain bermain tarik tali tatkala diminta berkongsi soal cinta.

Mengulas isu kehilangannya, katanya dia tidak pernah berniat untuk lari dari kenyataan, sebaliknya apa yang berlaku bukanlah disengajakan, malah walaupun ketika tempoh 'pertapaannya' syarikat pengurusan turut mengakui sukar menjejakinya, ketika ditemu bual tanpa was-was dia memaklumkan mereka mengetahui keadaan sebenar sejak awal lagi.
"Pada 4 Jun yang lalu saya terjatuh di bilik air. Tangan saya retak dan bersimen hingga sukar bergerak. Oleh itu, doktor menasihatkan supaya berehat dan diberikan cuti sebulan. Apabila pihak Astro mengetahui perkara itu, mereka beri cuti tambahan sebulan lagi menjadikan keseluruhan cuti dua bulan.

"Kemudian saya minta lagi cuti tambahan menjadikannya tiga bulan. Namun mereka minta saya muncul hari ini. Walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan, saya masih sempat memenuhi undangan persembahan terakhir pada 4 Jun lalu kerana tidak mahu memungkiri janji. Pihak Astro mengetahui keadaan diri saya, malah pada persembahan berkenaan saya muncul dengan tangan bersimen," ulasnya lagi.

Ditanya mengapa sukar mengangkat panggilan daripada kebanyakan wakil media yang menghubunginya untuk mendapatkan kepastian, dengan selamba selain masih ingin menegakkan benang basah, tegasnya tiada seorang pun menghubunginya sepanjang tempoh itu tetapi mengakui sukar menjawab panggilan telefon disebabkan keadaan tangannya.

"Sepanjang tempoh bercuti, tiada siapa pun menghubungi saya untuk mengetahui segala isu dari mulut saya sendiri sebaliknya bermacam spekulasi saya dengar. Saya tidak akan mengelak sekiranya ada yang bertanyakan sendiri kepada saya, cuma saya mengaku sukar menjawab panggilan telefon dalam keadaan diri yang tidak sihat.

"Semua dakwaan mengatakan saya mengikut jejak langkah Sham Kamikaze juga tidak benar. Di kampung kadang-kala ke gerai depan rumah untuk bersahur. Apabila keluar rumah, saya menjadi diri sendiri. Bila orang nampak, mulalah mereka buat pelbagai tafsiran. Bagi saya walaupun sudah bergelar artis, takkanlah saya mesti segak dan kemas setiap masa," katanya.

Sepanjang berehat di rumah keluarganya di Kampar, jejaka ini berkata dia menemui hikmah apabila kedua orang tuanya mula mempercayai apa yang berlaku kepadanya selama ini hanyalah sekadar spekulasi. Walau dia diam, pelbagai versi kisahnya timbul sekalipun dia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Begitupun, Shahir menafikan menuduh media menyebarkan cerita tidak benar kerana perkara itu turut terjadi menerusi penyebaran maklumat kurang berasas di internet.

Belum terfikir untuk berhenti

UJARNYA mengenai sejauh mana seriusnya dia dalam industri, katanya dia memang serius untuk terus mewarnai industri seni tanah air malah dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya sumber mengatakan mahu berhenti dari dunia nyanyian.

"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan ingin berhenti. Sebaliknya saya cuma berehat kerana tidak berkemampuan untuk bekerja. Saya tidak pernah terfikir pun untuk lari daripada komitmen kerja. Kehilangan saya bukan sengaja atau mahu menyusahkan orang lain," katanya yang berjanji akan lebih mudah dihubungi selepas ini.

Namun katanya, sebelum media mahu menghubunginya, mereka perlu terlebih dulu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan memberikan alasan skrin telefonnya rosak akibat terjatuh banyak kali.