Harian Metro: Rap |
Posted: 28 Sep 2011 07:40 AM PDT WALAUPUN berlainan latar belakang, genre muzik dan perjuangan seni, anak muda yang baru mencuba nasib dalan dunia seni, Awi Rafael, 25, dan Nashrin, 22, punya satu persamaan iaitu pengorbanan besar dengan berhijrah meninggalkan keluarga demi mengejar impian menjadi penyanyi. Awi atau nama sebenar, Mohd Nabawi Ewan Gunawan Rafael, baru saja menetap di Cheras selepas bertahun-tahun berulang-alik dari bandar kelahirannya di Singapura, baru kini selesa dan mampu bernafas kemas kerana sudah mendapat kediaman sendiri. Berbeza pula senario Nashrin, anak muda kelahiran Ipoh ini masih gigih berulang-alik ke Kuala Lumpur bagi melunaskan segala undangan seni kerana masih terikat dengan kerjaya tetapnya sebagai eksekutif dalam lapangan perbankan di Pulau Pinang. Awi yang kini popular dengan lagu Pulanglah, adalah warga Singapura yang mencari rezeki di Malaysia. Selepas puas menongkah pelbagai ranjau, bakatnya menjadi perhatian Warner Music Malaysia lantas dijadikan tempat berlindung di bumi orang ini.
"Soal berhijrah dan terpaksa meninggalkan keluarga di Singapura adalah satu aspek yang sudah saya fikirkan dulu. Mahu atau tidak, saya perlu berkorban jika inginkan sesuatu yang pernah diidamkan. "Mujur keluarga memahami dan sentiasa menyokong apa saja yang saya ingin lakukan. Bagi saya, sokongan dan restu keluarga adalah kekuatan dan resipi peribadi untuk terus berdiri," katanya. Meskipun masih baru dalam gelanggang seni suara, jadual seni Awi dan Nashrin begitu padat. Peluang bertemu Awi dan Nashrin ketika menjayakan Karnival Gegaria Harian Metro di Ipoh, Perak minggu lalu, digunakan sebaiknya untuk menggandingkan mereka dalam satu fotografi. Hanya meletakkan kedua-duanya di taman bunga bersebelahan dengan hotel penginapan untuk merakamkan wajah terbaik petang itu, masing-masing tidak kekok memberikan kerjasama. Kedua-duanya punya wajah menarik dan pesona tersendiri. Awi baru muncul dengan album solo memuatkan lima lagu, Pulanglah, Aku Bukan Bintang, Bukankah Aku, Bila Aku Jatuh Cinta dan Panas semuanya ciptaan sendiri dan lagu Pulanglah nyata membawa tuah kepadanya. Nashrin, pemenang tempat kedua program realiti MyStarz LG musim kedua, mula mencari arah terbaik dengan mempertaruhkan lagu Fobia Cinta dan bernaung satu bumbung dengan Awi di Warner Music. Awi mengharapkan agar ada ruang buatnya berkarya di sini selain memperbaiki apa yang longgar bagi terus memancing selera peminat tempatan. "Alhamdulillah album solo saya sudah berada di pasaran dan setakat ini lagu Pulanglah begitu hangat diputarkan di radio tempatan. Siapa sangka, percubaan berani itu membuahkan hasil dan menerima reaksi positif di sini. Saya sendiri gembira dan bersyukur dengan percaturan yang diberikan buat saya. "Sekarang saya sibuk mempromosikan single kedua yang akan menyusur tidak lama lagi selain menyiapkan beberapa lagu untuk penyanyi-penyanyi lain di sini. Saya baru selesai merakamkan lagu Hanya Lelaki Ini untuk Hazama. "Itu juga satu cenderahati istimewa buat saya apabila ada pula penyanyi tempatan yang percaya untuk menggunakan khidmat saya sebagai komposer. Insya Allah jika ada rezeki, saya ingin terus bertapak di sini dan memartabatkan industri muzik serantau menerusi bakat yang ada. Apa yang penting adalah jujur dan ikhlas," katanya. Mendengar cerita Awi dan segala macam pengalaman sepanjang mencari tapak dalam dunia seni, Nashrin yang memiliki senyuman manis, hanya setia mendengar. Sejak berjaya mencipta nama di My Starz LG lebih tiga tahun lalu, Nashrin mula mencari arah terbaik buatnya. Berpaksikan minat dan kesungguhan, anak sulung dari tiga beradik ini gagahkan diri untuk membuat kedua-dua kerja dalam satu masa hingga perlu berulang-alik Kuala Lumpur Pulau Pinang. "Jadual harian saya memang memenatkan dan ada kalanya macam nak pengsan kerana setiap hari saya perlu bekerja ikut waktu pejabat di bank di Pulau Pinang dan kemudian hujung minggu jika ada undangan saya perlu pula ke Kuala Lumpur. "Namun itulah lumrah dan pengorbanan yang perlu saya lakukan demi melunaskan permintaan orang tua yang ingin melihat saya punya kerjaya tetap. "Bagaimanapun semua itu adalah satu semangat buat saya walaupun terpaksa merentas lebuh raya Utara Selatan hampir setiap minggu. Bukan tidak mahu berhenti atau meletak sepenuh fokus pada satu kerjaya sebaliknya saya punya sokongan yang kuat dari majikan serta teman-teman lain membuatkan saya sayang untuk meninggalkannya. "Insya Allah jika ada rezeki atau peluang yang lebih baik, pasti saya akan pertimbangkan untuk memilih satu lapangan saya agar perhatian yang diberi lebih baik dan tersusun. Saya bercadang untuk menetap di Kuala Lumpur pada hujung tahun ini," katanya. Bakal melancarkan album penuh pada 5 Oktober depan, Nashrin gigih merencana perjalanan seninya agar tidak tersasar atau muda lenyap begitu saja. "Memang banyak cabaran dan dugaannya kerana lapangan seni bukanlah semudah yang dilihat. Namun saya bersyukur kerana masih dijanjikan album penuh seperti ini meskipun lewat berbanding yang lain. Sekurang-kurangnya perjuangan saya ketika di MyStarz LG dulu berbaloi dan tidak hilang seperti mana kebanyakan bintang realiti lain. "Alhamdulillah album penuh itu nanti akan turut memuatkan lagu ciptaan Acap berjudul Percaya Pada Luka dan konsepnya masih sama iaitu pop. Malah syarikat rakaman juga sudah pun memberikan pelan pemasaran buat saya yang mana jika mengikut perancangan yang betul, album kedua pula akan menyusul kemudian. "Saya fikirkan itu semua adalah terbaik buat pendatang baru seperti saya. Soal popular atau publisiti bukanlah satu masalah besar sebaliknya apa yang menjadi keutamaan adalah kualiti lagu dan sambutan daripada pendengar. Saya hanya berharap agar peminat dapat menerima dan menyukainya nanti," katanya. Terbaru, kedua-dua anak muda berbakat besar ini akan disatukan sekali lagi dalam persembahan eksklusif pada majlis penganugerahan Anugerah Skrin TV3 nanti. Awi akan muncul dengan lagu Pulanglah dan Nashrin pula mengambil alih pentas menerusi lagu Fobia Cinta. PROFIL Nama penuh: Mohd Nabawi Ewan Gunawan Rafael PROFIL Nama penuh: Wann Nashrinie Zafri |
Ustazah Pilihan cari pendakwah Posted: 28 Sep 2011 07:24 AM PDT KEJAYAAN program realiti berkonsep Islam, Imam Muda bersiaran selama dua musim menjadi pencapaian terbaik Astro Oasis (saluran 106) dalam menarik perhatian penonton mereka. Program julung kali seumpamanya berbeza dari konsep program realiti sedia ada turut berjaya mencuri tumpuan penonton luar negara apabila mendapat liputan media antarabangsa yang berminat mengikuti perjalanan program terbabit.
Oasis terus merancang pelbagai agenda baru dari aspek kandungan untuk kepuasan penonton setia mereka dengan memperkenalkan satu lagi program realiti TV Ustazah Pilihan yang bermatlamat mencari pendakwah muda wanita yang boleh diangkat sebagai ikon pada masyarakat. Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, sambutan diterima daripada mereka yang hadir menerusi uji bakat diadakan di empat lokasi, Kedah, Terengganu, Johor dan Kuala Lumpur sangat menggalakkan.
Izelan berkata, kualiti pada diri individu itu diteliti dari aspek latar belakang pendidikan dan komitmen dalam menjayakan program ini. "Kita tahu apabila menerbitkan program wanita, wujud masalah seperti wanita yang sudah berkahwin sukar untuk keluar rumah tanpa izin suami. "Namun, dari uji bakat dijalankan kami dapat melihat kualiti mereka yang hadir termasuk graduan yang mempu–nyai pendidikan dalam bidang pendidikan Islam. "Dari peringkat awal, lebih 40 peserta melepasi uji bakat sebelum ditapis hingga tinggal 10 peserta. Memang diikutkan kami mengambil 10 peserta tetapi kami tambah satu peserta lagi kerana berasakan dia juga berpotensi. "Mengenai cabaran, kami melakukan perubahan berbanding Imam Muda apabila peserta didedahkan dengan masalah wanita dan cara bagaimana mereka dapat menanganinya," katanya. 11 peserta terpilih terdiri, Nur Atieqah Mohd Zainudin (Atiqah), Nur Aqidah Mawardi (Aqidah), Nun Faizah Rohana Mustapha (Faizah), Siti Fatimah Mad Yatim (Fatimah), Masfira Hilman (Fira), Firuz Akhtar Mohamad Bohari (Firuz), Siti Nor Hafidza Razali (Fizah), Nurul Hidayah Kamarudin (Hidaya), Nina Syazmeen Mohd Din (Nina), Siti Fatimah Mohd Sharif (Siti) dan Maryanti Ramle (Yanti). Bagi Fatimah, 21, dia berbesar hati menyertai program ini dalam menimba pengalaman baru walaupun masih belajar dalam bidang pengajian Islam al-Quran dan Al-Sunnah di Universiti Sains Islam Malaysia. "Saya berhasrat untuk berkongsi ilmu dengan orang lain sepanjang terbabit dalam program ini dan pada masa sama berusaha untuk berdakwah. "Saya percaya sesuatu ilmu itu harus dituntut dan disebarkan pada orang lain agar ia memberi manfaat pada semua," katanya. Yanti, 23, berasal dari Melaka pula berpandangan program ini memberi banyak kelebihan dari aspek pengetahuan dan pendedahan ilmu baru yang ingin disampaikan kepada peserta bersama penonton. Masih bergelar pelajar Ijazah Undang-Undang Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa, dia tidak mempunyai masalah untuk memberikan komitmen pada pada program ini. "Soal memang tidak pernah saya fikirkan apabila diberi peluang menyertai program ini. Pada saya, apa yang penting melihat pada latar belakang peserta yang berbeza, tidak salah untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat," katanya. Kesemua peserta ini dibimbing tiga tenaga pengajar, Dr Robiah K Hamzah sebagai mudirah (pengetua) dibantu dua mursyidah (tenaga pengajar, Prof Dr Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiah Hassan. Program ini dihoskan Siti Rohani Surani. Untuk episod pengenalan, program Ustazah Pilihan: Pencarian bersiaran pada 22 dan 29 September jam 9 malam manakala Ustazah Pilihan: Detik bermula 3 Oktober ini pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.50 petang. Mulai 6 Oktober, program Ustazah Pilihan pula bersiaran setiap Khamis jam 9 malam. Maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang, www.ustazahpilihan.com.my atau laman sosial, www.facebook.com/UstazahPilihan106 dan http://twitter.com/UstazahPilihan. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |