Utusan Online - Hiburan |
Posted: Raya sekarang materialistikOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
PENYANYI pujaan wanita ini kelihatan cukup segak apabila menyarungkan baju Melayu rekaan terbaru pereka fesyen terkenal, Salikin Sidek untuk sesi fotografi khas sempena Aidilfitri ini. Sehinggakan jurufoto senior, Fatah Sulaiman yang begitu ralit mengambil gambar-gambar Anuar Zain juga mengeluarkan komen yang sama. "Apa yang ada pada Anuar sampai semua wanita tergila-gilakannya ya?," tanya Fatah kepada Anuar sehingga penyanyi itu hanya mampu mengukir senyuman. "Entahlah. Saya sendiri tidak tahu. Barangkali mereka 'jatuh cinta' kepada saya lagu-lagu nyanyian saya agaknya. Masing-masing ada pendapat tersendiri," balas Anuar penuh rendah diri sambil disulami ketawa kecil. Ternyata profesionalisme Anuar telah memudahkan perjalanan sesi fotografi ini yang berakhir dalam masa yang cukup singkat. Usai semuanya, tanpa membuang masa, kami meneruskan perbualan dan bicara kami pada petang itu lebih terarah kepada sambutan Syawal. Barangkali kedengaran agak klise apabila bertanyakan tentang soal persiapan raya dan seumpamanya tetapi untuk seorang artis yang bernilai tinggi seperti Anuar, segala-galanya mahu diambil tahu oleh peminat setianya. Tidak lokek untuk bercerita, penyanyi lelaki tersohor negara ini menjelaskan, sambutan Syawal tahun ini tidak banyak bezanya seperti tahun-tahun sebelumnya. "Kami sekeluarga lebih selesa untuk bersederhana dalam menyambut Hari Raya. Setiap daripada kami ada tugas masing-masing. Sebagai contoh, Ziana akan sibuk di dapur menolong ibu menyediakan juadah Raya. "Begitu juga dengan adik-beradik saya yang lain di mana mereka sudah tahu skop tugas masing-masing apabila menjelangnya Hari Raya. "Tugas saya pula adalah untuk memastikan bekalan kuih raya sentiasa mencukupi kerana orang yang akan berkunjung ke rumah tidak pernah putus. "Untuk itu, saya akan membeli beberapa kuih raya yang sudah menjadi hidangan wajib di atas meja seperti tat nanas dan lain-lain lagi. Dalam soal kuih raya juga, saya amat mementingkan kualiti dan rasanya. Bukan sekadar membeli tetapi biarlah tetamu yang datang dapat menikmatinya dengan rasa puas," ujar pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini membuka bicaranya. Sudah menjadi tradisi keluarganya, Anuar menjelaskan semua adik-beradik akan berkumpul di rumah ibu bapa mereka, Zain Abdullah dan Robiah Abdul di Shah Alam, Selangor. Selepas selesai menunaikan sembahyang sunat, barulah mereka sekeluarga menikmati juadah istimewa hasil air tangan ibu mereka seperti sambal sotong kering, kuah kacang daging dan kuah lodeh. Kemudiannya, barulah mereka saling bermaaf-maafan serta pemberian duit raya dilakukan sebelum mereka semua bersedia menerima kunjungan tetamu. "Kalau diikutkan, bapa saya memang seorang yang cukup gigih memasak dan setiap kali menjelangnya Aidilfitri, dia akan ligat di dapur bersama ibu. "Tetapi sekarang ini dengan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, kami mahu dia berehat sahaja dan tidak melakukan kerja-kerja berat," jelas jejaka yang berusia 41 tahun ini tersenyum. Kenangan raya Anuar BERBICARA tentang Aidilfitri, banyak kenangan yang sudah dilalui oleh Anuar sejak zaman kanak-kanak sehinggalah dewasa. Masih segar dalam ingatannya bagaimana kemeriahan menyambut Aidilfitri di kampung halamannya di Merlimau, Melaka sewaktu kanak-kanak terutama mengelilingi kampung untuk mengumpul duit raya. Seiring dengan peredaran semasa, sedikit demi sedikit senario itu mula berubah lebih-lebih lagi selepas Anuar menjadi artis rakaman EMI pada awal tahun 80-an. "Ketika itu juga kenangan juga tidak kurang manisnya apabila saya berpeluang mengadakan persembahan istimewa untuk televisyen sempena Raya. "Bayangkan ketika itu, nama-nama besar industri hiburan seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk D.J. Dave, Noorkumalasari, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Sheila Majid dan Jamal Abdillah semuanya terlibat dalam persembahan yang sama. "Apabila dapat bertemu dengan mereka, saya begitu seronok dan teruja sekali. Mana tidaknya. Sebelum itu saya hanya mendengar lagu-lagu nyanyian mereka. Tetapi, apabila berada di satu pentas, timbul sedikit rasa kejutan budaya (ketawa). "Lagipun, dulu, stesen televisyen tidak banyak. Jadi, semuanya berkumpul dan kemeriahan itu memang cukup dirasai," kata Anuar yang cukup masyhur dengan lagu raya, Suasana Hari Raya bersama teman duetnya, Ellina Razak. Namun, dalam banyak kenangan Syawal yang sudah diselusuri Anuar sepanjang hidupnya, pengalaman sewaktu bertugas sebagai pramugara merupakan antara yang tidak mungkin dilupakan. Bertugas dengan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) selama hampir 11 tahun bermula tahun 1990, kata Anuar, dia sudah merasai pengalaman beraya di luar negara hampir setiap tahun. Semuanya demi tuntutan tugas dan bayangkan kata Anuar, kerinduan terhadap keluarga ketika itu tidak mampu dibendung lagi. Ketika itu jugalah bayangan juadah enak mula bermain di depan mata dan jika tidak dikuatkan semangat, air mata mampu mengalir laju tanpa perlu dipaksa. "Tetapi, semua itu tidak begitu dirasai kerana saya dikelilingi oleh teman-teman yang senasib. Jadi, segala kerinduan itu terubat sedikit demi sedikit. "Selepas berhenti, fokus saya adalah kepada keluarga dan saya mahu membalas segala kehilangan itu dengan beraya bersama keluarga setiap tahun tanpa mahu meninggalkan sedetik pun," ujar pemilik gelaran Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak dua kali ini penuh makna. Hayati pengertian Syawal SEMPAT juga Hits meminta pandangan Anuar tentang semangat Raya yang dilihat mula luntur di kalangan masyarakat terutama generasi muda. Bagi pelantun lagu I'm The Lucky One dan Keabadian Cinta ini lagi, apa yang diperhatikannya masyarakat kini lebih menjurus kepada soal materialistik. "Saya sendiri tidak mengerti mengapa setiap kali hendak menyambut Raya, semuanya perlu diganti baru. Seolah-olah mereka mahu bersaing sesama sendiri dan menunjukkan mereka mampu menukar serba-serbi dengan kelengkapan baru. "Tidak menuding jari kepada sesiapa, tetapi saya percaya perkara ini sering kali menjadi perbualan ramai. Lebih menyedihkan, ada yang sanggup berhutang kerana mahu memastikan tetamu kagum dengan inisiatif mereka itu. "Bukankah lebih baik seandainya mereka menghayati pengertian Syawal itu sendiri. Aidilfitri adalah hari kemenangan kita selepas sebulan berpuasa menahan lapar dahaga dan nafsu daripada segala-galanya. "Jujurnya, saya sendiri lebih teruja menyambut Ramadan berbanding Syawal. Disebabkan itu, saya akan mengambil peluang sebaik mungkin untuk memanfaatkan bulan Ramadan," ujar Anuar penuh jujur. | ||
Jehan, Ezlynn terkenang raya di kampung Posted: Jehan, Ezlynn terkenang raya di kampungOleh MOHD. IFQDAR ABDUL RAHMAN
BERCERITA mengenai sambutan lebaran di kampung halaman, pasti ramai yang bersetuju bahawa kemeriahan Syawal dirasakan amat berlainan suasananya jika mahu dibandingkan di kota raya besar. Meraikan Aidilfitri dengan dikelilingi hutan batu di kota metropolitan Kuala Lumpur mungkin memberi impak berbeza kerana suasana hutan hijau di kampung lebih nyaman dan segar. Apatah lagi dengan hiruk pikuk kebingitan suara sanak saudara yang tidak pernah diam berkongsi cerita menambahkan lagi keseronokan beraya di kampung. Namun, bagi dua selebriti popular, Jehan Miskin, 31 dan Ezlynn, 30, masing-masing mengakui, kegirangan pulang ke desa tidak lagi dirasai memandangkan ramai kenalan ketika kecil dahulu termasuk jiran tetangga sudah berhijrah ke lokasi lain, sekaligus memudarkan keceriaan berhari raya di desa tercinta. Jehan beraya sambil bercuti BAGI jejaka bermata redup, Mohd. Jehan Miskin atau Jehan yang bakal muncul dengan filem dwibahasa, Prince of The City arahan Roslan Hussein pada 20 September ini memberitahu, zaman kanak-kanak meninggalkan nostalgia terindah buat setiap individu. Katanya, semakin usianya meningkat dewasa, ditambah pula dengan penghijrahan saudara mara sebayanya ke bandar-bandar lain, suasana kemeriahan Syawal di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah sudah tidak dirasainya. Justeru, Jehan awal-awal lagi sudah merancang untuk melancong sama ada di dalam mahupun ke luar negara pada Aidilfitri. "Ini adalah perancangan sahaja. Dan diharap semuanya berjalan lancar. "Saya akan pergi bercuti selepas hari raya keempat atau kelima bersama beberapa rakan saya. "Bagaimanapun, destinasi percutian masih belum diputuskan dan sedang membuat pemilihan," ujar Jehan yang merindukan suasana beraya zaman kanak-kanak. Aktor itu menjelaskan, dia tetap akan pulang ke kampung untuk menziarahi sanak saudaranya yang sudah lama tidak bersapa mesra. "Walaupun agak sukar untuk berjumpa dengan saudara dan rakan kerana sudah berpindah, saya tetap pulang ke kampung agar tali persaudaraan di kalangan kami berkekalan. "Mungkin agak sukar untuk berkumpul ramai-ramai macam dulu-dulu, tetapi apa yang ada sekarang perlu dihargai," katanya yang bakal muncul dengan filem arahan Mamat Khalid, berjudul Apokalips. Dalam pada itu, Jehan memberitahu, sebuah telefilem bertajuk Mak Okay Je arahan Michael Ang akan disiarkan pada bulan Syawal ini di samping pelakon-pelakon hebat seperti Umie Aida, Erra Fazira, Rashidi Ishak, Abby Abadi dan Gambit Saifullah. Ezlynn hanya sehari di kampung LAMA sungguh kelibat penyanyi yang popular dengan lagu Hai Hai Bye Bye, Azline Ariffin atau Ezlynn ini menyepikan daripada sebarang publisiti. Justeru, bertemu dengannya pada majlis berbuka anjuran Great Eastern Mall, Jalan Ampang, baru-baru ini, Ezlynn memberitahu, dia tiada apa-apa kisah menarik yang mahu dikongsikan untuk tatapan peminat. Menyentuh perihal beraya di kampung, sama seperti Jehan, penyanyi dan pelakon ini menjelaskan, dia juga merindui masa lampau era kanak-kanak bersama rakan taulannya. Kegigihannya bersama rakan seusia sama ada berbasikal mahupun berjalan kaki bertandang dari satu rumah ke satu rumah sememangnya seronok apabila diimbas kembali. "Bila teringat semua itu memang kelakar sebab tujuan kami singgah di rumah jiran semata-mata untuk mendapatkan duit raya. "Kadang-kadang itu, kami tidak langsung minum air ataupun menjamah kuih-muih," katanya sambil disusuli ketawa kecil. Namun dewasa ini, Ezlynn mengakui, dia hanya pulang sehari sahaja ke kampung halamannya yang terletak di Ulu Kinta, Perak. Tambahan pula, ujar si cantik manis ini, kedua-dua ibu bapanya telah pun duduk bersamanya di ibu kota. "Jadi, sudah tidak ramai saudara di kampung memandangkan datuk dan nenek di kedua-dua belah emak serta abah sudah meninggal dunia. "Hanya tinggal pakcik dan makcik saya serta sepupu dan juga anak-anak buah. "Saya akan menyambut pagi Syawal di sini bersama ibu bapa saya. "Selepas itu barulah kami sekeluarga berangkat ke kampung dan pulang semula ke Kuala Lumpur pada hari yang sama," ujar Ezlynn yang membintangi filem terbaru Mamat Khalid, Husin, Mun & Jin Pakai Toncet. Sedikit mengenai perkembangan seninya, Ezlynn menambah, single baru berjudul Dusta akan dilancarkan terlebih dahulu pada September atau Oktober sebelum menyusul album ketiganya. Tepis dakwaan kahwin November WALAUPUN agak sepi daripada sebarang publisiti, Ezlynn tidak dapat menutup mulut sesetengah pihak yang mendakwa kononnya dia akan berkahwin pada 11 November 2011 (11.11.11). Menepis dakwaan tersebut, Ezlynn berkata bahawa semua cerita itu hanyalah khabar angin. Bagaimanapun, Ezlynn tidak menafikan bahawa dalam masa terdekat, dia akan disunting oleh seorang jejaka yang lebih tua daripadanya. Terang wanita yang manis dengan senyumannya itu lagi, lelaki berkenaan bukanlah dari kalangan orang seni. "Dia hanyalah lelaki biasa. Mengenai tarikh perkahwinan kami itu, diharap media dan peminat dapat bersabar. "Apabila sampainya waktu yang sesuai, saya akan umumkan dan mengundang rakan media ke majlis perkahwinan kami. "Bukan niat mahu berahsia, tetapi sekadar menghormati permintaan keluarga sebelah lelaki yang mahukan ia menjadi hak eksklusif keluarga kami," jelasnya yang ternyata gembira menceritakan serba sedikit mengenai hari bahagia yang akan ditempoh tidak lama lagi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |