Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Bahagia berganda Marion
KOLAM hati wanita cantik yang duduk di hadapan saya dalam pertemuan kami di unit emper Hotel Hilton Kuala Lumpur yang serba mewah itu sedang digenangi bahagia yang melimpah ruah. Petah bicara yang bersulam dengan senyum semanis madunya tidak dapat menyembunyikan getar teruja yang tersimpul kemas di dalam jiwa. Marion Rose Counter Abdullah kini sedang meniti titian menjadi seorang wanita yang lengkap, secara harafiah. Dia kini sedang hamil anak sulung yang bercambah benih usianya lima bulan. Bahagia Marion memang tidak dapat ditahan-tahan. Baginya yang mengetahui dia hamil sekitar Mac lalu, berita tersebut adalah sebuah rahmat terbesar buatnya dan suami. Ini kerana akui wanita berketurunan Cina yang kini fasih berbahasa Melayu, sejak bernikah pada bulan Disember tahun lalu, baik dia mahupun suaminya, Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasaruddin atau mesra dipanggil Nasa memang sudah bersedia untuk menimang cahaya mata. Tiada istilah fasa bulan madu untuk mereka kerana cinta selama lima tahun yang dipupuk bersama sudah menjadi kembara asmara buat mereka berdua. Kini, dalam fasa berumah tangga, mereka tidak mahu menunggu lama untuk membesarkan empayar Nasa-Marion, sementelah usia juga bukan semakin muda. Memberitahu dia mengalami alahan yang teruk pada fasa pertama kehamilan, ia tidak langsung membunuh keterujaannya hamil buat kali pertama. Walau mengaku pada awal kehamilan dia sedikit terganggu kerana langsung tidak boleh menyentuh makanan atau minuman, namun dia mahu melalui kembara sembilan bulan hamil dengan penuh aprisiasi. "Saya membuat empat kali ujian kehamilan untuk memastikan saya tidak silap. Waktu itu saya di Singapura, baru selesai rutin mengacara di E! News Asia," ujarnya bersulam ketawa. Sebaik yakin dirinya hamil, dia segera menelefon suami untuk berkongsi cerita gembira tersebut dan ia hanya disambut Nasa dengan nada biasa kerana mahu menyembunyikan kegembiraan itu daripada saudara yang ada bersamanya ketika itu. "Tapi sebaik Nasa bersendirian, dia telefon saya semula dan kami meraikannya dengan cara kami. Ini kerana kami memang sudah bersedia untuk menjadi ibu dan bapa," katanya yang sudah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk menjadi seorang ibu kelak. Tambah Marion, sejujurnya, dia dan Nasa memilih untuk merahsiakan kehamilannya daripada pengetahuan ramai. Pada pemikiran mereka, kehamilannya adalah hal yang sangat peribadi, justeru mereka mahu ia menjadi satu rahsia buat mereka sahaja. Namun akhirnya ia tidak dapat disembunyikan dan kata Marion: "Memang pada awal kami mahu ia menjadi rahsia. Tapi sebagai selebriti saya tidak boleh berbohong tentang kehamilan ini. Lagi pula ia adalah berita gembira dan saya sangat berterima kasih kepada semua yang mendoakan kehamilan saya." Belum membuat sebarang persiapan atau memilih nama untuk anaknya, kata Marion, apa yang penting buat masa ini adalah dia menjaga kandungan dan kesihatan dengan baik agar kelak mampu melahirkan dan memperoleh seorang cahaya mata yang sempurna.
Lebih membahagiakan, sepanjang hamil, suaminya yang memang kerap bekerja ke luar negara sudah mula mengurangkan aktiviti tersebut dan memberi fokus terhadap dirinya. Itu, kata Marion adalah hal yang paling membahagiakan dirinya kerana mengaku sebagai wanita hamil, dia turut mengalami simptom emosi yang kadangkala tidak stabil dan memerlukan lebih perhatian daripada suaminya. Memberitahu dia kini cukup berselera makan terutama masakan lokal, Marion yang ditanya tentang pemikiran segelintir wanita yang tidak mahu mempunyai anak kerana bimbang bentuk badan yang cantik bertukar rupa melahirkan persepsinya dengan cukup matang. Katanya yang mahu bersalin secara normal kerana ingin merasai nikmat melahirkan anak: "Bayi adalah hal yang paling penting berbanding tubuh badan. Ini rezeki Allah dan saya tidak pernah berfikir untuk tidak mahu mempunyai anak kerana terlalu sayangkan tubuh badan. Bagi saya, jika kita disiplin, kita akan boleh mendapat tubuh badan yang asal, tetapi anak, ia adalah satu anugerah yang tidak ternilai daripada Allah. Jadi saya memilih anak berbanding tubuh badan. Malah dia yakin dia mampu menurunkan berat badan kepada asal selepas bersalin dengan bantuan ibu dan ibu mertuanya. "Mak mertua saya seorang yang mementingkan adat resam tradisional, tetapi apabila tiba soal penjagaan selepas bersalin, dia agak moden dan tidak mempunyai pantang dalam pemakanan. Saya juga boleh aktif seperti biasa dan perlu disiplin. "Mak saya juga seorang yang moden, namun dia ada satu kunci penjagaan selepas bersalin iaitu menyarankan saya agar memakan banyak ginseng dan melakukan urut tradisional," katanya yang cukup bahagia kerana diberi perhatian khusus bukan sahaja daripada suami, seluruh orang di sekelilingnya. Bahagia Diajak bercerita tentang kehidupannya selepas berumah tangga, Marion menterjemahkan ia sebagai cukup bahagia. "Pada awal perkahwinan memang sedikit kekok kerana dulu sudah terbiasa seorang diri, namun kini berdua. Namun semakin hari, ia menjadi menarik kerana banyak hal dapat dikongsi bersama." Tambah anak kelahiran Pulau Pinang ini lagi, yang menambah keterujaannya hidup bersama Nasa adalah suaminya itu menerima dia seadanya. Bersama suami tercinta juga, dia belajar mendalami keindahan Islam yang baru menjadi agamanya kurang setahun lalu. "Paling teruja, tahun ini juga merupakan tahun pertama saya meraikan hari kemenangan, Aidilfitri sebagai saudara baru. Perasaan itu sukar digambarkan, dan paling saya nantikan adalah ritual berkumpul dengan seluruh keluarga pada pagi hari raya. "Bagaimanapun untuk tahun ini, mungkin adik-beradik suami saya ramai yang tidak ada pada hari raya pertama kerana beraya di rumah mertua masing-masing. "Namun pada hari raya kedua nanti, kami semua akan pulang ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk menziarah kubur arwah bapa mertua saya dan bertemu saudara-mara di sana," katanya yang sedang memikirkan untuk bercuti ke sebuah destinasi bersama suaminya memandangkan dia akan bercuti raya selama seminggu. | |||
Zizan, Juliana, Tai raya di panggung Posted: Zizan, Juliana, Tai raya di panggungOleh HARYATI KARIM
TIGA nama, Zizan Razak, Juliana Evans dan Taiyuddin Bakar buat pertama kali digabungkan dalam sebuah filem berjudul Hantu Bonceng. Meskipun begitu, keserasian yang timbul antara mereka bertiga jelas kelihatan ketika tayangan perdana filem tersebut di Pawagam Odeon, Kuala Lumpur baru-baru ini. Saling mengusik antara satu sama lain terutamanya antara Zizan dan Juliana Evans menguatkan lagi gosip kononnya pasangan pelakon ini sedang hangat bercinta. Namun ketika disoal media, kedua-dua mereka menafikan gosip tersebut dan menjelaskan mereka hanya sahabat baik. "Mana ada kami bercinta memang tidak betul sama sekali tetapi saya mengaku saya rapat dengannya dan pernah keluar bersama selepas penggambaran filem tetapi bersama rakan-rakan yang lain termasuk pengurusnya," kata Juliana. Zizan pula berkata: "Antara kami tiada cinta lokasi. Kami memang rapat tetapi jarang berjumpa, hanya berhubung di telefon." Zizan malu babak bogel Sebagai seorang pelakon, Zizan nyata menaruh harapan agar orang ramai berpuas hati dengan lakonannya dalam filem Hantu Bonceng kerana menurutnya, dia sudah memberi yang terbaik begitu juga dengan seluruh tenaga produksi. "Selepas tayangan perdana ini saya sedikit lega, sebab masa saya sampai tadi filem telah dimainkan dan saya lihat orang tidak berhenti ketawa. Sebelum ini saya bimbang, orang akan ketawa pada peringkat awal dan ia mendatar selepas itu, tetapi Alhamdulillah, kebanyakan orang yang datang hari ini seronok dengan filem ini. "Tetapi reaksi orang ramai di luar sana, saya belum tahu lagi, itu yang membuatkan saya berdebar-debar, saya harap siapa sahaja yang menontonnya akan terhibur," ujarnya yang memegang watak Amran. Bercerita lanjut mengenai filem arahan Ahmad Idham yang menelan kos RM1.5 juta itu, Zizan mengakui banyak adegan yang sukar untuk dilakonkan tetapi adegan yang paling sukar buatnya adalah adegan di kubur. "Ketika adegan di kubur, saya tidak mahu buat lawak sebaliknya mahu serius tetapi apa yang saya lihat masih ada orang ketawa sebab saya bercakap dengan nada yang serius. Satu lagi adegan yang tidak dapat saya lupakan adalah adegan saya dan Tai berbogel di Taman Titiwangsa. "Bayangkan untuk melakonkan adegan itu kami berdua hanya memakai boxer sahaja, malunya saya tidak boleh dikira, kebetulan ketika itu ada pula tiga buah bas rombongan berhenti di tempat kami melakukan penggambaran. "Saya sedang bekerja ketika itu, jadi saya minta orang yang lalu lalang jangan mengambil gambar saya dalam keadaan itu. Orang tidak faham, walaupun ketika itu saya hanya pakai boxer, yang keluar di layar lebar hanyalah separuh badan kami, kalau mereka ambil gambar, malulah saya," tutur Zizan ketawa. Rumah terbuka raya ketiga Setiap kali tibanya lebaran, keluarga Zizan akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga. Tahun ini rumah terbuka akan diadakan di kediaman keluarga Zizan di Jalan Terkukur, Kuala Terengganu, Terengganu. Zizan menjemput seluruh keluarganya dan juga peminat yang sentiasa menyokongnya untuk menghadiri rumah terbukanya itu. "Memang setiap tahun kami buat rumah terbuka, tetapi sebelum menjadi artis, rumah terbuka keluarga kami dibuat di rumah nenek di Dungun, Terengganu. Saya memang menggunakan rumah terbuka ini untuk dekatkan diri dengan peminat serta menjamu keluarga dan sahabat handai. "Uniknya, rumah terbuka kami akan diadakan di depan rumah kami yang kecil, jadi kami akan pasang khemah seperti orang kahwin. "Semua makanan yang dihidangkan pada rumah terbuka itu adalah air tangan ibu saya seratus peratus bersama orang-orang kampung yang turut membantu. "Tahun lepas saya anggarkan seramai 5,000 yang hadir ke rumah terbuka saya yang dibuka dari pagi sampai ke malam," ceritanya yang pernah digigit lipan pada malam hari raya. Juliana hantu kembar Filem Hantu Bonceng yang akan ditayangkan di 80 pawagam menyaksikan Juliana Evans melakonkan dua watak iaitu sebagai pasangan kembar hantu Maya dan Ayu. "Sebenarnya yang paling susah adalah saya kena memakai kanta lengkap berwarna putih yang mana saya bukannya seorang yang pakai kanta lengkap. Jadi, saya sungguh tidak selesa dan mata sentiasa berair. "Sebab itu, apabila ada adegan yang memerlukan saya memakai kanta lengkap putih itu, saya akan melakonkannya dengan bersungguh supaya tidak perlu diulang semula adegan yang sama dan saya boleh buka kanta lengkap dengan segera," luahnya. Mercun meletup di tangan Saban tahun, Juliana dan keluarganya akan pulang berhari raya di Bagan Datoh, Perak yang merupakan kampung sebelah ibunya. Tidak mengambil banyak kerja pada hari raya, Jue akan berada di kampung halamannya selama empat hari. Meskipun hidup di bandar tegas Jue, sebaik sahaja tiba di kampung dia akan memastikan diri serasi dengan masyarakat di kampung. "Balik kampung, saya akan jadi budak kampung, pakai biasa-biasa sahaja. Saya main mercun, lawan mercun siapa bunyi lagi kuat dengan budak kampung sebelah. Seronok sangat bila balik kampung. "Jadi, setiap tahun peminat tahu saya balik kampung, jadi akan ada peminat yang datang melawat saya di kampung dan minta bergambar. Saya tidak kisah, sebaliknya seronok bertemu peminat di kampung saya sendiri," balasnya. Jue yang menggemari hidangan rendang tok, lontong dan soto pada hari raya menceritakan pengalaman pahitnya ketika beraya dua tahun lepas apabila tangannya berbalut gara-gara mercun meletup ditangannya sendiri. "Saya jadi nakal bila balik kampung, semua benda saya nak buat, jadinya kena balik pada diri sendiri. Nasihat saya, jangan main mercun bila hari raya, nanti tidak dapat bersalaman dengan orang sebab tangan berbalut, nak minta duit raya pun susah," katanya dalam tawa. Komedi pertama Tai Pelakon Taiyuddin Bakar atau Tai, sebelum ini merupakan pelakon yang aktif dalam teater dan pernah berlakon dalam filem Mukhsin, Lu Fikirlah Sendiri The Movie. Dia yang baru menamatkan penggambaran filem Petiga arahan Farid Kamil bukanlah seorang pelakon baru. Namun, baru hari ini kelibatnya mula kelihatan di layar kaca dan layar lebar. Diberi kepercayaan untuk memegang watak Kunyit, sahabat baik kepada Amran (Zizan), kata Tai, inilah kali pertama dia diberi peluang memegang watak utama sejak menceburi bidang lakonan pada tahun 2002. "Teruja dan terima kasih kerana beri peluang kepada saya, tetapi pada masa yang sama saya takut kerana saya memang tidak biasa dengan komedi. Sebelum ini, saya hanya melakonkan watak yang serius sahaja," ujarnya. Menyambut lebaran kali dengan kelainan, buat pertama kalinya, Tai dan seluruh keluarganya bakal berhari raya di Central Hougang, Singapura yang merupakan kampung halaman ibunya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |