Adsense

Khamis, 25 Ogos 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Lupakan kisah silam

Posted: 24 Aug 2011 04:54 PM PDT

Hip

Bertandang ke rumah bekas mentua

HANYA dia yang mengetahui rasa yang sering menggamit hatinya setelah kematian bekas suami yang juga bapa kepada buah hatinya, Muhammad Rayyan Nakhaie berusia empat tahun yang masih tidak mengerti erti kehilangan.

Ambang Ramadan yang bakal ditutup dan digantikan dengan kehadiran Syawal semakin menghimpit sebak di dada, namun semua itu terus disembunyikan kerana wanita berusia 27 bernama Siti Nordiana Alias ini perlu kelihatan tabah di hadapan anaknya.

Bertemu dengan penyanyi ini, Nana ternyata tidak mahu menonjolkan kesayuan, sebaliknya terus mempamerkan kegigihannya dalam meneruskan kelangsungan hidup janda dalam usia yang muda dan kehadiran anaknya yang mirip benar dengan wajah bekas suaminya, Allahyarham Faizal Yusof. "Saya sudah tidak beraya dengan Allahyarham selama dua tahun kerana sudah bercerai dan ini masuk kali ketiga setelah dia pergi meninggalkan semuanya.

"Melayan perasaan sedih menjadikan saya lemah dan saya tidak boleh melayan kesayuan ini kerana tidak mahu anak melihat saya dalam keadaan yang tidak bersemangat," katanya yang hiba setiap kali waris yang ditinggalkan bekas suami itu bertanyakan mengenai bapanya.

Nana berkata, perasaannya kini lebih sayu memikirkan soal anaknya berbanding dirinya kerana dalam usia yang masih kecil, si comel itu sudah tiada bapa di sisi.

"Rayyan selalu memanggil ayahnya dan kadang kala dia ada bertanyakan saya kenapa dia tidak mempunyai abah seperti orang lain. Saat itu hanya Tuhan yang mengerti perasaan saya dan bagaimana mahu menjelaskannya membuatkan saya bingung," kata wanita berkulit hitam manis ini yang mula kelihatan sebak sebaik menceritakan kisah anaknya.
Diminta mengimbas kembali nostalgia sepanjang meraikan keindahan Syawal bersama, Nana memberitahu Allahyarham yang berasal dari Bagan Datoh, Perak itu mempunyai keluarga yang besar berbanding dirinya yang cuma ada dua beradik saja.

"Keluarga Allahyarham besar dan tentunya sambutan raya lebih meriah dan seronok. Setiap kali pulang ke sana, arwah tidak pernah melepaskan peluang merasa makanan kegemarannya, rendang kicap yang saya sendiri amat menyukainya," katanya yang memberitahu mempunyai kemahiran memasak hidangan kesukaan bekas suaminya itu setelah meminta resipi daripada bekas mentuanya.

Wanita yang popular dengan lagu Bukan Mengungkit Tapi Membangkit ini memberitahu kisah rendang kicap itu semuanya bermula pada awal usia perkahwinan mereka ketika menziarahi saudara mara bekas suaminya.

Katanya lagi, arwah Faizal tidak menggemari kuih raya dan lebih suka kepada hidangan yang berat seperti rendang, ketupat dan nasi.

Ditanya tidakkah pada Syawal ini dia akan memasak hidangan rendang kicap, Nana memberitahu dia tidak akan memasak hidangan itu dan mungkin akan tumpang merasa hidangan itu sekiranya ada kesempatan untuk bertandang ke rumah bekas mentuanya.

"Saya tidak akan masak. Tidak mahu mengingati kisah sedih dan memori memasak masakan ini. Jika makan pun nanti mungkin di rumah bekas mentua kerana saya akan pulang ke Perak membawa Rayyan berjumpa keluarga Allahyarham di sana.

"Keluarga bekas mentua juga melayan saya dengan baik walaupun sudah berpisah, hubungan kami akrab sehingga kini," katanya sambil memberitahu seperti kebiasaannya akan membawa pulang Rayyan ke rumah keluarganya di Sendayan, Negeri Sembilan.

Gigih berdikari, bukan tagih simpati

"Selama ini saya berdiri di atas kaki sendiri dan tidak pernah meminta bantuan sesiapa pun. Jika tiada persembahan sekalipun saya akan usaha cara lain untuk mendapat rezeki halal," luah Nana yang sudah biasa mendengar kata-kata pahit orang di luar sana setelah bergelar janda walaupun mengakui sesekali bisa itu menyengat juga dirinya.

Katanya, dia bersyukur walaupun tawaran menyanyi tidaklah sehebat ketika usia remajanya, dia masih mampu menyara Rayyan dan tidak pernah sesekali meminta bantuan sesiapa pun mahupun keluarganya sendiri.

"Jika tiada persembahan, saya ada kerja sampingan lain seperti menjadi pengedar jenama penapis air dan beberapa perniagaan lain yang sedikit sebanyak membantu saya membesarkan anak.

"Memang ada kata-kata yang kurang sedap didengar disebabkan status saya kini, tetapi biarlah kerana saya hanya mahu meneruskan hidup," katanya yang kini sudah mencuba pula perniagaan minyak wangi sebagai pengedar.

Katanya, dia kini menjadi duta kecil untuk satu produk minyak wangi berjenama Teacher's Perfume.

"Istimewanya produk ini apabila wangian yang ditawarkan tahan lama walaupun disembur sekali dan diusahakan oleh Bumiputera," katanya yang mula terbabit setelah dipelawa kakak iparnya.

Nana memberitahu, tidak lama lagi, dia bakal terbabit dengan satu program yang dianjurkan syarikat minyak wangi ini yang menjemput golongan ibu tunggal untuk menyertai perniagaan ini supaya mampu menjana pendapatan bersama.

"Saya yang mengalami situasi yang sama merasai keperluan untuk bekerja bagi menambah pendapatan dan berharap peluang yang ada diambil mereka sebaik mungkin," katanya.

Mungkin kesabaran dan ketabahan yang ada dalam diri wanita ini membuatkan rezeki sentiasa mengekorinya sehingga dia kini sudah berjaya membuka syarikat sendiri diberi nama Siti Nordiana Management.

"Syarikat ini adalah milik keluarga. Saya menjalankannya di Sendayan kerana saya amat sukakan FELDA yang melahirkan diri saya. Banyak nostalgia di Sendayan dan perkahwinan saya juga di sana. Buat masa ini syarikat saya masih baru bernyawa dan kami menjalankan perniagaan menyewa alat audio dan berkenaan dengan alatan seni," katanya.


Mak Mah pasrah

Posted: 24 Aug 2011 04:30 PM PDT

Hip

Diminta meninggalkan rumahnya beberapa hari sebelum Ramadan

TIDAK perlu menunggu kenduri kendara, kediaman Ruminah Sidek, 65, yang mesra disapa Mak Mah di Meru, Klang sudah cukup meriah apabila semua anak cucunya selain tidak putus dikunjungi sanak saudara dan rakan taulan sepanjang Syawal.

Namun untuk Syawal kali ini, ia berbeza apabila mahligai kecil yang duduki sejak tujuh tahun lalu dan dibina hasil titik peluh berlakon akan bertukar tangan membuatkan hati pelakon veteran itu resah dirundung duka mengenangkan sambutan hari raya yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi.

Semuanya gara-gara masalah pemilikan tanah berikutan kediaman terbabit dibina di atas tanah milik ibu mentuanya. Namun, biar apa pun ibu kepada Adlin Aman Ramlie itu reda dengan ujian yang hadir di saat muslimin menantikan Ramadan.

"Peristiwa saya diminta keluar dari rumah itu sudah dua bulan berlalu. Selepas mengemas barangan peribadi, saya meninggalkan rumah itu jam dua pagi. Saya tidak ralat kehilangan harta benda sebaliknya yang membuatkan saya sedih kerana terpaksa meninggalkan mahligai yang menyimpan 1001 kenangan bersama arwah suami.

"Apa pun saya akur dan terima dugaan ini dengan hati terbuka. Bohong kalau saya katakan tidak sedih apatah lagi dizalimi individu yang dikenali pada usia emas begini, cuma sebagai insan saya perlu tabah," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Restoran Saloma.

Ditemani anak sulungnya, Azlan Aman Ramlie, pelakon berpengalaman yang masih aktif di layar perak dan televisyen itu tetap tenang bercerita malah sesekali jenakanya memecah keheningan bagai tiada duka yang singgah di hatinya.
Bukan hanya di pentas hiburan, secara peribadi sememangnya pelakon Jangan Pandang Belakang itu mudah didekati dek sifat keibuan dan setiap patah bicaranya pasti bersulamkan jenaka sekali pun diri dihimpit nestapa.

Kata Mak Mah lagi, barangkali orang mampu mengambil hak miliknya namun tidak sesekali dapat merampas kegembiraan hidupnya dikelilingi anak cucu termasuk anak tiri yang sudah dianggap darah daging sendiri.

"Di rumah itulah kami anak beranak berkumpul. Walau tidak sebesar mana, banyak kenangan ditinggalkan arwah suami. Ia umpama galeri seni yang menyimpan segala macam khazanah malah barang kesayangan peninggalan arwah suami turut saya pamerkan di sudut tertentu.

"Biarlah, selepas ini saya mahu membina sebuah lagi kediaman untuk menyimpan segala khazanah itu. Bukan bermakna saya kaya, tetapi wang simpanan dan hasil berlakon saya gunakan membina rumah itu," katanya.

Sekali pun belum memutuskan lokasi atau di kediaman anak yang mana untuknya meraikan lebaran nanti, dia berharap perjalanan serta kehidupan harian dipermudahkanNya.

Akui Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 itu, hidupnya kini diserahkan sepenuhnya kepada Ilahi dan keluarga namun sebelum menutup mata dia berdoa semoga berpeluang mempunyai rumah sendiri.

Hasil perkahwinannya dengan tiga orang suami termasuk pelakon AR Tompel, dia dikurniakan enam anak selain 28 anak tiri.

"Saya mempunyai keluarga besar yang membuatkan hidup saya cukup bererti apatah lagi dikurniakan 26 cucu manakala cicit seramai enam orang. Cuma lebih bermakna hari raya kalau dapat menyambutnya di rumah sendiri.

"Persiapan hari raya juga tahun ini juga belum satu pun terlaksana. Kalau dulu saya akan membakar sendiri biskut seperti semprit, tart, makmur dan Arab, kini lebih senang beli saja. Entahlah..." katanya lagi.

Enggan membiarkan syahdu membelenggu diri, selain masih rancak di lokasi penggambaran pelakon Anak Bapak itu rajin berkebun dengan menanam sayur-sayuran yang disifatkan sebagai terapi minda.

Menganggap selagi masih ada kudrat akan terus aktif, katanya usia yang panjang ini mengingatkannya supaya tidak lupa kepada suruhanNya selain jangan meminta-minta.

"Kita tidak tahu sejauh mana perjalanan kita. Saya bersyukur kerana diberi kesihatan yang baik untuk beribadat dan melakukan aktiviti seharian. Rezeki lakonan juga tetap ada. Minggu kedua nanti saya menjalani penggambaran dokumentari pendek mengenai masyarakat Jawa.

"Pada 23 September pula saya sudah diikat Suhan Movies membintangi telefilem di bawah arahan Erma Fatima. Alhamdulillah, wang ini nanti akan saya simpan untuk membina rumah," katanya yang mengakui tidak punya petua tertentu menjaga kesihatan.