Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Raya macam kahwinFOUZIAH Gous pasti, ini bukan soal sifat keliberalan mutlak individu. Ini adalah soal hidup dan masa depannya. Dia tidak harus mengikut kata kedua-dua ibu bapanya untuk berkahwin dengan lelaki pilihan mereka semata-mata untuk membalas budi. Dia ada matlamat hidup yang ingin dicapainya. Tetapi, siapalah dia yang mampu menolak semuanya. Berbekalkan keseluruhan emosi, Fouziah tampil dengan drama lakonan terbaharunya iaitu Tahajjud Cinta. Mengakui watak yang dibawa sangat mencabar, pemilik nama Nor Fouziah Mohd. Gous, 29, itu juga mengaku agak tertekan untuk membawakan watak Seri. "Terdapat 20 artis popular menjayakan drama ini. Tetapi watak saya yang paling banyak bermain dengan emosi. "Paling mencabar apabila saya terpaksa berlakon berpurdah dan hanya perlu bermain dengan emosi mata," katanya ketika ditemui selepas sidang media memperkenalkan barisan pelakon-pelakon drama Tahajjud Cinta, di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Bahkan, pelakon berdarah campuran Pakistan, Melayu dan Cina itu juga kena menghafal bahasa Arab bagi menjayakan babak ketika di Jordan. "Agak tertekan apabila kita perlu berpurdah dan menunjukkan emosi hanya melalui mata dan gaya badan. Selain itu, saya juga kena menghafal bahasa Arab on the spot. Nasib baik ada ustaz yang memberi tunjuk ajar ketika di set penggambaran," katanya yang membawa watak utama bernama Seri bersama dengan Nur Fazura sebagai Citra. Bercerita mengenai watak Seri dalam drama Tahajjud Cinta, dia merupakan seorang anak miskin yang ingin mengejar cita-citanya sebagai peguam syariah dan dalam masa yang sama memperjuangkan hak wanita yang ditindas. Semasa belajar di Jordan dia bertemu dan jatuh cinta dengan Solohudin, lakonan Remy Ishak. Namun, cita-citanya dan cintanya tidak kesampaian apabila bapanya, lakonan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar meminta Seri berkahwin dengan lelaki pilihannya atas dasar membalas budi lelaki itu. Pelakon kegemaran Erma Fatima Menganggap Eman Manan sebagai idola, Fouziah sememangnya mengimpikan untuk bergandingan dengan Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-5 (FFM5), FFM7, FFM10, FFM11, FFM17 dan FFM21 itu. Namun, saat impiannya itu dikabulkan, Fouziah dikhabarkan sangat tercabar dengan lelaki berasal daripada Kuala Terengganu itu. Kenapa? "Eman adalah idola saya. Saya sangat teruja dapat berlakon di sampingnya tetapi dalam masa yang sama takut jika tidak dapat memberikan aksi yang terbaik. DRAMA Tahajjud Cinta menampilkan ramai pelakon-pelakon hebat tanah air. "Dalam Tahajjud Cinta memang banyak babak saya bersama dia dan dia seorang pelakon yang sangat bagus. Saya akui rasa tercabar berlakon di sampingnya. Sebabnya, saya perlu menjadi bagus seperti dirinya. "Setiap kali babak kami, saya perlu berfikir kreatif dan tertanya-tanya bagaimana untuk menghasilkan gaya dan mutu lakonan yang bagus dan mantap," katanya yang menganggap Eman seorang pelakon yang sangat profesional. Dalam Tahajjud Cinta karakter lakonan Eman melakonkan karakter lelaki beristeri empat tetapi menaruh hati terhadap Seri lakonan Fouziah itu. Setiap babak yang membabitkan Eman bersamanya kata Fouziah, dilakonkannya dengan bersungguh-sungguh. Secara tidak langsung, ia menyebabkan Fouziah tercabar untuk memberikan aksi yang sama baik dengan Eman. Baru sahaja selesai penggambaran Tahajjud Cinta pada 18 Julai lalu, diri wanita berzodiak Sagittarius ini disunting lagi oleh pengarah Erma Fatima untuk menjayakan telefilem terbaharu, Cinta Dari Kaabah. Masih mengekalkan konsep kerohanian seperti drama Tahajjud Cinta, Fouziah dipilih sekali lagi untuk membawakan watak utama dalam drama yang bakal menjalani sebahagian penggambarannya di Mekah. Dijolok soalan sebagai pelakon kegemaran Erma, kata Fouziah tawaran untuk berlakon di bawah arahan Erma sudah menjadi rezeki buat dirinya. Fouziah juga mengaku suka dengan cara Erma bekerja. "Alhamdulillah saya sekali lagi dipilih Erma. Saya sangat sukakan cara Erma bekerja. Dia go for reality. Bekerja dengan Erma senang cuma kena tahu apa yang dia mahukan," katanya yang tidak menganggap Erma seorang yang serius tetapi berwajah serius. Selain Fouziah, Fazura dan Emanm Tahajjud Cinta membariskan ramai pelakon hebat termasuk Remy Ishak, Shahz Jaszle, Fazreen, Tiz Zakiah, Aaron Aziz, Datuk Jins Shamsuddin, Norish Karman, Neelofa, Ahmad Tarmimi Siregar, Dira Abu Zahar, Ziela Jalil, Azizah Mahzan, Melissa Saila dan Erma Fatima sendiri. Drama berunsur kerohanian itu mula bersiaran pada 8 Julai lalu setiap hari Jumaat, pukul 9 malam di TV3. Juadah berbuka puasa
Menyentuh tentang bulan Ramadan, kata Fouziah, pada tahun ini aktiviti seninya tidak begitu padat seperti Ramadan tahun-tahun lepas. "Sepatutnya puasa tahun ini saya terlibat dengan satu projek tapi Alhamdulillah ia ditunda selepas raya. Jadi, saya dapat menyambut puasa dengan tenang tapi sedih tidak dapat mengerjakan umrah," katanya yang kebiasaannya akan mengerjakan umrah setiap kali bulan Ramadan. Bercerita tentang persiapan puasa tahun ini, Fouziah dan keluarga akan menyambutnya bersama dengan meriah. Malah, setiap tahun menyambut puasa, dia dan keluarga akan memastikan juadah berbuka penuh di atas meja. "Walaupun sibuk dengan aktiviti masing-masing, saya dan adik-beradik lain akan meluangkan masa berbuka bersama-sama pada hari pertama mahupun kedua puasa. "Untuk tahun ini, seramai 12 orang ahli keluarga berkumpul untuk berbuka bersama. Bukan sahaja menu kami nasi tetapi penuh dengan pelbagai jenis kuih-muih. Sehinggakan kakak ipar yang baharu sahaja menyambut puasa bersama tahun ini terkejut dengan menu berbuka kami," ceritanya mengenai puasanya. Ditanya apakah contoh juadah berbuka puasa tahun ini, kata pelakon berambut panjang mengurai itu, antara menu berbuka mereka terdiri daripada empat jenis air, yong tau fu, tosai, kuih muih, lauk udang masak petai, ayam masak masala, sayur dan kambing bakar. Tidak menolak jika mendapat jemputan berbuka bersama anak-anak yatim atau menjayakan sesi fotografi, kata Fouziah keluarganya juga akan bersama-sama berbuka puasa di luar paling kurang sekali setiap Ramadan. Fouziah juga tidak kisah jika tidak bersahur kerana dia dapat menahan lapar sehingga berbuka. "Saya sudah biasa tidak sahur. Tapi Alhamdulillah tak rasa lapar. Sebabnya, saya sudah biasa rasa puasa dalam cuaca panas dan kering di Mekah.
"Tetapi, kalau saya terlibat dengan penggambaran pada bulan puasa mak akan pastikan saya bersahur. Sehinggakan dia akan hantar makanan ke dalam bilik saya," katanya yang biasanya beraya di kampung kakak ipar di Pekan, Pahang kerana tidak mempunyai kampung. Fouziah yang berasal dari Kuala Lumpur itu juga pada mulanya bercadang beraya bersama keluarga di kampung kakak iparnya yang baharu di Bandung, tetapi malangnya kata Fouziah, ayah kepada kakak iparnya terpaksa menjalani pembedahan dan keadaan tidak mengizinkan mereka sekeluarga beraya di Bandung. "Saya tiada kampung jadi pada hari raya kami sekeluarga akan pergi beraya di kampung kakak ipar di Pekan, Pahang. Untuk tahun ini kami bercadang beraya di rumah kakak ipar baharu di Bandung tetapi tak dapat," katanya. Menyentuh tentang raya pula, pelakon harapan wanita popular Anugerah Skrin (ASK 2007) menganggap sambutan rayanya seperti majlis kahwin. Hubungan erat sesama keluarga besan dan sanak saudara menjadikan sambutan raya Fouziah sekeluarga meriah. Apa yang pasti menu utama nasi beriani berlaukkan ayam masak merah pasti menjadi keutamaan mereka sekeluarga. Fouziah turut menyatakan hasrat untuk membantu ibunya menyediakan hidangan semepena raya nanti. Berkongsi rahsia makanan kegemarannya setiap kali bulan puasa dan raya, kata Fouziah, setiap kali puasa dirinya tidak lengkap tanpa menjamah kuih kukus manakala bagi masakan raya pula pastinya hidangan sambal menjadi pilihan. "Setiap kali bulan puasa, Fouziah akan pastikan ada kuih-kuih kukus. Jika hidangan hari raya pula, saya suka masakan berasaskan sambal yang pedas. Sebagai contoh, masakan istimewa mak, ayam masak merah," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||||
Posted: Alleycats kembali ke IBOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
AURA dan semangat Datuk David Arumugam untuk menyanyikan lagu kepada peminat masih kuat biarpun usianya sudah menjangkau 61 tahun. Peminat-peminatnya juga masih menaruh harapan besar agar vokalis kumpulan Alleycats itu tidak mengundurkan diri dan setia menyanyikan lagu-lagu malar segar mereka. Biarpun sudah 40 tahun berada dalam dunia seni, aura Alleycats masih utuh. Lagu-lagu hit mereka masih menjadi siulan sehingga kini. Untuk itu satu konsert Alleycats bakal diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 September ini. Ia juga merupakan konsert kedua Alleycats di Istana Budaya selepas konsert pada tahun 2008 yang lalu. Terkenal dengan fesyen rambut afro dari dulu hingga kini, David yang juga merupakan pengasas kumpulan Alleycats itu tidak dapat menyorokkan perasaan terujanya saat dipelawa mengadakan konsert di Istana Budaya. "Memang gembira bila dapat buat konsert semula di Istana Budaya. Malah, konsert Alleycats kali ini turut disuntik kelainan apabila ia diiringi dengan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia di bawah pimpinan Eddie Marzuki," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Sampaikan Salam Alleycats di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Mengenai pemilihan lagu untuk konsert itu nanti, David dan pengganti mendiang Datuk Loganathan Arumugam, Glen akan menyanyikan koleksi lagu-lagu popular Alleycats dan juga lagu-lagu popular yang lain. Abang kepada Loga itu juga akan menyampaikan lagu Cina dan India sempena konsert sambutan Hari Malaysia yang berkonsepkan 1Malaysia itu. "Berapa banyak lagu yang akan saya sampaikan nanti masih lagi belum tahu. Cuma konsert itu nanti akan berlangsung selama sejam setengah atau dua jam," katanya mengenai konsert anjuran Aktif Mestika Sdn. Bhd. itu. Ditanya sama ada dia sudah boleh menyesuaikan diri menyanyi tanpa Loga yang meninggal dunia akibat barah paru-paru pada tahun 2007 lalu, pelantun lagu Hingga Akhir Nanti itu mengakui terpaksa mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri tanpa Loga di atas pentas. "Walaupun sudah empat tahun berlalu, saya masih perlu menyesuaikan diri berada di atas pentas tanpa Loga. Saya tidak putus asa dan masih meneruskan nyanyian tanpa Loga," katanya yang juga terpaksa menyanyikan lagu berpandukan lirik kerana tidak mahu melakukan kesilapan. Malah, katanya, usianya kini menghalangnya untuk menghafal lirik lagu-lagu yang banyak dan pelbagai. Konsert Sampaikan Salam Alleycats itu nanti akan terbahagi kepada tiga segmen. Segmen pertama, David akan menyampaikan lagu-lagu 1Malaysia. Segmen kedua pula bagi mengenang mendiang Loga iaitu Tribute To Loga. Segmen itu nanti turut mengundang anak perempuan Loga, Priyadashini, 24, untuk menyampaikan lagu-lagu bapanya. Bagi segmen ketiga pula, David akan menyanyikan lagu-lagu malar segar Alleycats. Menurut Priyadashini, dia berasa teruja kerana diberi peluang menyanyikan lagu-lagu mendiang bapanya. Namun, dalam masa yang sama dia juga merasa gementar untuk beraksi di atas pentas Istana Budaya itu nanti. "Saya akan menyanyikan lagu-lagu mendiang ayah saya seperti Berjuta Batu dan Jika Kau Bercinta Lagi mengikut gaya saya sendiri," katanya yang merahsiakan penampilannya di atas pentas Istana Budaya nanti. Tiket-tiket berharga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245, RM305 dan RM450 boleh didapati secara dalam talian di www.ticket2u atau hadir ke kaunter tiket di Istana Budaya. Diskaun sebanyak 10 peratus akan diberikan kepada pembeli yang awal. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||||
Posted: Kontroversi suami Miriam
SUDAH nasib badan menjadi suami artis terkenal, Real Ding terpaksa menerima hakikat itu apabila kunjungannya ke sebuah hospital baru-baru ini telah menyebabkan timbul kontroversi. Suami bintang tersohor Hong Kong, Miriam Yeung itu telah menjadi bahan spekulasi media di Hong Kong apabila sebuah majalah telah membuat spekulasi terhadap kunjungannya ke sebuah hospital swasta baru-baru ini. Apa yang menimbulkan kontroversi adalah spekulasi itu mendakwa Real pergi ke hospital itu untuk membuat analisis terhadap spermanya. Majalah itu juga mendakwa Miriam dan Real yang sudah berkahwin sejak tahun 2009 sukar mendapat zuriat. Impaknya, ketika menghadiri sebuah acara hiburan di Hong Kong, Miriam terperanjat besar apabila mendapat tahu tentang apa yang ditulis oleh majalah tersebut. "Dia tidak memberitahu saya apa-apa tentang kontroversi yang timbul itu, mungkin kerana dia tidak mahu mengganggu jadual seni saya," ujarnya. Tambah Miriam, dia memang mengetahui suaminya itu ke hospital tersebut tetapi untuk membuat pemeriksaan kesihatan yang biasa. "Tiada apa yang mahu disembunyikan dan saya tidak rasa kami malu dengan hal itu. Suami saya sememangnya mencadangkan kami berdua pergi ke hospital itu untuk melakukan pemeriksaan kesihatan tetapi saya tidak dapat pergi kerana ada kerja. "Nasib baik saya tidak pergi sama, kalau tidak macam-macam lagi spekulasi yang direka oleh media," ujarnya. Miriam mempersoalkan bagaimana majalah itu mendapat maklumat suaminya mengunjungi hospital tersebut. Katanya: "Pemeriksaan tubuh adalah sesuatu yang sangat peribadi dan ia sepatutnya menjadi maklumat sulit dan hanya diketahui oleh pihak hospital sahaja. Pihak hospital itu tidak profesional dalam hal ini kerana mendedahkan maklumat sulit tentang suami saya." Ditanya tentang dakwaan majalah itu bahawa dia dan Real sukar mendapat zuriat, ujar Miriam: "Macam mana media tahu tentang perkara itu. Itu hal peribadi kami. Kami sebenarnya yang belum bercadang untuk mendapat zuriat lagi. "Kami merancang untuk menyelesaikan segala urusan kerja (seni) saya dan menjelang Tahun Baru Cina 2012 saya akan berehat dari dunia seni buat sementara." Miriam, 37, dan Real, 32, berkahwin secara senyap-senyap di Las Vegas pada 2009 sebelum mengumumkan perkahwinan mereka secara rasmi pada majlis resepsi mereka yang berlangsung pada 20 Disember tahun lepas. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |