Adsense

Khamis, 11 Ogos 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Alyah Menunggu Cahaya

Posted: 10 Aug 2011 03:18 PM PDT

Hip

Mengintai peluang melebarkan bakat di Singapura, Indonesia dan Brunei

LAGU terbaru nyanyiannya, Kisah Hati mendapat sambutan baik, bukan saja sering dimainkan di corong radio, bahkan turut menjadi tema bagi drama bersiri TV.

Ini secara tidak langsung lagu Kisah Hati boleh dikatakan berjaya memenuhi sebahagian cita rasa pendengar dan peminat. Sebelum ini, lagu nyanyiannya Tak Mungkin Kerana Sayang juga menjadi siulan peminat dan pendengar sehingga hari ini. Melihat kepada kejayaan dan sambutan menggalakkan dari peminat, Noor Hasliah Abu Hassan atau lebih mesra dengan panggilan Alyah akan menghadiahkan sebuah lagi single dalam masa terdekat ini.

"Di penghujung bulan Ramadan ini saya akan masuk studio bagi merakam single yang seterusnya, bertajuk Menunggu Cahaya, ciptaan Julfekar dan lirik oleh Roslen Fadzil. Seperti lagu Kisah Hati, lagu ini akan melalui proses sama, yang mana saya juga akan menerbitkan muzik video untuk lagu yang berkonsepkan balada ini.

"Selain itu, saya bersyukur di atas sambutan yang diterima menerusi lagu Kisah Hati, dan sekarang saya masih lagi sedang rancak mempromosikan lagu ini. Selepas Aidilfitri ini, saya ke Singapura bagi meraikan pendengar di sana pula.

"Tidak ubah seperti lagu Tidak Mungkin Kerana Sayang, saya mengambil masa dua tahun tanpa henti mempromosikan lagu ini, dan cara sama juga akan digunakan untuk lagu Kisah Hati. Seboleh-bolehnya saya mahukan liputan yang meluas.
"Saya mahu mengintai peluang di Singapura, Brunei dan Indonesia. Secara tidak sedar lagu saya, Kisah Hati, turut didengari di Singapura, jadi, saya tidak mahu melepaskan peluang untuk mendekatkan diri dengan peminat di sana," katanya yang ditemui ketika menghadiri Rakaman Syoknya Raya bersama KL FM dan majlis berbuka puasa bersama anak yatim di Sheraton Imperial, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain itu, album penuh Alyah yang memuatkan enam lagu dijangka berada di pasaran tempatan hujung tahun ini. Dia tidak mahu terburu-buru menghasilkan album, dan mengambil langkah untuk mengeluarkan single demi single sebelum pengeluaran album penuh.

Kelebihan strategi ini, katanya, jika peminat sudah biasa mendengar barisan lagunya, kebarangkalian untuk membeli album adalah lebih tinggi. Antara lagu yang akan dimuatkan ialah Kau Bisa, Realiti Dewi, Kisah Hati, Pesananmu dan Menunggu Cahaya.

Tidak berbuka bersama keluarga

Menceritakan mengenai projek terbarunya, wanita berusia 30 tahun ini akan berduet bersama sebuah kumpulan wanita yang bernaung di bawah syarikat pengurusannya, Like Music. Kumpulan yang dikatakan ini dianggotai oleh tiga wanita berbakat yang menggelarkan diri mereka sebagai Coklat.

Paduan Alyah dan Coklat ini dapat dilihat menerusi lagu Boomerang, berkonsepkan retro pop, akan menemui peminat selepas Hari Raya nanti.

Menurutnya, bukan berniat menumpang namanya, kerjasama ini adalah untuk mempromosikan mereka di arus perdana seni tempatan sebagai artis yang bernaung di bawah syarikatnya.

Alyah turut mengagumi gabungan bakat ketiga-tiga wanita tersebut dan diharapkan mereka mendapat tempat di hati peminat.

Merayakan sambutan Ramadan kali ini, Alyah turut terbabit dalam merakam suara untuk album Siapa Peduli? yang tidak berteraskan keuntungan, sebaliknya hasil jualan disumbang ke tabung Pembinaan Hospital Kanak-kanak di Gaza.

Album amal ini adalah projek khas Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Sheikh Qalam Records, One Scream Studio.

Katanya, sebelum dia kembali sibuk dengan perjalanan seninya, Alyah sempat meluangkan masa berbuka puasa bersama keluarganya di Johor pada Ramadan pertama hingga Ramadan kelima.

"Selain jemputan berbuka puasa, saya juga mengambil peluang untuk menjayakan pelbagai aktiviti fotografi sempena Syawal dan Ramadan.

"Sebelum bulan puasa, diakui saya sangat sibuk dengan macam-macam aktiviti, oleh itu saya mengambil peluang dengan kedatangan Ramadan ini, saya mahu mengurangkan sedikit aktiviti dan memperbanyakkan aktiviti fotografi yang banyak tertangguh. Saya juga akan ke Singapura, meluangkan masa berbuka puasa bersama TV Singapura.

"Sementara itu, saya tidak banyak terbabit dengan program raya, antara yang saya hadiri ialah Konsert Sensasi 2, Ketuk-Ketuk Ramadan serta beberapa program hiburan TV lain," katanya.

Berbual mengenai sambutan Hari Raya Puasa, Alyah akui sambutan raya kebelakangan ini tidak lagi semeriah tahun-tahun yang lalu. Mungkin disebabkan pertambahan usia mahupun perubahan zaman, yang mana kemeriahan raya hanya dirasai pada Syawal pertama saja, dan selepas itu masing-masing akan kembali sibuk dengan kerja.

Sambutan raya buat ibu kepada Naziatul Afikah, 3, ini lebih tertumpu pada anaknya dan seperti kebiasaan hari yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam ini disambut dengan suasana yang sederhana bersama keluarga tersayang di kampung halaman.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Lebih 140 program Merdeka di Astro

Posted: 10 Aug 2011 03:13 PM PDT

Hip

Rohana (tiga dari kanan ) bersama mereka yang menjayakan program
merdeka di Memorial Tun Abdul Razak.

Rohana (tiga dari kanan ) bersama mereka yang menjayakan program merdeka di Memorial Tun Abdul Razak.

SEMPENA sambutan Hari Kemerdekaan ke-54, Astro menyediakan lebih daripada 50 program yang menekankan semangat 1Malaysia.

Semenatra itu, saluran baru iaitu MyMusic (saluran 138) menerusi kempen Negaraku The Best Of IMalaysia menyediakan 140 program bermula 15 hingga 16 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Datuk Rohana Rozhan, berkata keindahan negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum menjadi inti pati utama dalam program yang disiarkan oleh stesen TV ini. "Keindahan negara kita terletak kepada kemampuan masyarakat berbilang kaum untuk hidup bersama dengan penuh harmoni serta saling menghormati walaupun berbeza latar belakang.

"Kepelbagaian inilah yang mahu kami contohi menerusi program yang disusun. Astro juga menawarkan pelbagai pilihan kandungan yang menampilkan keunikan budaya kita menerusi pelbagai genre daripada bersejarah sehinggalah kepada kontemporari," katanya.

Menurutnya, hasil perkongsian bersama dengan rangkaian media global seperti Discovery Channel, National Geographic Channel, The History Channel, Disnet Channel serta saluran tempatan, Astro berharap semuanya menjadi pengisian terbaik kepada penonton.

Istimewanya, pelanggan juga berpeluang untuk menonton pelbagai program baru seperti In Person: Unsung Heroes dan Meja Bulat Merdeka Special di Astro Awani (Saluran 501), Hotel of Malaysia dan Nature's Keepers Malaysia di Discovery HD (Saluran 571) serta Marina Chin dan Ishtiaq Mubarak di Astro Arena (saluran 801).
Selain daripada saluran antarabangsa, saluran Astro lain juga turut membariskan sajian istimewa khas untuk penonton sepanjang bulan kemerdekaan ini dan antaranya termasuklah Merdeka Day Specials (Disney Channel) serta Merdeka Special Musical Concert dan Tun V T Sambanthan di Astro Vaanavil.

Saluran pilihan ramai ini juga dilihat cuba menyemai semangat 1Malaysia menerusi muzik yang diterbitkan sendiri oleh rakyat Malaysia di sebuah saluran baru iaitu MyMusic (saluran 318) yang boleh ditonton mulai 31 Ogos hingga 16 September ini sebagai sebahagian daripada kempen negaraku yang membuka peluang kepada belia negara untuk menghantarkan video muzik terbitan tempatan yang menampilkan bakat seni, suara dan elemen bunyian Malaysia.

Sempena kempen MyMusic ini, Astro turut memperkenalkan MyMusic Indiepretasi yang memberi peluang kepada artis muda tempatan untuk merakam semula 10 buah lagu yang diundi sendiri oleh rakyat Malaysia.

Antara lagu-lagu yang tersenarai untuk gubahan dan rakaman semula termasuklah Balada Pemuzik Jalanan oleh kumpulan Search dan Standing in The Eyes of The World yang didendangkan oleh Ella.

Menariknya, mereka yang berminat boleh melayari laman http://www.my music.my/ untuk mengundi 10 lagu terbaik yang mana lagu-lagu yang bakal disenarai pendek akan dirakam semula dan diberi gubahan baru serta segar oleh artis muda tempatan.

Lagu-lagu berkenaan juga boleh didapati secara muat turun digital dan akan diterbitkan dalam bentuk album kompilasi untuk edaran sekitar tahun ini serta masyarakat juga boleh menyertai peraduan reka cipta kulit album yang diadakan di lama sesawang rasmi.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.