Adsense

Khamis, 11 Ogos 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


‘Buat komedi lebih mudah’

Posted: 10 Aug 2011 07:05 AM PDT

RAMADAN bukan alasan untuk Scha Al-Yahya berdiam diri daripada berlakon. Jika sesetengah artis menggunakannya untuk berehat, Scha sudah berada di lokasi telemovie Prebet Jamilah 2 sejak hari kedua puasa. Turut mengerah keringat bersamanya ialah Erra Fazira, Amar Bahrin, Sharifah Shahora, Eliza Razak dan beberapa pelakon lain.

Baginya, berulang-alik ke lokasi penggambaran di Bangi dan Damansara yang berakhir semalam sudah menjadi rutin. Biarpun mengakui penat dengan jadual kerja yang bermula dari awal pagi hingga membawa ke dinihari, pelakon yang mencipta nama menerusi siri Awan Dania ini tidak pernah mengeluh.

"Pernah saya masuk lokasi jam 2 petang dan tamat penggambaran jam 7 pagi.
Berbuka dan bersahur pun di lokasi, tapi situasi ini sudah lali buat saya. Tak dinafikan, perasaan penat akan dirasai juga tambah lagi apabila fikirkan orang duduk rumah, saya masih bekerja.

"Tapi nak buat bagaimana kerana ini punca rezeki saya. Takkan saya nak tolak tawaran yang datang," katanya.

Scha hanya berehat tiga hari sebelum memulakan penggambaran drama 13 episod berjudul My Beautiful Chef selepas ini. Namun, sesibuk manapun berlakon, kewajipan sebagai Muslim sesekali tidak dipinggirkan.

Jika ada kelapangan, Scha akan menggunakannya untuk beribadat. Justeru kesempatan bercuti ini dimanfaatkan dengan berehat di samping bertarawih bersama keluarga di Masjid Wilayah Persekutuan.

Berbanding dulu, Scha yang juga artis eksklusif Astro, semakin dicabar untuk membuktikan kemampuannya. Jika sebelum ini dia sinonim dengan karakter ringan dan komedi, persepsi peminat akan berubah sebaik menonton telemovie Geisha Melayu Terakhir. Penggambarannya berlangsung sebelum Ramadan dan akan menemui peminat ketika perayaan Aidilfitri.

"Secara jujur, saya mengaku buat komedi lebih senang kerana tak banyak tuntutan emosi. Karakternya juga lebih pantas dan mudah tanpa tekanan. Tapi watak Suraya dalam Geisha Melayu Terakhir sangat berbeza. Saya bersetuju watak serius sebenarnya memberi kepuasan dalam diri sendiri.

"Dalam cerita ini, Suraya sebenarnya menjadi mangsa keadaan. Disebabkan kemiskinan, emaknya (lakonan Sharifah Shahora) suruh bekerja dengan orang Jepun sebagai pelayan. Di sinilah dia terperangkap dengan keadaan. Ceritanya menarik dan penonton kena saksikan sendiri nanti. Pelakon lain yang terbabit - Tiz Zaqyah, Down Geremiah dan Fir Affendy.

"Boleh dikatakan semua mereka hebat dan saya tiada masalah langsung untuk wujudkan keserasian. Tambah pula bekerja dengan Michael Ang sebagai pengarah juga mudah.

"Dia suruh saya menonton filem Memoirs Of Geisha sebagai rujukan. Walaupun berlatar zaman pasca merdeka, dia minta kami kekalkan penggunaan loghat semasa supaya kami tak kekok berlakon," katanya.

Scha mengakui cerita Geisha Melayu Terakhir lain dari yang lain dan tidak pernah membawa watak seberat itu. Katanya, peminat kena tengok sendiri untuk percaya kata-katanya.

"Mungkin sebelum ini orang kata saya asyik bawa watak yang sama tapi kali ini memang lain sangat. Saya percaya mereka pasti akan bersetuju selepas menonton Geisha Melayu Terakhir.

"Sebenarnya, dulu saya pernah berlakon watak serius menerusi telemovie Terlalu Istimewa tapi mungkin kerana masih baru, orang tak nampak saya. Harapnya kali ini mereka akan menilai kemampuan saya sebagai pelakon versatil," kata Scha yang menyambung kontrak setahun lagi dengan Astro sehingga April depan.

Bercakap mengenai My Beautiful Chef pula, Scha sekali lagi bekerjasama dengan Michael Ang. Kali ini Scha diberi watak sebagai chef yang sanggup berbuat apa saja demi mengejar glamor.

Setakat ini pelakon lain belum dikenal pasti. Disebabkan komitmen dengan majikannya, Scha lebih tumpukan berlakon drama dan terpaksa menolak seketika tawaran berlakon filem.

Bagaimanapun, peminat boleh menyaksikan filem lakonannya, Libas, yang akan ditayangkan pada September ini dan disusuli dengan Aku Bukan Tomboi pada November.

Menyentuh kisah peribadinya yang hangat bercinta dengan Awal Ashaari, Scha tenang memberitahu tahun lalu dia agak huru-hara dengan pelbagai cerita peribadi, tetapi tahun ini segala-galanya berjalan dengan indah dan tersusun.

"Tahun ini saya lebih banyak diam tanpa keluarkan kenyataan yang bukan-bukan.
Boleh dikatakan saya berada di landasan yang betul. Saya hanya cakap bila perlu. Hal peribadi kami biarlah kami simpan dulu kerana sampai masanya kami akan beritahu kepada masyarakat. Sekarang memang tiada apa-apa yang nak dikongsi.

"Alhamdulillah, setakat ini keluarga masing-masing memahami kesibukan dan komitmen kami dalam karier. Mereka tak memaksa dan serahkan kepada kami untuk buat keputusan yang terbaik dalam perhubungan ini," katanya.

Di sebalik kesibukan berlakon, Scha masih sempat menguruskan bisnes sendiri.
Sudah tiga bulan dia membuka kios menjual pakaian berjenama Schapoholics di kompleks beli- belah The Curve Damansara. Kedainya diuruskan pembantu dan jika ada kelapangan, Scha tidak segan turun padang mengendalikannya.

"Kios saya menjual pakaian dan aksesori wanita yang didapati dari Jakarta, Bandung, Korea dan Bangkok. Saya mendapatkan bahan ini dengan bantuan Awal tapi proses perbincangan selanjutnya dibuat saya sendiri. Setakat ini sambutannya sangat hebat kerana saya sudah ada ramai pelanggan.

"Apabila mereka tengok saya pakai pakaian ini dan berkenan, mereka pun membelinya di kios saya. Inilah strategi yang mudah untuk saya berniaga. Saya berniaga kerana minat dan bukannya kerana pendapatan sekarang tak cukup.
Populariti yang ada perlu digunakan sebaik mungkin. Sementara masih muda dan laku inilah cara saya nak buat duit," katanya.

PROFIL:

NAMA SEBENAR: Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al Yahya
USIA: 28 tahun
TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983
ASAL: Sungai Petani, Kedah
STATUS: Bujang
DARAH CAMPURAN: Arab (bapa) dan Cina (ibu)
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
BERAT: 50 Kilogram
TINGGI: 5'7
PENCAPAIAN: Juara Dewi Remaja 2006
DRAMA: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu, Awan Dania 2, Sadiq & Co dan Kita Carefree
FILEM: Antoo Fighter: Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2, Libas, Aku Bukan Tomboi, Awan Dania The Movie
PENGACARAAN: Chopp!, Sehati Sejiwa, Sehati Berdansa 3 dan Kata Kau
KOMERSIAL: Rexona, Hotlink, Watson, Oral-B, Nokia, Celcom dan My EG
DUTA: Bio Essence

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Namewee mahu orang Cina faham

Posted: 10 Aug 2011 06:45 AM PDT

TINDAKANNYA sebelum ini pernah menimbulkan kemarahan masyarakat apabila mempersendakan lagu Negaraku. Dia juga pernah pakai bendera terbalik, maki- hamun pengetua sekolah di Kulai, Johor dan orang Tenaga Nasional (TNB).

Bagaimanapun, tiba-tiba dia yang dikenali sebagai Namewee, tampil menghasilkan filem Nasi Lemak 2.0 dan mendapat kerjasama artis tanah air apabila Afdlin Shauki, Adibah Noor dan Datuk David Arumugam sedia berlakon dalam filem arahannya.

Karyanya agak mencurigakan apatah lagi Namewee cuba merahsiakan jalan cerita filem arahannya itu ketika ditanya media dalam majlis pelancarannya, baru-baru ini dan mengatakan penghasilannya sebagai hadiah sempena Hari Kemerdekaan yang bakal disambut 31 Ogos ini.

Apakah kita mudah melupakan apa yang dilakukan Namewee atau Weng Meng Chee hingga begitu mudah untuknya berkarya dan apakah jaminan karyanya itu tidak akan mencetuskan kontroversi lagi?


Afdlin ketika dihubungi mengakui tidak menerima bulat-bulat karya baru artis yang pernah mencetus kontroversi yang memberi gambaran buruk kepada negara hingga mendapat perhatian kabinet.


Bagaimanapun, Afdlin yang juga pengarah terkenal dan pernah menang Pengarah Terbaik melalui filem Papadom berkata, dia tertarik dengan kekuatan mesej perpaduan serta semangat sayang negara yang ditunjukkan Namewee hingga membuatkan dia sedia menerima tawaran berlakon dalam filem itu.

"Apabila melihat skripnya, saya dapati jalan ceritanya menarik. Saya tahu dia (Namewee) pernah membuat tindakan keras yang memberi impak buruk kepada Malaysia sebelum ini. Sebelum menerima tawarannya, saya bertanya, menyelami isi hatinya dan mengajaknya memikirkan apa yang kurang jelas, tetapi mahu disampaikan kepada rakyat Malaysia.

"Dia mengakui memang sayang negara dan mahu merancang sesuatu yang memberi gambaran lebih tepat mengenai masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

"Jadi, dia menyuarakan hasrat dan mahu melakukan sesuatu demi kebaikan negara.
Dia mahu melakukan perkara positif yang mampu membuatkan semua kaum faham tanpa persepsi atau gambaran kurang tepat terhadap satu sama lain. Saya sendiri melihat skrip dan jalan ceritanya bagus," katanya ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan mungkin karya Namewee bakal mencetuskan kontroversi baru.

Ini kerana Namewee cuba merahsiakan sinopsis Nasi Lemak 2.0 apabila ditanya media ketika majlis pelancarannya, dua minggu lalu. Turut menjayakan filem ini Kenny & Chee, Reshmonu, Karen Kong, tetapi Afdlin, Adibah dan David tidak hadir sewaktu pelancarannya.

Kata Afdlin, dia tidak berlakon dalam keseluruhan filem itu dan hanya tampil dalam beberapa babak mengenai seorang suami berpoligami menjaga keharmonian dengan baik bersama empat isteri dikahwininya.

"Ia bukan satu sindiran atau menjolok adat budaya atau kepercayaan pegangan hidup orang lain. Ia ada jalan cerita cukup membuatkan bangsa satu sama lain memahaminya dengan lebih baik.

"Malah, filem Nasi Lemak 2.0 menggunakan bahasa Mandarin, Kantonis dan Hakka dengan tujuan memberi masyarakat Cina faham mengenai kepentingan semangat perpaduan dan bekerjasama dengan Melayu.

"Mesej Namewee kepada saya, dia mahu orang Cina mendapat gambaran jelas. Filem itu turut menyelitkan penggunaan bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris dengan menceritakan latar hidup masyarakat berbilang bangsa menerusi karakter serta aspek menarik kehidupan seharian dilalui.

"Apabila saya tanya matlamat utama filem ini, katanya mahu memberitahu kita semua duduk satu negara yang memerlukan perpaduan membina sebuah negara kuat dan maju. Kita pelbagai bangsa saling memerlukan untuk mengimbangi kekurangan satu sama lain.

"Bagi saya, kita tunggu saja tayangan Nasi Lemak 2.0 apabila ditayangkan seminggu selepas sambutan Hari Kemerdekaan ke-54," katanya.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan komen Adibah gagal kerana tidak dapat dihubungi. Penyanyi yang popular dengan lagu Terlalu Istimewa itu sebelum ini sering berlakon dalam filem arahan Yasmin Ahmad seperti Sepet, Mukhsin dan Talentime.

Sementara itu ketika majlis pelancaran filem itu, Namewee yang juga pencipta lagu latar berkata, filem itu berkisar kepada seorang chef menjadikan nasi lemak sebagai metafora perjalanan hidup menjadi identiti diri.

"Nasi Lemak makanan sarapan popular nasional dan menjadi menu kegemaran rakyat Malaysia pelbagai kaum. Matlamat utama adalah perpaduan dan makanan antara elemen menyatukan kita semua," katanya.

Namewee juga menafikan judul filem itu ada kaitan dengan perhimpunan haram di sekitar ibu negara, bulan lalu. Katanya, ini bukan gimik baru dan angka 2.0 bermaksud generasi baru komuniti 'online'.

"Judul sudah mendapat kelulusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada April tahun lalu dan turut mendapat sokongan Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Filem Nasi Lemak 2.0 arahan sulung Namewee menerusi hasil produksi gabungan Prodigee Media dan UB Prodigee Entertainment.

Tempoh siap filem itu sepatutnya pertengahan 2010, tetapi berlanjutan selama dua setengah tahun akibat isu kontroversi, penarikan diri pelabur serta penaja dan pos produksi.

Apapun, Nasi Lemak 2.0 akan menemui penonton di 60 pawagam seluruh negara apabila membuat tayangan perdana pada 8 September depan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.