Adsense

Jumaat, 12 Ogos 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Giliran Leya beraya di konti

Posted: 11 Aug 2011 06:16 AM PDT

PETANG itu, tidak menang tangan si ibu muda ini melayan kerenah si kembarnya. Bayangkan, belum sempat kasut dipakai dan anting-anting dipadankan dengan rantai, si kakak mula mencari perhatian, merengek agar ibunya bercakap dan melihatnya pula. Tatkala si ibu sibuk mencari posisi terbaik bagi wajahnya dirakamkan, si adik pula datang menyelinap dari belakang, ingin duduk sekali.

Penat bukan lagi persoalan kerana apa yang difikirkan, semua itu adalah anugerah terindah dan hadiah paling manis buat pelakon dan penyampai Hot FM, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid bersama suaminya, pemuzik serta komposer Muhammad Ashraf Aasimudin.

Membina perkahwinan pada usia muda iaitu pada penghujung 2007 dan percaya dengan jodoh yang ditentukan, Leya bersama suami tambah bahagia apabila dikurniakan pasangan kembar perempuan yang comel, Aza Ameena dan Asha Ameena Muhd Ashraf. Usia mereka kini sudah pun dua tahun.

"Beginilah keadaannya sekarang sebagai seorang ibu, tapi setiap saat dapat saya rasakan nikmat kebahagiaannya. Memang ada kalanya penat melayan kerenah anak kembar namun ajaibnya, rasa letih itu hilang sebaik memandang wajah mereka," katanya yang kini menetap bersama keluarga mentua di Sungai Buloh.


Meskipun masih lagi muda dan kekal dengan personalitinya yang cukup periang serta gemar bergurau, Leya yang juga anak guru lakonan, Fatimah Abu Bakar kini semakin kemas memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri.


"Alhamdulillah saya dan Ashraf sangat bahagia. Siapa menyangka niat saya untuk berkahwin pada usia muda sangat berbaloi kerana terus dikurniakan anak kembar.
Ia memang sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam imaginasi saya sendiri.
Apabila dikaji, kebahagiaan yang saya dan suami rasai ketika ini adalah hak kegembiraan yang dikongsi bersama ahli keluarga lain terutama ibu serta ayah saya.

"Maklumlah Aza dan Asha cucu sulung mereka, jadi segala-galanya adalah buat mereka berdua. Ada kalanya saya sendiri rasa kelakar melihat orang tua saya begitu seronok melayan cucu mereka," ujar Leya kakak sulung kepada empat beradik yang semuanya anak seni.

Sesekali terdengar bisikan Asha dan Aza memanggil 'mummy' dan 'daddy' dan ketika itu juga Leya dan Ashraf cuba mendengar apa yang cuba dituturkan anak mereka walaupun tidak jelas.

Terlanjur bertemu Leya yang begitu padat dengan jadual tugasnya bersama stesen radio terbabit selain tanggungjawab di rumah, terbit juga cerita mengenai Ramadan dan Syawal.

Kata Leya, puasanya juga sama seperti Muslimin dan Muslimat lain yang dilakukan secara sederhana terutama waktu berbuka. Kalau ada masa dia akan berkunjung ke mana-mana bazar Ramadan untuk membeli juadah selain memasak sendiri di rumah.

"Bersahur macam biasa, kami makan sekadar mengalas perut. Kalau terlalu kenyang susah pula hendak tidur," kata Leya yang akan menyediakan rendang daging dan kuah kacang kegemaran suaminya tahun ini.

Daripada sudut persiapan raya pula, Leya belum sempat melakukannya, namun tumpuan yang lebih akan diberikan kepada dua anak kembarnya itu.

"Sebenarnya saya dan adik-beradik yang lain tidak membuat persiapan yang besar untuk menyambut Aidilfitri kerana sejak kecil lagi, ibu bapa kami lebih mengutamakan sambutan Ramadan.

"Justeru apabila sudah ada anak sendiri, saya rasa macam kekok untuk sambut raya besar-besaran. Bagaimanapun, saya dan Ashraf tetap akan membeli baju raya buat Asha dan Aza sebab seronok tengok mereka pakai baju sama corak dan warna pada pagi raya.

"Insya-Allah kalau ada peluang dan kelapangan, saya akan membawa mereka pergi membeli-belah nanti," kata Leya yang kali ketiga beraya sebagai isteri.

Bersulam dengan senyuman, Leya sambil membetulkan baju Melayu Ashraf itu memberitahu, tahun ini gilirannya bekerja pada hari raya.

Meskipun terpaksa beraya di konti Hot FM, penyampai radio yang juga pelakon handalan ini tidak sekelumit pun merungut kerana baginya semua itu sudah komitmen kepada majikannya.

"Memang inilah situasi penyampai radio mahupun warga kerja bidang penyiaran. Tidak kira cuti atau hari perayaan, kita terpaksa bersedia untuk bekerja demi terus menghiburkan pendengar dan menyalurkan maklumat.

"Mungkin selepas bertahun-tahun bersama Hot FM, giliran saya pula yang kena bekerja pada hari raya. Sebelum ini penyampai lain juga sudah pernah merasa. Kita kena bertimbang rasa dan berkompromi.

"Mujur juga saya dan suami memang asal orang Kuala Lumpur dan tidak perlu khuatir sangat memikirkan soal nak balik kampung. Memang rutin setiap tahun pun saya dan suami akan beraya di sini saja dan kemudian barulah meronda bersama keluarga untuk melawat sanak-saudara yang lain.

"Jadi bekerja pada pagi raya bukanlah satu masalah kerana selepas habis tugas, saya sudah boleh bergegas pulang ke rumah keluarga di Bandar Sri Damansara. Apa yang penting kita masih berpeluang jumpa ahli keluarga lain," katanya yang kini bertugas bagi segmen Menu Muzik Hot FM setiap Isnin hingga Jumaat jam 11 pagi hingga 3 petang.

PROFIL ALEYA

Nama penuh: Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid
Tarikh lahir: 27 April 1983
Usia: 28 tahun
Tempat lahir: Petaling Jaya, Selangor
Suami: Muhammad Ashraf Aasimudin
Anak: Aza Ameena Muhd Ashraf & Asha Ameena Muhd Ashraf
Kerjaya: Penyampai radio Hot FM, pelakon, pengacara, jurucakap produk
Filem: Idola, Diari Romeo, Mimpi Moon, Trauma, Pontianak Harum Sundal Malam, Man Laksa, Mukhsin, Magika
Pengacaraan TV: Golden Teen Stuff, KFC's Chicky Hour, Manggo TV, Latido
Teater: Teater Muzikal Terima Kasih Cinta
Pencapaian: Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17) menerusi Trauma
Jurucakap produk: Nuvafemme

PROFIL ASHRAF:

Nama penuh: Muhammad Ashraf Aasimudin
Tarikh lahir: 10 April 1980
Usia: 31 tahun
Tempat lahir: Sunderland, England
Pendidikan: Diploma Muzik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Kerjaya: Pemuzik, komposer
Karya: Lagu untuk Wana, Nashrin, Fiq (Mentor), Faradhiyya

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Sambung pembikinan di London

Posted: 11 Aug 2011 06:01 AM PDT

BERJAYA dengan 1957: Hati Malaya, Datin Paduka Shuhaimi Baba atau Shumi kembali lagi dengan filem genre serupa berjudul Tanda Putera.

Kali ini pengarah berpengalaman itu menampilkan kisah hidup, pengorbanan serta persahabatan dua rakan karib yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia dan timbalannya, Tun Abdul Razak serta Tun Dr Ismail.

Filem yang dihasilkan Pesona Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDEC) itu sudah 95 peratus siap dan bakinya akan disudahkan seminggu selepas Aidilfitri termasuk menyambung penggambaran di London, England.

Ditemui pada majlis doa selamat selesai penggambaran dan majlis berbuka puasa sekali gus memperkenalkan pelakon filem itu di Dataran Finas, Hulu Klang, Selasa lalu, Shumi bagaimanapun menjelaskan ada beberapa babak terpaksa dilakukan semula kerana ia tidak menjadi seperti yang diharapkan.


Antara halangan itu, Shumi tidak dapat melakukan babak rusuhan kaum memandangkan pada tarikh yang sama, 9 Julai lalu, berlaku tunjuk perasaan 'Bersih' di ibu negara, mengakibatkan banyak kereta peronda serta trak polis yang sepatutnya menjadi props dibawa keluar bertugas.


"Lima peratus lagi baki penggambaran memang membabitkan babak penting. Untuk meneruskan penggambaran babak rusuhan pada bulan puasa rasanya memang tidak sesuai dan selebihnya babak Tun Razak sakit di London selama empat hari. Ia perlu dilakukan pada musim dingin kerana dengan ini barulah penonton boleh rasai suasana sebenar," katanya.

Kata Shumi lagi, sebelum ini pihaknya pernah cuba menjalani penggambaran babak Tun Razak sakit ketika musim panas, tetapi ia tidak mampu menzahirkan gambaran sebenar situasi yang pernah berlaku.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai filem yang menampilkan Rusdi Ramli sebagai Tun Razak, Zizan Nin (Tun Dr Ismail), Faezah Elai (Tun Rahah) dan Linda Hashim (Toh Puan Norasyikin) itu, Shumi akui dalam merencanakan filem berkenaan, masalah kekurangan bahan rujukan turut menjadi cabaran bukan saja kepada dirinya, tetapi juga pelakon.

"Seperti yang diberitahu sebelum ini, kami mengambil masa empat tahun untuk membuat rujukan sebagai persediaan. Bagaimanapun, tidak semua yang kami mahu diperoleh. Wakil keluarga Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) turut membantu. Selebihnya maklumat diperoleh menerusi pembacaan, pementasan teater yang pernah dilakukan sebelum ini dan sedutan berita atau filem dokumentari.
Rujukan membabitkan watak sampingan juga agak sukar," katanya.

Bagi mengatasi masalah terbabit Shumi bertumpu kepada penghayatan pelakon sewaktu sesi latihan diadakan. Begitupun ada antara pelakon terbabit berkesempatan bertemu dengan keluarga rapat kedua-dua negarawan itu bagi mengenali watak sebenar ketika hayat mereka.

"Kami juga berjaya mengesan kembali orang gaji Tun Ismail yang kami panggil Amoi. Syukur ingatannya masih kuat jadi banyak juga bahan yang kami peroleh daripadanya. Kami juga dapat tahu Tun Dr Ismail turut membantu Amoi membeli rumah sebelum beliau meninggal dunia," katanya.

Shumi nyata mengharapkan Tanda Putera akan lebih berjaya berbanding 1957: Hati Malaya apabila ia ditayangkan kelak memandangkan latar filem itu berlatarbelakangkan era 1970-an.

"Bagi saya dua Tun ini adalah hero sejati. Bayangkan Tun Razak tahu dia akan pergi kerana penyakit yang dihidapinya itu, tetapi dia tidak pernah tunjuk kesengsaraan yang dialami walaupun kepada isterinya sendiri. Bukan itu saja, dia juga cuba membantu rakyat miskin di setiap ceruk kampung. Masanya dihabiskan untuk rakyat. Dia kata akan membantu rakyat sepenuh jiwa raga dan itu jugalah yang dilakukan.

"Persahabatan Tun Razak dan Tun Dr Ismail juga hebat. Mereka menangani setiap masalah yang berlaku dalam negara dengan begitu cepat. Apatah lagi pada waktu sama negara turut berhadapan peristiwa rusuhan 13 Mei dan penguasaan komunis dalam bandar yang mahu membunuh pemerintah negara. Semua ini turut dipaparkan dalam Tanda Putera," katanya.

Menyentuh mengenai isu sensitif membabitkan filem itu jelas Shumi, sebagai pengarah dia mengekalkan rentetan peristiwa penting terutama rusuhan 13 Mei.

"Tapi ia bergantung kepada pihak LPF (Lembaga Penapisan Filem). Namun, pada saya ia sangat penting untuk dikekalkan agar masyarakat hari ini faham dan mengambil iktibar. Contohnya, rusuhan 13 Mei berpunca daripada sambutan kejayaan satu pihak dalam pilihan raya. Dalam meraikan kegembiraan itu, terkeluar kata-kata yang melampau.

"Dalam kajian dilakukan menunjukkan kejadian bermula apabila dua orang Melayu cedera sewaktu ditahan dalam satu sekatan jalan raya. Kebetulan yang melakukan sekatan itu adalah kaum Cina. Jadi cerita sudah dipusing-pusing sehingga tercetusnya perbalahan.

"Apapun kita boleh dijadikan semua itu satu pengajaran terutama kepada generasi sekarang kerana itu saya meletakkan harapan tinggi terhadap filem ini agar ia ditonton semua lapisan masyarakat," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.