Utusan Online - Hiburan |
Posted: Pengorbanan Tom untuk AdamOleh ABD. AZIZ ITAR
WALAU sibuk mana sekalipun seseorang ibu itu, hati dan ingatannya tetap tidak akan melupakan anak-anaknya. Tidak kira walau di mana juga ibu itu berada. Apatah lagi, anak itu pula merupakan satu-satunya zuriat kurniaan Allah SWT buatnya. Malah, bagi ibu tunggal seperti penyanyi kelahiran pertandingan nyanyian Mystarz LG, Tom, dia juga paling sukar melupakan anak tunggalnya, Adam yang kini berusia tiga tahun dua bulan. Adam adalah segala-galanya dalam hidupnya. Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram berkata, sejak perkahwinannya gagal pada 30 April tahun lalu, anak lelakinya itulah menjadi sumber inspirasi dan memang sukar baginya untuk berpisah dengan Megat Ariel Shakur Mohd. Farhan atau Adam. Sayangnya menurut Tom, dia terpaksa akur dengan desakan hidup yang memaksanya berdikari bagi membesarkan anaknya itu. Semua itu dilakukan bukan dengan kerelaan dan ia juga bukan alasan untuk dia berputus asa. "Selagi saya hidup saya akan terus memastikan Adam membesar seperti kanak-kanak lain. Saya tidak salahkan takdir kerana terpaksa bercerai. Cuma yang lebih saya fikirkan sekarang ini ialah anak saya itu masih kecil. "Mujurlah, keluarga bekas mertua saya amat memahami keadaan saya. Sejak Adam berusia dua bulan, anak saya itu berada di bawah jagaan ibu mertua saya di Permas Jaya, Johor Bahru. Saya tidak mahu berpisah dengan Adam. "Tetapi apakan daya, saya terpaksa akur dengan keadaan. Apatah lagi, Adam adalah cucu pertama bekas ibu mertua saya itu. Keluarga bekas mertua saya amat menyayanginya," katanya kepada Hits pada satu sesi fotografi di Kuala Lumpur baru-baru ini. Menurut penyanyi berusia 26 tahun itu, biarpun dia tinggal di Subang Jaya, Selangor tetapi itu bukan penghalang untuknya terus berhubungan dengan Adam setiap hari. Telefon menjadi tali penghubung dua beranak itu. Tom juga sentiasa mencari peluang bersama anaknya itu jika ada masa terluang. Masa yang berkualiti itu akan dimanfaatkannya dengan sebaik mungkin. "Saya bekerja sebagai penyanyi kelab malam. Biasanya siang saya tidur dan malam menyanyi bersama-sama kumpulan saya iaitu Hype No Rush ataupun Icon Band. Sebab itu, buat masa ini Adam kurang sesuai tinggal dengan saya. "Bagaimanapun, kalau saya bercuti panjang misalnya dua minggu sehingga sebulan, saya akan membawa Adam tinggal bersama-sama di rumah saya di Subang Jaya. Ketika itu saya akan menghabiskan masa bersama-samanya. "Sekarang ini, Adam kecil lagi. Apabila sudah besar nanti kalau boleh saya mahu dia terus tinggal bersama-sama saya. Kalau boleh saya tidak mahu berpisah dengan anak tunggal saya itu. Saya rindu padanya setiap hari," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Sharifah Aini tetap diminatiOleh KHADIJAH IBRAHIM
DI mana sahaja biduanita Datuk Sharifah Aini mengadakan persembahan, pasti ada kelompok peminat setianya yang hadir memberi sokongan. Terbaru, sebagai tanda kasih dan setia mereka kepada penyanyi itu, peminat dari Singapura, Sabah, Kedah dan hampir seluruh negara hadir menonton persembahan majlis Makan Amal Simfoni Kasih IKIM.fm Hapuslah Air Matamu Bersama Datuk Sharifah Aini. Menurut Sharifah Aini, sejak menjadi mentor kepada Shiha menerusi program Mentor, sedikit sebanyak dia berjaya mengumpul peminat baru di kalangan anak-anak muda. "Amat mengejutkan kerana setiap kali mengadakan persembahan, Kak Pah sedar ada wajah-wajah baru terutamanya di kalangan anak muda. Bagi Kak Pah itu satu penghargaan kerana anak-anak muda sekarang, tidak mudah untuk meminati penyanyi yang bukan sebaya," katanya. Dia yang sudah 42 tahun dalam bidang seni berkata, di kalangan para peminatnya, ada juga para pelajar yang baru balik dari seberang laut. Malah katanya, untuk kekal diminati sehingga kini lebih sukar berbanding ketika dia mula menapak mencipta nama dalam bidang seni suara. Apa yang pasti kelunakan suara Sharifah Aini yang tetap merdu sejak dulu sehingga kini adalah di antara faktor kenapa dia terus diminati. Selain anugerah bakat seninya, sikap Sharifah Aini yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja itu membuatkan orang ramai terus melekat menyokongnya. "Kak Pah bersyukur kerana ada ketikanya publisiti untuk Kak Pah kurang tapi tawaran menyanyi tetap ada. Boleh dikatakan rezeki dalam bidang seni suara ini tidak pernah putus. "Malah sejak dua tahun lalu, Kak Pah juga banyak menjayakan persembahan amal yang Kak Pah atur sendiri. Niat Kak Pah satu sahaja, biarlah rezeki yang Kak Pah perolehi dikongsi bersama mereka yang memerlukannya. "Selalunya Kak Pah akan salurkan kepada sekolah-sekolah tahfiz di sekitar Lembah Kelang," katanya. Menurut Sharifah Aini, walaupun usahanya itu kecil namun sedikit sebanyak ia memberi kepuasan kepadanya yang lebih dikenali sebagai ummi di kalangan peminat-peminat muda. Justeru, dia merayu jika ada badan-badan korporat yang ingin melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing, agar sudilah menajanya menjayakan konsert amal. "Alangkah gembiranya kalau ada yang ingin menaja Kak Pah buat persembahan amal macam Ikim. fm ini. Sekurang-kurangnya, kita sama-sama dapat membuat amal jariah. "Walaupun belum ada tajaan besar, Kak Pah tetap teruskan projek amal yang Kak Pah buat sejak dua tahun lalu. Mudah-mudahan usaha ini dapat berkat daripada Allah," katanya tenang. Pada majlis anjuran Ikim.fm itu juga, potret Sharifah Aini turut dilelong dengan harga RM500 dan bakal disalurkan kepada Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (IRM). Meskipun ia majlis amal, namun sepanjang menonton persembahan Sharifah Aini, terasa seperti menonton konsert kerana penyanyi itu tidak berkira ketika mendendangkan lagu. Dengan iringan keyboard oleh Belle dan tiga penyanyi latar, penyanyi berpengalaman itu mendendangkan hampir 20 buah lagu termasuk Seri Dewi Malam, Perasaanku, Permaidani, Keagungan Tuhan dan Terbang Helang. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |