Utusan Online - Hiburan |
Posted: Golf uji kesabaran BettyOleh KHADIJAH IBRAHIM
APABILA ditanya kepada pelakon Betty Benafe, 32, apakah aktiviti yang sering dilakukannya jika tidak sibuk di lokasi penggambaran, Betty memberitahu, dia suka bermain golf di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Lalu S3 pun mengatur temu janji dengan Betty yang mula bermain sukan golf sejak tahun 2000. Sebelum memulakan pukulan pertamanya di lapang sasar padang golf (driving range), Betty yang mengenakan pakaian serba putih itu memulakan hari indahnya dengan menikmati sarapan pagi di coffee house kelab tersebut terlebih dahulu. "Kena isi perut dulu, nanti tidak larat membuat pukulan. Lagipun memukul bola golf ini memerlukan tenaga kuat terutama di bahagian tangan. Kalau pukul perlahan, bola tidak pergi jauh," katanya tersenyum. Kata Betty, sesiapa yang tidak menggemari golf pasti menganggap ia satu permainan yang tidak merangsangkan minda. Sebenarnya sukan yang dikategorikan sebagai sukan elit itu bukan sahaja dapat meregangkan otot, malah banyak menguji kesabaran pemain. "Golf ini sebenarnya menguji kesabaran dan membuatkan kita banyak berfikir bagaimana caranya untuk memasukkan bola dalam lubang. "Sukan ini bukan sekadar pukul sahaja tapi perlu tumpuan sebab kita harus merancang strategi untuk memastikan bola menuju ke sasaran," jelasnya yang memulakan kelas pembelajaran di Glenmarie Golf & Country Club. Betty memberitahu S3 yang setiap pemain perlu menjalani satu ujian kekuatan pukulan sebelum membeli jenis kayu golf. Katanya, selalunya di tingkat atas kedai yang menjual peralatan golf tersedia ruangan memukul bola golf untuk melihat kekuatan si pemukul. "Tujuan ujian itu dibuat untuk melihat tahap kekuatan kita memukul agar setanding dengan kayu golf kerana setiap kayu disediakan mengikut keupayaan pemain. "Mula-mula main golf, kita akan terasa sakit di bahagian bahu dan pinggang. Bahu terasa sakit sebab apabila memukul bola secara tidak langsung kita akan kilas bahu dan disertai bahagian pinggang," ceritanya. Pelakon yang pernah menghasilkan album berjudul Ibtisam konsep pop campuran elemen Authentic Fusion pada tahun 2007 itu berkata, selalunya dia akan memukul bola di lapang sasar padang golf sebelum turun ke padang. Selalunya, kata Betty, dia akan membiasakan diri memukul kira-kira 200 biji bola golf di lapang sasar sebelum turun ke padang golf. "Apabila kita sudah ada skil memukul di lapang sasar ia akan memudahkan kita apabila berada di padang. Di padang kita kena beri tumpuan untuk memukul bola agar masuk ke lubang. "Semasa di lapang sasar, pukulan kita untuk lihat betapa jauh boleh pergi. Apa-apa pun kalau kita memberi tumpuan, bola yang dipukul boleh pergi jauh atau akan masuk lubang," jelasnya secara terperinci. Kata Betty, sejak sering berkunjung ke KLGCC, dia sudah bertemu dengan ramai orang kenamaan dan secara tidak langsung menjadi teman bermain golf. Dia yang cepat mesra dengan sesiapa sahaja itu turut menjalin persahabatan dengan Ben, lelaki dari England yang ketika itu sedang leka bermain golf di KLGCC. Betty yang sering diberi watak antagonis berkata, selain golf, dia juga meminati sukan ekstrem yang lain. Antara sukan lasak yang pernah dijayakan oleh Betty adalah bungee jumping di Bali, scuba diving (layak menjadi jurulatih), jet ski, luncur udara (paragliding) dan sukan berkuda. "Saya ini adalah jenis orang yang suka mencuba. Kalau berkuda, kita mesti sentiasa berjaga-jaga sebab kuda ada mood. Sebab itu, sebelum menaikinya, kita perlu bercakap-cakap dengan kuda agar dia selesa dengan si penunggang. "Walaupun sukan yang saya ceburi itu kelihatan berbahaya tapi sedikit sebanyak ia membantu saya mengatasi perasaan takut. Bagi saya setelah membuat bungee jumping, saya tidak ada perasaan takut lagi tetapi mula-mula terjun terasa jantung nak tercabut," ceritanya. Betty yang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Cut Amira berkata, Julai ini dia akan memasuki studio untuk rakaman single terbaru yang berkonsep muzik dunia. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Kehijauan yang mendamaikanOleh NUR AZHARI ZAINOODDIN
MELARIKAN diri daripada kebingitan kota yang tidak pernah sunyi sememangnya sesuatu yang mendamaikan. Lantas hutan-hutan lipur di pinggir ibu kota menjadi pilihan warga kota untuk beriadah menghilangkan segala tekanan yang menghimpit diri. S3 baru-baru ini sempat meluangkan masa mengikut empat wajah baru MIG Talent beriadah mendaki puncak Bukit Nanas, Kuala Lumpur. Mungkin ramai yang tidak tahu, di sebalik hutan konkrit kota raya kebanggaan kita ini, tersimpannya satu khazanah yang tidak ternilai. Bermula dari pintu masuk Jalan Raja Chulan hutan simpan berkenaan, Amran, Elmy, Fyza dan Siti Aziz meneroka menuju puncak hutan simpan yang pernah menjadi kubu pertahanan orang Mendailing dalam perang saudara dahulu. Nyata keseronokan jelas terpancar di wajah keempat-empat pendatang baru industri hiburan ini biar pun kunjungan mereka ke Bukit Nanas merupakan yang pertama kali. "Ini kali pertama saya datang ke sini. Macam tidak percaya masih ada kawasan hijau di tengah-tengah Kuala Lumpur. "Lepas ini sudah tentu Bukit Nanas menjadi tempat untuk saya melakukan aktiviti jungle tracking," jelas Amran yang membintangi drama Jamilah...I love You itu. Selain Amran atau nama sebenarnya Md. Amran Ismail, 26, pengalaman pertama kali mendaki Bukit Nanas itu turut dikongsi oleh tiga lagi rakan-rakannya itu. Bagi aktor baru dari Kota Bahru, Kelantan, Elmy Moin atau nama sebenarnya Abdullah Helmy Abdul Moin, 21, dia memang sudah biasa dengan kawasan hutan. "Saya memang sudah biasa melakukan aktiviti hutan seperti berkhemah dan mendaki. "Sebelum ini hutan yang pernah saya pergi adalah Bukit Bekelah dan Gunung Nuang di Pahang tetapi ini kali pertama memasuki hutan di tengah bandar besar. "Terkesima saya seketika apabila menikmati pemandangan hutan di sini. Siapa sangka di kaki Menara Kuala Lumpur ini tersimpan banyak khazanah yang semakin pupus," ujarnya yang mula didedahkan dengan kawasan hutan melalui kelab teater. Sementara itu, bagi Siti Nurzakiah Abdul Aziz atau nama pentasnya Siti Aziz berkata, aktiviti beriadah seperti itu merupakan rutin biasa keluarganya. Jelasnya, sejak kecil, ayahnya sering membawa dia dan ahli keluarga lain untuk bersama menikmati pemandangan dan kehijauan hutan. "Itu merupakan antara terapi dalam keluarga kami selain merapatkan hubungan sesama kami. "Jadi bermula dari situ, saya mula mencintai kehijauan kerana ia memberikan ketenangan pada saya. "Jika di sekolah dahulu saya aktif mengikuti program perkemahan dan pantang ada peluang berkemah di hutan saya tidak tunggu lama untuk memberi nama," ujar pelakon berusia 22 tahun itu. Pendakian yang memakan masa hampir satu jam setengah pagi itu berjaya membuka hati bakat baru, Fyza atau Nor Hafiezzah A. Gadih mencintai alam semula jadi. "Sebenarnya, sebelum ini saya tidak pernah masuk hutan malah tidak terlintas untuk mencuba jungle tracking. "Namun setelah diajak dan dipujuk saya turutkan juga walaupun pada mulanya hati ini berat untuk mengikut mereka. "Kini setelah meredah Bukit Nanas, saya mula minat dengan aktiviti ini. Biarpun panas dan letih saya rasa puas apabila berjaya menghabiskan trek Bukit Nanas," jelas pelakon yang berasal dari Skudai, Johor itu. Baginya percubaan pertama memasuki hutan memberi satu kelainan padanya dalam mengisi masa lapang. "Lepas ini saya ingin mengulangi lagi aktiviti sebegini. Rasa tenang apabila meredah hutan apalagi dapat menghirup udara segar," kongsi pelakon berusia 26 tahun itu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |