Kosmo Online - Hiburan |
- Artis bersatu perjuang hak intelek
- Fasha jadi penyanyi dalam Dewa Cinta
- Shah Rukh Khan tak suka sibuk
Artis bersatu perjuang hak intelek Posted: Artis bersatu perjuang hak intelekOleh MALIAH SURIP HARI ini kira-kira 300 anak seni tanah air berkumpul di bawah satu bumbung untuk mendengar dan berkongsi pandangan yang sekian lama membelenggu mereka. Barisan karyawan ini hadir ke majlis Simposium Hari Suara Bintang Kosmo!-MyiPO yang mengangkat tema Pertahankan Hak, Perkukuhkan Seni Melalui Perlindungan Hak Harta Intelek untuk mengetahui dengan lebih dalam mengenai kefahaman harta intelek milik mereka di bawah Akta Hak Cipta 1987. Akta Hak Cipta telah diwartakan pada tahun 1987. Tujuan ia ditubuhkan adalah untuk melindungi hak-hak insan seni tanah air tidak kira penyanyi, pelakon mahupun pemuzik. Barangkali, banyak artis yang sudah bosan dengan anjuran simposium seumpama ini kerana sejak 24 tahun akta tersebut diwujudkan, sudah beratus-ratus simposium diadakan, termasuk dialog bersama pihak berwajib yang bertanggungjawab. Malangnya, sehingga ke hari ini, tiada sebarang anjakan yang terjadi dan keputusan positif yang sekurang-kurangnya dapat membantu kemelut yang dihadapi karyawan seni ini berakhir. Mereka memerlukan mekanisme atau satu reformasi yang boleh membela mereka. Ini termasuklah isu royalti yang tidak pernah berpenghujung, isu cetak rompak yang tidak pernah mati, isu karya diplagiat, muat turun lagu secara percuma serta banyak lagi isu yang membuat mereka terus mundur kerana masih tidak dapat dibantu dengan secara agresif terhadap hak-hak mereka. Namun satu hal yang telah hampir membuat mereka semua terlupa adalah sebelum meluahkan ketidakpuasan hati atau menggesa bantuan tentang hak-hak mereka yang seperti dipijak dan dipandang enteng, ia sebenarnya berbalik kepada diri masing-masing. Benar, para karyawan memerlukan badan, organisasi atau kementerian untuk berdiri berjuang membela nasib mereka menerusi akta yang telah dipinda. Bagaimanapun satu hal yang perlu mereka perbetulkan atau sedar sebelum meminta pertolongan daripada pihak lain adalah kefahaman tentang hak-hak mereka di dalam akta tersebut. Kefahaman dan profesionalisme - itu yang akan menjadi topik utama yang bakal dibangkitkan oleh dua artis generasi muda, Aizat Amdan dan Diana Danielle yang memikul tanggungjawab besar untuk duduk di atas pentas sebagai panel dalam usaha memberi kesedaran sesama rakan artis yang lain tentang kepentingan mengetahui hak-hak mereka. Bagi penyanyi Aizat, dia berdebar untuk duduk sebagai panel pada simposium yang dihadiri oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu. Mengaku berasa tidak layak untuk bercakap secara terbuka terutama di hadapan para senior dalam bidang hiburan tanah air, namun apabila memikirkan soal tanggungjawab berkongsi ilmu dan kefahaman tentang hak-hak intelek artis, dia bersetuju untuk menjadi panel. "Saya tidak mahu berkhutbah. Saya mahu menyentuh isu ini bermula dari asas iaitu dengan memberi penekanan terhadap kefahaman dan profesionalisme seseorang artis itu sendiri untuk melindungi hak-hak mereka. KEDUA-DUA artis muda ini berasa terpanggil untuk bersetuju menjadi panel kerana mahu membela nasib rakan artis yang lain. "Adakah kita sendiri tahu apa hak kita dan apa yang kita perjuangkan? Itu yang ingin saya tegaskan. Saya ingin mengingatkan diri sendiri dan rakan artis lain juga bahawa sikap dan profesionalisme seseorang artis itu akan dapat banyak membantu mereka pada masa hadapan," ujar Aizat penuh semangat. Selain isu royalti, penyanyi yang juga komposer itu turut mahu setiap artis menilai dan memahami kontrak yang diberikan sebelum ia dipersetujui. Ini kerana, apabila sesuatu kontrak telah ditandatangan, ia bermakna semua yang terkandung sudah dipersetujui, sekali gus menimbulkan kesukaran untuk seseorang artis bersuara apabila mereka tertindas. Katanya lagi, memang kontrak selalu tidak akan menyebelahi pelaku seni, namun sebagai seorang 'pekerja' yang telah bersetuju untuk memberi khidmat kepada sesebuah produksi atau pihak, dia juga mempunyai hak untuk meminta bahagian yang dirasa setimpal dengan servis yang bakal diberikan. "Ia sebenarnya berbalik kepada sikap artis itu sendiri iaitu jangan memandang remeh terhadap kontrak yang mahu ditandatangan. Kita sendiri perlu memahami hak sebagai seorang pelaku seni," ujarnya yang cukup teliti soal kontrak yang ditandatangani sebelum membuat persetujuan untuk memberi khidmatnya. Diana mahu hak saraan Sementara itu, pelakon Diana Danielle pula akan cuba memberi penekanan terhadap kepentingan insurans untuk sesebuah produksi dan waktu kerja yang harus dipantau. Pelakon berusia 20 tahun itu juga mahu hak saraan pelakon mendapat pembelaan yang sewajarnya. "Saya pernah meminta hak saraan daripada pihak produksi. Bagaimanapun saya kemudian dikecam kerana demanding. Secara jujur, ia bukan soal saya demanding, tapi ia soal hak saya sebagai seorang pelakon apabila produk yang menggunakan khidmat saya terus diulang tayang dan hanya satu pihak yang mendapat keuntungan, tetapi tidak bagi pelakon seperti kami. "Sebagai pekerja industri yang tidak mempunyai skim simpanan wang pekerja (KWSP) kos saraan seperti ini adalah jaminan masa hadapan kami. Jadi soal hak saraan pelakon memang wajib diberikan kepada setiap pelakon," ujarnya bersungguh-sungguh. Diana turut menegaskan, seseorang pelakon perlu bekerja dalam tempoh waktu yang dikawal. Jika mereka perlu bekerja selama 12 jam sehari misalnya, jam ke-13 perlu dibayar lain dan begitu juga untuk jam seterusnya. Ini penting kerana menurut Diana, rumah produksi seperti di Eropah menggunakan sistem sedemikian bagi membela hak karyawan mereka. Sehubungan itu juga, Aizat dan Diana mencadangkan kepada pihak MyiPO dan kementerian menyediakan satu garis panduan yang ringkas tetapi lengkap agar ia mudah difahami semua karyawan. Peka bahawa buku akta Hak Cipta 1987 dijual di kedai-kedai buku, namun mereka berpendapat, adalah lebih baik jika satu lagi bentuk risalah yang lebih efisien disediakan untuk pemahaman para pelaku seni. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Fasha jadi penyanyi dalam Dewa Cinta Posted: Fasha jadi penyanyi dalam Dewa CintaOleh HARYATI KARIM PROFESIONAL. Walaupun dikatakan mempunyai sedikit konflik antara satu sama lain, namun Fasha Sandha dan Iqram Dinzly tetap dapat menjayakan karakter sebagai pasangan kekasih dalam drama bersiri Dewa Cinta dengan baik. AKTRES Fasha Sandha yang sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila bersengketa dengan pasangannya dalam drama Dewa Cinta, aktor Iqram Dinzly, apabila aktor itu dikatakan lewat datang ke lokasi penggambaran telah berusaha keras belajar bermain gitar demi wataknya dalam drama terkini tersebut. Drama sebanyak 24 episod yang menghiasi slot Akasia di TV3 itu memerlukan Fasha belajar asas bermain gitar kerana wataknya sebagai June seorang pemuzik dan penyanyi di pub. "Watak dalam drama ini sangat berbeza dengan watak yang pernah saya bawakan sebelum ini dan juga diri saya sendiri. "Ini kerana hakikat sebenarnya saya tidak pandai bermain gitar, tetapi demi memberikan lakonan yang berkesan selama sebulan lebih saya belajar main gitar. "Alhamdulillah, sekarang saya sudah boleh memetik gitar secara asas. Kiranya, kalau saya main gitar, bolehlah dengar muziknya tetapi saya masih dalam peringkat belajar. Saya seronok kerana dapat mempelajari perkara yang baharu sepanjang menjalani penggambaran drama Dewa Cinta," kata Fasha yang ditemui pada majlis pelancaran drama itu di Restoren Bora Ombak, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini. Meskipun dirinya tidak pernah surut dihambat kontroversi dan kemunculan pelakon baharu yang ramai, Fasha tetap menjadi pilihan pengarah dan penerbit untuk drama terbitan mereka. Kini, wajah Fasha antara wajah aktres yang paling kerap ditonton di kaca televisyen. Bersyukur dengan rezeki yang diterimanya, Fasha meluahkan rasa terharunya kerana dirinya masih menjadi pilihan. "Memang saya penat kerana sibuk bekerja tetapi saya tidak sampai hati untuk menolak tawaran drama yang bagus kerana kalau ikutkan ramai pelakon baharu yang muncul setiap hari. "Saingan bertambah sengit, tetapi penerbit dan pengarah masih memilih saya. Saya berterima kasih atas sokongan semua, sebab itu saya selesa berlakon drama, tambahan drama bersiri memberi pulangan lumayan," ujarnya tidak berselindung. Iqram yang menjadi pasangan Fasha dalam drama ini mengakui dia mempunyai masa yang seronok sepanjang berlakon drama ini walaupun pernah berperang sebentar dengan Fasha. Katanya, selepas kontroversi itu, hubungannya dengan Fasha kembali pulih seperti biasa. Malah, ketika majlis pelancaran, Fasha dan Iqram masing-masing dilihat profesional dan menjiwai watak mereka sewaktu diminta untuk bergambar bersama. Sambung Iqram mengenai wataknya dalam Dewa Cinta: "Watak Iqbal lebih kurang sama dengan diri saya. Masih tak kahwin-kahwin dan sedang mencari. Pada usia 29 tahun, Iqbal masih tidak fikir pasal kahwin tetapi bila berjumpa dengan June, Iqbal mula menagih cinta wanita tersebut." Drama Dewa Cinta yang diarahkan oleh pengarah, Haris Fadzillah itu telah mula disiarkan pada 20 Jun lalu di Slot Akasia TV3 setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam. Dewa Cinta mengisahkan tentang Iqbal (Iqram Dinzly) yang dibesarkan dengan penuh kemewahan oleh keluarga angkatnya, Norhan (Hafizuddin) dan Rohaya (Aida Khalida). Memori hitam pada zaman kanak-kanak akibat sikap ayah kandung yang sangat garang dan tegas terhadapnya selepas ibu dan kakaknya menghilangkan diri menyebabkan jiwa Iqbal mula memberontak dan selesa menyembunyikan sikap panas barannya sebalik penampilannya yang elite. Selain Iqram dan Fasha, drama ini turut dibintangi oleh pelakon, Aida Khalida, Nabila Huda, Lana Nordin, Bkay Nair, Hafizuddin dan penampilan istimewa, penyanyi, Black. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Shah Rukh Khan tak suka sibukDIA merupakan seorang daripada bintang yang sibuk di Bollywood, jadi tidak hairanlah jika Shahrukh Khan suka apabila dia tidak melakukan apa-apa! "Sedang dalam mood untuk tidak berbuat apa-apa. Kadang kala resah....tiada tujuan... tiada kerja menjadikan ia pengalaman yang benar-benar memuaskan," katanya di laman Twitter miliknya. "Ada satu peribahasa Urdu...jo kuch nahi karte woh kamaal karte hain (mereka yang tidak berbuat apa-apa akan melakukan keajaiban)... saya kini berada di London tidak berbuat apa-apa," tambahnya lagi di dalam satu status Twitternya yang lain pula. Baru-baru ini, aktor tersebut sibuk merakamkan babak-babak terakhir filem bajet besarnya RA.One, dan pada minggu lepas, dia telah mengujakan peminatnya dengan menghadiri Akademi Filem Antarabangsa India (IIFA) yang diadakan dengan gilang-gemilang di Toronto, Kanada. Namun kini, aktor tersebut begitu gembira kerana mempunyai masa rehat selepas sibuk dengan pelbagai agenda. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |