Adsense

Selasa, 5 Julai 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Serba boleh

Posted: 04 Jul 2011 03:46 PM PDT

Hip

Noorkhiriah takut dianggap pelakon yang meminta bayaran tinggi

BAGI saja apa watak padanya. Sedih, kelakar dan serius, semuanya dilakukan dengan sebaik mungkin oleh Noorkhiriah sehingga meninggalkan kesan kepada penonton.

Kalau melakonkan watak kelakar, penonton akan senyum melihat gelagatnya. Jika sedih, lakonan Noorkhiriah boleh membuatkan penonton terkedu. Penampilannya yang serba boleh itu menaikkan namanya hingga dikenali dan mampu berada sebaris dengan nama-nama besar lain di dalam persada seni tanah air.

Berilah apa saja watak, pastinya berjaya dilakonkan namun dia tidak pernah menganggap kejayaan yang dikecapinya selama ini sebagai penanda aras untuk meletakkan harga tinggi bagi bakat lakonannya itu.

Menyedari keupayaan diri dan menerima apa saja tawaran yang datang untuk terus kekal lama dalam industri ini adalah satu matlamat Noorkhiriah agar dirinya lebih dikenali sebagai pelakon serba boleh, bukannya menetapkan syarat atau meletakkan sebarang harga.

"Kita kena sedar diri, di mana kita berdiri agar tidak hanyut dan janganlah bersikap sombong atau angkuh dengan anugerah yang dimiliki kerana tanpa sokongan peminat kita takkan miliki apa yang diimpikan.
"Bagi saya, berlakon bukan nak kejar anugerah tetapi nak membuktikan bakat dan keupayaan diri dalam lakonan. Kalau dapat anugerah itu satu rahmat di atas usaha keras kita selama ini," katanya.

Meskipun dinobatkan sebagai Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 dan Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2010 (ASK 2010), Noorkhiriah tidak pernah mengimpikan untuk memiliki lebih banyak anugerah.

Malah baginya, tidak ada apa lagi yang perlu dikejarkan kerana sudah memiliki apa yang diimpikan selama ini dan cukup sekadar berbakat dalam membawa pelbagai watak.

"Sudah banyak anugerah yang saya menangi, cukuplah dengan apa yang saya terima. Tidak ada apa lagi yang nak dikejarkan kerana bakat yang saya miliki sudah pun dihargai peminat.

Saya bersyukur sangat dengan penghargaan yang diberikan peminat selama ini. Mungkin tahun depan rezeki orang lain pula," jelasnya.

Noorkhiriah mengakui namanya lebih dikenali di dalam drama dan sitkom sehingga mampu membawanya menggapai impian untuk memiliki anugerah atau pengiktirafan.

Tidak dinafikan bakat pelakon bertubuh kecil ini amat diminati pengarah drama kerana kredibiliti dan keupayaannya membawakan pelbagai jenis watak.

Mengakui filem agak sukar untuk mengukir namanya di dalam anugerah, Noorkhiriah tidak pernah menolak tawaran yang datang dan menganggap filem juga sumber rezekinya.

"Kita tidak boleh tertumpu pada satu arah saja kerana banyak lagi yang perlu diterokai walaupun ia sukar, anggaplah ia sebagai cabaran untuk kita lebih mempertingkatkan diri lagi.

"Bukan mudah nak suruh orang keluarkan RM10 untuk tengok lakonan kita. Jadi bersyukurlah kalau ada peminat yang datang tengok filem yang kita turut sama jayakan, walaupun tak pernah menang anugerah bagi kategori terbabit," katanya.

Keluarga tetap jadi keutamaan

Meskipun pelbagai watak dan peranan sudah dibawa, namun masih ada impian di hati Noorkhiriah untuk memegang watak yang lebih mencabar kewibawaannya sebagai pelakon seperti melakonkan watak orang kurang siuman.

Menganggap watak terbabit bukan mudah dibawa walaupun dilihat mudah tetapi memerlukan penghayatan yang lebih berbanding wataknya sebelum ini.

Namun bagi dirinya, watak sebegini memberi persepsi berbeza tentang karektor sebenarnya, malah mampu membawa Noorkhiriah lebih jauh lagi dalam bidang lakonan bagi menjadi artis yang serba boleh.

"Saya pernah bawa watak sedih, sopan, jahat dan paling banyak watak kelakar tetapi saya pelik kenapa saya tak diberi peluang untuk melakonkan watak sebegini. Adakah kerana saya kurang bagus atau tak sesuai? Apapun saya nak sangat cuba watak sebegini," terangnya.

Walaupun sesibuk mana pun tugasnya sebagai pelakon dengan penggambaran, keluarga menjadi keutamaannya, bahkan dengan kehadiran anak lelaki keduanya, Muhammad Yusoff menambah seri rumah tangganya.

Malah, Noorkhiriah, 33, menganggap kehadiran anaknya itu menambah rezekinya sekeluarga sehingga tidak menang tangan menerima tawaran berlakon selepas bersalin termasuk sitkom komedi terbaru Boona & Boonie bergandingan dengan Ieda Moin.

"Ini drama saya ke enam selepas bersalin dan Alhamdulilah rezeki saya semakin bertambah selepas kelahiran anak kedua. Selain drama, filem terbaru saya Papadom 2 dengan Afdlin Shauki dan masih memegang watak yang sama," katanya.

Walaupun sudah empat bulan kelahiran anak keduanya itu, namun Noorkhiriah masih belum bersedia untuk mendedahkan wajah comel anaknya kepada umum.

Menyentuh mengenai imejnya kini, Noorkhiriah menafikan dirinya sudah bertudung dan imej yang digayakan hanyalah sekadar trend buat dirinya namun masih memegang watak tidak bertudung.

"Saya nak perbetulkan tanggapan sesetengah pihak yang ini cuma trend bukan bertudung sepenuhnya malah di dalam lakonan saya tetap tidak bertudung.

"Kita kalau betul-betul nak bertudung biar ikhlas bukan kerana terpaksa dan Insya-Allah kalau sampai masanya untuk saya bertudung tak mustahil saya akan bertudung tetapi imej saya kini bukan bertudung," jelasnya.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Niat kena ikhlas

Posted: 04 Jul 2011 03:38 PM PDT

Hip

pix_gal0
Salih dedahkan jiwa mesti bersih untuk beristeri lebih daripada satu

JIKA melihat dari pandangan mata kasar, tampak begitu mudah Salih Yaacob, 48, mengemudi rumah tangga bersama empat isterinya termasuk Samihah Sheikh Ali atau Emi, 24, yang baru dikahwini 30 Mei lalu.

Pasti ramai tertanya-tanya bagaimana bapa kepada 11 cahaya mata daripada tiga isterinya itu menguruskan segala-galanya dari soal perbelanjaan keluarga hingga pembahagian masa dengan seadil-adilnya semetelah kerjaya seninya kini semakin memuncak. Apa pun, akui pengacara, pelakon dan pelawak popular itu, segala-galanya dilakukan dengan nawaitu ikhlas demi Allah bukan berpoligami disebabkan suka-suka malah hingga saat ini dia sentiasa berusaha mengeratkan hubungan setiap anggota keluarganya.

Katanya, manusia biasa tidak mungkin mampu lari dari sikap negatif namun pembersihan jiwa menerusi pembacaan al-Quran, memahami maksud, yakin serta beriman mampu menjauhkan setiap hambaNya dengan semua anasir kurang elok.

"Sebagai ketua keluarga kita perlu memimpin anak, isteri kita dan memberikan layanan seadil-adilnya baik dari segi makan pakai mahu pun kasih sayang. Tiada yang saya lebih atau kurangnya kerana mereka semua nadi saya.

"Namun saya juga bukan manusia sempurna. Cuma untuk memastikan tiada isu atau rasa kurang senang terpendam dalam hati, saya sendiri melalui proses pembersihan jiwa dan menerapkannya kepada isteri dan anak.
"Ya, setiap hari saya seboleh-bolehnya akan pulang ke rumah isteri-isteri saya. Amalan membaca ayat al-Quran sudah saya praktikkan sejak dulu. Alhamdulillah, ia sememangnya mukjizat agung malah setiap perkara yang timbul kami akan bincangkan bersama serta mencari jalan penyelesaian," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program TV terbarunya, Salih Yaacob Show, I Follow.

Aura bahagia jelas melingkari hidup penyampai radio popular itu apabila dibibirnya tidak lekang bercerita soal keluarga termasuk percutian seminggu di Beijing membabitkan semua isteri dan tujuh daripada 11 anak serta 40 peminatnya awal bulan lalu.

Menyatakan matlamat mengeratkan seluruh ahli keluarga terutama Emi dengan isterinya yang lain, Norlizah Mamat, 46, Norraha Hamat, 42 dan Norfara Wahida Sulaiman, 32, dipermudahkan malah anak-anak juga seronok sepanjang percutian.

Menyentuh mengenai popularitinya yang memuncak pada usia hampir menginjak 50-an, Salih berkata segala yang diraih pada hari ini adalah berkat doa seisi keluarganya malah ia rezeki daripada Allah yang tidak mungkin dipersiakan.

Pernah merasai keperitan termasuk mengalami sakit teruk sekitar awal 80-an dulu membuatkan dirinya mensyukuri setiap saat dalam hidupnya sekali pun pernah diuji dengan pelbagai macam dugaan.

"Tidak kira sukar atau senang, saya sentiasa ingat supaya jangan lupa bumi di pijak. Bukan soal populariti yang saya banggakan tetapi penerimaan masyarakat adalah umpama penghargaan di atas hasil kerja saya selama ini.

"Ini jua rezeki anak-anak apatah lagi semua isteri tidak bekerja. Syukur bersama rezeki yang saya kecapi ini, saya masih mampu menanggung keluarga. Semuanya berbalik kepada nawaitu ikhlas serta pembersihan jiwa," katanya lagi yang sentiasa merendah diri.

Walau punya program TV sendiri selain cukup disenangi pendengar stesen radio nombor satu, Sinar FM sejak bersiaran ke udara kira-kira empat tahun lalu, insan bernama Salih Yaacob ini tidak pernah mendabik dada sebaliknya merasakan dirinya masih perlu banyak belajar.

Tempias I Follow selain watak rekaan yang cukup setia menemani pendengar setiap pagi termasuk Wak Jawa, Abang Jem dan Mak Neng bersama isu menarik membuatkan Astro Warna merealisasikannya ke televisyen.

Katanya, sebagai pelawak tidak semestinya kita menonjolkan idea kosong untuk meraih tawa kerana banyak isu semasa serta senario sekeliling yang boleh dijadikan bahan jenaka berisi.

"Saya tidak hebat soal jenaka cuma pengalaman mendewasakan serta mematangkan kita. Kalau boleh dielak, jangan sesekali mengaibkan orang atau mengetengahkan bahan sensitif yang boleh menimbulkan rasa kurang senang insan atau pihak lain.

"Apabila mula bersama keluarga Sinar FM, di situ saya belajar lagi banyak perkara baru malah semakin akrab dengan peminat apabila mendengar masalah mereka hanya dari corong telefon," katanya yang tidak lokek berkongsi cerita.

Berlawak biarlah bertempat

Terlanjur berbicara soal isu sensitif, menerusi Hip 29 Jun lalu, Salih meluahkan rasa kurang senang apabila penampilannya dalam Maharaja Lawak Akhir yang sepatutnya dijadikan landasan mempromosikan program I Follow seakan dipersiakan produksi.

Tindakan teman gandingannya, Mek yang dilihat berlebih-lebihan dalam membangkitkan isu perkahwinan kali keempatnya berulang kali dalam program yang dipancarkan secara langsung itu juga membuatkan Salleh tidak selesa.

Diaju lagi persoalan mengenai isu itu, harapannya biarlah isu berkenaan tidak dijadikan lagi bahan jenaka sesiapa kerana ia kurang manis sekali gus boleh memberikan impak dia sengaja mahu meraih publisiti murahan.

"Saya tidak kisah jika orang gurau berdepan tetapi rancangan itu disiarkan secara langsung dan ditatapi jutaan orang apatah lagi saya diundang untuk mempromosikan I Follow, membuatkan saya sendiri terpinga-pinga.

"Bukan saya tidak datang ketika latihan, jadi apabila pada acara sebenar keadaan itu berlaku, saya agak terkilan. Berlawak biarlah kena pada masa dan tempatnya," katanya yang enggan memanjangkan lagi isu terbabit.

Terus ceria berbicara perihal program TV, dedah bapa penyayang itu dia sendiri tidak menyangka I Follow mempunyai ramai pengikut setia hingga menjadi fenomena dikalangan pendengar setia stesen radio berkenaan.

"Saya berharap penerbitan Salih Yaccob Show, I Follow, mampu merapatkan lagi peminat dengan saya terutama menerusi watak seperti Abang Jem, Mak Neng dan Wak Jawa apatah lagi topik yang kami bincangkan juga turut membabitkan tetamu undangan.

"Selepas tiga tahun tidak muncul dalam program seumpama ini, saya sahut cabaran Astro Warna. Istimewanya mereka memberi sepenuh kebebasan mencorak program ini asalkan tidak tersasar dari matlamat asal," katanya.

Dibahagi kepada lima segmen iaitu I Follow, sebuah persembahan pembuka tirai disusuli Segmen Betul Tak di mana Salik akan berceloteh dengan Mek mengenai topik selain tiga segmen yang tidak kurang lucu - Kembang Sa-Taman, Corat Coret dan Lagu Merapu.

Program Salih Yaccob Show, I Follow yang dijangka disiarkan sebanyak 52 episod akan menemui penonton pada setiap Jumaat, jam 9 malam bermula 8 Julai ini di saluran Astro Warna.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.