Adsense

Sabtu, 23 Julai 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Lakonan serius tinggal kesan

Posted: 22 Jul 2011 06:08 AM PDT

BANYAK pihak seakan meragui kemampuan Juliana Sophie Johari Evans atau Jue Evans, 22, melakonkan watak mencabar. Balik-balik karakter yang dibawakan hanya gadis cantik dan watak yang ringan.

Bagaimanapun, persepsi itu mula berubah selepas menyaksikan lakonannya menerusi drama Kasih Ke Syurga terbitan Opera Klasik yang disiar menerusi slot Cerekarama sempena Hari Bapa, Jun lalu.

Menerusi watak Kasih dalam drama arahan Rashid Sibir ini, Jue tidak bersolek cantik dan bermain dengan emosi apabila didera secara mental dan dibelasah kekasihnya Wan (lakonan Talha) selepas mengandungkan anak terlarang hasil hubungan cinta mereka.

Kesannya, ramai yang memuji lakonan Jue dan mengharapkannya terus tampil dengan watak lebih mencabar.


Tidak mahu terlalu dibuai angan-angan, Jue menganggap reaksi positif berkenaan membakar semangatnya untuk terus memberi yang terbaik.


Bekas pengacara program Remaja TV3 ketika berusia belasan tahun, E-Zone (Astro Ria), Majalah Moral (TVIQ) dan Bintang Kecil Raya (TV9) ini mahu terus diberikan peluang melakonkan pelbagai watak bagi membuktikan kemampuan lakonannya.

"Syukur saya lega kerana tawaran berlakon boleh dikatakan tak putus-putus diterima. Penerbit pun sudah mula buka mata dan tawarkan watak berbeza sekali gus mencabar saya bekerja keras dalam lakonan.

"Saya baru selesai penggambaran drama Puteri Pulau Tuba arahan Bade Azmi untuk siaran RTM. Saya juga berlakon peranan gadis bertudung yang menjadi isteri ketiga dalam telemovie 3 untuk Astro Oasis serta drama Puteri Bunian.

"Semua tawaran ini saya anggap menjadi bukti bahawa produksi sudah melihat kemampuan saya meskipun tidak banyak publisiti mengenai karier saya dipaparkan media," katanya yang mahu terus meneroka dimensi baru dalam lakonannya.

Dari sisi cantik sebagai Cendana dalam Sayang Cendana kepada Kasih Ke Syurga yang menjadi mangsa dera buah hati, Jue sudah membuktikan dia boleh bergelar pelakon masa depan jika dibentuk sebaik mungkin.

Gadis berusia 22 tahun yang berazam ke Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian ijazah sarjana muda pada tahun depan, mengidamkan membawa watak lasak pula.

"Pada luarannya orang nampak saya lembut, tetapi saya sebenarnya lasak dan bersedia menerima tawaran berlakon watak sebegini.

"Saya harap peluang harus diberikan kerana dari situ baru kita tahu kemampuan seseorang. Muka-muka baru perlu dicungkil bagi merancakkan pentas lakonan tanah air," katanya.

Berbicara soal popularitinya di mata peminat, Jue yang pernah digosip bercinta dengan beberapa selebriti menganggap ianya berada pada tahap sederhana.

Hendak dikatakan tiada langsung pun tidak juga kerana adakalanya wajahnya menghiasi media cetak dan media elektronik dengan pelbagai isi cerita.

"Dengan apa yang dilakukan, rasanya peminat memang kenal saya.

"Cuma saya tak boleh terlalu fokus pada lakonan kerana perlu fokus pada pengajian dalam jurusan komunikasi massa di Sunway University College.

"Saya tak mahu mencampur aduk pelajaran dan berlakon kerana kesannya saya yang kena nanti. Lagipun saya masih ada banyak masa untuk berlakon selepas tamat pengajian.

"Saya juga tak banyak kena gosip atau kontroversi kerana bersikap 'low profile' dalam karier. Saya sebenarnya lebih sukakan cara ini kerana malas nak menjawab soalan berbentuk peribadi.

"Saya hanya berharap akan ada banyak peluang lagi dalam cabang seni. Saya suka tengok cerita Hollywood dan teruja tengok idea dalam filem mereka, tapi idea sebegini belum ada di negara kita," katanya.

Mengulas mengenai gosipnya dengan Zizan Raja Lawak yang pernah diperbualkan sebelum ini, Jue berkata ia muncul kerana mereka bergandingan menerusi filem Hantu Bonceng terbitan Excellent Pictures yang bakal menemui peminat pada Syawal nanti.

Dari situlah, gosip mengatakan mereka bercinta digembar-gemburkan segelintir pihak.

"Ia timbul apabila saya kerap jumpa Zizan untuk berbincang mengenai watak kami. Pada saya, ia bukan gimik murahan yang kami cetuskan kerana ia tak membantu publisiti filem ini pun. Saya sekarang lebih senang bersendirian dan serius malas gila nak melayan cinta. Lebih baik saya fokus pada karier dan pelajaran," katanya.

Berbanding artis lain, Jue dikatakan cepat melatah apabila dicuit dan dikritik. Pernah sebuah akhbar mempertikaikan kelemahan pengacaraannya pada satu majlis. Apabila membaca kritikan ini, Jue meluahkan perasaan bengangnya menerusi laman sosial yang diikuti oleh ramai peminat. Menjawab perkara berkaitan, Jue menegaskan tindakannya itu bersebab.

"Saya tak maki mana-mana pihak, tapi sekadar membalas apa yang dikatakan. Sebenarnya saya jenis tak kisah boleh terima kritikan, tapi biarlah bersebab dan ada asasnya. Kalau apa yang dikatakan itu tak betul hingga menjejaskan nama saya, takkanlah saya nak berdiam diri begitu saja.

"Bukan nak cakap besar, saya sudah jadi pengacara sejak berumur 12 tahun. Kalau nak kritik pun, biarlah dengan fakta yang betul. Pengacaraan saya malam itu mendapat pujian ramai orang. Zizan pun ada pada majlis itu dan dia sendiri kecewa dengan tulisan yang disiarkan. Namun, saya tak ambil kisah apa yang berlaku kerana ia lumrah dalam bidang ini.

"Lagi banyak saya cakap, lagi banyak perkara akan berbangkit. Mungkin saya buat silap kerana kelemahan komunikasi dengan pihak yang menganjurkan, tapi saya sudah 'cover' balik kesilapan itu dan berjaya jadikan majlis itu berjalan lancar. Saya faham susah sebenarnya nak jaga hati ramai pihak, jadi apa yang berlaku saya tak ambil hati sangat," katanya.

PROFIL:

NAMA PENUH: Juliana Sophie Johari Evans
KETURUNAN: Inggeris (bapa), Melayu (ibu)
TARIKH LAHIR: 5 Julai 1989
ASAL: Petaling Jaya, Selangor
KERJAYA: Pelakon dan model
AKADEMIK: Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Sunway University College, Bandar Sunway, Petaling Jaya
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak bongsu dari tiga beradik
IKLAN: Tracia Eternal, Fair & Lovely, Nokia 2600 dan Clean & Clear

PENGACARAAN: Remaja (TV3), E-Zone (Astro Ria), Majalah Moral (TVIQ) dan Bintang Kecil Raya (TV9)

DRAMA: Kami The Series, Ghost dan Kasut Tumit Tinggi , Kasih Ke Syurga, Puteri Pulau Tuba, 3 dan Puteri Bunian

FILM: Kami The Movie, Hooperz dan Hantu Bonceng

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tunggu malam ini!

Posted: 22 Jul 2011 05:52 AM PDT

KARNIVAL Gegaria kembali lagi menemui peminat setia akhbar Harian Metro dan kali ini berlangsung di parkir Plaza Angsana, Johor Bahru, bermula hari ini sehingga Ahad.

Selepas majlis pelancarannya di KL Sentral, karnival terbesar anjuran akhbar nombor satu tanah air kali ini mengumpulkan barisan artis terkenal sepanjang dua hari penganjurannya.

Konsert yang bakal berlangsung malam ini menampilkan Hattan, Alyah, Misha Omar, Adam AF2, kumpulan Jinbara, Cat Farish dan kumpulan Bizzings.

Manakala, Zizan Raja Lawak sebagai pengacara bergandingan dengan Ifa Raziah.


Turut memeriah Karnival Gegaria kali ini ialah pelakon dan penyanyi Erry Putra, bintang filem Flat 3A, Ady Syafrien dan pelakon filem Ratu The Movie, Eina Azman.


Erry yang baru kali pertama menjayakan Karnival Gegaria mengakui tidak sabar bertemu peminat setianya di Johor Bahru.

Erry bukan saja meluangkan masa beramah mesra dengan peminat, malah menghiburkan mereka nanti.

"Sebagai artis, sudah pasti saya tidak ingin melepaskan peluang keemasan menjayakan karnival anjuran akhbar nombor satu tanah air ini," katanya.

Pada konsert malam ini, Erry bakal menyampaikan dua hingga tiga lagu buat menghiburkan pengunjung yang hadir. Katanya, segalanya bergantung kepada keadaan dan suasana pada malam itu.

"Kalau masa tak cukup, saya cuma sampaikan dua lagu saja. Antara dalam senarai, Jangan Kau Pergi dan Di Saat Aku Menyintaimu. Saya berharap peminat tidak akan lepaskan peluang untuk sama-sama menyaksikan persembahan saya nanti," katanya.

Pengacara popular Zizan Raja Lawak juga meluangkan masanya untuk memeriahkan Karnival Gegaria di Johor Bahru.

Katanya, jika diikutkan, dia sibuk di lokasi penggambaran telefilem arahan Ahmad Idham, 120KM Sejam Cinta di Melaka.

"Saya tetap mencuri masa untuk memeriahkan lagi acara ini. Selain mengacara, saya juga turut membuat persembahan pembukaan dengan Cat Farish nanti.

"Saya juga akan meluangkan masa bertemu bertemu peminat di gerai Rap Harian Metro nanti. Peminat yang ingin bergambar dengan saya juga dialu-alukan," katanya.

Sepanjang dua hari penganjuran Karnival Gegaria, pelbagai aktiviti menarik diatur di booth Harian Metro khas buat pengunjung yang datang iaitu pertandingan karaoke dan pencarian Gadis Metro di gerai Rap.

Bagi warga Johor Bahru yang mempunyai bakat terpendam dan bercita-cita untuk menceburi bidang seni tanah air, jangan lepaskan peluang keemasan ini.

Acara sukaneka turut diadakan pada Ahad bagi mendekatkan selebriti dengan pembaca setia Harian Metro yang selama ini memberi sokongan padu pada akhbar ini. Tidak ketinggalan juga pelbagai hadiah menarik juga menanti pengunjung.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.