Harian Metro: Rap |
Posted: 21 Jul 2011 06:04 AM PDT RESAM manusia, setiap tindakan atau perkara baik sering disalah erti masyarakat walaupun pada dasarnya niat melakukan perubahan ke arah kebaikan. Barang kali itulah yang dilalui pelakon dan pengacara Irma Hasmie Ibrahim, 29, selepas tampil dengan imej bertudung. Irma berimej sedemikian selepas pulang menunaikan umrah sejak 28 Februari lalu. Irma berharap perubahannya itu tidak disalah erti segelintir masyarakat. Kesannya, timbul pelbagai kata-kata sinis mengenai imej dibawa. Ada yang menganggap tindakannya itu disebabkan putus cinta dan ada pula beranggapan dirinya menagih simpati serta mencari publisiti. Biar apapun tanggapan masyarakat, Irma tabah mengharungi dugaan dan tetap dengan pendiriannya. Tidak sedikitpun berganjak selepas mendapat hidayah bertudung sebaik pulang mengerjakan umrah. Pengacara program bual bicara Assalamualaikum di TV Alhijrah setiap Sabtu dan Ahad jam 9 pagi ini mengakui perubahan ke arah perkara yang positif dilakukan secara pelahan-lahan tanpa ada paksaan atau pengaruh individu tertentu. Sejak tampil bertudung, apakah Irma yang pernah dikaitkan dilamun cinta bersama Farid Kamil dan Nabil Ahmad (Raja Lawak) mahu memilih calon suami di kalangan orang beriman atau lebih tepat lagi calon seperti peserta Imam Muda? Walaupun beberapa kali gagal dalam percintaan, Irma memaklumkan dirinya masih belum berpunya. Tidak ada perasaan serik untuk bercinta lagi sebaliknya akan berhati-hati menyebut soal cinta. Pastinya impian untuk bergelar isteri tetap ada namun semuanya bergantung kepada jodoh dan pertemuan. Bahkan mengakui dirinya mengimpikan calon suami yang mampu membimbing termasuk mempunyai pengetahuan agama yang tinggi. "Tidak dinafikan siapa saja yang bergelar wanita pasti mengimpikan jodoh yang baik. Apatah lagi jika dikurniakan suami yang mempunyai pengetahuan agama yang tinggi. Begitupun, jodoh pertemuan pada Tuhan. Kita hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan. "Apa yang lebih penting, bagaimana seorang itu mempersembahkan dirinya sebagai khalifah. Memang saya mengimpikan bakal suami seorang yang bertanggungjawab, penyayang, boleh membimbing dan beri didikan agama," katanya. Irma yang dikenali dengan sikapnya yang ramah dan tidak suka menyembunyikan berita gembira membabitkan dirinya berjanji untuk berkongsi berita baik itu apabila tiba masanya nanti. Berbicara mengenai perkembangan seni, gadis yang pernah membintangi filem Cinta Fotokopi dan Main-Main Cinta selepas dilamar Metrowealth International Group (MIG) pada 2004, bersyukur kerana rezeki dalam dunia seni sentiasa ada. Gadis yang sentiasa manis dengan senyuman, baru saja selesai menjalani penggambaran drama Psikik untuk siaran RTM dan Kasih Aliya (TV3) sempena Ramadan. Irma yang mula menceburi bidang lakonan selepas menjuarai Gadis Jelita 2004 bersyukur kerana tawaran berlakon terus ada sesuai dengan penampilannya kini. Akui Irma, tiada pula yang cuba memperlekehkan penampilannya itu dengan tawaran berlakon dengan membuka tudung. Irma yang juga menjadi duta produk kesihatan Walit Gold turut menceburi bidang perniagaan dengan menjual jubah secara online bersama rakan kongsi yang juga pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail. Perniagaan yang dimulakan sejak dua bulan lalu itu mendapat maklum balas yang baik daripada pelanggan. "Idea memulakan perniagaan berkenaan datang secara spontan ketika berbual pada satu hari sehingga saya dan Ezuwan nekad mahu memulakan perniagaan ini. "Alhamdulillah, kami mendapat maklum balas yang baik daripada pelanggan dan peminat. "Jubah yang ditawarkan pada harga yang berpatutan dengan rekaan dihasilkan menerusi perbincangan kami bersama. Fabrik yang berkualiti dan lebih ringan. "Ia adalah sebagai percubaan awal saya menceburi perniagaan pakaian. Kami akan melihat pada sambutan terlebih dulu. Memang saya tidak mempunyai pengalaman dalam perniagaan namun saya seronok," katanya. Irma berpakaian anggun rekaan Ezuwan Ismail ketika hadir bersama lebih 30 selebriti di majlis The Blue Kebaya Showcase anjuran Rafflesia The Pearl Centre, baru-baru ini. Katanya, mereka yang ingin membeli jubah dengan pilihan sembilan warna yang ditawarkan pada harga RM599 boleh membuat pesanan menerusi laman web www.ezuwanismail.blogspot.com. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
Posted: 21 Jul 2011 05:49 AM PDT SEBUT saja 'minyak dagu' bayangan misteri mula menjengah fikiran masyarakat. Bukan saja mencetuskan kebimbangan serta membuat orang lain menderita jika terkena minyak sihir atau guna-guna itu, malah masih ada yang sanggup menggunakannya sekalipun ditegah Islam.
Pengajaran daripada kesan buruk amalan minyak dagu menarik minat MIG untuk muncul bersama sebuah lagi karya seram bertajuk Minyak Dagu arahan Azhari Zain. Ia menggandingkan pelakon sedang meningkat, Fezrul Khan bersama Yana Samsuddin selaku pasangan utama.
"Tidak kira berapa banyak filem yang saya arahkan, paling penting, setiap satu mesti menyelitkan mesej yang membina kepada penonton. "Mungkin minyak dagu bukan satu isu baru, tapi ramai masih kurang faham mengenai kesan buruknya. Saya rasa penggunaan minyak dagu jarang-jarang diketengahkan dalam filem. "Apapun pembikinan Minyak Dagu menarik kerana penulis skrip, Meor Shariman Meor Shafie banyak membuat penyelidikan. "Ini dapat memberi gambaran lebih tepat untuk diterjemahkan dalam filem apatah lagi orang lebih banyak mendengar namun tidak tahu akibat minyak dagu boleh membuat orang lain sengsara," katanya pada majlis doa selamat dan pelancaran filem Minyak Dagu di Wisma MIG, Petaling Jaya, baru-baru ini. Azhari sinonim dengan pengarahan filem seram antaranya, Santau, Mantra, Flat 3A dan Keramat. Fezrul, 29, yang membintangi filem kedua MIG selepas Sumpahan Kum-Kum, mengakui teruja dengan prospek lakonan filem Minyak Dagu. "Minyak Dagu? Ada pelbagai cerita didengar daripada orang tua, tetapi tidak tahu bagaimana minyak dagu diperoleh dan tujuan penggunaan. "Saya sendiri berdebar diberi watak sebagai Azman yang pasif dalam filem itu. Apapun saya harap cabaran bekerja bersama Azhari memberi pengetahuan baru buat saya," katanya. Yana, 26, kali kedua membintangi filem seram selepas Histeria terbitan Tayangan Unggul pada 2009 arahan James Lee. "Minyak Dagu menyusul selepas telemovie Kubur Tak Bertanda dalam slot Astro Citra sebelum ini. Saya teruja membintangi Minyak Dagu kerana meneruskan kesinambungan berlakon bersama ramai pelakon terkenal. Saya pernah bergandingan bersama Pierre Andre dan Shaheizy Sam dalam filem MIG. "Apa diharapkan saya dapat merasa dan mencungkil rasa ingin tahu mengenai minyak dagu yang dikatakan diambil daripada mayat wanita meninggal dunia.
Filem berkisar mengenai pasangan Azman dan Emelda sudah bertunang yang merancang untuk berkahwin. Namun sikap Azman yang kedekut membuatkan ibu bapa Emelda, Mak Ainon dan Pak Leman lebih senang dengan Dr Johan, bekas teman lelaki Emelda. Disebabkan keluarga Emelda memilih Dr Johan sebagai menantu, Azman menggunakan ilmu sihir terhadap Emelda. Minyak Dagu baru memulakan penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |