macam macam hiburan terkini |
- Luna Maya Mahu Berbuka Puasa Dengan Ariel
- Kisah Cinta Nasha Aziz Ibarat 'Lampu Merah'
- Almy Nadia Bertongkat, Patah Jari Kaki
- Yasmin Hani: Menghitung hari menjelang Oktober
- Persalinan Memey RM7.2 juta
Luna Maya Mahu Berbuka Puasa Dengan Ariel Posted: 22 Jul 2011 02:55 AM PDT JAKARTA: Pelakon dan pengacara Luna Maya berharap dapat berjumpa dan berbuka puasa bersama kekasihnya bekas vokalis Peterpan, Ariel yang kini masih menjalani hukuman penjara. Tambah Luna, dia masih tidak tahu sama ada berkesempatan untuk berbuka atau tidak memandangkan waktu lawatan yang berbeza pada Ramadan ini. "Saya tidak tahu dapat berbuka puasa atau tidak pada Ramadan ini bersamanya kerana dia sudah ditukarkan ke penjara lain dan waktu lawatannya juga berbeza pada bulan Ramadan. "Tapi saya berharap dan berdoa agar berpeluang untuk berbuka dengannya Ramadan ini," tuturnya seperti dipetik Kapanlagi.com. Bercerita tentang sambutan hari raya Aidilfitri juga, Luna masih belum mempunyai sebarang rancangan untuk meraikannya bersama Ariel. "Saya tidak tahu lagi dan belum merancang tentang berkumpul pada Aidilfitri, tapi memang harapannya untuk bersama dia. Namun kini dia sedang menjalani hukuman," ujarnya. |
Kisah Cinta Nasha Aziz Ibarat 'Lampu Merah' Posted: 22 Jul 2011 02:52 AM PDT PETALING JAYA: Pelakon Nasha Aziz menjelaskan perjalanan cintanya terlalu banyak rintangan berbanding pasangan lain kerana ia sering tidak menjadi. Kata Nasha, kalau disebut soal cinta dalam dirinya, ia umpama lebih banyak "lampu merah" berbanding "lampu hijau". "Sebagai orang yang bercinta atau berada dalam sesebuah hubungan itu, kita tentu mengharapkan sesuatu yang terbaik untuk menuju ke peringkat seterusnya. Tetapi sayang, perjalanan cinta saya terlalu banyak rintangan iaitu lampu merah lebih banyak berbanding lampu hijau," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Sidang Media Drama Supermak, di sini, Rabu lalu. Ditanya tentang hubungan cintanya dengan Nur Iman Tang s yang dikatakan telah berakhir, Nasha enggan mengulas panjang dan menganggap perkara tersebut hanya khabar angin. "Sebagai seornag Islam, hubungan saya dengan dia tidak pernah putus," jelasnya yang enggan mengesahkan khabar angin tersebut. Sementara itu Nasha Aziz menjelaskan 2011 merupakan tahun bertuah baginya kerana mendapat tawaran berlakon dengan skrip yang berkualiti dan karakter yang bagus. Dia yang bakal muncul dalam drama bersiri Supermakbermula 25 Julai ini mengakui memilih skrip yang mempunyai sesuatu karakter yang berlainan daripada kebiasaan. "Alhamdulillah tahun ini saya banyak mendapat tawaran yang mempunyai skrip dan karakter yang bagus-bagus dan kuat. "Saya akui memang sekarang saya memilih dalam pelbagai segi terhadap sesuatu tawaran seperti skrip, kreativiti dan karakter sesuatu watak. "Saya berada dalam industri ini bukan kerana ingin menjadi kaya tetapi kerana kepuasan dalam bidang ini dan sebab itu juga saya tidak malu untuk pergi uji bakat drama Supermak kerana ia berbeza daripada watak biasa," ujarnya. Turut hadir pada majlis tersebut ialah pengarah drama tersebut Prem Anand Pillai dan barisan pelakon seperti Azhan Rani, Zul Yahya, Rosli Sako dan Syawal. Sementara itu, Nasha berkata drama Supermak ini menuntutnya melakonkan watak aksi luar biasa yang belum pernah dilakonkan sebelum ini. "Saya sudah biasa memegang watak-watak tentang kisah hidup sebenar yang dilalui oleh orang biasa, jadi saya ingin cuba menjadi luar biasa iaitu watak Superhero. "Bagaimanapun tahap yang paling mencabar ialah berlakon bersama kanak-kanak kecil yang menjadi anak saya, kita terpaksa mengikut "mood" dia untuk berlakon," jelasnya. Selain itu, ditanya tentang persiapan bulan Ramadan yang bakal menjelma, kata Nasha, dia agak sedih kerana terpaksa melakukan penggambaran drama tersebut sepanjang bulan berkenaan. "Sudah lima tahun saya tidak mengambil sebarang tawaran ketika bulan Ramadan bagi menumpukan kepada amal ibadah tapi tidak untuk tahun ini kerana terpaksa menghabiskan penggambaran untuk drama ini," jelasnya. |
Almy Nadia Bertongkat, Patah Jari Kaki Posted: 22 Jul 2011 02:50 AM PDT KUALA LUMPUR: Pelakon Almy Nadia Aminuddin Shah, 25, mengalami kecederaan apabila jari kaki kanannya patah akibat tersadung pada pintu di rumah keluarganya di Pulau Pinang, Sabtu lalu. Menurut Almy, dia sama sekali tidak menyangka bahawa kecederaan jari kakinya yang disangka terseliuh pada awalnya itu adalah kecederaan yang serius. "Saya sendiri pun tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku. Kaki saya hanya tersadung pada pintu dan saya sangka ia hanya terseliuh. "Saya hanya pergi ke klinik dan malas hendak ke hospital untuk membuat pemeriksaan x-ray walaupun telah disuruh oleh orang tua saya. "Malah, selepas kejadian itu, saya masih boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti keluar makan dengan keluarga, memandu kereta dan beli barang," katanya kepada mStar Online. Tambah Almy, kedegilannya yang enggan membuat pemeriksaan x-ray itu telah mengakibatkan kecederaan kakinya bertambah serius dan membengkak sehingga menyukarkan pergerakan. "Bayangkanlah, selepas insiden itu, saya boleh pulang ke Kuala Lumpur dan sambung berlakon seperti biasa walaupun kaki saya terasa sakit. "Pada Selasa lalu, kecederaan bertambah serius apabila kaki yang bengkak itu terlanggar pula kerusi sehingga memaksa saya melakukan pemeriksaan x-ray di hospital yang kebetulan berdekatan dengan lokasi penggambaran drama. "Selepas pemeriksaan, doktor sahkan jari kaki saya memang patah. Kecederaan itu sudah melarat ke seluruh bahagian kaki sehingga mengakibatkan jangkitan pula," katanya. Bagaimanapun, demi komitmen drama bersiri Maahad Al-Amin arahan Raja Ahmad Alauddin yang sedang berlangsung kini, Almy enggan bercuti panjang dan sanggup berulang-alik ke lokasi penggambaran dengan bertongkat. "Sakitnya memang Tuhan saja yang tahu tetapi saya tidak mahu bercuti panjang kerana ia akan menjejaskan jadual penggambaran drama itu. "Esok atau lusa saya akan kembali ke lokasi penggambaran semula walaupun kaki berbalut dengan simen dan berjalan dengan menggunakan tongkat," katanya. Dalam pada itu, aktres drama Jangan Bunuh Matahariku ini sempat diusik tentang status sebenar hubungannya dengan aktor Fizz Fairuz yang dikhabarkan sudah berakhir. Jawab Almy: "Saya tidak mahu komen apa-apa kerana tidak mahu membesar-besarkan hal itu. Hakikatnya, hanya kami saja tahu cerita sebenar. "Memang hubungan kami renggang sekarang dan jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan komitmen kerja. Namun, kami masih berhubung dan tidak sampai ke tahap putus." Mendengarkan reaksi tersebut, Almy terus diasak adakah dia cuba menyembunyikan cerita sebenar tentang status hubungan mereka? Beritahunya, selepas pelbagai kontroversi tentang hubungan mereka diperkatakan kebelakangan ini, dia sudah malas untuk memberikan sebarang komen atau terlibat dengan kemelut tersebut. "Saya malas hendak fikir sebab itu saya tak kuasa hendak beri apa-apa komen ketika pihak media mencari saya berkenaan cerita Fizz bermain kayu tiga dan sebagainya. "Saya tidak mahu dianggap artis yang bodoh kerana sibuk bercerita dan terbabit dalam kancah kontroversi yang tidak memberikan manfaat. "Tidak semua cerita kita boleh kongsi kepada umum, biarlah saya saja yang tahu," katanya mengakhiri perbualan. |
Yasmin Hani: Menghitung hari menjelang Oktober Posted: 21 Jul 2011 05:40 PM PDT MENGENALI Yasmin Hani atau lebih mesra disapa Hani ini, dia lebih selesa untuk bercerita tentang dunia seninya berbanding mencanangkan kisah peribadi. Yang pasti, Hani mempunyai pendiriannya sendiri apabila membicarakan soal peribadi. Tidak mahu orang akan mencebik dan mengata, kata Hani. Seperti mana lazimnya, kalau bertemu dengan Hani, dia memang tidak kenal erti duduk diam. Ada sahaja cerita yang mahu dikongsi dengan pihak media. Seperti lazimnya, apabila berpeluang duduk bersembang dengan Hani, pelbagai pertanyaan akan dilontarkan kepada wanita kacukan Melayu-Inggeris ini. Ada cerita yang diberi lampu hijau oleh Hani untuk ditulis manakala selebihnya, adalah untuk pendengaran telinga sendiri sahaja atau dalam istilah etika kewartawanan, off the record. Dan, mengenali Hani, dia memang cukup terbuka dalam memberikan jawapannya dan ini termasuklah perkhabaran tentang perkahwinannya bersama buah hati tersayang, Sha'arin Mohammed Razali, 41. Barangkali hubungan cintanya dengan jejaka kacak berusia 41 tahun itu bukan lagi satu rahsia bagi sesetengah pihak. Dalam erti kata lain, ia adalah rahsia terbuka (open secret). Selepas lebih setahun menyulam cinta bersama Sha'arin, Hani secara terus-terang memberitahu dia bakal menamatkan zaman bujangnya bersama buah hatinya itu sekitar pertengahan bulan Oktober ini. "Tetapi, saya mahu meminta maaf kepada semua pihak bahawa majlis perkahwinan saya akan diadakan secara kecil-kecilan sahaja. "Saya hanya akan menjemput mereka yang rapat dengan saya sahaja bagi meraikan hari bersejarah itu. Majlis saya itu cukup ringkas apabila kami hanya akan bernikah dan bersanding sahaja. Malah, tiada juga majlis pertunangan," katanya tanpa selindung. Hani ditemui usai majlis pelancaran drama bersiri, Wasiat di Cathay Cineleisure, The Curve, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Menyambung bicara, Hani menjelaskan memang dia mahu mengadakan sebuah majlis perkahwinan yang kecil namun meriah dengan kehadiran mereka yang memainkan peranan penting dalam kehidupannya. "Saya tidak perlu mengikut trend seperti orang lain. Masing-masing ada hak dan cita rasa untuk mengadakan majlis yang mereka idamkan. Begitu juga dengan diri saya. "Buat apa kalau mengadakan majlis besar-besaran tetapi hanya akan mengundang kata-kata yang kurang manis serta dilabelkan sebagai mahu menunjuk-nunjuk. "Saya tidak mahu menjadi seperti itu. Adalah lebih afdal apabila menghadiri mana-mana majlis perkahwinan untuk mendoakan yang terbaik untuk pasangan pengantin. Itulah yang saya mahukan daripada semua orang untuk mendoakan kesejahteraan hidup saya dan bakal suami," kata pemilik nama penuh Yasmin Hani Richardson Ismail Richardson ini penuh jujur. Dalam usianya yang sudah mencecah 32 tahun itu, kata Hani, dia memang sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu. Baginya, untuk menjadi seorang ibu dan isteri yang baik ia tidak akan datang dengan sendirinya melainkan perlu menempuhi alam perkahwinan itu bagi merasai sendiri pengalaman tersebut. "Bagaimana kita hendak merasai pengalaman itu seandainya kita sendiri tidak melaluinya. Semua ini adalah proses pembelajaran dan kita tidak akan menjadi bagus hanya dalam sehari," ujarnya lagi. Mengimbas kenangan perkenalan mereka, Hani memberitahu dia memang sudah lama mengenali Sha'arin sewaktu jejaka kacak itu masih lagi bekerja di Astro. Namun, pada ketika itu, mereka hanya saling bertegur sapa seperti rakan setugas yang lain sehinggalah bibit cinta mula timbul lebih setahun yang lalu. Selama tempoh mengenali Sha'arin yang juga merupakan abang kepada pengacara dan pelakon Qi Razali itu, Hani menyifatkan buah hatinya itu sebagai seorang yang cukup memahami. Malah kata Hani, ada sikap dan sifat yang dimilikinya tiada dalam diri Sha'arin dan begitulah juga sebaliknya lalu berjaya mencipta keserasian antara mereka dalam melayari dunia percintaan. "Sehinggakan ada ahli keluarganya sendiri tidak tahu bahawa dia memiliki sifat-sifat tersembunyi yang mana hanya saya sahaja yang tahun," kata Hani yang merupakan adik kepada bekas pelakon filem Penyair Malam, Yasmin Suraya ini sambil ketawa. Walaupun sudah berkahwin nanti, Hani memberitahu dia akan meneruskan kariernya dan mendapat sokongan penuh daripada Sha'arin. Rindu jadi pengacara ANAK jati Kuala Lumpur ini mula menempa populariti sebagai artis apabila bakatnya mula meraih perhatian menerusi program hiburan, Muzik @ Ria terbitan Astro, beberapa tahun lalu. Siapa yang dapat lupa tanda pengenalan Hani menerusi program itu, Wacha! sehingga dia sendiri digelar dengan panggilan itu. "Jujurnya, memang saya cukup merindui dunia pengacaraan. Kalau diberi peluang mengacarakan Muzik@Ria lagi sekali pun, saya tidak kisah untuk melakukannya. "Namun, dalam masa yang sama, saya mahu menongkah arus dan mencabar diri saya sendiri untuk menjadi pengacara bagi program lain. "Salah satunya adalah sebuah program bual bicara seperti The Oprah Winfrey Show yang bukan hanya memberi maklumat dan mesej berguna kepada masyarakat tetapi juga beramal menerusi program itu. "Bukan itu sahaja, saya juga mahu menjadi hos untuk sebuah program berbentuk pelancongan dan rekreasi. Tetapi, saya tidak mahu menjadi hos yang sudah kerap ditonton di televisyen. "Saya mahu menjadi hos program yang dapat melakukan pelbagai aktiviti dan sukan ekstrem kerana saya percaya bahawa saya mampu melakukannya," kata Hani yang dilahirkan pada 11 Jun 1979 ini yang pernah mengacarakan program realiti, Keynote, tahun lalu. |
Posted: 21 Jul 2011 05:34 PM PDT KUALA LUMPUR 21 Julai - Pelakon Memey Suhaiza akan memakai gaun bertatah mutiara lengkap dengan set barang kemas dan kasut yang kesemuanya bernilai RM7.2 juta pada majlis persandingannya dengan Norman Hakim di Crowne Plaza Mutiara di sini, 28 September ini. Memey, 23, akan memakai dua persalinan iaitu setiap satu bernilai RM500,000 tajaan Rafflesia untuk majlis persandingan dan acara memotong kek. Menurut Bill Bora selaku wakil Rafflesia, sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza Tarudin pernah mengenakan gaun bertatah mutiara bernilai RM400,000 pada hari persandingannya. Selain dua persalinan itu yang ditaburi mutiara mengikut gred, Memey juga akan mengenakan dua set barang kemas bernilai RM2.8 juta setiap satu merangkumi anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara untuk dipadankan dengan pakaian tersebut. "Sejak minggu lepas, borang penyertaan untuk rekaan pakaian perkahwinan Memey sudah dibuka kepada semua pereka fesyen yang berminat. "Pakaian itu kelak akan dipadankan dengan anting-anting, gelang tangan, cincin dan tiara. Terpulang kepada pereka untuk menghasilkan pakaian itu, namun kedua-duanya perlu dihiasi mutiara. "Selain itu, Memey juga akan mengenakan dua pasang kasut rekaan khas Prof. Datuk Jimmy Choo," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Kata Bill, Memey amat beruntung kerana pereka kasut ternama itu sudi menghasilkan kasut khas bertatah mutiara untuk majlis perkahwinannya yang dianggarkan bernilai RM300,000 sepasang. Memey dan Norman, 35, bakal bernikah pada 24 September ini di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor. "Persandingan mereka boleh dianggap sebagai wedding of the year kerana mendapat sentuhan orang ternama," katanya. Kata Bill, Memey dan Norman dipilih kerana sebagai pasangan selebriti, kedua-duanya sentiasa menjadi perhatian ramai dan dinanti-nantikan penampilan mereka. |
You are subscribed to email updates from macam macam hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |