Adsense

Isnin, 18 Julai 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Farah simpan rahsia 6 tahun

Posted: 17 Jul 2011 08:10 AM PDT

RAHSIA percintaan yang berlangsung selama enam tahun disimpan rapi penyanyi dan pengacara, Farah Diana Anuar atau Farah, 26.

Sehinggalah tahun lalu dia mula membuka mulut mengenai jejaka yang berjaya memenangi hatinya seorang usahawan, Johan Johari, 26, berasal dari Bukit Jambul, Pulau Pinang.

Walaupun sudah mengikat tali pertunangan Disember lalu, Farah masih lagi berahsia mengenai Johan yang hanya mahu dikenali dengan panggilan 'J' sebelum ini.

Apabila ditanya lanjut terutama membabitkan kisah cinta mereka, bintang Akademi Fantasia 2 (AF2) itu sekadar menjawab, nantikan saja apabila mereka benar-benar bernikah nanti.


Jumaat lalu Farah akhirnya merungkai segala persoalan timbul membabitkan hubungannya dengan Johan. Hanya dengan sekali lafaz, mereka selamat dinikahkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohd Sheikh Abd Aziz dengan disaksikan kira-kira 60 anggota keluarga kedua-dua mempelai.


Menarik pula majlis pernikahan berlangsung di atas kapal persiaran, Cruise Putrajaya sekali gus mencipta sejarah pasangan pertama mengadakan majlis pernikahan di atas kapal.

Pada majlis pernikahan itu, Johan menyerahkan mas kahwin berjumlah RM2,500 dan wang hantaran RM25,185.00 bersempena dengan tarikh lahir Farah diiringi tujuh dulang hadiah dibalas sembilan oleh pihak perempuan.

Ditemui sebaik majlis selesai, Farah menjelaskan dia pertama kali bertemu Johan sewaktu menjayakan persembahan di negeri kelahiran suami itu.

Rakan Johan waktu itu bertindak sebagai penganjur persembahan yang dijayakan.
"Pertama kali kami bertemu adalah di lobi hotel tempat saya menginap. Kami saling berpandangan dan Johan memberikan senyuman.

"Waktu itu hati saya terdetik. Mungkin inilah yang dikatakan orang cinta pandang pertama, dari mata terus turun ke hati.

"Kemudian kami bertemu lagi beberapa kali di lobi hotel itu apabila saya hendak mengadakan persembahan. Mungkin dia berada di situ untuk bertemu dengan rakannya," kata Farah.

Kata Farah lagi, dia benar-benar berasa ada sesuatu yang istimewa pada Johan. Bagaimanapun perasaan berbunga itu disimpan kedap di dalam hati.

Penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Antara Dua itu, sekali lagi terkejut apabila melihat ayahnya mesra berbual dengan Johan bersama rakannya. Ternyata Johan agak berani.

"Menerusi ayah juga saya memperoleh nombor telefon Johan. Pada peringkat awal, saya cuba menyamar dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS). Johan memberikan maklum balas.

"Saya masih belum memberitahu identiti sebenar sehinggalah apabila dia menghubungi saya. Waktu itulah saya memperkenalkan diri," katanya.

Sepanjang enam tahun menjalinkan hubungan jelas Farah, dia turut berdepan pelbagai dugaan terutama sepanjang tempoh bertunang. Apatah lagi percintaan berlangsung secara jarak jauh.

"Pada peringkat awal memang kami kerap bertemu iaitu sebulan sekali dan lama kelamaan dua bulan sekali dan tiga bulan sekali.

"Kami terpaksa menjalani hubungan ini sebaik mungkin walaupun payah kerana jarak jauh. Ada rakan sebelum ini turut menjalani percintaan jarak jauh putus di tengah jalan dan saya takut ia turut berlaku kepada saya. Namun syukur kerana sepanjang tempoh itu Johan menunjukkan kesungguhan," katanya.

Jelas Farah lagi, sepanjang tempoh itu dia turut menduga bagi melihat sejauh mana kesungguhan dan sayangnya suaminya itu terhadapnya, sekali gus membuka pintu hati untuk menerima Johan.

"Selepas setahun kami berhubungan, saya pernah 'melarikan diri; daripada Johan selama enam bulan. Setiap kali dia menghubungi saya mendiamkan diri.

"Sampaikan adik menegur mengapa saya tidak menjawab panggilan Johan. Kata saya. biarkan kerana saya mahu melihat sejauh mana dia benar-benar mahu dan sayangkan saya.

"Sepanjang masa saya lihat Johan terus menghubungi saya. Kalau lelaki lain mungkin mereka sudah mencari pengganti, tetapi dia tidak. Selepas tempoh itu kami bertemu kembali dan saya lihat dirinya seperti tidak terurus kerana terlalu merindui saya, mungkin. Terus saya yakin bahawa Johan benar-benar menyayangi diri saya," katanya.

Bagi Johan sendiri sewaktu pertama kali berkenalan dia tahu Farah seorang penyanyi, tetapi tidak menyedari isterinya itu artis popular memandangkan dia sendiri kurang mengikuti perkembangan industri hiburan tempatan.

"Sewaktu Farah menyamar saya dapat rasakan bahawa itu dia, tetapi saya sengaja buat-buat tidak tahu. Selepas tahu identitinya yang sebenar barulah kami mula berkenalan lebih rapat.

"Waktu itu juga barulah saya tahu bahawa Farah pernah menyertai AF2 dan menyaksikan kembali rancangan realiti TV itu kerana sering di ulang tayang. Sejak itu saya sering mengikuti perkembangannya," katanya.

Johan turut menafikan bahawa sebaik berkenalan dia sering mengawal kerjaya seni Farah dan memintanya agar bertudung.

Apa yang dilihat peminat dan umum atas perubahan berlaku kepada isterinya itu datang tanpa dipaksa.

"Saya mula yakin terhadap Farah selepas membawanya bertemu dengan keluarga. Saya lihat dia begitu senang dan mudah bergaul dengan semua ahli keluarga saya. Saat itu saya rasakan dialah wanita tepat untuk dijadikan isteri. Saya melamar Farah pada 2008, bagaimanapun kerana kesibukan kerja menyebabkan keputusan untuk bertunang dibuat akhir tahun lalu," katanya.

Seperti juga Farah, Johan turut beberapa kali menguji isterinya bagi melihat sejauh mana dia menyayangi dirinya. Bagaimanapun apabila ditanya ujian yang bagaimana dia tidak dapat ingat.

Selepas bernikah, Johan mahu Farah tetap meneruskan kerjaya seninya seperti biasa dan dia tidak pernah menghalang.

Pada majlis itu, Farah turut membuat kejutan kepada Johan apabila memberitahu bahawa mereka akan berbulan madu di Maldives seperti apa yang diimpikan suaminya.

Mengikut perancangan awal mereka tidak memikirkan soal itu memandangkan majlis perkahwinan dan pernikahan berlangsung hampir dengan Ramadan yang akan tiba awal Ogos ini.

Namun rezeki menyebelahi pasangan ini apabila mendapat tajaan dari sebuah agensi percutian yang sering bekerjasama dengan Farah sewaktu dia menjayakan rancangan Rasa Halal Orient.

Majlis persandingan pasangan ini berlangsung kelmarin di Pusat Maritim Putrajaya bertemakan 'Love Lake Wedding.'

Selepas ini Farah akan mengikut suaminya menetap di Pulau Pinang. Bagaimanapun dia akan pulang ke Kuala Lumpur sekiranya ada tuntutan kerja.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Karnival Gegaria diteruskan!

Posted: 17 Jul 2011 05:59 AM PDT

EDISI baru Karnival Gegaria Harian Metro muncul kembali lagi. Untuk musim seterusnya, pelbagai lagi kelainan serta aktiviti menarik disediakan.

Memulakan siri penjelajahan pada 23 dan 24 Julai ini dengan memilih Plaza Angsana, Johor Bahru sebagai lokasi pertama, karnival ini akan turut mara ke Ipoh, Temerloh, Seberang Prai dan Klebang, Melaka.

Kelima-lima lokasi ini dimaklumkan menerusi majlis pelancaran karnival hebat itu yang berlangsung di Stesen KL Sentral, Rabu lalu yang dirasmikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Mustapa berkata, Johor Bahru dipilih sebagai destinasi pertama kerana Harian Metro mempunyai jumlah pembaca yang tinggi di negeri itu.


"Pemilihan Johor Bahru sebagai lokasi pertama karnival tanda penghormatan kepada penduduk negeri itu yang menjadi penyumbang terbesar kejayaan Harian Metro selama ini.


"Pada masa sama mengeratkan lagi hubungan akhbar ini dengan pembaca. Kami menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk disertai dan dimenangi pengunjung," katanya.

Sebagaimana penganjuran yang lepas, di setiap lokasi dikunjungi Harian Metro pasti diserikan dengan Konsert Gegaria yang menampilkan artis-artis pujaan.

"Di Johor Bahru antara artis yang akan turun padang ialah Hattan, Misha Omar, Alyah, Jinbara dan Adam AF2, Ifa Raziah dan Zizan Raja Lawak dan beberapa artis baru.

"Mereka akan muncul di pentas konsert dan dalam acara sukaneka. Pelbagai aktiviti lain disediakan di 'booth' RAP seperti promosi filem terbaru dan sesi autograf bersama peminat.

"Terima kasih diucapkan kepada semua artis terbabit dan pihak penaja. Dengan kerjasama padu, acara itu dapat dianjurkan lagi tahun ini," katanya.

Beliau menambah, sepanjang dua hari berlangsung karnival itu turut diisi dengan forum agama pada Jumaat malam membabitkan panel terkenal mengupas isu semasa masyarakat.

Selain itu ada juga pertandingan Metro Idol, peraduan karaoke, pameran foto dan pelbagai cara lagi.

Sementara akhbar mingguan Metro Ahad pula akan menganjurkan pelbagai aktiviti seperti Madhop dan Trek Lokasi.

Mengimbas majlis pelancaran karnival itu diserikan dengan kehadiran wakil penaja iaitu Pengurus Promosi Perak Tourism Management Berhad, Badrul Hamidi; Pengarah Eksekutif LR International Marketing Sdn Bhd (X Power Cafe); Mohd Asri Ahmad, Eksekutif Acara SCA Hygiene Marketing Sdn Bhd (Libresse); Madeline Low serta Ketua Penolong Pengarah Kanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Varuges VM Abraham.

Turut kelihatan pada majlis itu, Pengarah Jabatan Pengiklanan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Badrul Hisham Mahzan; Pengarah Jabatan Pemasaran NSTP, Zuraida Mohamad; Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail; Pengerusi Karnival/ Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Ahmad Salim Bachok dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil.

Menghangatkan lagi suasana pelancaran yang dihoskan Nana Hot FM itu, beberapa artis terkenal diundang seperti Akim AF7, Salma (Mentor 5) dan penari remaja lincah, Wakaka Crew.

Selepas menyanyi, artis sempat melayan peminat yang ingin bergambar dan mendapatkan autograf.

Tahun lalu Karnival Gegaria Harian Metro sempat mengembara ke Teluk Batik, Perak; Temerloh, Pahang; Kota Tinggi, Johor serta Alor Gajah, Melaka. Kemuncak konsert dibuat serentak dengan sambutan ulang tahun Harian Metro ke-20 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang berjaya menarik kira-kira 100,000 pengunjung.

Antara artis yang menjayakan konsert hebat pada malam itu termasuklah, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Ahmad Jais, Alyah, Bunkface, Ramli Sarip, Shahir AF, Stacy dan Jozan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.