Adsense

Isnin, 11 Julai 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Perkenal produk baru SimplySiti

Posted: 10 Jul 2011 05:39 AM PDT

TATKALA banyak penganjuran program hiburan seperti konsert, teater dan persembahan dibatalkan gara-gara perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di sekitar Lembah Klang, penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 32, pula punya perspektif berbeza dengan meneruskan persembahan eksklusifnya, malam Sabtu lalu.

Konsert Malam Gala dan karnival ulang tahun pertama SimplySiti yang diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam turut membariskan tiga lagi penyanyi terkenal lain, Amy Search, Ana Raffali dan Aizat Amdan.

"Bohong jika saya katakan tidak bimbang atau tidak mengambil peduli akan senario yang berlaku. Namun semua itu tidak langsung mengganggu perjalanan penganjuran majlis ini kerana lokasinya bukanlah di sekitar Kuala Lumpur yang menjadi sasaran utama perhimpunan itu sebaliknya majlis ini kami lakukan di Shah Alam.

"Bukan saja jauh daripada Kuala Lumpur malah kami anjurkan dalam kawasan universiti yang saya yakin tahap keselamatannya tinggi. Proses pembatalan sesebuah pengajuran majlis atau konsert seperti ini bukanlah satu keputusan mudah kerana ia membabitkan banyak pihak.

"Malah tiket-tiket bagi menyaksikan persembahan sudah pun habis terjual. Lantas ia akan berlanjutan kepada masalah lain pula jika mengambil keputusan untuk membatalkannya. Lagipun saya sendiri kagum melihat segala persiapan dan konsep penganjuran oleh pelajar UiTM yang begitu kemas dan tersusun," katanya.


Menyifatkan penganjuran Konsert Malam Gala dan karnival ulang tahun pertama SimplySiti ini sebagai sebuah persembahan yang indah dan istimewa, Siti berasa bertuah kerana mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk UiTM sendiri dan barisan teman penyanyi yang tidak berfikir panjang bagi turut serta membantu.

"Saya berpuas hati dengan sambutan yang diterima kerana secara keseluruhannya saya merasakan persembahan ini cukup berjaya baik dalam mencapai objektifnya untuk mengumpul dana mahupun menghiburkan kesemua penonton yang hadir.


"Menariknya, saya turut melihat persembahan ini bagai sebuah malam penghargaan buat semua yang menyokong kejayaan SimplySiti selama ini.

"Tidak sekadar pengguna yakin dan percaya dengan produk ini sebaliknya saya turut ingin meraikan semua individu yang terbabit dalam menyumbang kejayaan ini termasuk peminat, pihak media serta rakan kongsi perniagaan yang tidak henti membantu.


"Saya cukup terharu dengan sambutan yang diberi. Bayangkan 5,000 peminat setia hingga ke akhir persembahan memenuhi ruang dewan ini di ketiga-tiga aras. Saya cukup seronok dan berterima kasih kepada peminat," katanya.

Mengangkat matlamat bagi mengisi Tabung Mengubah Destini Anak Bangsa UiTM, semua hasil kutipan derma dan tiket yang berharga RM38 pada malam konsert disalurkan terus ke dalam tabung berkenaan.

Dana yang terkumpul juga akan digunakan bagi membantu kira-kira 5,000 pelajar cemerlang UiTM yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian di dalam dan luar negara. Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Ir Dr Sahol Hamid turut hadir menyaksikan konsert itu.


Menariknya, Siti tampil dengan motosikal berkuasa besar bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ketika masuk ke dewan sebagai gimik pembukaan. Peminat bersorak dan tidak henti menjeritkan namanya.

Pada malam itu, penyanyi nombor satu negara itu menyampaikan beberapa lagu termasuk Destinasi Cinta pada awal pembukaan sambil memperkenalkan satu lagi produk terbaru SimplySiti, Lovely Edition diikuti Biarlah Rahsia dan lagu tradisionalnya yang tampak bagai persembahan Citrawarna.


Penyanyi kelahiran Pahang ini turut berduet bersama Aizat menerusi lagu kegemarannya, Lagu Kita sebelum memperdengarkan buat pertama kali lagu Inggeris terbarunya, Falling In Love.


Penyanyi muda, Ana Raffali pula tampil dengan baju kurung tanpa gitar kali ini dengan menyanyikan lagu keramatnya, Tolong Ingatkan Aku. Menariknya, kata Ana dia terharu dan bangga berpeluang menjayakan persembahan malam itu kerana kembali ke UiTM dan menghiburkan peminat di sini selepas beberapa tahun meninggalkan kampus jurusan Undang-Undang.


Penyanyi terkenal, Amy pula menyampaikan dua lagu, Kerja Gila dan lagu keramat, Isabella manakala Aizat bersahaja menyanyikan dua lagu solo, Sungai Lui dan Years From Now.


Konsert Malam Gala dan Karnival Ulang tahun pertama SimplySiti dilakukan atas kerjasama empat fakulti iaitu Teka, Fakulti Muzik, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media dan Fakulti Senireka.


Kesungguhan dan komitmen kesemua pelajar yang terbabit akhirnya berjaya merealisasikan sebuah persembahan yang bertenaga dan penuh sambutan.


Mengenai buah hatinya, SimplySiti yang kini sudah pun menjengah usia setahun, penyanyi yang tidak lekang dengan senyuman itu berkali-kali mengucap syukur kerana usahanya selama ini dalam membina empayar perniagaan kosmetik ini berjaya mencapai sasaran dan mengikut perancangan awalnya.


"Memang begitu pantas dan saya sendiri tidak sangka sudah melangkaui setahun rupanya SimplySiti. Namun alhamdulillah segalanya berjalan seperti yang diharapkan dan saya sentiasa bersyukur kerana apa yang diinginkan dapat direalisasi.


"Selain kempen mengumpulkan wajah-wajah SimplySiti yang kami lakukan sejak Januari lalu serta beberapa rangka jelajah promosi produk, kami kini lebih cenderung memikirkan soal meluaskan lagi pasaran.

"Kini, kami hanya berjaya menembusi pasaran Brunei lantas seterusnya saya memandang untuk memperkenalkan produk ini hingga ke Singapura dan Indonesia dalam masa terdekat.


"Saya sendiri berterima kasih dengan beberapa pihak yang sentiasa berada di belakang saya dan syarikat dalam mengemudi perniagaan ini. Setakat ini, saya mampu tersenyum melihat perkembangan positif dan segala pencapaian syarikat dalam membawa perniagaan ini ke tahap yang lebih baik," katanya.

>PROFIL
NAMA PENUH: Siti Nurhaliza Tarudin
TARIK LAHIR: 11 Januari 1979
TEMPAT LAHIR: Temerloh, Pahang
KELUARGA: Anak keempat daripada tujuh beradik
STATUS: Isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa
PENGALAMAN MANIS: Menjuarai Bintang HMI 95
ALBUM: Siti Nurhaliza I, Cindai, Adiwarna, Pancawarna, Sahmura, Safa, Sanggar Mustika, E.M.A.S, Prasasti Seni, Transkripsi, Hadiah Daripada Hati, Lentera Timur dan Tahajjud Cinta
PENCAPAIAN: Menerima lebih 100 anugerah dan pengiktirafan dalam dan luar negara
PENGACARA: Program bual bicara SITI

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

SKMM, MDeC tak sokong

Posted: 10 Jul 2011 05:33 AM PDT

JIKA sebelum ini Malaysia menjadi tumpuan penganjuran Festival Filem Asia Pasifik, Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (Kliff) dan Short Shorts Film Festival Asia, sekali lagi kita berbangga apabila Festival Filem Pendek Antarabangsa Kuala Lumpur (Klis) buat julung kali akan dianjurkan pada awal tahun depan.

Acara peringkat global ini dijangka menarik perhatian ramai peserta menerusi kerjasama dengan laman sesawang antarabangsa, Withoutabox, platform yang bertanggungjawab menyediakan sistem penyertaan filem ke lebih 850 festival filem seluruh dunia.


Di sebalik publisiti meluas menerusi laman sesawang popular ini, penganjur, Klis Network melahirkan rasa terkilan apabila acara terbesar ini gagal mendapat sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) termasuk Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Pengarah Klis, Martias Mohd Ali berkata, dua badan kerajaan itu kurang yakin dengan kebolehannya bersama rakannya, Yusof Kelana selaku pengarah eksekutif dan Jurey Latif Rosli mengendalikan acara ini.


"Kami amat kecewa dengan perkara ini apabila tidak mendapat sokongan dua badan penting ini. Memang kami tidak pernah menganjurkan acara besar ini tetapi saya sendiri banyak kali hadir ke acara seperti ini di seluruh dunia.


"Selepas melihat kejayaan negara lain sebagai penganjur, saya percaya sudah sampai masanya kita mempunyai festival filem pendek sendiri bertaraf antarabangsa.

"Adanya acara ini, ia diharap dapat membuka mata ramai pihak. Sebagai permulaan, kami memberi peluang kepada sesiapa saja menghantar penyertaan.


"Tiada tema khusus atau bayaran dikenakan. Rakaman menerusi telefon bimbit juga boleh dihantar tetapi ia haruslah mempunyai kualiti yang boleh ditonton dan sari kata.

"Bukan soal kualiti diberi perhatian lebih tetapi idea atau mesej yang ingin disampaikan menjadi penilaian juri," katanya pada sidang media Klis di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Martias berkata, buat masa ini, sebanyak 350 penyertaan diterima sejak dibuka pada 16 Jun lalu. Daripada jumlah penyertaan seluruh dunia itu, empat dari Malaysia.


"Kami menjangkakan lebih 3,000 penyertaan akan diterima sehingga tarikh tutup pada 30 November nanti. Kebanyakan penyertaan yang diterima mempunyai kualiti dan tahu aspek fotografi.


"Dalam pada itu, matlamat penganjuran ini juga mahu melayakkan karya tempatan agar berpeluang menyertai majlis anugerah berprestij, Academy Award suatu hari nanti.


"Kami berharap penggiat seni tempatan mengambil peluang menghantar seberapa banyak karya mereka ke Klis. Peluang ini harus digunakan sebaik mungkin untuk menimba pengalaman dan bertukar pandangan," katanya.


Acara ini yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari 30 Januari hingga 1 Februari 2012 turut dimeriahkan dengan acara lain seperti seminar, bengkel, 'Film Market' dan tayangan filem percuma di skrin Dataran Merdeka.


Empat kategori dipertandingkan iaitu Filem Pendek, Animasi, Pelajar dan tanggungjawab sosial korporat (CSR). Setiap penyertaan harus menggunakan durasi antara dua hingga 20 minit.


Yusof pula berkata, acara ini penting dalam mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai potensi filem pendek yang menjadi salah satu acara popular pada peringkat antarabangsa.


Menariknya, acara yang mendapat sokongan DBKL, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Skop Productions, MIG Pictures, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Astro selaku stesen penyiar, dianjurkan sempena Hari Wilayah yang disambut pada 1 Februari.


"Pemenang utama setiap kategori berpeluang menerima hadiah wang tunai AS$2,000 bersama trofi dan geran tajaan Finas. Hadiah wang tunai tempat kedua pula AS$1,000 manakala AS$500 tempat ketiga.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.