Berita Harian: Hip |
Posted: 10 Jul 2011 05:41 PM PDT Hip RAMAI yang berangan mahu memiliki seraut wajah tampan, malah tidak kurang yang berasakan adalah satu bonus juga sekiranya mereka turut mewarisi darah kacukan. Namun memiliki wajah Pan Asia juga ada dilemanya sendiri, seperti diluahkan jejaka ini. Sedang rancak berbicara, tiba-tiba nada suaranya berubah apabila kami beralih kepada topik lakonan. Walhal sebelum itu, adik kepada bekas anggota kumpulan Elite, Sasha Saidin, Zain cukup bersemangat bercerita mengenai perancangan untuk melahirkan album rap. Tidak mudah, kata jejaka berusia 27 tahun ini apabila bergelar anak kacukan. Gara-gara wajahnya yang lebih iras kepada 'Mat Salih' berbanding Melayu, dia mendapati sukar untuknya menjadi pelakon lebih versatil. Perbualan kami yang tadinya rancak berkisar mengenai album, bertukar menjadi sesi luahan perasaan. Sempat penulis berbisik kepada Zain, keluh-kesahnya itu lebih menarik untuk dipaparkan berbanding rancangan mahu menerbitkan album. Paling tidak, ada pihak di luar sana yang mungkin akan membuka mata. Bukan tidak bersyukur dengan apa yang diterimanya sekarang. Malah baru setahun lebih bergelar pelakon, anak bongsu daripada tiga beradik ini sudah banyak menghiasi kaca televisyen. Namun hatinya sedikit terguris dengan mentaliti penerbit tempatan yang tidak berani dengan pembaharuan. Apabila kekecewaan itu bersarang, timbul keinginan di hati jejaka peramah ini untuk meninggalkan arena lakonan tempatan dan terbang mencuba nasib di negara seberang, Indonesia, mengikut jejak langkah Ashraf Sinclair."Orang anggap menjadi anak kacukan ini istimewa, sebaliknya ia lebih menyukarkan, terutama untuk pelakon lelaki. Tawaran watak agak terhad, sehingga ada kalanya saya berasakan industri tidak bersikap adil terhadap pelakon berwajah Pan Asia seperti saya. "Produser seharusnya membuka minda mereka. Bagi mereka, pelakon lelaki berwajah Pan Asia hanya sesuai membawakan watak jahat dan playboy, sedangkan kami juga mampu menjadi pelakon versatil, tetapi mereka tidak mahu memberikan peluang. "Bukan tidak timbul keinginan untuk membawakan watak hero, tetapi mereka tidak memberikan peluang itu kepada saya. Memang saya pernah diberikan peluang memegang watak utama, tetapi cuma untuk sekali dua. Selebihnya hanyalah watak sampingan. Saya bukan hendak kata saya terlalu bagus atau berharga, sehingga merugikan mereka jika tidak ambil saya berlakon. Cuma, sekurang-kurangnya janganlah bersikap double-standard. Tiada salah sekiranya produser kita mencuba sesuatu yang baru," kata Zain penuh harapan.
"Saya akan memberi tempoh tiga tahun saja kepada industri. Jika kerjaya lakonan saya berkembang mekar, mungkin saya akan terus berada di sini. Bagaimanapun, jika penerbit terus enggan memberi peluang kepada saya, mungkin saya akan memikirkan untuk ke Indonesia. "Mereka lebih menghargai bakat seseorang pelakon berbanding orang di sini. Abang ipar saya, Salyo, memang sudah lama menyuarakan cadangan untuk memperkenalkan saya kepada penerbit drama di sana kerana dia mengenali ramai orang yang terbabit dalam bidang seni. Tetapi saya menolak kerana saya sayangkan tanah air saya sendiri. "Tengoklah macam mana nanti, kalau perlu, saya berhijrah. Saya akan pergi walaupun terpaksa bermula dari bawah sekalipun," kata jejaka yang pernah bekerja sebagai jurulatih peribadi sebelum bergelar pelakon. Kagumi karya Syamsul DALAM rancak bercerita mengenai kekesalan terhadap industri lakonan, sempat juga jejaka ini meluahkan rasa kagumnya terhadap karya arahan Syamsul Yusof. Katanya, dia mula mengikuti perkembangan hasil seni anak bujang Datuk Yusof Haslam itu sejak KL Drift lagi. Sejak itu, dia mula menyanjung filem hasil sentuhan pengarah yang sebaya dengannya itu. Karya terbaru Syamsul, KL Gangster yang berjaya memungut RM12 juta paling dikagumi Zain. Malah dia memasang angan-angan agar dapat bekerjasama dengan sutradara muda itu satu hari nanti. "Saya mengagumi Syamsul kerana dia seorang anak muda yang berani mencuba. Saya memang suka karyanya sejak dulu lagi. Filem seram arahannya, Khurafat, sebuah filem yang amat baik sekali dan saya juga menggemari KL Gangster. "Bila menonton filem arahan Syamsul, memang kita dapat rasakan jiwanya kerana kita boleh melihat keikhlasan dan minat Syamsul dalam berkarya. Kekaguman saya pada Syamsul membuatkan keinginan untuk berlakon dengannya begitu membuak-buak. Saya harap diberi peluang oleh Syamsul untuk berlakon dalam filem arahannya satu hari nanti," kata jejaka yang pernah dikaitkan dengan Rozita Che Wan ini. Ingin bergelar penyanyi MEMINATI muzik rap sejak kecil, cita-cita itu tidak pernah padam walaupun kerjaya yang diceburi sekarang agak tersasar dari minat utamanya. Jejaka yang bakat lakonannya dicungkil oleh Zeel Production itu berkata, setelah menceburi dunia lakonan barulah dia berjaya mengumpulkan bajet untuk menghasilkan album. "Saya pernah menerima tawaran daripada sebuah syarikat rakaman, tetapi saya tolak kerana tidak mahu terikat dengan genre yang saya tidak minat. Walaupun terpaksa menunggu lama, saya tidak kisah asalkan akhirnya saya dapat buat benda yang saya suka. "Sebagai pengenalan, saya akan merakamkan album raya terlebih dulu. Walaupun lagu raya, ia masih berkonsepkan rap dan ada unsur kelakar kerana saya sukakan genre itu. Saya percaya jika kita betul-betul minat, hasil yang akan dilahirkan nanti pasti memuaskan," katanya yang akan bekerjasama dengan DJ Anowl. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: 10 Jul 2011 05:37 PM PDT Hip Daripada cinta mendayu, 6ixth Sense muncul dengan irama kerohanianSEBELUM ini, mereka terkenal dengan barisan lagu cinta romantis yang mendayu-dayu, yang banyak menghiasi drama bersiri TV, namun kini kumpulan 6ixth Sense cuba mengalihkan sedikit selera dengan mengetengahkan pembawaan lagu yang lebih segar, yang berunsurkan kemanusiaan, ketuhanan, kedamaian dan kerohanian. Namun, akui vokalisnya, Adi atau nama sebenarnya Adi Priyo Sambodo, yang ditemui pada majlis kerjasama Digimusic dan Sony Ericsson di Kelab Mist baru-baru ini, tidak semestinya kumpulan nasyid saja yang boleh menyampaikan lagu berkonsepkan ketuhanan, malah kumpulan pop seperti mereka juga berkebolehan menyampaikan mesej yang berbentuk nasihat. "Sebelum ini juga kami ada menghasilkan lagu berkonsepkan kerohanian, seperti lagu Tanpa dan Khatimah Cinta, cuma orang ramai kurang menyedarinya. Kini dengan pembikinan single baru yang berunsurkan sebegitu, mungkin orang ramai lebih memahami. "Single baru yang akan muncul dengan konsep kerohanian ini, khas buat bulan Ramadan yang bakal menjelma tidak lama lagi. Sememangnya kami sasarkan lagu ini untuk bulan puasa, khusus bagi pendengar yang tidak jemu mendengar barisan lagu kami sejak dari dulu lagi."Lagu ciptaan dan lirik nukilan kami sendiri ini dijangka keluar sebelum bulan mulia itu, khas untuk menghiburkan pendengar di samping menyambut kedatangan bulan Syawal yang dinanti-nantikan. Selain itu, saya juga bekerjasama dengan kumpulan nasyid, Raihan, dalam program Pusat Pengumpulan Zakat dan terbabit dalam video muzik mereka berjudul Rintihan Taubat. Selain itu kami turut menyanyikan sebuah lagu yang akan dimuatkan di dalam album kompilasi mereka," katanya. Selain Adi, 6ixth Sense juga dianggotai oleh Muhamad Fairos atau Ayoy, dan Shahrul Effendy (Athan), Mohd Faiz Azizi (Gjie) dan Mohammad Safwan (Wan). Sementara itu, siapa tidak kenal dengan kumpulan yang popular dengan lagu Tidak Bisa Memilihmu ini, di mana barisan lagunya sering menjadi runut bunyi bagi drama bersiri sekali gus menjadi siulan ramai.
Menurut rekod syarikat Universal Music, lagu Tanpa dan Cinta Yang Sempurna juga pernah menerima jumlah langganan tertinggi pada 2009. Menerusi nada dering pemanggil, 6ixth Sense meraih jumlah muat turun sehingga 300,000 pelanggan, malah menurut data yang dikeluarkan Universal Music, lagu kumpulan itu berjudul Tanpa dan Tak Bisa Memilihmu mempunyai lebih 400,000 langganan. Jika dulu kita dapat lihat, artis berlumba-lumba dengan jumlah penjualan album, malah penyanyi menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama mereka, namun sesuai peredaran zaman, penjualan album bukan lagi tempat bergantung harap mahupun penanda aras kepada penerimaan peminat. Senario kian berubah, kini dengan adanya teknologi yang semakin canggih dari masa ke masa, peminat lebih gemar memuat turun lagu berbanding membeli album. Melihat kepada kejayaan kumpulan anak muda ini, tidak hairanlah mereka sering dipanggil untuk membuat persembahan pentas. Hampir setiap lagu keluaran mereka, mendapat tempat di hati pendengar. Kumpulan ini mula bergelar artis rakaman pada 2005, di mana pada mulanya mempertaruhkan single pertama mereka yang pernah dipopularkan oleh artis veteran, J. Mizan pada era 70-an, berjudul Hari Ini dan Semalam. Sepanjang pembabitan mereka, sudah empat album yang dihasilkan iaitu Hari Ini pada 2006, 6ixth Sense (2007), Cinta Yang Sempurna (2008) dan paling terbaru, +-x/ (2010). Pada mulanya, hanya dicalonkan ke peringkat akhir pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 dalam kategori Artis Duo atau Berkumpulan Popular, tapi pada tahun seterusnya kumpulan ini memenangi anugerah dalam kategori yang sama pada ABPBH 2010, mengalahkan Meet Uncle Hussain, Bunkface, Azlan & The Typewriter dan gandingan Ana Raffali, Sohaimi Mior Hassan serta Altimet. Meluaskan empayar, kumpulan ini turut dicalonkan pada anugerah muzik anjuran tiga negara serantau, Malaysia, Singapura dan Indonesia, iaitu Anugerah Planet Muzik yang akan berlangsung pada 15 Julai ini. Kumpulan 6ixth Sense dicalonkan di dalam dua kategori iaitu Lagu Terbaik Serantau (Khatimah Cinta) dan Kumpulan atau Duo Terbaik Serantau. Manakala, kumpulan yang sedang hangat mempromosikan single terbaru mereka, Cinta Matiku ini juga muncul mendekati peminat secara tidak langsung memeriahkan acara anjuran kerjasama TV9 dan Digi, iaitu Konsert Gig di I-City, Shah Alam pada 9 dan 10 Julai. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |