Adsense

Selasa, 26 Julai 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Luaran saja sempurna

Posted: 25 Jul 2011 07:26 PM PDT

Hip

Terlalu banyak lampu merah

ZAHIRNYA dia nampak sempurna pada pandangan khalayak. Cantik, glamor, memiliki kerjaya hebat serta mempunyai teman lelaki yang kacak dan penyayang membuatkan ramai yang menyifatkan kehidupan model dan pelakon jelita, Nasha Aziz sebagai seorang wanita sudah lengkap segala-galanya.

Malah, ada yang menyimpan angan-angan untuk menjadi seperti wanita tinggi lampai ini disebabkan aura serta pesona yang ada pada dirinya.

Namun apa yang tersurat, takkan sama dengan apa yang tersirat. Dari mata kasar, memang tidak ada apa yang kurang dalam hidup wanita ini. Tapi, gelora di dalam hatinya, tak siapa yang tahu. Mendasari jauh ke dalam lubuk sanubari Nasha, ternyata masih ada ruang kosong yang harus diisi. "Kalau ditanya apakah saya bahagia dengan kehidupan sekarang, jawapannya, ya! Saya bahagia, dari aspek fizikal dan jasmani. Alhamdulillah, saya ada kerjaya, dikurniakan kesihatan yang baik, mempunyai teman untuk berkongsi kejayaan saya.
"Cuma dari sudut rohani, ia masih belum lengkap sepenuhnya. Tak ada yang dapat berkongsi sewaktu jiwa dirundung duka.

"Malah saya masih tertanya-tanya, adakah ada insan di dunia yang nyata ini, yang boleh berkongsi emosi dan mampu menjadi pendengar setiap duka dan lara yang saya alami. Susah sangatkah seseorang untuk membezakan antara simpati dan empati?

"Apa yang saya mahukan adalah simpati iaitu menyokong perasaan, mahu mengambil tahu dan berkongsi rasa dan bukannya empati yang menuntut penyelesaian dan tindakan," kata Nasha penuh makna.
Luahan itu dilontarkan Nasha ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Supermak di Putrajaya baru-baru ini. Drama bersiri arahan Prem Anand Pillai itu menampilkannya sebagai pelakon utama yang memegang watak sebagai suri rumah bernama Amy Salim.

Sesekali berbicara dengan wanita ini, banyak perkara yang mahu dicungkil terutama yang berkaitan dengan kisah peribadi. Tentunya ramai yang ingin tahu, selepas tiga tahun menjalinkan hubungan dengan promoter konsert dan juga pengurus acara bernama Nur Iman Tang Abdullah, bilakah pasangan ini mahu menoktahkan hubungan mereka itu dengan ikatan perkahwinan.

"Setiap mereka yang bercinta, memang ada niat ke arah itu. Apa yang boleh saya katakan, dalam hidup ini terlalu banyak warna dan dalam hubungan kami, terlalu banyak lampu merah yang perlu dilepasi berbanding lampu hijau," jawab Nasha tanpa menjelaskan lebih lanjut apakah bentuk halangan itu.

Bagaimanapun, pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-17 ini, menegaskan walaupun ada halangan yang berlaku, namun hubungannya dengan jejaka itu masih berjalan seperti biasa.

Sambut Ramadan di lokasi

SEJAK lima tahun lalu iaitu setiap kali Ramadan menampakkan sinarnya, Nasha tidak pernah melepaskan peluang untuk merebut peluang keemasan itu untuk menunaikan tarawih di seberapa banyak masjid di sekitar Lembah Klang. Itulah rutinnya setiap kali dalam bulan puasa.

Namun untuk tahun ini, nampaknya rutin itu terpaksa dikurangkan sedikit kerana terbabit dalam penggambaran drama bersiri Supermak terbitan Filmscape Sdn Bhd.
"Sebagai sebuah drama yang banyak menggunakan teknik Imej Janaan Berkomputer (CGI), proses untuk menyiapkannya terpaksa mengambil masa yang lama.

"Bagaimanapun, saya ada juga meminta kebenaran daripada pihak produksi untuk memberikan kelonggaran supaya saya dapat melakukan rutin itu. Terpulanglah pada mereka bagaimana keputusannya nanti," katanya.

Selain Nasha, drama itu turut dibarisi pelakon lain seperti Azhan Rani, Zul Yahya, Rosli Sako, Zara Zya, Syawal AF, Henzy Andalas, Nelly dan Haider Harris.
Dalam perkembangan lain, Nasha berkata dia bakal membawakan watak sebagai Mak Ayam untuk filem terbaru berjudul Skandal terbitan Manja Citra Sdn Bhd.

"Pada awalnya saya ditawar watak ketua pramugari yang kuat cemburu dan kaki buli. Tapi selepas mendengar cerita dari pengarahnya, Din CJ dan segala watak yang ada di dalam filem Skandal yang diadaptasikan daripada novel tulisan Richie Rachman itu, saya begitu terpaut pada watak ibu ayam. Saya dapat bayangkan betapa terujanya saya untuk membina perwatakan sedemikian.

"Walaupun sedikit, tapi saya berani untuk mengatakan watak itu akan dapat meninggalkan kesan yang besar di hati penonton. Contohnya filem Sepi arahan Kabir Bhatia. Pada awalnya saya ditawarkan watak yang dipegang oleh Vanida, tapi selepas membaca skrip watak Suzie, saya terpikat dengannya dan tak sangka watak itu berjaya menjulang saya menjadi Aktres Pembantu Terbaik Anugerah Skrin 2008," kata Nasha yang mengakui begitu cerewet dalam memilih watak.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tempurung Pecah: Angkat karya tempatan bertaraf antarabangsa ya Mat?

Posted: 25 Jul 2011 07:08 PM PDT

Hip

AKU dipanggil oleh kenalan lama yang sangat disayangi iaitu seorang rakan lama - produser - pelakon - adik berjiwa besar aku - Datin Seri Tiara Jacquelina untuk bersama-sama menyiapkan satu teater muzikal bertajuk Secret Life Of Nora, yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada September ini.

Ajengan riso (risau) teman nenguk (tengok) kengkawan (kawan-kawan) yang terbabit! Hebat-hebat belaka.

Kesemua mereka terdiri daripada manusia teater yang berbakat besar dan berhidung rendah walaupun hasil karya mereka tinggi ukurannya. Steven Dexter, mat saleh jenis British yang mengarah teater terbitan West End seperti Peter Pan dan Pirates of the Penzane - muzik dan lakon pentas milik Gilbert dan Sullivan yang aku sampai sekarang menganga tidak faham jenaka yang terlalu pekat referencenya, Roslan Aziz sebagai Pengarah Muzik; Raja Malik yang bertanggungjawab mereka set; Pat Ibrahim, koreografer yang sememangnya berkali-kali menghasilkan tarian fussion yang mencetuskan keindahan alun tari moden dalam teater tempatan, dan gubahan muzik oleh Weng Onn San yang tersangat muda usianya namun hasil gubahan lagu yang dibikinnya terlalu indah dan teaterical melebihi kemampuan akal budak semuda dirinya! Aku suka teater. Apatah lagi yang akan dipersembahkan di Istana Budaya. Segala-galanya perlu padat dan penuh warna-warni. Hiruk pikuk di belakang pentasnya bagai kapal bawang karam. Dari primadonanya hinggalah kepada pembantu skrip, semuanya ligat berlari mengejar babak. Dan, segala-galanya dilakukan penuh kasih pada seni itu sendiri.

Insan teater bermati-matian kerja mereka dan selalunya mendapat habuan apresiasi segera oleh penonton. Aku suka itu. Berkarya terus menerus menembusi penonton, tiada masa atau objek untuk menghalangnya. Semuanya diberi secara tunai dan jurusan lurus puas terus ke hati penerima.

Kali pertama hasil naskhah aku yang dipentaskan adalah Puteri Gunung Ledang - The Musical yang aku sangat kagum dengan skala produksinya. Besar dan berani. Skrip aku diangkat menjadi sebuah teater yang penuh gemerlapan.

Walaupun demikian aku tiada dipanggil membabitkan diri kerana mereka yang berkarya memiliki hidung tinggi dan hidung aku sangat lepek di mata mereka agaknya. Aku lihat dari jauh saja. Ibarat kanak-kanak yang melihat anak-anak kaya bermain kasut roda di gelanggang milik peribadi. Sepatu aku selipar jepun yang dibubuh roda yang diperbuat daripada buku benang nilainya.
Dan berita terbaru aku dengar pula mereka memasang peguam untuk mengatakan Puteri Gunung Ledang tidak boleh dipentaskan lagi jika tiada bayaran kepada mereka kerana naskhah itu sesungguhnya milik mereka! Tak faham teman. Lain menor (sangat) niat orang kurang kasih sayang ini. Tak reti tolak ansur deme (mereka).

Hidup mesti move on. Itu adalah slogan aku sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. Kita harus terus berjuang untuk menghidupkan kerja seni kita tanpa perlu memikirkan terlalu panjang apa sahaja halangan atau petaka yang terjadi dalam proses menyiapkan karya kita. Kita berkerja seni. Seribu tahun akan masih hidup bernyawa lagi kerja kita, kalau niat dan seninya jujur.

Itulah caranya Chairil Anwar dapat hidup seribu tahun, fikir aku. Dan kepada mereka yang tidak mengenali Chairil Anwar, silalah layari internet dan bacalah. Anda tidak perlu punyai otak lagi untuk bercerita seni jika anda tidak mengenalinya, Melayu puitis.

Seterusnya aku ingin membabitkan diri dengan lebih mendalam kerja-kerja teater ini. Kerana aku minat. Kerana aku sangat iri hati melihat pementasan yang berjaya. Indah sungguh kerja mereka. Berat sungguh mengabadikannya. Setiap penonton tempatan mahupun antarabangsa, jurang kepuasan mereka sama jalur nikmatnya.

Apabila dijemput untuk bersama-sama menjayakan teater terbaru dari Tiara dan kumpulan Enfiniti Vision Media miliknya itu, aku ragut. Aku selam sedalam-dalamnya isi cerita dan perwatakan yang digubah oleh Dexter dan penulisnya Raymond Miranda, membawa mereka ke satu arah yang kuat warna tempatannya. Yang lebih mesra dengan persekitaran tempatan yang kita lebih impikan dari menelan bulat apa itu diimport adalah enak.

Cerita yang penuh aksi dan jenaka ini sememangnya menduga kewarasan aku berkarya. Tidak pernah lagi aku berhadapan dengan satu set penceritaan yang begitu mudah tetapi sangat mencabar perjalanan rentaknya. Dari watak, dailog, set hinggalah ke gubahan lagu yang diperdengarkan segala-galanya amat segar dan bijak. Saksikanlah watak Encik J yang dibawa oleh Aznil Nawawi nanti. Dijamin akan mengangkat beliau sebagai pelakon teater pilihan 2011!

Mampukah aku mengikut rentak berkarya di dalam semua ini? Di manakah aku dapat berkongsi sumbangan di dalam pembikinan sebuah teater bertaraf antarabangsa milik tempatan ini? Segala-galanya pasti akan aku hadapi dengan penuh cabaran dan yang jelas aku tidak lagi kanak-kanak yang melihat keramaian di luar pagar.

Sekarang aku berdiri di kalangan mereka yang sama-sama menjayakan satu persembahan seni teater terbaik tahun ini. Satu teater kebangsaan yang berjiwa antarabangsa...


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.