Adsense

Selasa, 12 Julai 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Berjaya kumpul pelakon hebat

Posted: 11 Jul 2011 07:40 PM PDT

Hip

pix_gal0
Mamat sedia tempuh cabaran, yakin Rock Ooo... dapat sambutan

PENGARAH Mamat Khalid menegaskan, filem susulan Rock yang pernah mencuit hati peminat pada 2005 tidak akan dihasilkan seandainya pelakon utamanya, Que Haidar, enggan terbabit sama dalam judul terbabit.

Berulang kali dia meluahkan kenyataan itu, membayangkan betapa harapannya begitu tinggi untuk melihat Que kembali memegang watak Amy Mat Piah. Maka tidak hairanlah, apabila baru sekarang kesinambungan filem berkenaan yang dihasilkan menggunakan Rock Ooo... dapat dibikin, walaupun skripnya sudah pun siap enam bulan selepas filem pertama selesai menjalani penggambaran.

Umum mengetahui pelakon berbakat itu pernah mengumumkan persaraannya daripada bidang lakonan hampir dua tahun yang lalu. Pelbagai helah dan pujukan sudah dilakukan, akhirnya Mamat berjaya menarik kembali Que menyertai projek filem terbabit, yang kini dalam proses penggambaran sekitar Ipoh, Perak. "Terus terang, memang filem Rock Ooo... tidak akan diteruskan sekiranya saya gagal menarik Que melakonkan kembali wataknya, Amy Mat Piah. Memang saya tidak ada pilihan lain kerana saya yakin, hanya Que yang boleh membawakan watak itu.

"Saya mengenalinya sebelum dia terbabit secara langsung di dalam dunia lakonan dan saya tahu kekuatan yang ada pada dirinya. Walaupun dia sudah hampir dua tahun tidak berlakon dan meninggalkan terus aktiviti seni, sudah tentu skil lakonannya merosot. Namun saya bersedia menempuh cabaran itu," katanya yang ditemui di lokasi penggambaran filem terbaru arahannya itu di Ipoh, baru-baru ini.

Menurut Mamat, cukup sukar untuknya mengembalikan semula sentuhan berbisa pelakon utamanya itu selepas hampir dua tahun tidak beraksi di depan kamera dan dia tidak berselindung menganggap Que seperti kayu apabila mula-mula berlakon semula.

"Hari pertama, memang saya nampak dia begitu runsing apabila diminta berlakon, memang seperti kayu dan saya tidak menyalahkannya. Saya tahu jiwanya sangat rapuh dan saya harus menjaga seorang yang berjiwa rapuh agar tidak menekan dirinya.
"Hari kedua dia menangis kerana masih tidak dapat mencari karakter, tetapi selepas mendapat kata-kata semangat daripada saya dan pelakon lain, alhamdulillah dia kembali mendapat jiwa lakonannya, malah boleh membawanya lebih baik daripada apa yang saya jangkakan," katanya.

Biarpun tidak ramai yang menyedari kewujudan filem Rock sebelum ini, namun selepas filem itu disiarkan di televisyen tiga tahun yang lalu, maklum balas cukup positif diberikan masyarakat, lebih-lebih lagi ia ditunjangi pelakon berbakat besar seperti Que, Khir Rahman, Hasnol Rahmat dan ramai lagi.

Kata Mamat, keseronokan bekerja apabila hajatnya untuk mengumpulkan kembali pelakon berjiwa besar berjaya disempurnakan dan menjadikan kerjanya lebih ringan. Apabila semuanya sudah berada di hadapan mata, kebebasan membentuk perwatakan terletak di tangan pelakon itu sendiri.

"Saya berbangga dan berbesar hati apabila semua pelakon yang sudah saya bayangkan semuanya saya dapat. Mereka antara pelakon yang begitu serius di dalam bidang lakonan.

"Apabila saya mengkelaskan mereka sebagai pelakon yang hebat, kerana mereka boleh melakonkan peranan komedi dengan baik, begitu juga mereka boleh melakonkan watak sedih dengan baik. Filem ini bukan saja cerita komedi tetapi pelbagai emosi wujud di dalamnya, walaupun 80 peratus daripadanya bersifat kelakar," katanya mengenai filem yang akan ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada pertengahan tahun 2012 itu.

Pertaruhkan elemen hiburan

HARAPAN menggunung Mamat terhadap filem ini bukan sekadar omong kosong, justeru pengalaman lalu yang mengajarnya mengenai segala hal dalam industri digunakan sebaik mungkin. Ketika yang sama, kejayaan dan kegagalan bukan lagi taruhan, tetapi kepuasan berkarya dan memberi hiburan kepada penonton adalah misi utamanya.

"Saya semakin faham hala tuju industri filem tanah air dan sebab itu saya boleh nampak filem ini bakal berjaya apabila ia ditayangkan nanti.

"Saya tidak pernah kecewa dengan filem saya, sebaliknya ia banyak mengajar saya. Jika penonton berubah selera, ia sesuatu yang sudah ditakdirkan, namun perlu diingatkan elemen hiburan yang ada di dalam filem ini sangat tinggi dan itulah taruhan saya," katanya.

Kata Mamat, Rock Ooo... berdiri dengan sendirinya dan bagi peminat yang tidak pernah menonton Rock dulu, mereka masih boleh memahami keseluruhan cerita kali ini. Ia juga diselitkan dengan babak imbas kembali. Mamat cuba menyelami jiwa dan kemahuan remaja hari ini untuk dimasukkan di dalam filem terbabit.
Ujar pengarah berkaliber ini, filem itu juga banyak menceritakan pengalaman remaja berbanding dengan filemnya sebelum ini.

Kisah di dalam filem lalu sebenarnya tidak begitu mencukupi, namun penonton cukup meminati paparannya sebagai mengimbas kembali pelbagai kenangan lampau.
"Jika saya ingin ketengahkan semua cerita rock ini, sebenarnya ia terlalu banyak, sebab itu jugalah saya tampil untuk sekual Rock Ooo... ini.

"Filem kali ini begitu melonjak daripada skrip asal apabila banyak idea dan mood yang perlu kita ceritakan pada sekitar era 80-an lalu. Saya yang merasainya dan sepatutnya sayalah yang harus berkongsi apa yang kami pernah lalui dulu tanpa melupakan nilai hiburan yang perlu ada di dalamnya.

"Penggambaran filem ini menjadi lebih baik daripada skrip yang saya buat dengan kehadiran pelakon hebat seperti Que sebagai Amy Mat Piah, disokong pula pelakon lain seperti Khir (Jijo), Soffi Jikan (Zul Kapan), Pekin Ibrahim (Slash Haji Tapah) dan Azmi Black (Mi Black).

"Setiap frame sangat dititikberatkan untuk menjaga kualiti penghasilannya. Setiap filem harus berdiri kukuh untuk menuju ke zaman kegemilangan filem Melayu yang sebelum ini pernah kita rasai. Dengan pungutan filem yang cukup mengejutkan masa kini, saya rasa kita kini kembali menuju ke zaman kegemilangan filem Melayu," katanya yang mengadakan penggambaran filem itu di sekitar Taiping, Kuala Terong dan Ipoh.

Sinopsis

KESINAMBUNGAN bagaimana watak Amy Mat Piah (Que Haidar) untuk menggabungkan kembali kumpulan Rimba Bara setelah Zul Kapan, penyanyi utama mereka, dilamar oleh Luncai Emas untuk menghasilkan album Black Metal bersama kumpulan Malaikat Maut. Justeru beliau ingin menyatukan kembali Rimba Bara menjadi band yang popular. Semangat ahli kumpulan Rimba Bara dipupuk semula dan mereka bertekad untuk meneruskan perjuangan di ibu kota dan di kampung. Mereka harus mencari jalan penyelesaian untuk setiap rintangan yang datang bagi merealisasikan impian untuk menjadi kumpulan rock terkenal di persada seni tanah air. Di dalam misi mereka itu pelbagai rintangan yang dihadapi dan akhirnya mereka berjaya memasuki ke Anugerah Juara Lagu 1989 bergandingan bahu dengan Search, Wings dan May.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Keunggulan jenama Rabbani

Posted: 11 Jul 2011 06:42 PM PDT

Hip

Album terakhir bersama Ustaz Asri dipasarkan sebulan lalu

BIARPUN industri nasyid kini dilihat tidak serancak sedekad lalu serta kurang mendapat publisiti meluas, namun kumpulan Rabbani tetap berdiri teguh memperjuangkan muzik pegangan mereka, walaupun selepas dua tahun pemergian penyanyi utama, Mohamad Asri Ibrahim.

Berbekalkan pesanan terakhir Allahyarham untuk meneruskan dakwah melalui nasyid, Rabbani kian melebarkan sayapnya bukan saja dalam industri hiburan bahkan dalam perniagaan.

Mula dikenali dalam industri hiburan sekitar 1997 dengan album Rabbani yang menaikkan nama kumpulan itu, kini jenama Rabbani kian berkembang melalui perniagaan berasaskan minuman, perkhidmatan dan pelaburan. Siapa sangka, kumpulan yang dulunya memperjuangkan lagu nasyid kini mengusahakan perniagaan sendiri tanpa mengabaikan tujuan utama mereka dalam industri muzik tempatan.

Kekal atau bubar sesebuah kumpulan itu di dalam industri muzik yang ada pasang surutnya bergantung kepada kekuatan anggotanya bagi meneruskan muzik mereka tersendiri.

"Industri nasyid kini kian malap, tetapi kami masih kuat berdiri serta menerima banyak tawaran persembahan dan yang terbaru, untuk konsert Anna For Gaza pada 30 Julai ini di Stadium Kajang, bergandingan dengan beberapa artis lain.

"Kami tahu genre yang kami bawa takkan mampu bertahan lama dalam industri ini kerana muzik ada musimnya. Jadi bagi meneruskan matlamat perjuangan kami, pelbagai aktiviti lain kami turut lakukan termasuk terbabit dalam perniagaan," kata anggotanya yang juga Pengarah Komunikasi Korporat Rabbani Productions (M) Sdn Bhd, Azadan Abd Aziz.
Selepas pemergian Asri, Rabbani mengambil masa hampir dua tahun untuk bangkit semula dengan tiga produk baru ketika bersama Allahyarham yang tertangguh pengeluarannya, iaitu album kompilasi Ketika Cinta, Maulaya dan DVD konsert Maulidur Rasul.

Album Maulaya yang dirakamkan sepenuhnya di Kuwait empat tahun lalu itu baru dipasarkan di kedai muzik tempatan sebulan yang lalu.

Buah tangan yang memuatkan tujuh lagu dalam bahasa Arab itu ialah album terakhir Allahyarham bersama Rabbani, manakala album kompilasi, Ketika Cinta pula menghimpunkan lagu popular Rabbani, Raihan dan Nowseeheart.

"Album ini dibuat susunan semula dari segi lagu dan muzik, mengikut kesesuaian vokal Allahyarham, termasuk lagu Ketika Cinta Bertasbih yang dirakam sendiri oleh Allahyarham.

"Setelah ketiadaan Allahyarham, kami gagahkan diri untuk bangun semula dan mengambil masa yang panjang untuk mengembangkan apa yang kami usahakan selama ini," katanya.

Mula menghasilkan produk minuman sendiri, Rabbani Cafe, sejak tiga tahun lalu, jenama Rabbani kini kian pesat membangun dengan kewujudan Rabbani Travel and Tours Sdn Bhd dan Rabbani Wedding Planner.

Bermula daripada satu fasa ke peringkat yang membanggakan, Rabbani turut memberanikan diri dalam menceburi bidang pelaburan emas melalui Rabbani Dinar Emas kira-kira sebulan lalu.

Enggan menyerah kalah

MASIH menjadikan muzik sebagai tunjang utama penubuhan Rabbani, kumpulan yang dianggotai lapan lelaki ini ingin terus bertapak dalam industri muzik tempatan bersama kumpulan nasyid lain yang tidak pernah tunduk kepada cabaran semasa.

"Kami tahu muzik kini mula mengalami perubahan dan peredaran mengikut keperluan pendengar, tetapi kami yakin suatu hari nanti industri muzik nasyid akan kembali seperti kegemilangan era nasyid dulu.

"Dengan kekuatan yang ada kami akan meneruskan perjuangan nasyid agar ia tidak luput, bahkan di luar sana nyata masih ramai peminat serta banyak permintaan terhadap lagu-lagu nasyid yang kami bawa," jelasnya.

Menganggap industri muzik mempunyai turun naiknya, Rabbani masih mampu mengukuhkan jenamanya melalui bidang lain yang masih banyak untuk diterokai.

Melalui syarikat itu juga, Rabbani mempelbagaikan aktiviti seperti pengurusan pameran, pentas dan persembahan, membekal bahan bacaan dan alat bantuan mengajar, perkhidmatan media cetak dan elektronik, perkhidmatan audio visual dan sistem lampu, percetakan baju T dan cenderahati serta kaunseling.

"Kami ingin pelbagaikan perniagaan dan tidak tertumpu kepada satu bidang saja kerana banyak lagi peluang yang perlu diterokai di samping mengekalkan muzik yang kami perjuangkan ini. Alhamdulillah, berkat usaha dan kegigihan kami, Rabbani kini tidak dilupakan peminat meskipun menerusi cara perniagaan.

"Insya-Allah, kami juga akan menghasilkan album terbaru. Cuma masanya belum ditentukan apatah lagi album Maulaya masih baru di pasaran walaupun ia pada hakikatnya sudah lama dihasilkan," katanya.

Walaupun sibuk mengendalikan perniagaan, Rabbani menerima setiap tawaran persembahan yang datang untuk terus kekal bertapak dalam industri hiburan biarpun muzik nasyid kini kian dilupakan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.