Adsense

Isnin, 27 Jun 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Anggun enggan lagi ke Amerika

Posted: 26 Jun 2011 08:02 AM PDT

LEBIH sedekad terbang meninggalkan republik kelahirannya, Anggun Cipta Sasmi masih tidak mampu menepis rasa rindu yang sesekali menjentik hati.

Meskipun sudah selesa diulit kebahagiaan dengan suami dan anak tersayang serta membina empayar kerjaya, penyanyi yang mesra disapa Anggun ini tetap terkenang rantau tumpah darahnya. Dia tidak pernah lupa daratan walaupun menikmati kehidupan mewah di Perancis.


Apa yang menarik, kata Anggun, walaupun menetap di Paris, di rumah dia membiasakan diri untuk bercakap bahasa Indonesia dengan anaknya, Kirana Cipta Montana Sasmi yang kini menjengah usia usia tiga tahun setengah.

Apa yang nyata, Anggun menyifatkan dia seorang wanita yang sangat bertuah kerana pengembaraannya jauh ke Eropah sejak usia 20-an lagi sudah membuahkan hasil lumayan.


Kata Anggun, 37, yang mempersuamikan Olivier Maury, semuanya perlukan pengorbanan dan kesabaran kerana kejayaan bukan satu kerja magis yang berlaku dalam sekelip mata.


"Kalau kita mahukan sesuatu, kita kena berusaha. Setiap kejayaan perlukan pengorbanan. Ada kalanya kaki kita terasa berat untuk mengikut keinginan hati namun kita harus kuat dan yakin mengejar impian yang jauh di depan itu.

"Saya gembira dan seronok dengan apa yang saya miliki hari ini. Ia bagai bulan jatuh ke riba dan semua yang pernah saya mimpikan sudah direalisasikan dengan hampir sempurna. Biar tidak sehebat mana atau belum lagi seluas pengaruh bintang antarabangsa lain, setidak-tidaknya saya bangga dengan apa yang saya kecapi hari ini.

"Tidak sekadar kerjaya nyanyian sedang berkembang, saya gembira kerana dikurniakan suami yang cukup memahami dan seorang anak yang begitu memberikan kebahagiaan buat saya. Andai dilihat semula, semuanya seakan berbaloi," katanya dalam satu wawancara dengan media Malaysia menerusi telefon dari Paris yang diaturkan Sony Music Malaysia, baru-baru ini.


Katanya: "Sekarang rutin harian saya kembali sibuk. Saya sibuk dengan karier nyanyian dan undangan persembahan manakala suami pula gigih mengusahakan perniagaannya.

"Tapi tanggungjawab membesarkan Kirana tetap keutamaan buat kami berdua memandangkan dia masih kecil dan memerlukan perhatian sepenuhnya daripada kami.

"Namun saya juga lega kerana ada seorang pembantu yang menolong sekiranya saya begitu sibuk. Sekarang saya juga sudah membuka syarikat sendiri iaitu April Earth bagi menguruskan perjalanan seni saya.

"Mungkin kerana berada di bumi orang, ia membuatkan semangat saya untuk bekerja menjadi lebih kuat. Namun saya tetap seronok walaupun sibuk," katanya yang pernah mencipta lagu khas buat anaknya berjudul Selamat Tidur dan Eden In Her Eyes yang dimuatkan dalam album Elevation.

Kali terakhir media Malaysia bersua Anggun adalah kira-kira tiga tahun lalu apabila dia datang bagi mempromosikan Elevation. Kini dia mempertaruhkan pula album terbaru yang diberi judul Echoes.


"Echoes adalah sebuah karya terbaru selepas Elevation dan kini sedang sibuk dipromosikan seluruh negara termasuk pasaran Perancis, Eropah, Indonesia dan Malaysia. Saya melihat album ini sebagai sebuah biografi yang menceritakan segala-galanya perasaan yang pernah saya alami. Lebih menariknya, ia adalah album pertama sentuhan peribadi sepenuhnya dan diterbitkan oleh syarikat saya sendiri April Earth.


"Echos adalah sebuah album seperti organik yang mana semuanya realistik dan asli. Baik pada susunan muzik mahupun garapan pembikinannya, saya cukup berbangga kerana eksperimen muzik itu berhasil.

"Maklumlah sejak penerbitan album pertama lagi, saya memang sukakan sesuatu yang baru dan segar.

"Sudah lama saya mengimpikan untuk memiliki sebuah syarikat yang mampu menguruskan kerjaya seni dan menerbitkan album sendiri.

"Akhirnya dengan kesungguhan, usaha dan sokongan daripada suami semuanya dapat direalisasikan. Mungkin saya boleh menyifatkan langkah ini sebagai satu permulaan untuk terus mencongak hari esok Anggun sebagai seorang penghibur.


"Asalnya memang saya akui beberapa kali berdepan dengan perasaan keliru dan tertekan kerana ada kalanya apa yang ingin saya terjemahkan dalam album tidak semuanya boleh disuarakan. Kebebasan itu tersekat kerana banyak pihak yang terbabit namun apabila saya beranikan diri untuk menerbitkan album ini sendiri, saya puas kerana apa yang diinginkan mampu dizahirkan," katanya dengan panjang lebar.


Bercerita mengenai langkahnya yang jauh ke depan mengorak ke gelanggang antarabangsa, terlintas pula persoalan mengapa dia belum menggegarkan dunia hiburan Amerika Syarikat dengan deretan lagu-lagunya memandangkan pernah sekali sebelum ini, lagu Snow On Sahara menembusi pasaran Amerika.


"Saya menyanyi dan mencatur perjalanan seni berdasarkan minat dan kejujuran saya sendiri. Saya hanya berdiri mengikut kata hati dan keikhlasan saya dan bukannya melihat aspek lain bagi menggerakkan langkah. Lantas saya tidak terasa untuk melebarkan sayap ke Amerika Syarikat kalau terpaksa memperjudikan kebebasan sebagai anak seni.


"Maksud saya, kalau seseorang penyanyi itu ingin mencari ruang ke sana, mereka terpaksa meletak segala kemahuan mereka di belakang dan hanya menunduk kepada semua strategi pemasaran atau struktur perniagaan di sana. Lantas, soal personaliti, minat, selera dan identiti itu ditentukan oleh mereka dan bukannya jujur dari saya sendiri.

"Justeru mengapa harus saya memperjudikan perjuangan saya sendiri semata-mata ingin terbang jauh ke sana?" katanya dengan bersungguh-sungguh.


Dalam perbualannya itu, Anggun mengharapkan peminat di Malaysia akan menantikan kemunculan Echoes yang memberikan makna besar terhadap dirinya.

>PROFIL
NAMA PENUH: Anggun Cipta Sasmi
TARIKH LAHIR: 29 April 1974
USIA: 37 tahun
TEMPAT LAHIR: Jakarta, Indonesia
KELUARGA: Suami, Olivier Maury dan anak, Kirana Cipta Montana Sasmi
ALBUM: Snow on the Sahara, Anggun, Chrysalis, Open Hearts, Luminescence, Elevation, Echoes

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Alleycats tonjol anak Loga

Posted: 26 Jun 2011 08:00 AM PDT

LAGU popular Andainya Aku Pergi Dulu, Kisah Kau dan Aku dan Sampaikan Salam Cintaku antara karya malar segar yang mengimbau kenangan peminat bersama band legenda, Alleycats.

Sejak ditubuhkan pada 1968, kumpulan ini tidak pernah berpecah apa lagi bersara. Cuma yang tiada kini adalah Loga, saudara kandung Datuk David Arumugam yang sudah pergi buat selama-lamanya.


Bertapak di kelab malam, Alleycats akhirnya disunting merakamkan album bermula yang pertama, Terima Kasih (1979) sehinggalah Rasa (2006).

Sekian lama menanti, tibalah giliran Alleycats beraksi lagi dalam sebuah konsert hebat di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur. Tanggal yang diberikan kepada mereka adalah pada 16 hingga 18 September ini.


David ketika ditemui pada sidang media, baru-baru ini berkata, konsert anjuran Aktif Mestika Sdn Bhd dengan kerjasama IB itu bukan saja bagi menghargai peminat, tetapi meraikan ulang tahun ke-43 pembabitan Alleycats dalam bidang seni.


Band otai ini yang pernah mengadakan persembahan di IB pada 2008 dan kini bersemangat kembali menggegar pentas dalam persembahan lebih istimewa.

"Saya suka dengan IB kerana sistem audio dan ruang pentasnya sesuai untuk persembahan bertaraf konsert besar. "Dalam persembahan yang dijangka lebih sejam itu, saya akan bergantung pada reaksi peminat untuk menyanyikan lagu.


"Kalau saya kurang bercakap, mungkin saya nyanyi lebih. Bagi saya, menyanyi bersama pemuzik orkestra kali ini memberikan kelainan.

"Saya tidak pernah menyanyi bersama orkestra, tetapi pernah menggunakan instrumen tradisional. Menariknya, saya mahu melihat bagaimana lagu Alleycats disatukan dengan muzik orkestra," katanya yang masih aktif menyanyi.


Sambil berhibur, vokalis berusia 61 tahun ini menyatakan persembahan itu juga menjadi tanda penghargaan kepada Loga. Persembahan segmen pertama membawa konsep 1Malaysia menyaksikan Alleycats mendendangkan lagu pelbagai bahasa manakala segmen kedua, Tribute To Loga merujuk pada persembahan lagu popular bersama mendiang seperti Berjuta Batu, Jika Kau Bercinta Lagi dan Suratan. Segmen kedua turut menyaksikan anak Loga, Priyadashini yang akan menyanyikan lagu popular ayahnya. Itu antara tarikan konsert nostalgia ini. "Komposer Eddie Marzuki akan terbabit sebagai pengarah muzik dan kami mula berbincang mengenai bentuk susunan lagu dan muzik untuk persembahan ini nanti," katanya yang perlu merujuk kepada lirik kerana kumpulan mereka ada banyak lagu.


David berpandangan lagu Alleycats bukan saja malar segar malah berharap, ia mendidik pendengar sambil mengeratkan perhubungan keluarga antara ibu bapa dengan anak dan masyarakat majmuk.


"Alleycats bertahan dalam industri bukan kerana saya seorang, tapi atas sokongan peminat yang begitu berterusan," katanya.


Bagi Priyadashini pula, dia berusaha berkongsi pengalaman untuk menjayakan konsert ini sebagai kenangan manis buat peminat Alleycats. Gadis berusia 23 tahun ini sering mengadakan persembahan di dalam dan luar negara.


"Ini merupakan pengalaman pertama kali saya beraksi di pentas IB. Saya aktif menyanyi sejak usia 17 tahun dan pernah mengadakan pelbagai persembahan seperti Festival Muzik Jazz di Korea Selatan tahun lalu.


"Pada 9 Mei nanti, saya juga ada persembahan di London. Sebenarnya saya sukar menyanyikan lagu bapa kerana ia memberi cabaran besar.


"Saya pernah menangis di pentas apabila tatkala menyanyikan lagu ayah, tetapi kali ini, saya berusaha untuk kuatkan semangat menyanyi bersama orkestra," katanya.


Hadir sama pada sidang media acara itu Ketua Pengarahnya, Mohamed Juhari Shaarani. Tiket konsert berharga RM65, RM85, RM125, RM165, RM205, RM245, RM305 dan RM450 boleh dibeli di kaunter Box-Office, IB dan menerusi laman sesawang, www.ticket2u.biz.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.