Adsense

Isnin, 27 Jun 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tahniah Sepah!

Posted: 26 Jun 2011 03:52 PM PDT

Hip

Ketepikan calon pilihan, Jozan dan Nabil untuk diangkat juara Maharaja Lawak

BAGAIKAN cencaru makan petang kerana seperti yang dijangka Sepah memberi sengatan 'cukup' berbisa sekali apabila mengetepikan dua calon pilihan Jozan dan Nabil untuk mengungguli Maharaja Lawak yang kemuncaknya berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Jumaat lalu.

Persembahan kumpulan ini yang pernah menjadi juara program Raja Lawak musim keempat memang secara keseluruhannya konsisten apabila sentiasa berada pada kedudukan pertengahan carta mingguan Maharaja Lawak. Jozan yang menggabungkan Johan dan Zizan, kedua-duanya menjadi calon pilihan berdasarkan populariti masing-masing ketika ini. Begitu juga dengan Nabil.

Zizan pada April lalu dipilih sebagai Artis Komedi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2010). Nabil pula bukan saja pernah menjadi Artis Komedi Lelaki Popular, malahan turut diangkat sebagai Bintang Paling Popular ABPBH2008.

Namun, populariti mereka seakan-akan tidak menggentarkan Sepah yang menggabungkan Jep, Shuib dan Mamat. Persembahan mereka yang bersahaja secara perlahan-lahan mula mencuri hati peminat.

Jelas sekali populariti juga bukanlah tiket untuk menjulang sesuatu kejuaraan, biarpun dasarnya Jozan yang memang jelas disenangi seluruh masyarakat dan dikhabarkan bakal menjuarai Maharaja Lawak, namun kebijaksanaan pengundi berjaya mengatasi keegoan juri.
Ternyata pengundi kini semakin menyedari kepuasan yang diinginkan sebagai hiburan bukan bergantung kepada peserta yang disukai, tetapi kualiti.

Sepah yang dinobatkan sebagai juara program itu bukanlah sesuatu keputusan mengejutkan. Mereka berhak menerima gelaran juara selepas menunjukkan persembahan yang konsisten selama 13 minggu. Malah tidak sesekali pernah mengecewakan juri mahupun pengundi pada persembahan mereka.

Ia diakui sendiri juri, Mamat Khalid yang pada awalnya memilih Jozan dek kerana populariti mereka di dalam industri. Namun pengarah ini tidak menolakkan lumrah dunia yang sudah ditentukan dengan sedikit kesilapan pasti membunuh kepercayaan itu.

"Memang pada awalnya sebelum program ini bermula kami juri sudah berbincang di luar bahawa Jozan bakal juara, namun selepas menyaksikan persembahan pertama mereka, kami tidak mampu untuk menipu diri sendiri untuk memberi markah lebih kepada Sepah," katanya yang ditemui Hip bagi mengulas keseluruhan program akhir Maharaja Lawak Jumaat lalu.

Mewakili Sepah, Jep mengakui dia dan rakan-rakannya memang akur dengan kehebatan dan populariti Jozan kerana mereka cukup dikenali selepas terbabit dalam banyak program TV.

Bagaimanapun, katanya, itu semua membakar semangat kepada mereka yang menghasilkan persembahan terbaik dan masing-masing meletakkan matlamat menghiburkan penonton sebagai keutamaan terlebih dahulu berbanding memikirkan kemenangan.

Menurut Jep, populariti bukan tiket menentukan kemenangan dan mereka tahu penonton serta pengundi kini sudah cerdik menilai setiap persembahan peserta.

"Namun saya tidak membanggakan diri menyatakan persembahan kami baik, mungkin apa yang kami buat itu dekat dengan hati mereka. Tiap-tiap minggu kami membawa lawak kampung yang ada kalanya orang malu untuk bercakap kampung. Saya cuba meletakkan kembali adat budaya tradisi yang dibimbangi generasi baru tidak tahu seperti rewang, merisik dan sebagainya di dalam lawak kami," katanya mengakui kelebihan mereka dengan lawak kampung.

Berbekalkan komedi yang dipersembahkan Sepah, ada suara-suara yang tidak berpuas hati apabila mendakwa mereka sengaja mempersenda seorang tokoh di dalam lawak mereka.

"Sebenarnya apa yang kami buat selama itu bukan untuk mengajuk sesiapa pun, tetapi secara peribadi kita tidak ada menyebut nama sesiapa, saya juga tidak menyebut diri saya sebagai ustazah. Saya hanya melakonkan karektor dan sekiranya apa yang saya buat mengguris hati sesiapa, saya mohon maaf.

"Niat saya untuk menghiburkan penonton dan tidak memperlekehkan program sesiapa," katanya yang mengakui secara tidak langsung orang mengetahui yang mereka mengikuti program Semanis Kurma.

Sementara itu, Zizan memperakui populariti bukan penyelamat daripada kesilapan yang mereka lakukan pada persembahan pertama di peringkat akhir Maharaja Lawak.
"Populariti kami tidak akan membantu sekiranya persembahan kami teruk. Memang kami mengaku itu adalah kesilapan kami apabila gagal memuaskan hati penonton dengan persembahan pertama," katanya.

Nabil hambar, Jambu kering idea

Maharaja Lawak Akhir menerima sambutan yang cukup luar biasa daripada kesemua penyokong yang hadir membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam, Jumaat lalu.
Dimulai dengan gimik memperkenalkan empat peserta akhir seperti Nabil, Jambu, Sepah dan Jozan melalui pintu masuk ala program terkenal di negara barat, WWE wrestling cukup menggamatkan suasana. Setiap peserta harus membuat dua persembahan yang dibahagikan kepada dua segmen bertema iaitu bebas dan muzikal.

Ternyata setiap peserta sudah memasang strategi untuk meletakkan tema muzikal pada segmen akhir, ini kerana muzikal adalah tema yang cukup diminati penonton. Peserta juga tidak terlalu sukar untuk membawakan tema ini yang dibebaskan untuk menyanyi walaupun tidak sempurna, menari, berlakon dan segalanya, namun beratnya bagi mereka adalah untuk menghafal.

Persembahan yang dimulai dengan Nabil agak hambar, begitu juga selepas mengharapkan Jambu agar dapat menaikkan mood penonton pada persembahan pertama mereka, namun stadium semakin hambar.

Ramai yang menyatakan kekecewaan pada persembahan Jambu yang terdiri daripada Yus dan Taukey seakan sudah kering idea, tidak salah malah ramai yang mempersetujui lawak mereka di tahap budak sekolah.

Trio dari Johor yang memperkenalkan diri mereka Sepah kembali menghangatkan suasana apabila memilih tema muzikal pada persembahan pertama mereka. Antara peserta paling konsisten sejak 13 minggu lalu, Sepah berjaya memberikan penonton bergelak sakan sehingga berair mata apabila mengambil topik dan karektor di salah satu program televisyen berunsur kerohanian.

Persembahan ala filem Night At The Museum daripada Jozan yang mengambil karektor Hang Tuah tidak begitu kuat. Mereka tersalah pengiraan dengan memperbanyakkan drama daripada komedi yang sepatutnya mereka berikan pada program ini.

Namun, segmen kedua ternyata lebih menggamatkan stadium dengan kira-kira 6,000 penonton menyaksikan peringkat akhir program itu. Tema muzikal cukup dinanti-nantikan penonton yang kesemua peserta berjaya mendapat pujian melambung daripada juri yang terdiri daripada Mamat Khalid, Ahmad Idham dan Saiful Apek.

INFO

  • Juara:
  • Sepah menerima wang tunai RM350,00 (Jumlah undian: 64 peratus)
  • Naib Juara:
  • Jozan menerima RM250,000 (Jumlah Undian: 60 peratus)
  • Ketiga:
  • Nabil menerima RM150,000 (Jumlah Undian: 52 peratus)
  • Keempat:
  • Jambu menerima RM50,000 (Jumlah undian: 46 peratus)


    Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

    Sepenuh hati untuk lakonan

    Posted: 26 Jun 2011 03:48 PM PDT

    Hip

    pix_gal0
    Lisa rancang sambung pengajian apabila tiba pada masanya

    BERTUAH sesiapa yang memiliki gadis ini - jelita, bijak dan berbakat. Lebih utama sifat lemah lembut gadis Timur masih menebal dalam diri si cantik manis bernama Lisa Surihani malah tidak hairan sejak menceburi arena seni kira-kira empat tahun lalu, sudah beberapa jejaka popular dikaitkan punya hubungan dengannya.

    Selain cantik, ditambah pula mempunyai kelulusan kelulusan dalam bidang guaman. Anak kedua daripada lima bersaudara ini pernah menyatakan hasrat menyambung semula pengajian. Namun adakah impian itu terbantut dek kejayaan yang diraih dalam industri seni? "Belajar bukan hanya di sekolah atau peringkat kolej kerana pembelajaran boleh merangkumi semua aspek. Menerusi seni juga saya mengenal banyak perkara yang ada di antaranya tidak mungkin dapat diperoleh di mana-mana.

    "Buat masa ini keluarga merestui perjalanan ini membuatkan saya belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi anak seni yang baik. Apabila sampai masanya nanti, saya akan menyambung pengajian secara formal seperti dihajatkan," katanya.

    Benar seperti diperkatakan ramai, kebijaksanaan serta kematangan Lisa membolehkannya dipilih menyertai Perbincangan Meja Bulat 1Malaysia mewakili golongan seni dalam memberi pandangan baru sebaris dengan Aznil Nawawi, Amy Search, Pete Teo dan Low Ngai Yuen.

    Perbincangan meja bulat 1Malaysia yang julung kali diadakan secara talian hasil ilham Datuk Seri Najib Razak diadakan bagi membolehkan rakyat mengemukakan komen, cadangan atau idea saksama serta kukuh khususnya yang lebih segar.
    "Saya membentangkan dua kertas cadangan iaitu membabitkan soal kemanusiaan sejagat, manakala isu yang kedua adalah cadangan untuk mewujudkan syarat kelayakan buat mereka yang ingin menjadikan bidang seni sebagai mata pencarian mereka.

    "Syarat kedua itu juga untuk diri saya. Seharusnya sebelum memasuki bidang seni, tamatkan dulu pelajaran kerana biarlah mereka yang mahu menjadi anak seni perlu ada kelayakan atas kertas, bukan terhad kepada akademik semata-mata malah kemahiran lain," katanya lagi.

    Wajah aktres yang lebih dulu berkecimpung dalam arena pengiklanan turut laris dipilih mewakili jenama terkenal dan terkini Sofy 360 melantiknya sebagai duta produk mereka.

    Istimewanya, permainan yang dinamakan The Sofy Shopper's Rush dihasilkan khusus untuk bintang jelita itu yang membolehkan pengguna menyertai cabaran membeli belah menerusi laman sosial Facebook.

    Lisa juga bersyukur kerana sering mendapat tawaran berlakon. Bagaimanapun, Pelakon Filem Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2010) hanya menerima satu tawaran pada satu masa untuk memastikan tiada masalah berbangkit di kemudian hari.

    "Apabila diundang menjayakan sesuatu penerbitan, saya anggap ia sebagai tanda ada pihak percaya terhadap kemampuan dan hasil kerja kita. Sudah pasti saya memberikan hasil terbaik, bukan sekadar produksi berkaitan malah rakan lain.

    "Hendak kata semua tawaran berlakon datang kepada saya, itu mustahil. Sama juga seperti individu lain, ada masa saya dapat peluang dan ada masa juga saya masih punya waktu duduk di rumah. Cuma sebagai pelakon, disiplin antara teras yang cuba saya patuhi," katanya.

    Biarlah Yusry saja bersuara

    Kini peminat mahu pun media tidak perlu berteka-teki kerana sudah pasti hatinya sudah dicuri pengarah ternama, Yusry Abdul Halim yang secara terangan membuat pengakuan hubungan antara mereka lebih daripada seorang kawan.

    Begitupun, sebagai gadis yang dibesarkan dengan adat budaya Melayu yang berpegang kepada prinsip tradisional, baginya tidak dia perlu menggembar-gemburkan sesuatu yang masih pada peringkat permulaan terutama berkaitan cinta.

    Enggan membiarkan kisah cinta membatasi kerjaya, bagi si manis berusia 25 tahun itu biarlah pengakuan Yusry bukan sekadar menamatkan desas desus status mereka sebaliknya turut mematikan sebarang persoalan cinta sebaik saja pengakuan dilafazkan.

    "Kami berkongsi dan berbincang banyak perkara termasuk sebelum Yusry mengesahkan desas-desus perhubungan kami. Seperti diperjelaskan tempoh hari, kami masih dalam proses mengenali hati budi.

    "Ya, tiada yang perlu diselindungkan, cuma biarlah dia saja yang bersuara. Untuk bercakap mengenai fasa seterusnya juga agak terlalu awal malah kami menyerahkan segala-galanya kepada Allah. Lebih utama ialah keluarga merestui hubungan ini," katanya dengan ramah.

    Bukan kurang selesa setiap kali diaju persoalan serupa, bagi Lisa jika asyik isu sama diketengahkan hanya akan membuatkan insan sekeliling muak apatah lagi sebagai orang baru dalam industri masih banyak perlu dipelajari.

    "Saya tidak mahu nanti terlampau dikaitkan dengan cerita peribadi, mutu lakonan pula entah ke mana. Biarlah buat masa ini saya lebih menumpukan kepada usaha memperbaiki mutu lakonan," katanya.


    Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.