Adsense

Sabtu, 4 Jun 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Impi beraksi ‘dua wajah’

Posted: 03 Jun 2011 10:08 AM PDT

pix_topright

MENDENGAR namanya saja, sudah cukup merangsang kita untuk mengenali gerangan pemilik di sebalik nama unik, Noor Neelofa Mohd Nor, 22. Apatah lagi bertentang mata, siapapun pasti akan tertawan.

Sehangat orangnya, begitulah juga kisah kehidupan pelakon baru bertubuh genit yang auranya sangat besar hingga mampu membuatkan siapa saja mabuk kepayang menagih cintanya.

Jika sebelum ini pernah diheret dalam kancah cinta tiga segi, sekali gus dituduh meragut perasaan kasih Shahz Jaszle daripada kekasihnya, Maria Farida, terbaru dia dikatakan punca kegoyahan hubungan seorang kerabat juga kekasih hati seorang pelakon terkenal.

Apakah Neelofa atau mesra dengan panggilan Lofa memang dasar perampas atau kejelitaannya dianggap satu ancaman sebenarnya? Wanita berdarah campuran Melayu-Arab itu memberi penjelasan dalam satu sesi fotografi diaturkan, baru-baru ini.


Katanya, cerita mengenai dirinya mempunyai hubungan dengan kerabat juga kekasih seorang artis popular itu tidak benar dan menganggapnya tidak lebih sebagai gosip saja.


"Kalau cerita ini betul, sudah pasti artis wanita itu akan memberi kenyataan kepada media. Memandangkan ia memang tidak pernah berlaku, jadi tiada apa yang perlu digembar-gemburkan. Saya harap orang tidak salah faham atau menganggap saya membanggakan diri apabila mengatakan ini.

"Sebenarnya, keluarga saya mempunyai pertalian darah kerabat jadi mungkin itu yang membuatkan segelintir orang salah faham apabila melihat saya berada dalam kelompok golongan tertentu," katanya dengan niat menjelaskan bukan mendabik dada.

Mula dikenali sejak mencuba nasib dalam pertandingan Dewi Remaja 2010 sehinggalah dinobatkan sebagai juara, Lofa nampaknya mengikut jejak langkah bekas bintang Dewi Remaja sebelumnya termasuk Aleeza Kassim, Rita Rudaini, Puspa Narayan, Juliana Banos, Emilia Rosnaida, Jasmin Hamid, Annahita Bakavoli dan Scha Al-Yahya menceburi bidang seni.

Mempunyai potensi cerah untuk mencipta nama di persada lakonan selain bakal menggugat kedudukan pelakon jelita sedia ada dengan kelebihan bakat, paras rupa menawan dan kebijaksanaan yang dimiliki.

Terbukti, sekalipun belum ada lakonannya yang boleh dibanggakan, kehadiran penuntut Kolej Universiti Sunway dalam bidang Perniagaan Antarabangsa dan Pemasaran ini menjadi buah mulut ramai selain rebutan pengarah.

Tidak terbatas pada peluang lakonan saja, Lofa juga adalah impian setiap lelaki 'hartawan' yang mengejar cintanya dan kerana itulah fotografi yang diaturkan Publicis Bill Bora ini sengaja meletakkan mutiara mencecah jutaan ribu ringgit di belakang sambil disentuh Lofa sebagai simbolik dirinya dikejar lelaki jutawan.

"Bagi saya, itu (dikejar lelaki hartawan) hanya persepsi umum, namun saya sendiri sebenarnya masih sendirian dan tiada teman lelaki. Terus terang, saya sudah mencari satu hubungan yang serius, malas nak main-main cinta dan putus cinta. Malah, saya tidak pernah meletakkan piawaian yang terlalu tinggi terhadap lelaki.

"Dia tidak perlu terlalu kaya, cukuplah sekadar stabil dari segi pekerjaan dan kewangan selain bertanggungjawab serta menghormati orang tua saya," katanya.

Gadis yang diperkenalkan menerusi filem Azura 2011 arahan Aziz M Osman dan semakin popular sejak muncul melalui Kasih Najiha arahan Erma Fatima, kini sedang sibuk menjayakan King Kapcai terbitan KRU Studios.

Dalam filem ini, Neelofa memegang watak Khadijah dan menganggap kemunculannya dalam filem ini hanya sebagai penyeri selain proses menimba pengalaman bekerja dengan produksi KRU.

"Dalam King Kapcai saya adalah adik kepada Fizz Fairuz, pemuda yang boleh melihat dan berinteraksi dengan roh. Fizz ingin membantu Zizan (Raja Lawak) yang sedang koma akibat dipukul dan Zizan meminta bantuannya untuk menyelamatkan keluarga daripada menjadi mangsa along yang ingin menuntut hutang.

"Justeru, watak saya dalam filem ini biasa-biasa saja, namun seperti saya katakan tadi ingin menimba pengalaman selain merasakan jalan cerita filem ini sangat menarik dan lain daripada cerita seram di Malaysia," katanya.

Selain King Kapcai yang menuntut komitmennya sehingga 14 Jun nanti, jadual Lofa terus dipenuhi dengan penggambaran Tahajjud Cinta arahan Erma Fatima. Malah, Erma terus mengikat gadis dengan ketinggian 158 sentimeter ini untuk penggambaran telefilem Kitab Cinta.

Kekerapan menggunakan khidmat Lofa sehingga ada yang mengatakan gadis cantik itu anak emas pengarah prolifik itu. Bagaimanapun, Lofa menafikannya dan mengatakan tidak mempunyai komen atas sebarang dakwaan itu.

"Saya juga tidak tahu alasan kak Erma sering memberikan saya peluang. Apa yang boleh saya katakan, mungkin kak Erma nampak kesungguhan saya dalam lakonan dan semestinya sebagai pendatang baru, saya amat teruja dan berbangga dapat bekerja dengan pengarah hebat sepertinya.

"Saya berasa amat bertuah kerana ramai pelakon berpengalaman mengharapkan peluang bekerja dengan kak Erma, tetapi saya adalah salah seorang yang memperoleh peluang itu," katanya.

Lebih menarik, ketiga-tiga drama arahan Erma itu menuntutnya memakai tudung. Katanya, dia menganggap setiap watak diberikan padanya mencabar dan memberi kepuasan.

"Saya masih baru tidak boleh 'demand' tetapi kalau ada yang sudi memberikan peluang, saya teringin sekali untuk membawakan watak jahat dalam baik," katanya.

Akui Lofa, selain Aziz dan Erma yang menjadi mentornya, dia turut memperoleh tawaran dari produser dan pengarah yang lain, cuma kesempatan sering terhalang kerana tarikh tidak bersesuaian.

Baru saja dilantik sebagai duta jam tangan U2 yang sebelum ini turut menampilkan Awal Shaari, Farah Asyikin dan Scha, Lofa juga merancang untuk memperkenalkan jenama kasutnya sendiri.

Perniagaan yang diusaha ketika masih menyertai Dewi Remaja itu ingin diperluaskan lagi dengan penjenamaan semula Lofa kepada nama penuhnya, Neelofa. Ia dijual secara online dan kini merancang untuk membuka kedai.

"Saya terfikir menceburi bidang ini sejak menyertai Dewi Remaja. Terlalu banyak undangan perlu kami penuhi dan saya ada kalanya buntu memikirkan kasut bersesuaian selain ada sesetengah kasut harganya tidak masuk akal dan rekaan tidak bersesuaian harga.

"Kebetulan saya mendapat 'contact' syarikat pengeluar kasut, sekali gus menjadikan ia sebagai peluang perniagaan. Bagaimanapun kasut jenama Neelofa ini saya jamin berpatutan harga dan selesa," katanya.

Berkeupayaan mengacara dengan baik Lofa yang pernah mengendalikan program Sekolahku Hebat di Astro Ceria turut diberi kepercayaan oleh KRU Studios untuk mengacara program Paparazi di KRU TV.

PROFIL

NAMA PENUH: Noor Neelofa Mohd Noor
PANGGILAN: Lofa
ASAL: Pasir Mas, Kelantan
TARIKH LAHIR: 10 Februari 1989
ZODIAK: Aquarius
TINGGI: 158 sentimeter
BERAT: 47 kilogram
PENDIDIKAN: Kolej Universiti Sunway (Perniagaan Antarabangsa dan Pemasaran)
Bilangan Keluarga: Anak ke-3 daripada 9 beradik
LOKASI: Rafflesia Pearl Centre, Park Royal, Bukit Bintang.
SOLEKAN: Bosco Ryzarl (016-6091614)
PAKAIAN: Albert King, Hotel Park Royal, Kuala Lumpur (03-21459015)

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kak Pah kecewa komen Ramli

Posted: 03 Jun 2011 09:16 AM PDT

PROGRAM realiti Mentor musim ke-5 yang bersiaran sejak hampir empat bulan lalu, sudah pun menemukan pemenangnya apabila Salmah A Asis (Salma), 21, diumumkan sebagai juara, Ahad lalu.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh penonton termasuk barisan juri profesional, Datuk Ramli MS yang sejak mula berperanan sebagai juri tetap manakala juri undangan malam itu, produser dan komposer Azmeer serta Ziana Zain.

Program pencarian bakat nyanyian yang diperkenalkan TV3 ini unik kerana bukan saja menyerahkan kuasa memilih juara kepada penonton melalui SMS, malah juri awam dan juga profesional.

Salma memperoleh 16 markah daripada juri awam dan keseluruhan 85 markah manakala dua peserta lagi, Nurshiha Mohd Zikir (Shiha), 24, juga protege Datuk Sharifah Aini memperoleh 63 markah diikuti Nursyafiqah Nasratullah Mohd Nor (Iqa), 25, protege Edry Abdul Halim (56 markah).


Jelas sekali tiada apa yang boleh mengubah keputusan itu. Malah, tiada siapa boleh menafikan kehebatan vokal Salma kerana bakat nyanyian wanita kelahiran Tawau, Sabah itu sememangnya layak.


Bagaimanapun, khabarnya ada pihak tidak berpuas hati dengan kemenangan Salma dan ia bukan membabitkan penonton sebaliknya di kalangan mentor sendiri. Individu yang dimaksudkan adalah Datuk Sharifah Aini .

Tambahan pula, Salma sepatutnya tidak layak ke final apabila undian untuknya paling rendah berbanding Shiha dan Iqa, tetapi penganjur membuat kejutan dengan memilih tiga peserta ke final.

Sejauh mana kebenaran dakwaan ini, Sharifah Aini atau mesra dengan panggilan Kak Pah menjelaskan hal ini. Katanya, dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa Salma tidak layak menang atau mempersoalkan keputusan TV3 untuk menyerapkan Salma ke final.

"Selesai saja konsert akhir, saya memaklumkan tidak mahu komen apabila ada wartawan bertanya adakah saya rasa keputusan malam itu adil apabila Salma yang sepatutnya tersingkir akhirnya menjadi juara.

"Saya sangat menghormati keputusan penganjur, malah juri profesional yang terbabit meskipun ada antaranya suka memberi komen yang kritis dan terlalu keras buat Shiha.

"Sebagai mentor, saya menjalankan tanggungjawab dengan baik. Shiha sudah melakukan yang terbaik tapi rezeki Allah SWT sudah tetapkan. Saya pasrah dan tak pandang ia sebagai satu kekecewaan dan kekalahan kerana ia adalah adat bertanding," katanya.

Berulang kali mengingatkan bahawa dia tidak pernah menafikan kehebatan Salma sekali gus kemenangan protege Erra Fazira itu sebaliknya apa yang mengguris perasaannya adalah tindakan konduktor dan pengarah muzik tersohor, Ramli MS yang sering memberi kritikan pedas kepada Shiha.

Pada malam akhir itu, komen Ramli ialah, "Untuk persembahan solo Shiha yang pertama untuk lagu Kisah Hati itu cantik, tetapi terdapat sedikit kekurangan dari segi "inner energy" (tenaga dalaman). Saya mengharapkan persembahan yang lebih bertenaga.

"Manakala untuk persembahan kedua lagu Ghazal Untuk Rabiah dan Balqis duet bersama Black, saya lihat tidak banyak perubahan yang dibuat, kreativiti yang saya ingin lihat tidak menonjol. Lagu solo terbaru Shiha, Bila Bertemu Mu pula agak 'shaking' di awal persembahan tetapi kembali 'ok' ketika pertengahan lagu."

Rasa kecewa dan tidak puas hati itu diluahkan biduanita itu melalui laman sembang facebook (fb) pada 1 Jun lalu. Malah, dengan terang-terangan menyebut nama Ramli MS.

Status fb penyanyi Seri Dewi Malam itu berbunyi, "Salam everyone. Thank you very2 much for all your support. I am ok with shiha to be at second place, itu dah rezeki dia but let me be honest for the first time I AM SICK WITH RAMLI MS. HE IS NEVER BEEN KIND TO SHIHA FROM THE DAY ONE!" Shiha is not good enough for him, why? hummmmmmmm!

Kak Pah mengaku berkecil hati dengan Ramli dan tidak faham mengapa dia selalu memberikan komen yang kritis dan kurang membina terhadap Shiha.

"Saya tidak kisah kalau dia ingin memberi komen untuk kebaikan, tetapi kritikan perlu disampaikan dengan cara beralas. Komen Ramli kadang-kadang menyakitkan bagi saya dan tidak mustahil penonton turut terpengaruh sekali gus menganggap persembahan Shiha tidak baik.

"Hakikatnya, persembahan Shiha tidak seburuk mana pun. Biarpun terkilan, apa yang boleh saya lakukan adalah menasihati Shiha dan mengambil setiap komen itu secara positif kerana kita perlu menghormati pandangan juri. Apapun, di luar gelanggang Mentor, saya dengan Ramli tetap berkawan dan kita tetap juga perlu bekerjasama," katanya.

Sementara itu, Ramli ketika dihubungi enggan mengulas kerana tidak mahu memanjangkan isu ini. Baginya, apa yang dilakukan sepanjang menjadi juri dalam Mentor 5 adalah atas dasar profesional dan tidak kaitan dengan masalah peribadi dengan Sharifah Aini atau mana-mana mentor.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.