Adsense

Sabtu, 4 Jun 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Padah gila kerja

Posted: 03 Jun 2011 06:50 PM PDT

Hip

pix_gal0
TERNYATA banyak perkhabaran kurang menyenangkan berlegar sejak penyanyi bervokal lantang, Agnes Monica dimasukkan ke Hospital Siloam, Kebun Jeruk, Jakarta Barat, Rabu lalu.

Sempat diterpa berita terpaksa menjalani pembedahan gara-gara sakit belakang yang dideritainya, Sabtu lalu menjadi kemuncak kepada segala keresahan Agnes.

Pemilik album, Agnes Is My Name itu diberitakan meninggal dunia hingga menimbulkan kekalutan peminat yang mendambakan jawapan pasti. "Yang benar saya cuma meninggalkan hospital, ertinya saya mahu terus bernafas," tulis Agnes dalam akaun Twitter peribadinya, sekali gus menamatkan tanda tanya pencinta hiburan Indonesia.

Mungkin disengajakan atau sekadar bercanda, khabar negatif itu disambut dingin Agnes dengan senyuman yang terlukis di wajahnya.

Kesakitan yang dideritai itu kata Agnes, memberikan pelajaran berguna buat dirinya yang selama ini terlalu mementingkan kariernya.

"Saya belajar menahan emosi. Bayangkan untuk bangun pun saya terpaksa melalui kesulitan. Kesakitan ini memberi ruang untuk saya belajar daripada mereka yang mengambil berat," katanya.
Pengalun lagu Matahari itu terpaksa akur mendapatkan rawatan di hospital menjelang pagi Rabu itu apabila tubuhnya kaku ketika mahu mengambil sesuatu di rumahnya.

Agnes juga diserang gastrik, membuatkan dia tidak mampu bertahan lagi sehingga memaksa abangnya, Steve mengejarkannya ke hospital.

Selepas empat hari menjalani rawatan, Agnes dibenarkan keluar hospital namun penyanyi yang popular dengan single terbaru, Paralyzed itu terpaksa menjalani rawatan fisioterapi dua kali seminggu.

"Rawatan itu agak menyakitkan namun kesakitan itu tidak pernah membunuh saya. Saya akan menjadi lebih kuat," katanya lagi.

Akui gadis berusia 24 tahun itu, belakang badannya masih terasa ngilu tetapi keadaan dirinya jauh lebih baik ketika mula dimasukkan ke hospital.

"Ketika itu saya cuma mampu tidur, tidak boleh duduk dan berdiri," katanya yang terpaksa menerima rawatan kerana sakit di punggung.

Kesakitan itu mula dirasai anak kepada pasangan Ricky Muljoto dan Jeanny Siswono sejak dua bulan lalu. Bagaimanapun, Agnes tidak mengendahkannya kerana kesakitan itu tidak mengganggu aktiviti fizikal hariannya.

Namun, disebabkan sering melakukan aktiviti berat, kecederaannya menjadi parah menyebabkan Agnes terpaksa dikejarkan ke hospital.

"Saya terpaksa melupakan aktiviti berat. Begitu juga dengan seni mempertahankan diri, semuanya terpaksa ditinggalkan dulu.

"Bagaimanapun, saya memilih untuk berenang sekurang-kurangnya empat kali seminggu. Itu sudah memadai kerana sedar, tubuh saya bukan seperti Jackie Chan," katanya bergurau.

Agnes berdepan kecederaan itu kerana pola kerjanya yang menuntut dirinya menghadap komputer riba berjam-jam. Jika sibuk di studio, ada ketika ia menghabiskan masa lebih enam jam di depan komputer.

Disebabkan masalah itu, Agnes terpaksa mengubah cara kerjanya. Namun, sempat dia menyatakan kerinduannya untuk kembali menyentuh gajet kesayangannya selepas beberapa hari meninggalkan semua itu.

"Ini paling lama saya meninggalkan laptop. Memang saya tak betah hidup tanpanya," kata Agnes.

Di sebalik pertarungan hebat itu, Agnes sempat terusik apabila kerja kerasnya selama ini memberikannya pengiktirafan di luar jangkaan.

Dia dianugerahkan plak, Million Award apabila album kompilasi terbaru, Agnes Is My Name dijual melebihi satu juta salinan selepas empat bulan di pasaran.

"Terlalu ramai manusia yang cuba berselindung di sebalik ucapan 'bijak' mereka. Ayuh, laksanakan. Jalaninya dan jangan sekadar memaksa untuk orang percaya kerana ia tidak akan berlaku.

"Saya memilih untuk tidak menjadi orang yang bersembunyi di sebalik kata-kata tetapi tidak melakukan apa-apa usaha untuk merealisasikannya," katanya.
Kecederaan itu memaksa Agnes untuk membatalkan persembahannya pada konsert ulang tahun Gigi, baru-baru ini. Namun, Agnes enggan membiarkan peminatnya menanti terlalu lama.

"Saya mahu segera pulih. Ini ujian Tuhan, mahu atau tidak saya terpaksa menerimanya. Saya sudah memohon maaf kepada Armand dan kumpulan Gigi.
"Bukan saya sengaja memungkiri janji tetapi saya tidak berdaya. Mereka antara yang dekat dengan saya dan saling membantu. Saya terkilan tidak dapat bersama pada malam bersejarah buat Gigi," katanya.

INFO

Agnes Monica

Nama penuh:Agnes Monica Muljoto
Tempat dan tarikh Lahir: Jakarta, 1 Julai 1986
Tinggi/berat: 168sm/51kg
Pendidikan: Universiti Pelita Harapan Karawaci (Fakulti Undang-Undang)
Pencapaian: Sembilan Anugerah Muzik Indonesia, tujuh trofi Panasonic Awards dan empat trofi MTV Indonesia Awards.
Album Studio: And the Story Goes (2003), Whaddup A'..?! (2005) dan Sacredly Agnezious (2009)
Album kompilasi: Si Meong (1992), Yess! (1995), Bala-Bala (1996), Nez (2008) dan Agnes Is My Name (2011)
Sinetron: Pernikahan Dini (2001), Lupus, Kejarlah Daku Kau Ku Tangkap (2002), Cewekku Jutek (2003), Amanda (2002), Ciuman Pertama (2002), Kau yang Terindah, Bunga Perawan (2004), Cantik (2004), Ku Tlah Jatuh Cinta (2005), Pink (2006)


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mesti Tonton: Panda comel berkungfu lagi

Posted: 03 Jun 2011 06:46 PM PDT

Hip

pix_gal0
Judul: Kung Fu Panda 2
Pelakon (suara): Jack Black, Angelina Jolie, Dustin Hoffman, Jackie Chan, Lucy Liu, Seth Rogen, David Cross, Datuk Michelle Yeoh, Jean-Claude Van Damme, Dennis Haysbert, Victor Garber, Gary Oldman
Pengarah: Jennifer Yuh Penulis: Jonathan Aibel, Glenn Berger Genre: Animasi, aksi, pengembaraan, komedi Durasi: 90 minit Tayangan: Mulai 26 Mei 2011

SELEPAS kejayaan filem pertamanya pada 2008 yang mencatatkan kutipan lebih AS$633 juta (RM1.92 bilion) di seluruh dunia, studio Dreamworks Animation meneruskan legasi filem berkenaan dengan menerbitkan susulan, Kung Fu Panda 2.

Populariti hebat beruang panda yang mempunyai ramai pengikut di seluruh dunia terutama kanak-kanak menyebabkan Dreamworks Animation tidak mahu menunggu lama untuk menerbitkan sekuelnya. Memulakan produksi sejak Oktober 2008, Kung Fu Panda 2 masih lagi mengekalkan sebahagian besar penyumbang suara untuk semua watak utama dalam filem ini.

Mereka yang dimaksudkan ialah Jack Black yang membawa watak utama Master Po, Angelina Jolie (Tigress), Dustin Hoffman (Master Shifu), Jackie Chan (Monkey), Lucy Liu (Viper), Seth Rogen (Mantis) dan David Cross (Crane).
Bagi memeriahkan lagi filem kedua ini, beberapa pelakon turut menyumbangkan suara mereka untuk beberapa watak baru antaranya Datuk Michelle Yeoh sebagai The Soothsayer, Jean-Claude Van Damme (Master Croc), Dennis Haysbert (Master Storming Ox), Victor Garber (Master Thundering Rhino) dan Gary Oldman (Lord Shen).

Kung Fu Panda mengambil kisah kehidupan Po, guru dan kawan-kawannya selepas dia berjaya menjadi The Dragon Warrior yang diidamkan selama ini. Namun, kegembiraannya tidak lama apabila semua wilayah China digugat seorang penjahat, Lord Shen, yang menggunakan senjata rahsia untuk menakluk China dan memusnahkan seni mempertahankan diri kungfu.

Po dan pasukannya perlu melunaskan tanggungjawab bagi memastikan keadaan kembali aman. Bagaimanapun, laluan yang terpaksa ditempuhi Po dan rakan-rakan, tidaklah semudah yang disangka. Bahaya menanti dan hampir saja nyawa mereka menjadi taruhan.

Masih mengekalkan unsur komedi yang memang menjadi inti pati filem ini, namun untuk sekuel ini, pengarah cuba menyuntik elemen melankolik apabila turut diselitkan babak Po mencari asal usul dirinya selepas gambaran kisah silam sering menghantui dirinya.

Dalam kelucuan apabila disajikan babak sifat kelam kabut dan bodoh-bodoh alang Po, tidak mustahil juga penonton mampu mengalirkan air mata apabila menyaksikan peristiwa imbas kembali bagaimana Po kehilangan orang tuanya sebelum dipelihara bapa angkatnya, The Goose.

Watak Po berkembang dengan baik. Walaupun ada ketika sikapnya itu membuatkan penonton sakit hati, pada masa sama, perasaan simpati terhadapnya melimpah-ruah, terutama selepas mengetahui sejarah silamnya yang menyayat hati.

Bagaimanapun, yang lebih menarik ialah panda ini semakin hebat berkungfu. Lihat saja babak pertarungannya bersama Lord Shen pada penghujung cerita. Adegan itu dikira cukup mengagumkan.

Seperti biasa, Dreamworks tidak pernah gagal dalam menghasilkan bentuk animasi yang berkualiti serta nampak hidup. Keindahan China digambarkan dengan cukup kemas, sehinggakan kita bagai terasa seperti berada di lokasi berkenaan. Bukan saja kemas, tetapi juga dilakukan dengan penuh teliti terutama membabitkan babak aksi.

Jalinan plot filem ini cukup lancar dan amat mudah untuk difahami, sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Kepada peminat beruang panda comel ini, pastikan anda tidak ketinggalan menonton filem yang sudah pun menjengah pawagam minggu lalu. Dijamin menghiburkan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.