Utusan Online - Hiburan |
Posted: Cerita 2 Zarina0leh NUR AZHARI ZAINOODDIN
MEREKA tidak mempunyai pertalian darah apatah lagi memiliki raut wajah seiras persis pasangan kembar, namun kehadiran mereka di dalam industri hiburan sering kali membuatkan ramai pihak terkeliru. Bukan hanya para peminat tetapi pihak produksi dan penggiat media juga sering terkeliru di antara dua aktres jelita ini. Berkongsi nama dan binti yang serupa punca kekeliruan yang sering kali tercetus tatkala berbicara mengenai perihal dua Zarina ini. Apa yang pasti, persoalan sering timbul 'Zarina yang mana? akan menyusul sebaik sahaja nama mereka diutarakan kerana sukar untuk membezakan dua anak seni ini dari sudut nama. Tidak hanya memiliki nama yang serupa malah nama bapa mereka juga hampir sama dan sekiranya tersalah dalam sebutan, pasti semua pihak akan tersalah merujuk empunya diri. Itulah cerita yang dikongsi oleh dua Zarina ini iaitu Zarina Zainuddin dan Zarina Zainoordin. Jelas perbezaan antara mereka hanyalah pada ejaan nama bapa mereka. Namun, biarpun ramai pihak yang terkeliru disebabkan persamaan nama Zarina itu, bagi kedua-dua mereka itu adalah rencah dalam memeriahkan industri hiburan tempatan. "Pada mulanya memanglah agak kurang selesa apabila ada yang tersalah dan terkeliru di antara kami, tapi lama kelamaan ia sudah jadi macam biasa. "Malah ada ketikanya ia melucukan dan apabila dikenang semula pastinya berderai tawa," jelas Zarina Zainuddin yang mengakui teruja apabila ditemukan dengan Zarina Zainoordin. Perkara itu turut diiyakan oleh bintang kelahiran Akademi Fantasia musim kedua itu, Zarina Zainoordin yang sering dihubungi oleh individu yang menyangka dirinya adalah ibu kepada empat orang putera itu. Namun baginya, pertemuan yang diaturkan Hits petang itu adalah sesuatu yang amat dinantikan semenjak melangkah masuk ke dunia seni lapan tahun lalu. "Ini kali pertama dapat berjumpa dengan kak Zarina. Memang nak sangat jumpa dia, tetapi tidak pernah ada peluang sebelum ini. "Apabila HIts hubungi saya dua minggu lalu dan beritahu tentang rancangan untuk menggandingkan saya dengan Kak Zarina, saya memang teruja sangat. "Sementara menanti harinya, saya rasa masa berlalu begitu lambat. Tidak sabar untuk melihat bagaimana reaksi kami apabila berjumpa," jelas teraju utama drama Saka Jentayu ini. Biarpun baru pertama kali bersua muka semenjak bergelar anak seni, keserasian jelas terpancar antara mereka berdua sepanjang fotografi itu seolah-olah mereka seperti pasangan adik-beradik. Gelak tawa, usik-mengusik, cuit-mencuit menjadi tingkah mereka sedari awal pertemuan sehinggalah ke penghujung sesi fotografi itu. Berkongsi kisah di sebalik nama mereka itu, perkara yang tidak dapat dilupakan oleh Zarina Zainuddin adalah ketika dia menjadi tetamu undangan sebuah stesen radio di Melaka. "Masa itu ada seorang peminat yang menghubungi konti, sebaik sahaja dapat bercakap dengan saya terus dia teruja dan berkata dia memang minat dan suka dengan lakonan saya. "Bukan itu sahaja, malah apa yang mengejutkan saya apabila dia memberitahu dia juga meminati lagu-lagu saya. Apabila mendengar itu saya terus memberitahu itu Zarina lain," ujar Zarina Zainuddin sambil ketawa. Bukan hanya Zarina Zainuddin yang berhadapan dengan situasi begitu, malah ia turut dialami oleh Zarina Zainoordin. Jelasnya, pernah sekali dia mendapat panggilan daripada seorang individu dari sebuah produksi yang memintanya menyanyikan lagu Menuju Puncak bagi memastikan dia adalah Zarina yang dicari. "Memang kelakar masa itu. Gara-gara untuk meyakinkan bahawa saya adalah Zarina yang dicari, Menuju Puncak menjadi bukti," "Nasib baik saya ingat lirik lagu keramat AF itu," jelas Zarina berseloroh. Walaupun tidak pernah bersua muka sebelum ini, detik perkenalan mereka bermula sejak awal tahun lalu. Bermula dengan diberi kata pengenalan telefon mudah alih BlackBerry Messenger (BBM) perhubungan mereka menjadi semakin akrab dan sering bertukar-tukar cerita. "Kak Zarina yang mula menjadikan saya sebagai rakan BBM dia dan bermula dari situ kami sering berhubung dan bertanya khabar serta perkembangan terkini. "Namun kesempatan untuk bersua itu baru hari ini dapat direalisasikan kerana terikat dengan jadual kerja yang padat," akui Zarina Zainoordin menceritakan detik permulaan perhubungan mereka. Idamkan kolaborasi dalam lakonan Dalam meniti kehidupan sebagai anak seni, apa yang ditunggu-tunggu oleh kedua Zarina ini adalah tawaran daripada pihak produksi yang ingin menyatukan mereka dalam sebuah naskah. Jelas mereka, peluang itu sememangnya sudah lama dinantikan dan mengakui perasaan teruja sering singgah di sanubari dalam menanti peluang yang entah bila akan kunjung tiba. "Memang teringin sangat hendak berlakon bersama Zarina. Tidak sabar rasanya untuk menantikan peluang itu datang. "Jika diberi peluang berlakon bersama dia, saya impikan watak yang berlawan dengan Zarina kerana dengan watak sedemikian akan mencabar diri saya sendiri untuk berhadapan dengan dia. "Zarina sememangnya pelakon yang baik dan mutu lakonannya memang hebat," jelas Zarina yang turut berlakon dalam filem Momok Jangan Panggil Aku yang telah berada di pawagam sejak 5 Mei lalu. Tidak bertepuk sebelah tangan, keinginan untuk bersatu dalam sebuah lakonan turut disuarakan oleh penyanyi lagu tema drama Saka Jentayu itu. Baginya, peluang berlakon bersama kembar namanya itu adalah untuk menguji sejauh mana keserasian yang dapat dijalinkan antara mereka dalam sebuah lakonan. "Saya ingin melihat bagaimana keserasian kami dalam menjayakan sesebuah naskah yang diberikan," jelas bintang kelahiran Tampoi, Johor itu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Terbaik Blues GangJudul Album: Biografi KOMEN: Album kompilasi dengan dua cakera padat ini mengandungi 32 buah lagu popular Blues Gang. Lagu-lagu wajib seperti Apo Nak DiKato, Khatulistiwa, Sakit Gigi, Jumpo Kawan Lamo dan Maafkan Diriku ada dalam album ini. Lagu-lagu dalam album ini tiada proses rakaman baru dan ia masih kedengaran asli seperti era kegemilangan lagu-lagu tersebut pada dekad 1980-an. Selain itu, turut diselitkan ialah lagu-lagu yang jarang diperdengarkan antaranya berjudul Zaharah, Dendanganku dan Julaiha. Turut diselitkan ialah lagu bertemakan anti-cetak rompak bertajuk Bukan Senang Jadi Senang. Selain itu, selaku penyanyi utama, pemain drama Blues Gang iaitu Ghani turut menyanyikan lagu-lagu seperti Ibu dan Lagu Tiga Kupang. Ia menambahkan lagi kepelbagaian lagu-lagu Blues Gang. Keseluruhannya, album ini berteraskan konsep blues tetapi ada sedikit pengaruh pop Melayu dan rock di dalamnya. Biografi lagu-lagu Blues Gang dalam album ini adalah sebahagian yang terbaik daripada mereka. Bintang: **** |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |