Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Fizo operator kilang filemSEDIA bergelar aktor filem, Fizo dalam proses untuk menjenamakan namanya yang dirasakan sedang menuju fasa kebangkitan. TEPAT jarum jam menunjukkan waktu 12.30 tengah hari, terpantul namanya pada skrin telefon yang berdering. Daripada nada yang mengucapkan 'hello', sudah dapat diagak, si pemanggil itu sudah sedia untuk memulakan sesi fotografi yang dijanjikan. Ada kesungguhan dan etika positif yang terlihat daripada riak aktor muda ini. Walaupun di awal kemunculannya, dia masuk menjadi sebahagian angkatan anak seni Malaysia dengan berbekalkan wajah 'jambu' dan saiz peragawan, itu bukan satu-satunya faktor yang mengekalkannya hingga ke tahap ini. Berbanding empat tahun dahulu, Fizo Omar merasakan kompas kariernya berputar lebih daripada 360 darjah, lebih pantas dan menunjukkan arah yang seiring dengan impian setiap pelakon. "Dulu memang 'jambunya' ada, sekarang sudah lunyai, hari-hari balik dari penggambaran hingga pukul 3 pagi, kadang-kadang lepas subuh. "Dulu saya pelakon juga, tapi sekarang penat bergelar selebriti itu lebih terasa. Pernah saya terlibat dengan sebuah penggambaran program travel log, 3 Hari 2 Malam selama tiga bulan. Ketika itu, masa untuk bersama ibu dan adik-beradik pun sempat. Nak luangkan masa dengan hobi pun tak ada, tengok wayang pun tidak sempat, cuma lepas filem Kongsi keluar, barulah saya pergi tengok bersama peminat," cerita Fizo mesra. Berbangkit isi cerita Kongsi yang sedang hangat di pawagam, menjadi salah seorang pemain watak filem berkenaan membuatkan Fizo bersinar anak mata. Menanyakan impak dari pandangan penulis, manifestasi watak ASP Sharif Sharifudin yang berseteru dengan Tumulap (Shaheizy Sam) itu menuntut pengamatan umum terhadap karakter yang digalasnya. Di fikirnya, dia tertanya-tanya apakah kemunculan sulung ke layar perak itu membuahkan hasil. Berganding pula bersama aktor Shaheizy Sam yang sedang 'besar' di mata khalayak, Fizo terdetik rasa bangga. "Di mana-mana sahaja orang bercakap tentang Sam. Sudah tentu saya bangga sebab ada dalam filem yang meletakkan Sam sebagai taruhan, bahkan Kongsi juga sudah mencatat kutipan jutaan ringgit sejak ditayangkan. "Alhamdulillah, banyak juga respons yang saya terima daripada filem Kongsi. Saya sedar, kemampuan saya masih di tahap sederhana. Saya tidak terlalu bagus tetapi tidak juga terlalu teruk. Komen sebegitu sudah memadai untuk saya yang masih dalam kategori pendatang baru," katanya merendah diri. Kepuasan berbeza menjadi pelakon filem dan drama juga mula dirasai Fizo. Tempoh setahun dalam pembikinan sementara menunggu hasil dipuji atau dikritik, rugi atau untung pembikin membakar adrenalinnya menyahut apa sahaja cabaran bergelar aktor filem. Mahu jadi ustaz Tahun 2011 menjadi pengenalan kepada Fizo masuk ke filem. Ketika Kongsi masuk panggung, dia baru sahaja selesai penggambaran filem Halim Munan. Selang seminggu, skrip filem ketiganya, sekali gus menjadi jodoh keduanya bersama MIG harus ditelaah. Jika Kongsi dalam genre aksi, Halim Munan masuk kategori komedi, filem terbaru berjudul 7 Petala Cinta berkonsep islamik arahan Azhari Zain itu bakal mengubah imej Fizo menjadi lulusan Universiti Al-Azhar yang berdepan konflik sebuah kehidupan. "Dalam filem itu, saya baru pulang ke tanah air setelah tamat belajar syariah di Al-Azhar. Ketika hendak berkahwin, dia mahu memberikan hantaran senaskhah al-Quran yang ditulis sendiri kepada bakal isterinya. "Watak pemuda alim memang watak yang saya impikan sejak dahulu. Bukan hendak kata saya ini budak baik, tapi daripada watak sebegitu saya boleh belajar banyak benda, boleh baiki diri sendiri dan kalau beri mesej baik, itu sudah bagus," katanya yang berkira-kira untuk menonton semula judul Ayat-Ayat Cinta atau Ketika Cinta Bertasbih sebagai pemanas enjin sebelum memulakan penggambaran filem terbarunya. Sengaja saya gelarkan MIG sebagai 'kilang filem', manakala Fizo pula seorang daripada 'operator pengeluaran' yang baru mendaftar masuk ke kilang berkenaan. Lantas, sudah bersediakah Wan Hafizol Wan Omar, 26, berdepan rutin dan tekanan menjadi operator di kilang milik tauke besar bernama David Teo? "Tanyakan kepada semua pelakon, rasanya semua mahu bergelar pelakon filem. Itu sasaran semua orang. Saya anggap situasi ini sebagai penjenamaan semula Fizo Omar kerana sebagai pelakon filem, kita diberi kepercayaan untuk menarik penonton membeli tiket. "Kalau dulu juga, orang kata saya jadi pelakon bersandarkan rupa atau mahukan popular, tapi sekarang saya mencari kepuasan. Saya mahu dengar komen-komen, bahawa saya sudah ada peningkatan. Untuk jangka masa panjang, saya pasti menjadi orang paling bertuah jika dapat genggam anugerah pula," ujarnya yang baru ditawarkan watak sebuah produksi teater di Singapura. Memandangkan faktor logistik harus diambil kira, pelakon watak Ketua Lipas dalam Muzikal Siti Di Alam Fantasi itu masih menimbangkan tawaran berkenaan. Masuk ke ruang peribadi, peminat motosikal berkuasa besar yang bercita-cita memiliki buku resipi masakan warisan Thailand itu mengakui, masih belum tiba masa untuk memulakan komitmen hati dengan mana-mana wanita. Katanya, cinta biar dahulu, kerana sekarang waktu menuntutnya untuk membina nama di persada lakonan. Anak kedua daripada empat beradik ini juga menjadi harapan keluarga. Perpisahan yang berlaku antara kedua ayah dan ibunya menjadikan dia seorang anak yang lebih bertanggungjawab. "Kalau boleh saya tak mahu hal keluarga dibawa ke tengah. Walaupun sudah berpisah, kami masih okey. Ibu dan ayah saya masih berbaik, saya tinggal bersama ibu dan dua adik perempuan saya yang masih menuntut," ceritanya ringkas. Sempat berbisik sebelum meminta diri untuk urusan lain, katanya dia baru sahaja menubuhkan kelab peminat atas nama FOFC yang boleh dilayari menerusi www.fizoomar.com. Sasarannya mengumpul sejuta peminat termasuklah di Facebook dan Twitter. "Saya baru sahaja menganjurkan satu percutian bersama peminat ke Langkawi, kalau ada peluang, akan banyak lagi acara melibatkan saya bersama peminat," katanya menutup bicara dengan satu bayangan, bakal bergelar duta jenama penjagaan diri tidak lama lagi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Kualiti Kongsi tidak sehebat kutipan Posted: Kualiti Kongsi tidak sehebat kutipan
DALAM sibuk cakap-cakap tentang 'kesinambungan' cinta Farid Kamil dan kekasihnya Diana Danielle, jejaka kelahiran Kedah Darul Aman ini muncul dengan sebuah cerita yang lebih 'hangat meletup.' Seperti menutup sebuah kisah yang belum ada kesudahan, Kongsi memberi satu bunga bahagia buat jiwa dan semangat Farid Kamil. Kutipan RM1 juta dalam masa sehari tayangan, sutradara mana yang tidak akan tersenyum bangga dan 'kaya' menerima berita paling mahal ini. Berbaloilah Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo melaburkan wang RM2.5 juta hanya untuk menampung kos penerbitan filem kedua arahan Farid Kamil ini. Banyaklah pula nanti perumpamaan nakal dan lucu bakal keluar daripada bibirnya nanti. Mencipta sejarah tersendiri dan baru, Kongsi yang dilakonkan oleh Shaheizy Sam, Fizo Omar, Yana Samsudin, Bront Palarae dan Putri Mardiana tidak kedengaran mustahil untuk mencapai sasaran RM10 juta kutipan seperti yang diramalkan oleh David. Tahniah buat produksi Kongsi juga sejarah filem tempatan. Sensasi Bintang: Bagaimana perasaan Farid apabila Kongsi meraih RM1 juta dalam masa sehari sekali gus memecah rekod sejarah tayangan filem. FARID KAMIL: Sebenarnya saya rasa sangat terkejut dengan pecapaian kutipan filem Kongsi. Dalam masa yang sama saya sangat bersyukur, semakin hari semakin ramai penonton menonton wayang di pawagam. Secara tidak langsung filem Kongsi memberi sumbangan kepada sejarah tayangan filem tempatan apabila mencatat RM1 juta pada hari pertama tayangan. Alhamdulillah. Jangkaan awal Farid terhadap filem ini? Sejak proses praproduksi lagi, saya dan David Teoh selaku penerbit filem ini sudah berbincang untuk membuat sebuah filem yang mampu menarik penonton ke pawagam. Malah kami turut meletakkan target untuk memberikan kawalan mutu terhadap filem Kongsi supaya melebihi tahap filem-filem aksi Metrowealth yang lain. Mungkin 100 salinan untuk Kongsi di pawagam turut membantu rekod dan kutipan untuk filem ini? Sebenarnya tambahan sebanyak 20 salinan adalah permintaan daripada pegurus panggung sendiri. Ini secara tidak langsung memberi impak positif terhadap kutipan filem ini. Awalnya setelah ditayangkan, filem ini menerima kritikan. Saya akui memang filem arahan kedua saya ini mempunyai cacat cela daripada sudut teknikal dan naratif. Tetapi apa yang boleh saya katakan bahawa itulah yang mampu saya lakukan tetapi hakikatnya ia lebih baik daripada filem pertama saya dahulu iaitu V3: Samseng Jalanan. Saya menerima kritikan demi kritikan dengan hati yang terbuka dan akan memperbaiki pada masa akan datang. Lakunya filem ini mungkin juga kerana penjualan Sam selaku tunjang utamanya. Sam dalam Kongsi adalah satu bonus dan pakej kepada filem ini dan kesan pengarahan saya. Sam mempunyai pakej pelakon yang lengkap. Persediaannya sangat teliti untuk membawakan watak Tumulak. Saya sangat bertuah dapat bekerjasama dengannya dan mendapat dia dalam produksi ini. Apa kelemahan dan kekuatan pengarahan kali kedua, Farid? Saya beri 99 peratus tumpuan kepada pengarahan saya dan satu peratus kepada cameo saya dalam filem ini. Itu yang boleh saya katakan terhadap kekuatan pengarahan kali ini. Penfokusan adalah di luar bidang dan pemerhatian saya. Kebanyakan masa, kamera bergerak untuk turutan aksi. Monitor terlalu kecil untuk saya melihat dengan lebih teliti. Tapi saya teruskan dan saya akui saya terlepas pandang dalam hal ini. Perancangan Farid untuk Kongsi atau filem-filem lain? Filem Kongsi secara naratifnya saya letakkan 'cliff-hanger' (tergantung) pada penghujung ceritanya. Ada yang tersirat dan tersurat di situ. Saya perlu berbincang dengan pihak Metrowealth untuk sambungannya. Tetapi secara peribadi, saya mahu melihat respons penonton dahulu dan baru fikirkan untuk sambungan atau tidak. Saya kini terlibat dengan penggambaran drama Wasiat. Kemungkinan besar selepas raya, saya akan turun padang semula untuk tugasan pengarahan untuk sebuah filem yang masih dalam perbincangan. Mungkin Diana Danille di sebalik semua cerita hebat ini? Saya tidak mahu komen apa-apa. Tapi saya mengharapkan doa daripada para peminat atas kebahagiaan saya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Badminton jadi hobi Erra
SERONOK berbicara tentang perkembangan terbaru, si jelitawan dan aktres tersohor, Erra Fazira, 37, yang begitu teruja berkongsi pengalaman mengenai penggambaran drama terbarunya, Hantu Susu. Kelainan drama untuk saluran Astro itu ialah bukannya bergenre seram sebaliknya penuh dengan aksi komedi. Terangnya, bagi mereka yang sebelum ini takut menonton drama atau filem seram pasti akan beralih arah. "Drama Hantu Susu memang seronok. Bukan sahaja perjalanan ceritanya tetapi sepanjang sesi penggambaran para pelakon berjaya menghidupkan suasana komedi. "Ceritanya mengisahkan empat hantu iaitu puntianak, langsuir, kumkum dan penanggal yang sering berlawan antara satu sama lain," katanya yang akan selesai penggambaran drama berkenaan pada 24 Mei ini. Dalam perkembangan lain, dia juga tidak sabar untuk mengasah kembali vokalnya sebelum muncul dengan single terbaru. Masih belum memulakan proses rakaman, kali ini Erra bakal berduet dengan penyanyi bersuara jantan, Suhaimi Meor Hassan. "Saya masih suka pergi ke spa, kena pergi walaupun sibuk. Kalau diikutkan, memang saya tiada masa untuk hobi diri sendiri, tapi kenalah bijak mengatur jadual. Dulu saya suka bermotosikal besar tetapi sekarang, saya suka bermain badminton bersama teman-teman artis seperti Umie Aida serta rakan seperjuangan yang lain. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |