Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Shahir skeptik cinta veteranADA jawapan dibiarkan kosong oleh Shahir. Meskipun sudah banyak pembayang dan jawapan yang diberikan, namun maksud yang benar-benar mahu disampaikannya, barangkali hanya insan tertentu sahaja yang mengerti. "Saya tidak berani cakap yang saya tidak akan bercinta dengannya (Rozita) pada masa depan kerana soal jodoh hanya Allah yang tentukan. Kalau ada jodoh, saya tidak menolak tetapi apa yang ingin saya tegaskan (buat masa ini), saya memang tidak bercinta dengan dia dan saya hanya mahu fokus kepada kerjaya dahulu kerana ia (kerjaya) baru permulaan bagi saya," kata Shahir. Itu jawapan Shahir seperti menidakkan perasaan tentang kasih yang barangkali sudah berpupuk di hati. Benar, Shahir, 23, sudah cukup matang membuat keputusan atau menurut kata hati tetapi jawapan-jawapan kepada persoalan cintanya terhadap jelitawan Rozita Che Wan, 38, tidak membentuk garisan selari. Bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini sedang berkembang. Empayar dan pengaruhnya sebagai bintang baru yang paling popular menurut Shahir memasang strategi mapan. Bukan Shahir tidak sedar, soal penafian tentang cinta bukan kali pertama berlaku kepada anak-anak wayang di mana sahaja. Dia sedia maklum terhadap perkara itu. Permainan hati adalah resam dalam karier anak seni, dan permainan adalah sebahagian daripada populariti. "Dulu, semasa saya mengikuti perkembangan berita hiburan, selalu juga saya beranggapan jawapan-jawapan yang diberikan oleh artis apabila berdepan gosip cinta adalah klise," katanya. Seperti sedikit tergelincir daripada jawapan yang dimahukan, Rozita seperti mengiyakan manakala Shahir masih berdolak-dalik. Jurang yang dibiarkan kosong itu pantas terisi oleh spekulasi. "Saya pernah mengambil langkah untuk berdiam diri apabila berdepan dengan kontroversi tetapi apabila saya bertindak begitu, orang kata saya senyap dan tiada perkembangan. MASIH mengelak bercakap soal hati, fokus Shahir kini kepada karier. "Sebenarnya, saya serba-salah. Fikir-fikir, saya buat kesimpulan, ada baiknya orang selalu bertanyakan khabar saya, maknanya saya masih diterima. Saya tidak pernah cuba cipta kontroversi, ia datang dan saya anggap itu lumrah. "Tentang Rozita pula, saya hanya boleh katakan, dia adalah wanita dan teman artis yang paling rapat dengan saya ketika ini. Saya sudah mengenalinya ketika dia mula-mula masuk ke program realiti Akademi Fantasia 8 (AF8) sebagai artis jemputan. Hubungan kami berlanjutan kerana kami ada keserasian. Kami sekepala," ujar Shahir penuh hati-hati. Mengkehendaki huraian yang lebih, penyanyi bersuara lunak itu diintai pandangannya. Sejauh mana sifat wanita bernama Rozita terlekat di matanya. "Secara luarannya, dia (Rozita) nampak seperti wanita moden yang lain, tetapi dalamannya, dia sangat tebal dengan nilai-nilai kemelayuan, masih banyak ketulenan dan masih ada nilai tradisional dalam sifatnya terutama dalam bab pemakanan. "Sebagai seorang wanita, dia seorang yang tabah, dengan anak-anak yang dijaganya, saya lihat dia seorang yang bekerja keras," ungkapnya seperti terlalu kenal hati budi wanita 'solo' beranak dua itu. Rezeki atau kebetulan, Shahir dan Rozita yang pernah ditemukan dalam drama Lawaknya Fantasia Raya serta klip video terbaru Shahir berjudul Pendam. Pasangan adik dan kakak ini sekali lagi akan berganding dalam sebuah drama berjudul Summer Camp. "Dalam drama itu, kami digandingkan sebagai guru sekolah. Saya memang gemarkan lakonan Rozita, lakonannya sangat berkesan. Masa buat klip video baru-baru ini, saya boleh sebak tengok penghayatannya," puji Shahir tinggi menggunung. Memerhati plot awal permainan hati antara Shahir dan Rozita, ia ibarat membaca helaian pertama tetapi biasan muka surat terakhir sudahpun ditembusi. Sudah ada bayangan terbentuk terhadap garisan berbeza antara penafian Shahir mahupun luahan Rozita. Tidak mustahil setiakawan bertukar menjadi sayang. Untuk Shahir, jika terkocak sebuah rasa, berdepanlah rasa itu atas pegangan seorang lelaki. Jadi hero filem Karak SHAHIR dan Shera Aiyob bergandingan sebagai pasangan kekasih dalam filem Karak yang bakal ke pawagam 26 Mei ini. TINGGALKAN seketika sensasi Shahir-Rozita yang masih jauh daripada penamat, penyanyi yang sedang popular dengan single berjudul Luar Biasa itu sedang gemuruh menantikan filem pertama lakonannya. Sebuah filem seram berjudul Karak, filem itu dilakonkan dalam tempoh dua bulan selepas bergelar juara AF8. Shahir bakal teruji dengan filem sulungnya itu, sebuah filem seram terbitan KRU Studio's, arahan Yusry Abdul Halim. "Memang saya tidak ada asas lakonan, cuma dapat belajar serba sedikit tentang disiplin itu dalam kelas Cikgu Que Haidar serta Cikgu Fatimah semasa di AF. "Karak adalah filem pertama, saya tidak berani memberikan banyak janji, apa yang boleh saya katakan, tengok dahulu, kemudian barulah buat penilaian. Karak banyak memberikan pendedahan, banyak ilmu yang saya serap ketika berada di lokasi filem berkenaan," katanya yang berganding dengan seorang lagi pendatang baru, Shera Aiyob sebagai heroin Karak. Sedikit kekok untuk beraksi semula depan kamera, Shahir dan Shera yang ditemukan dalam sesi fotografi bertempat di Hotel Royal Chulan itu berkongsi debar yang sama. Masing-masing gentar terhadap penerimaan peminat serta daya tarikan Karak untuk memenuhkan panggung. "Saya membawakan watak Nik manakala Shera sebagai Zura. Mulanya Zura seorang gadis yang tertutup daripada segi sosial kerana bekas pelajar sekolah aliran agama tetapi setelah bergaul dengan saya dan rakan-rakan di kolej, dia semakin hilang sifat itu. "Sehinggalah berlakunya satu tragedi, rupa-rupanya Shera masih ada pegangan lamanya. Di situlah berlakunya banyak adegan cemas. Berlakon dengan Shera menyeronokkan, dia mudah serasi lagipun kami ada banyak sesi latihan sebelum penggambaran bermula," sedikit gambaran filem yang bakal menemui penonton bermula 26 Mei nanti terkeluar dari mulut Shahir. "Apa-apapun, Karak memberikan semangat kepada saya untuk terus berlakon jika diberikan peluang. Tapi saya perlukan sedikit kelonggaran, saya masih tidak selesa jika dalam satu masa, jadual lakonan dan nyanyian berjalan serentak," tutup Shahir. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Karyawan sudah mengeluhSYARAT wajib tayang diperkenalkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada 2005. Antara lain, skim itu menetapkan peraturan wajib tayang kepada tauke panggung agar menayangkan sesebuah filem tempatan yang mendapat status tersebut selama dua minggu. Lazimnya, selang dua minggu sekali, barulah sebuah judul filem Melayu akan mengambil giliran berada di pawagam, namun jangka hayat sebenar sesebuah film itu bergantung kepada sambutan peminat dan budi bicara tauke panggung. Bagaimanapun sejak Mac lalu, situasi kemasukan filem-filem tempatan ke pawagam berubah. Di sebalik syarat berada di panggung selama dua minggu, filem tempatan baru perlu diperkenalkan setiap minggu. Objektif utama Finas adalah untuk memakmurkan industri perfileman tempatan manakala penonton akan diberi banyak pilihan. Di sebalik semua itu, filem tempatan turut berdepan saingan yang lebih sengit. Bukan hanya bersaing dengan filem-filem luar bahkan 'perang' dalaman bersama filem Melayu sendiri. Melihat senario seminggu satu filem itu, segelintir karyawan filem mula meluahkan keluhan. Kebanjiran filem Melayu di pawagam dikatakan tidak seiring dengan jumlah penonton ke pawagam. Contoh yang paling ketara, filem Cun lakonan Maya dan Remy yang mendapat kritikan positif sekadar meraih RM1 juta. Kutipan filem seram, Senjakala pula masih berada dalam lingkungan RM1 juta. Ia agak janggal daripada sasaran. Pengarah prolifik, Mamat Khalid berkata, semakin banyak filem ditayangkan maka industri filem tempatan akan semakin bagus. "Filem bagus yang menepati kehendak pasaran dan ada estetika sahaja yang akan hidup (dapat sambutan) lama. Filem-filem yang dibikin sambil lewa akan musnah," pungkas Mamat optimis. Ditanya risiko persaingan dan kesan jangka pendek terhadap kutipan tidak memberangsangkan yang berlaku kepada filem Cun dan Senjakala, Mamat memberi contoh terhadap situasi yang pernah berlaku di Korea Selatan pada tahun 1990-an. "Kerajaan Korea membuat undang-undang, 60 peratus peluang harus dibuka kepada industri filem tempatan manakala hanya 40 peratus pasaran dibuka kepada filem luar. Perfileman di Korea meningkat pesat dan bersaing sihat. "Sekarang, lihatlah mutu pembikinan filem-filem Korea, ada yang setaraf dengan Hollywood. Itu yang saya maksudkan dengan filem yang benar-benar bagus sahaja yang akan 'hidup'," katanya. Tayangan filem seminggu satu filem juga akan membentuk lingkar persaingan yang sama rata tanpa mengira penerbit besar atau pembikin filem indie. "Dalam tempoh yang singkat, filem besar yang dibikin dengan bajet berjuta-juta terpaksa bersaing dengan filem karyawan indie yang dibikin dengan kos ratusan ribu. Pelaburan tidak sama tetapi 'berperang' dalam suasana yang sama, itu macam tidak adil. Di situ, pihak bertanggungjawab perlu buat sesuatu, harus rombak semula keputusan yang sedang dilaksana," katanya yang masak berdepan turun naik pencapaian filem di pawagam. Sementara itu, pelakon Melissa Saila bimbang terhadap daya saing karyawan yang baru hendak menapak. "Memang setengah pihak tiada masalah tapi saya risau, untuk jangka panjang, industri filem kita akan mati," katanya. Melissa yang dalam proses suntingan filem pertama arahannya, Dari Kerana Mata, menambah, jumlah penonton filem Melayu semakin mengecil dengan adanya Astro First. "Kita buat filem untuk panggung bukan televisyen. Itu belum pasal kemasukan filem luar yang langsung tiada sekatan. "Hal itu boleh menyebabkan penerbit tidak bertani ambil risiko, nak melabur lebih atau cuba genre lain pun tidak berani, semua harus ikut trend," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Tilu tunggu Jantung HatiKUMPULAN Tilu (dari kanan), Puja Paska, Fareed, Mira, Deo dan Jeffny sedia tawan peminat jazz. BERMULA dengan tiga ahli kumpulan, kini kumpulan pemuzik indie, Tilu meniti tangga yang lebih tinggi dengan empat ahli kumpulan terbaru. Tujuh jiwa tetapi mereka bersatu dengan hasrat untuk menempa nama yang lebih masyhur sebagai pemuzik yang terkenal. "Awalnya kami hanya mengadakan pertunjukan di gig-gig dan showcase kecil-kecilan, daripada situ kami dapat menilai kekurangan kami. "Jadi kami fikir, kemasukan anggota baru sangat rasional bahkan kami juga perlukan vokalis yang sesuai. Mira adalah calon yang sangat tepat," ujar Puja, salah seorang daripada tiga ahli asal Tilu. Kumpulan Tilu kini giat dalam rangka promosi bagi single terbaru mereka, Jangan-Jangan Cuba, daripada album pertama yang diterbitkan sekitar April 2010. Lagu hasil ciptaan sepenuhnya Puja Paska itu menekankan elemen dangdut dalam susunan liriknya tetapi masih lagi mengekalkan identiti Tilu yang menggunakan alatan muzik tiupan seperti seksofon dan trompet. "Jangan-Jangan Cuba mengisahkan pasangan kekasih yang sedang berpacaran namun mesti ada batas-batasnya dalam perhubungan kerana masih belum ada ikatan yang rasmi," ujarnya yang akan menyambut hari lahir ke-34 pada tahun ini. Dalam kesibukan menjalani aktiviti promosi malah ada antara ahli kumpulannya masih lagi menuntut di menara gading, Tilu bakal mengadakan persembahan di Melbourne, Australia pada 8 Julai ini atas jemputan Persatuan Pelajar Malaysia. "Acara itu dipanggil Muzika 2011 yang dianjurkan pelajar-pelajar Malaysia di Melbourne. Kami akan menyanyi selama setengah jam, mungkin antara empat atau lima buah lagu," ujar Jeffny sambil menunjukkan pesanan ringkas, pelawaan berkenaan menerusi telefon bimbitnya. Selain itu, Tilu sedang mengumpul bahan untuk merakam album kedua mereka yang kini sudah 50 peratus siap dengan lima buah lagu telah dirakam. "Dijangka album kedua akan dilancarkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti, sekarang kami hanya menunggu tarikh pelancaran yang sesuai. "Kami memilih Jantung Hati sebagai tajuknya kelak dan lagu dengan judul yang sama itu juga dicipta sepenuhnya oleh Puja," ulas Jeffny lagi. Selain album kedua yang akan diterbitkan sepenuhnya oleh Tilu Production, syarikat mereka juga ada menjual barangan cenderamata seperti kemeja-T, rantai kunci dan pelekat. Dalam diam, kumpulan yang menjadikan irama jazz sebagai rencah utama muzik mereka itu secara senyap-senyap mengorak langkah cuba menyusup ke industri muzik Indonesia. "Sebagai langkah awal, kami sudah membuat persembahan di beberapa buah kolej swasta atas jemputan Persatuan Pelajar Indonesia di Malaysia. "Kami melihat dahulu bagaimana sambutan peminat Indonesia di sini dan setakat ini, Alhamdullillah amat bagus. "Jika ia berterusan, kami akan bawa muzik kami ke sana malah Tilu juga mendapat turut mendapat maklum balas daripada peminat di Batam dan Pekan Baru," ujar Puja Paska. Tilu lahir di Malaysia tetapi tiga anggotanya berasal dari Indonesia. Selain Puja Paska yang bermain bass, Johar Lucas (drum) dan Reza Ramsey (keyboard), Tilu turut dianggotai Deo Karmawan (gitar), Mira, Fareed Aziz (trompet) serta Jeffny Kamar bermain seksofon. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |