Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Mahu jadi seperti bapaWALAUPUN sudah menyertai askar Wataniah, Min masih menyimpan hasrat untuk kembali menyanyi. SIAPA sangka, sejak lebih sedekad artis Yasmin Malik atau dikenali dengan nama komersial Min Malik yang lama menyepi dalam industri hiburan, kini beralih minat memasuki bidang ketenteraan – askar simpanan atau wataniah sebagai Parajurit Muda Askar Wataniah. Segak memakai pakaian celoreng persis seorang kesatria, tiada siapa menduga dan menyedari kehadiran Min Malik dalam pasukan Platun Media Wataniah di Rejimen 515 Askar Wataniah, Kem Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada awal penyertaannya dalam pasukan itu sebelum dia memperkenalkan diri kepada rakan-rakan rekrut lain di kem berkenaan. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa figura yang popular dengan lagu Flora Cinta sekitar tahun 90-an itu memiliki mental dan fizikal yang kuat, tabah dan 'tak ego' apabila bersama dengan anggota wataniah lain ketika menjalani latihan. Difahamkan, Min Malik merupakan satu-satunya artis yang beralih dari bidang nyanyian ke askar simpanan. Sebelum dia beralih arah, Min bukan asing dalam industri nyanyian. Selain hit dengan lagu Flora Cinta, dia mempunyai tiga buah album, Kasih Bersemi (tidak diedarkan) serta Soalnya Bisa yang dikeluarkan semasa dia kembali belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM). Malangnya, menurut Min Malik, Soalnya Bisa tidak sempat dipromosikan kerana kesibukannya belajar. Mengajak dia berbicara tentang zaman kegemilangannya, Min mula bercerita. Katanya: "Ramai sering tanya saya tentang lagu Flora Cinta, ciptaan Adnan Abu Hassan dan Perjalanan Duka, ciptaan Zul Mahat dan lirik oleh Mama Juwie. "Saya merakam Flora Cinta ketika berusia lebih kurang 15 atau 16 tahun, pada umur yang terlalu naif. Semua memori tentang album itu manis. Sambutannya amat baik, dan berada di tempat pertama dalam siaran radio Wilayah (jika saya tidak silap) untuk tiga atau empat bulan. "Tetapi kejayaannya dan sambutan tersebut telah tidak diterjemahkan kepada jualan rekod atau album, walaupun edarannya dibuat oleh Sony Malaysia ketika itu." Tambahnya, biar tidak sempat mengecap populariti berpanjangan, dia masih berpeluang berlakon teater, selain diberi peluang untuk hos rancangan TV dalam negeri dan di Aceh, Indonesia. Kini kehidupan Min sudah berubah jauh. Dia kini merupakan tenaga pengajar Komunikasi Massa dan Animasi di Akademi Seni Dasein, Kuala Lumpur dan juga merupakan penasihat kreatif untuk Jabatan Animasi dan mengajar Penulisan Skrip dan Penyiaran Radio di akademi tersebut. Jelas Min, selain menjadi tenaga pengajar di akademi itu, dia akhirnya memenuhi minatnya sejak dulu yang meminati bidang ketenteraan apabila menyertai askar simpanan atau wataniah atas kerelaan diri sendiri. MENYERTAI Platun Media, Min juga akrab bergaul dengan askar wataniah dari platun-platun lain. Katanya, dia mula mendaftar dan menyertai wataniah secara serius, selepas bertanya kepada bapanya tentang pasukan simpanan ini pada akhir tahun lepas (2010) dan dari situ timbul keinginan untuk mencebur diri sebagai rekrut selepas mendaftar pada awal tahun ini. Min menyertai anggota kumpulan Platun Media yang telah dilancar pada majlis pelancaran Kumpulan Ketiga, Keempat Askar Wataniah Kementerian Pertahanan dan Platun Media/Siber Askar Wataniah oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi 17 Mac lalu di padang kawad Kementerian Pertahanan. Ketika ditanya mengapa dia menyertai wataniah, Min Malik menjawab: "Sebenarnya, selama 10 tahun selepas dilahirkan, saya membesar dalam keluarga dan persekitaran tentera. Dalam tempoh itu, saya telah berpindah dari satu kem ke satu kem, termasuklah di Kuala Lumpur, Kok Lanas (Kelantan), Kuantan dan di Fort Leavenworth (Kansas, Amerika Syarikat). "Selepas bapa saya bersara, kami masih keluar masuk kem tentera untuk mendapat rawatan, dan saya juga sering mengikuti latihan-latihan luar yang dikendali oleh pesara-pesara tentera." Ujarnya lagi, kerana itu tentera bukanlah sesuatu yang asing kepadanya walaupun sebenarnya dia tidak begitu mengerti apa tugas dan kerja mereka secara terperinci. Menurut Min, dia tidak mempunyai sesuatu sebab yang membara kenapa memasuki wataniah, melainkan pakaian seragam tentera itu diibaratkan ada satu 'daya tarikan' kepada ramai orang, termasuklah dirinya. "Saya juga bersikap ingin tahu tentang apa yang ada dalam tentera yang telah nyata membentuk perwatakan bapa saya. Saya menyertai wataniah kerana saya mahu memahami kenapa bapa saya menjadi seorang tentera," ujarnya jujur. Dek kerana meminati bidang itu, Min mengakui rasa kesal apabila tidak mengambil kesempatan memasuki pasukan Palapes (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan) sewaktu menuntut di universiti dan penyertaan dalam Platun Media ini sedikit sebanyak mengubati kekesalan itu. "Dengan menyertai wataniah ini, saya harap akan menjumpai diri saya yang belum saya tahu kewujudannya, serta memberi saya satu lagi jendela untuk mencipta atau menjenamakan semula seorang Min Malik. BERBINCANG dengan seluruh anggota platun adalah rutin harian mereka. "Saya merasakan masanya sesuai untuk saya menceburi sesuatu di luar kebiasaan saya dengan meluaskan dunia saya dan menerokai bagaimana saya boleh menyumbang kepada negara sebagai seorang askar wataniah. "Saya berpendapat, memakai pakaian seragam tentera dan bersedia untuk memberi perkhidmatan sekiranya diperlukan, adalah satu komitmen yang mulia kepada negara kita," kata Min penuh dengan semangat nasionalisme. Dia kemudian menambah: "Bidang ketenteraan banyak mengajar saya mengenai makna rendah diri. Kita berada di sini sebagai satu pasukan dan kita berada di sini untuk bantu-membantu, seperti cogankata The Musketeers: All for one, and one for all. "Saya harap saya mampu bertahan sehingga akhir latihan dan mudah-mudahan saya boleh bawa apa yang dipelajari ke dalam hidup saya secara baik. Saya juga harap akan menjadi seorang yang lebih baik kerana berada dalam wataniah." Sementara itu, saat ditanya tentang dunia hiburan, Min mengaku masih mempunyai cinta yang menebal terhadap bidang itu, namun, setiap rancangan berkaitan hal itu lazimnya berkait dengan prasyarat iaitu modal, kewangan dan pulangan. "Saya selalu tertewas dengan syarat ini! Buat masa sekarang, dari segi industri ini, saya sedang aktif menyanyi lagu versi Melayu untuk program TV di saluran Disney. "Sekarang, belum lagi ada rezeki untuk kembali sebagai penyanyi atau penghibur. Tetapi jika peluang timbul dan ada penerbit yang mempunyai kepercayaan kepada saya, saya mahu," katanya. Katanya juga, dia telah menulis dan mengumpul lagu-lagu untuk dirinya, tetapi jika dirinya mahu membuat album, dia berharap untuk membuatnya dengan sebaik mungkin. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Konsert Double Trouble terakhir Posted: Konsert Double Trouble terakhirOleh HARYATI KARIM PENGARAH Pelancongan Negeri Melaka, Abdul Kadir Mohd. Idris (dua dari kanan) menyampaikan buku pelancongan Melaka kepada Amy Search sambil diperhatikan oleh penganjur konsert Abalimalimo, Alim Alimon (tengah) pada sidang akhbar konsert Legenda Double Trouble, baru-baru ini. TAHUN lalu, konsert Double Trouble yang menggabungkan dua buah band rock legenda tempatan, Search dan Wings telah berjaya mengadakan konsert di lima buah lokasi. Kehadiran hampir 20,000 pengunjung di setiap konsert membuktikan tarikan Search dan Wings masih kuat. Terbaru, mereka akan bergabung pentas sekali lagi dalam konsert yang diberi nama Lagenda Double Trouble pada 27 Mei depan di Stadium Hang Jebat, Melaka. Menurut vokalis band Search, Amy, yang ditemui pada sesi sidang media yang diadakan baru-baru ini, Konsert Lagenda Double Trouble yang dianjurkan AB Alim Alimon (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka itu merupakan konsert terakhir yang menggabungkan Search dan Wings. "Kalau ikutkan lima buah konsert tahun lalu sudah cukup, tetapi kali ini apabila konsert ini mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri Melaka rasa sayang pula jika tidak buat. "Apa yang boleh saya katakan, Konsert Lagenda Double Trouble ini merupakan konsert terakhir dalam siri jenama Double Trouble. Jadi, buat peminat kalau ingin saksikan gabungan Search dan Wings buat kali terakhir jangan lepaskan peluang untuk ke Melaka," katanya. Tambahnya, Search dan Wings bersetuju untuk melakukan Konsert Lagenda Double Trouble kerana mereka diberi kebebasan untuk memberi yang terbaik buat peminat yang akan menghadiri konsert itu. "Bajetnya agak besar, jadi kami boleh minta semua yang terbaik bukan sahaja daripada segi sistem bunyi tetapi segalanya. Apa yang boleh saya janjikan jika dulu ada peminat yang kecewa dengan masalah sistem bunyi di Sunway Lagoon, masalah itu tidak akan berulang di Melaka," ujarnya. Bagi memastikan semua perkara berjalan dengan lancar, kata Amy, dia bersama anggota Search yang lain akan terlibat 100 peratus dari awal perancangan konsert sehinggalah ke peringkat akhir. "Kami sendiri yang pilih sistem bunyi dan peralatan. Kami pastikan apa yang kami pilih itu sama dengan apa yang akan digunakan pada hari konsert. Saya tidak mahu masalah yang sama berulang, kalau boleh saya mahu konsert terakhir Double Trouble akan meninggalkan kenangan yang terbaik buat peminat Search dan Wings," tuturnya lagi. Sementara itu, Pengarah Urusan Abalimalimon Event Unit, Abdul Alim Alimon selaku penganjur konsert menjelaskan, keunikan konsert itu adalah pada pengisiannya di mana kebanyakan lagu yang bakal dipersembahkan dipilih oleh barisan Exco kerajaan negeri Melaka sendiri. "Selain itu, kami juga bekerjasama dengan Konsortium Transnasional Berhad yang bertindak sebagai ejen jualan tiket menerusi 80 kaunter tiket bas mereka di seluruh semenanjung," katanya. Menurut Abdul Halim, Konsert Lagenda Double Trouble di Melaka itu diadakan bersempena Karnival Jom Gempau yang berlangsung pada 25 hingga 29 Mei depan. "Menariknya, konsert di Melaka ini mampu memuatkan lebih 30,000 penonton. Selain menonton konsert, peminat yang hadir juga berpeluang untuk meninjau karnival yang diadakan dari 25 hingga 29 Mei di pekarangan stadium. Pelbagai aktiviti dan acara yang dianjurkan termasuk sukan rakyat, karaoke, konvoi motosikal Road To Dt Melaka 2011, makan amal anak yatim bersama menteri dan gerai-gerai jualan," katanya. Selain berhibur, setiap pembelian tiket turut berpeluang untuk memenangi cabutan bertuah iaitu sebuah kereta Perodua Viva, dua motosikal Modenas Kriss dan lima buah Apple iPad. Harga tiket yang masih belum diumumkan dijangka akan mula dijual pada 25 April depan. Untuk maklumat lanjut, sila layari dtmelaka.blogspot.com. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Taylor puja kekasih
TAYLOR LAUTNER nampaknya memang sedang mabuk kepayang. Masakan tidak, dalam satu temu bual, dia tidak henti-henti memuji kekasih barunya, Lily Collins yang merupakan anak kepada legenda, Phil Collins. Aktor yang meraih populariti hasil lakonannya menerusi siri filem Twilight itu mengatakan bahawa Lily berhasil membuatnya 'gila' ketika mereka berdua menjalani penggambaran filem, Abduction. "Saya bertemu dengannya beberapa kali dan dia berjaya membuat saya jadi 'gila'. Dia sangat mengagumkan," ujarnya menerusi laman web Showbizspy. Bagi Lautner, Lily sangat berbakat dan selalu menyokong dirinya. Dia juga mengungkapkan bahawa mereka sangat mudah serasi ketika melakonkan adegan-adegan romantis dalam filem tersebut. Pria berusia 18 tahun itu sudah digosipkan menjalin hubungan dengan Lily sejak November lalu, selepas dia menjadi terkenal. Sementara itu bercakap tentang kehidupannya yang semakin diekori banyak paparazi, Lautner mengakui dia telah kehilangan privasi dengan sangat teruk. "Saya juga berasa hidup ini tidak lagi normal kerana sering dikejar paparazi," akuinya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |