Utusan Online - Hiburan |
Posted: Soraya teman setia AishahOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
MANA-MANA wanita yang mendirikan rumah tangga pastinya mahukan cahaya mata bagi melengkapkan lagi kehidupan yang dibina bersama suami. Bagi mereka, anak merupakan rahmat paling besar daripada Tuhan dan untuk menyaksikan anak-anak mereka membesar di depan mata barangkali merupakan pengalaman yang paling terindah dalam hidup seorang ibu. Itulah yang diluahkan oleh selebriti terkenal, Aishah Sinclair saat diajak berbicara tentang tugas barunya sebagai seorang ibu sejak melahirkan anak pertamanya, Soraya Ann pada bulan Ogos tahun lalu. Aishah mengakui menjadi seorang ibu bukanlah satu tanggungjawab yang mudah. Banyak perkara yang perlu diambil kira bagi memastikan Soraya sentiasa berada dalam keadaan sempurna dan selamat. Mujurlah kata Aishah, ibunya, Khadijah Abd. Rahman, banyak membantu dalam memberikan tips penjagaan bayi yang sedikit sebanyak meringankan bebannya. "Soraya masih lagi menyusu badan dan kerana itu, saya sering membawanya bersama seandainya ada agenda yang perlu saya penuhi. Kiranya dia adalah peneman setia saya hampir setiap masa. Saya harus akui memang ada kalanya ia cukup memenatkan. "Tetapi, ia memberi satu pengalaman baru untuk saya dalam fasa hidup saya sebagai seorang isteri dan ibu. Sepanjang enam bulan selepas bergelar seorang ibu, banyak yang saya belajar daripada ibu dan ibu-ibu saudara saya. "Apabila menjadi seorang ibu, perkara utama yang saya belajar adalah agar tidak cepat berasa tertekan dengan keadaan sekeliling dan situasinya. "Lebih baik bersikap rasional dan tenang dalam apa jua keadaan. Bukan sahaja baik untuk saya tetapi juga untuk Soraya," jelas wanita berusia 30 tahun ini yang masih kekal ramah seperti dulu. Aishah ditemui pada majlis sidang akhbar pengumumannya sebagai duta baru pusat pelangsingan badan terkemuka, Marie France Bodyline (MFB) di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Soraya Ann merupakan cahaya mata hasil perkahwinan Aishah dan suaminya, Sheikh Abdul Shahnaz yang dibina pada Januari 2006. Rezeki Pemilik nama penuh Aishah Jennifer Mohamed Sinclair ini mempunyai alasan tersendiri apabila membuat keputusan untuk mengandung hanya selepas empat tahun berkahwin. "Saya memulakan karier saya dalam usia yang agak lewat ketika berusia 24 tahun. Jadi, saya mahu fokus pada kerjaya ketika itu sebelum memikirkan tentang fasa seterusnya dalam hidup saya. "Selepas berkahwin, saya dan suami sepakat untuk menghabiskan masa berdua terlebih dahulu. Dalam erti kata lain, mahu melalui tempoh bulan madu sebelum memulakan keluarga. "Hanya selepas dua tahun, saya sudah bersedia untuk menjadi seorang ibu dan kami hanya mampu berdoa kepada Allah agar Dia memberikan kami rezeki menimang cahaya mata. "Alhamdulillah, doa kami dimakbulkan dan kami bersyukur kerana Soraya dilahirkan dalam keadaan sempurna sifatnya," jelas Aishah yang tidak lokek bercerita tentang kehidupannya kepada Hits. Anak kedua daripada tiga beradik ini juga sempat berkongsi kisah di sebalik pemilihan nama Soraya Ann yang diberikan kepada anak sulungnya itu. Memang dari awal lagi, Aishah begitu berminat untuk menamakan anaknya dengan nama Soraya kerana nama itu memiliki ciri klasik Melayu dan begitu jarang digunakan pada zaman ini. "Sebagai seorang yang dilahirkan dalam dua budaya, saya memutuskan untuk memilih nama Soraya Ann agar anak saya tahu asal-usulnya yang memiliki darah campuran British-Melayu. "Bukan itu sahaja, Soraya juga memiliki darah India dan Cina daripada suami saya. Jadi, secara tidak langsung, Soraya ialah bayi 1Malaysia. "Jangan tak tahu. Suami saya sampai merajuk sebab nama anak kami tidak ada yang dapat melambangkan keturunannya. Saya berkata kepadanya jangan risau kerana untuk anak kedua nanti, dia diberi peluang memilih nama anak kami," ujar anak kelahiran London, England ini sambil berseloroh. Kekeluargaan Dalam masa yang sama, Aishah tidak dapat menolak ketentuan takdir seandainya dia dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata kedua dalam waktu terdekat. Tidak mahu terlalu merancang, Aishah seboleh-bolehnya mahu Soraya memiliki adik dalam lingkungan umur yang sebaya dengannya. "Senang apabila dia ada teman untuk bermain dan jarak itu tidaklah terlalu jauh. Saya memang mahu menerapkan nilai kekeluargaan yang tinggi dalam diri Soraya kerana saya sendiri dibesarkan dalam suasana seperti itu. "Keluarga saya memang besar dan setiap kali cuti serta hari perayaan, memang meriah kerana semua akan berkumpul. Jadi, saya mahu Soraya dan anak-anak kami nanti tahu akan kepentingan nilai kasih sayang dan kekeluargaan," jelas Aishah yang kini sudah pun kembali bertugas sebagai pengacara The Breakfast Show di ntv7. Sehati sejiwa Seperkara yang membuatkan Aishah teruja apabila dia sering bertukar tips penjagaan bayi bersama abang dan kakak iparnya, Ashraf dan Bunga Citra Lestari yang tinggal di Jakarta, Indonesia. Untuk pengetahuan, Aishah melahirkan bayinya pada bulan Ogos sementara Ashraf pula menimang cahaya matanya sebulan selepas itu. "Jadi, jarak usia antara anak-anak kami memang dekat dan kami cukup gembira kerana setidak-tidaknya, Soraya dan Noah akan membesar bersama-sama. "Dalam tempoh berpantang itu, saya, Ashraf dan Bunga memang ada bertukar pendapat serta berkongsi cerita tentang pengalaman kami. "Bukan itu sahaja, apabila kami sudah menjadi ibu dan bapa ini, keutamaan semuanya diberikan kepada anak-anak kami. "Kalau membeli-belah, memang tidak sah kalau tidak membeli barang keperluan bayi. Pasti akan ada satu barang yang akan saya beli untuk Noah dan rupanya, Ashraf juga begitu," cerita Aishah dalam derai tawa yang menyerlahkan seri wajahnya sebagai seorang ibu. Bercerita tentang perancangannya untuk tahun 2011, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan perhubungan awam ini mahu terus aktif dalam bidang seni terutamanya lakonan. Dalam masa yang sama, Aishah yang juga salah seorang pemilik syarikat Sinclair Falak Sdn. Bhd., itu juga sudah mengatur strategi terbaik untuk syarikatnya itu. Antaranya adalah untuk mendapatkan khidmat artis-artis tempatan dalam menganjurkan bengkel seperti mana yang pernah dilakukannya bersama temannya, Sazzy Falak tidak berapa lama dulu. "Sekarang ini pun Sazzy sedang mengandung dan saya pula sibuk dengan Soraya. Jadi, masa begitu terhad untuk kami sendiri terlibat dalam bengkel seumpama itu. "Insya-Allah, saya juga ada rancangan untuk muncul dengan program bual bicara saya sendiri menerusi Sinclair Falak yang berkonsepkan tentang alam sekitar," katanya optimis. | ||
Posted: Siti mohon disayangi ramaiOleh KHADIJAH IBRAHIM
BESAR atau kecil hadiah yang diterima sempena hari lahir bukanlah ukuran untuk menilai kasih sayang. Apa yang penting adalah ingatan orang tersayang terhadap diri kita. Bagi Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, kesungguhan suami tercinta, Datuk Seri Khalid Muhamad Jiwa atau Datuk K mengatur majlis sambutan hari lahirnya yang ke-32 Isnin lalu, merupakan satu hadiah yang paling istimewa. Siti yang anggun dengan gaun hijau lumut rekaan Wanpa berkata, beliau tidak terlibat dalam pengurusan majlis yang berlangsung dalam suasana gilang gemilang di Hotel J.W. Marriot, Kuala Lumpur itu. Majlis sambutan hari lahir Siti itu dilihat seperti festival kerana ramai artis ternama dari kalangan penyanyi, pelakon, produser dan penggiat seni hadir memeriahkannya. Antara yang hadir, Fizo Omar, Fahrin Ahmad, Habsah Hassan, Rubiah Suparman, Ziela Jalil, Ezlynn, Shahir, Shahira, Lisa Surihani, Diana dan Linda Rafar. Ini kerana majlis sambutan hari lahir Siti diraikan serentak dengan pelancaran Wajah-Wajah SimplySiti, iaitu produk kecantikan jenamanya. Secara jujur Siti akui, beliau tidak menduga sambutan hari lahirnya meriah sebegitu hasil sentuhan kerja suami dan kaki tangan Siti Nurhaliza Production (SNP). "Datuk K adalah tulang belakang dalam pembikinan semua acara ini. Masa dulu mana pernah Siti sambut hari lahir sebegini meriah. "Acara ini sungguh istimewa sekali. Siti bersyukur ke hadrat Illahi kerana pada usia ini masih dihargai dan harap untuk usia seterusnya, terus disayangi ramai," katanya. Kata Siti, perjalanan seninya masih jauh dan banyak yang perlu diterokai dan berharap kerjayanya yang bermula sebagai juara Bintang HMI 1995 akan lebih cerah di masa depan. Sempena anjakan usianya itu, Siti berharap kehidupan masa depannya sebagai isteri, wanita, anak dan ibu akan menjadi lebih baik. "Banyak sangat harapan yang Siti inginkan tapi dari segi kehidupan, Siti mahu perbaiki kelemahan diri agar boleh terus maju ke hadapan baik kerjaya ataupun bidang perniagaan," katanya. Setiap kali penyanyi asal Kuala Lipis, Kuantan, Pahang, itu menyambut hari lahir setelah bergelar isteri Datuk K pada 2006, ramai yang tertunggu-tunggu hadiah apa yang bakal diperoleh. Maklumlah, tahun lalu, Siti menerima sebuah beg tangan berjenama Louis Vuitton (LV) yang berharga RM40,000 yang menjadi idaman ramai wanita. Lain-lain hadiah sempena hari lahir yang Siti terima daripada Datuk K adalah seutas jam tangan Richard Mille berharga RM200,000 yang ditempah khas dan sebuah kereta Mercedes berwarna hitam. Bagaimanpun tahun ini Siti hanya mahukan sebuah komputer riba Mac Book Pro jenama Apple yang harga di pasaran sekitar RM7,000. Keinginannya itu tidak dapat dilaksanakan oleh suami kerana pasangan itu belum berkesempatan untuk meninjau gajet berkenaan kerana kesibukan Siti. Beliau yang dirai turut menghiburkan penonton dengan lagu Mencintaimu yang dituju khas untuk suami tercinta. Selain itu, Syed Sobrie dan isteri, Azie turut menghibur para penonton pada acara yang dikendalikan oleh Zizan Raja Lawak dan Fara Fauzana. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |