LEBIH lima tahun menanti, akhirnya impian Marsha Milan Londoh, 26, untuk memiliki album tercapai. Menelan kos puluhan ribu ringgit, pembikinan album EP pertama, Yang Pertama, dibiayai sepenuhnya oleh Marsha.
Kenyataan gadis cantik ini membiayai kos albumnya mengundang sangsi lalu ada suara-suara nakal mengusik apakah Marsha ditaja individu bergelar hartawan.
Menguntum senyuman manis namun tegas dan serius suaranya, Marsha ketika ditemui di majlis pelancaran albumnya, menafikan dakwaan liar itu.
"Takda maknanya ditaja. Pembikinan album ini menggunakan sepenuhnya wang dari simpanan saya yang dikumpul berdikit-dikit sejak keluar dari AF3 lebih kurang enam tahun lalu.
"Bukan tajaan daripada kekasih atau sesiapa, semuanya hasil titik peluh saya sendiri. Ketika masih bernaung di bawah Maestro Records, masa itu baru tamat AF3 gerak hati seolah dapat menjangkakan ada sesuatu akan berlaku.
"Dengan keadaan penjualan album yang kurang memberangsangkan, tidak semua bintang AF berpeluang menghasilkan album dan ia menjadi lebih rumit apabila kontrak tamat.
"Jadi, awal-awal lagi saya selalu beringat. Dapat saja duit 'show' saya menabung. Mungkin, sekarang ini peminat lebih mengenali saya sebagai pelakon tetapi saya bersyukur kerana dari dulu sampai sekarang saya masih menerima undangan persembahan setiap bulan.
"Daripada rezeki menyanyi dan berlakon itulah saya kumpul wang. Bila rasa sudah cukup duit gunakan untuk merakamkan lagu," katanya turut menghiburkan tetamu dengan lagu Bila, Janji Ruang Kedua secara langsung sebelum pelancaran bermula.
Belum puas menduga Marsha yang memang ramah dan 'sporting', pihak media bertanya lagi, jika bukan hartawan mungkinkah teman lelakinya seorang ahli perniagaan berjaya berusia awal 30-an yang menaja pembikinan album itu.
Gadis kelahiran Michigan, Amerika Syarikat (AS) ini sekali lagi menafikannya. Katanya, teman lelakinya tiada kena-mengena langsung dengan album ini. "Sebagai orang yang terbabit dalam dunia perniagaan, dia banyak memberikan nasihat dan inspirasi selain sentiasa berada di sisi memberi sokongan," ujar pemilik bibir mungil ini.
Bercerita lanjut mengenai album Yang Pertama yang memilih 11.1.11 sebagai tarikh keramat, ia memuatkan lima lagu iaitu Ruang Kedua yang disampaikan secara duet bersama penyanyi kelahiran Perancis, Julian Cely,Tak Perlu Selamanya, Bila, Janji dan Bersama Kita.
Album ini bagi Marsha bersifat cukup peribadi padanya kerana dua daripadanya lagu yang dimuatkan adalah hasil sentuhannya sendiri. Malah gadis yang baru saja menyambut ulang tahun ke-25 pada 6 Disember lalu, berkuasa sepenuhnya dalam memilih lagu dimuatkan dalam albumnya.
Akui Marsha, dia begitu gembira, teruja dan gementar menantikan kemunculan Yang Pertama di pasaran Februari nanti. "Bila, adalah gubahan pertama saya. Lagu ini sangat istimewa bagi saya kerana proses pembikinan lagu ini dipenuhi aura-aura kegembiraan, bermula dari saat saya menekan kunci pertama di piano saya sehingga tamatnya rakaman vokal. "Lirik feminin yang bersahaja ditulis Eenaz Mokhtar manakala susunan muzik yang segar dan bertenaga oleh Kimberly Chin bagai memberikan nyawa kepada lagu 'gembira' ciptaan saya ini.
"Manakala, Janji pula adalah gubahan pertama saya yang diterbitkan. Semasa menghayati watak Wati ketika penggambaran dokudrama Korban 44, saya mendapat inspirasi untuk menulis lagu ini.
"Lagu ini pada asalnya ditulis dalam 'mood' yang sedih bagi memenuhi skrip dan jalan cerita Korban 44. Tetapi apabila diolah semula untuk album ini, ia diberi nafas baru dan terarah kepada sebuah penceritaan lagu yang menggambarkan kebahagiaan. "Lirik puitis lagu ini ditulis oleh Hariry Jalil yang memainkan watak Anjang iaitu pasangan Wati dalam drama tragis," katanya turut merancang menghasilkan EP dalam bahasa Inggeris.
Album dipasarkan Alibi Music itu turut menampilkan beberapa penerbit seperti Francis Hawtyn Cobb, Imran Ajmain, Adeep Nahar, Cydney Chang dan Delynne Hashim.
Tidak hanya berkisar album saja, pertemuan dengan Marsha kelmarin, menghimpun pelbagai cerita menarik. Antaranya, kisah cintanya dengan ahli perniagaan berbangsa Melayu.
Sebagaimana gosip yang pernah tersebar sebelum ini, keluarga Marsha dikatakan pernah menentang hubungannya dengan pemuda Melayu sebelum ini. Justeru, apakah kali ini hubungannya direstui.
"Kami baru sangat kenal dan saya lebih senang menyifatkan hubungan kami ini sebagai kawan-kawan. Iya dia memang mengambil berat akan diri saya dan keluarga tahu saya rapat dengannya.
"Bagi saya berkawan tidak salah lagipun tidak pernah terfikir jauh sekali merancang untuk berkahwin memandang saya masih muda. "Memang keluarga saya mahukan saya berkahwin dengan lelaki seagama tetapi mereka tidak melarang saya berkawan dengan sesiapapun asalkan kawan saya itu baik untuk didampingi," katanya. Beralih pada lakonan pula, Marsha bakal muncul dengan filem Cun arahan Osman Ali dan beberapa drama seperti Kum Kum The Series, KITA 2 dan Mimi Mencari Cinta, mahu mengehadkan pembabitan dalam lakonan untuk memberi laluan kepada karier nyanyiannya.
>PROFIL
NAMA: Marsha Lya Milan Londoh
NAMA PENTAS: Marsha
TARIKH LAHIR: 6 Disember 1985
UMUR: 26 tahun
TEMPAT LAHIR: Michigan AS
ZODIAK: Sagitarius
ASAL: Tamparuli, Sabah
BANGSA: Kadzandusun
BERAT: 50 kg
TINGGI: 5'3"
DRAMA: Kerana Karina (2006), Korban 44 (2009), Mega Sekeping Hati (2010), Hotel Mania (2010), K.I.T.A (2010), Dottie (2010), Saloon (2010), Seribu Kali Cinta (2010), Awan Dania 3 (2010) dan Mimi Mencari Cinta (2011).
FILEM: Misi 1511 (2006), Saus Kacang (2008), Senario Episode 2: Beach Boys (2009), Magika (2010), 4 Madu (2010), Cun (2011).