Adsense

Ahad, 26 Disember 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Kami bekerja Hari Natal

Posted: 24 Dec 2010 06:22 AM PST

DI kalangan penggemar drama Cina tempatan, nama pelakon Aenie Wong dan Melvin Sia semakin popular dan diminati ramai.

Menariknya, kehadiran mereka tidak hanya menjadi tumpuan kelompok peminat Cina saja, malah segelintir masyarakat Melayu yang turut meminati drama Kantonis.

Sempena Hari Natal yang disambut hari ini, dua selebriti ini digandingkan untuk sesi fotografi bersama Rap yang diadakan di Tropicana Mall, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Mereka yang masih sibuk dengan komitmen lakonan masing-masing berkesempatan meluangkan masa berkongsi cerita mengenai aktiviti terbaru dan sambutan Krismas tahun ini.


Bagi Aenie, dia masih terbabit dengan beberapa drama baru ditayangkan di stesen ntv7. Drama Mystique Valley membawa kisah masyarakat di kawasan kilang balak menyaksikan dia membawa watak sebagai anak perempuan orang gaji.


Drama ini menemui penonton pada setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam. Menyingkap pembabitannya dalam bidang lakonan, Aenie dikenali ramai menerusi drama bersiri, Age of Glory yang pernah ditayangkan dua tahun lalu.

Drama sebanyak 42 episod arahan James Lee ini menampilkan Aenie sebagai Chen Mei iaitu pekerja Rose yang tabah membesarkan anak selepas ditinggalkan kekasih, Wang Cai.

Memberi kekuatan, drama ini dijayakan bersama Debbie Goh dan Danielle Dai sebagai pelakon utama dibantu Lee Meng Chong, Steve Yap, Leslie Chai termasuk juga Melvin. Drama ini yang mendapat sambutan hangat lebih 800,000 penonton setia ntv7 dan disambung lagi bagi musim kedua tahun ini.

Aenie, 26, yang masih solo menyatakan minat pada lakonan terus membara. Malah, dia berhasrat mahu mencuba pelbagai watak berbeza dalam meluas pengalaman sendiri.

Mengenai sambutan Krismas, dia berpandangan suasana meluangkan masa dengan rakan di rumah termasuk makan bersama seperti satu keluarga menjadi pengalaman yang cukup menyeronokkan.

"Dalam bergembira, penghujung tahun sebegini juga menjadi masa terbaik untuk saya menilai kembali apa yang sudah saya lakukan sepanjang tahun.

"Saya juga harus memikirkan apakah pembaharuan yang ingin saya laksanakan pada 2011.

"Sebenarnya, saya mempunyai banyak pengalaman bekerja ketika Krismas. Sudah menjadi lumrah, pelakon bekerja pada musim perayaan dan cuti umum.

"Beberapa tahun sebelumnya, saya memang bekerja. Begitu juga, Krismas kali ini saya terbabit dengan acara jelajah promosi album Reunion 178 sempena Tahun Baru Cina yang diterbitkan ntv7, 8TV dan One FM.

"Buat masa ini, saya belum pernah menyambut Krismas di luar negara. Kalau diikutkan saya merancang merasai pengalaman Krismas di Australia, tetapi kerana adanya acara jelajah, saya terpaksa lupakan saja.

"Saya fikir Krismas di luar negara berbeza dan sudah tentu lebih meriah. Dalam fikiran saya terbayangkan pelbagai dekorasi indah dalam hawa sejuk," ujarnya.

Menjelang 2011, Aenie berazam melipatgandakan usaha agar lebih banyak terbabit dengan filem dan iklan. Katanya, dia mahu meluaskan pengalaman berbanding hanya popular menerusi drama bersiri.

"Menjadi selebriti dikenali ramai dan sering ditegur peminat. Ada ketika selebriti mendapat layanan berbeza.

"Pernah suatu hari, ketika saya makan bersama rakan di luar, seorang peminat datang dan menangis lalu menyatakan dia begitu menyukai lakonan saya. Insiden itu membuatkan saya terkejut dan amat tersentuh.

"Hadiah paling bermakna yang pernah saya terima adalah pemberian ayah iaitu apabila dia mengubah suai bilik tidur saya yang membuatkan saya lebih selesa melelapkan mata.

"Pada 27 Disember ini, saya akan ke Australia untuk mengikuti kursus lakonan secara intensif selama sebulan. Saya berasakan latihan seperti ini penting untuk meningkatkan kualiti lakonan sendiri.

"Untuk drama terbaru lain, saya juga terbabit dalam telefilem The Super Match-maker yang akan ditayangkan di ntv7 pada 3 Februari 2011," katanya.

Sama seperti Aenie, Melvin juga terpaksa berkorban cuti Krismas apabila turun padang menjayakan acara jelajah promosi album Reunion 178.

Terbabit sama untuk telefilem baru, The Super Match-maker, dia menyatakan sambutan Krismas yang paling meriah diraikan adalah ketika berada di Taiwan dan Hong Kong beberapa tahun lalu.

Katanya, pengalaman berada di Taiwan bersama rakan suatu yang menyeronokkan apabila bersiar dan makan bersama. Begitu juga, berkongsi suasana Krismas di Hong Kong dan Papua New Guinea memberikan pengalaman berbeza.

"Saya masih ingat ketika berada di Hong Kong, ramai yang ambil kesempatan keluar untuk menyambut Krismas. Ketika berada di dalam MRT, suasana sekeliling cukup sesak termasuk di jalan raya.

"Namun, saya bersama rakan tetap gembira dengan pengalaman berada di negara orang. Bagi saya, Krismas memberi makna perkongsian, bergembira bersama dan meluangkan masa dengan anggota keluarga dan rakan.

"Sudah tentu beraya di negara orang memberi pengalaman berbeza. Sebelum ini saya menolak kerja pada Krismas kecuali jika tawaran yang diberi lumayan.

"Sempena Krismas dan tahun baru, saya berazam karier saya semakin cemerlang. Malah, saya ingin kerja keras pada tahun depan.

"Ketika ini, saya masih belum berpuas hati dengan pencapaian diri. Mungkin saya berharap mendapat hadiah kereta untuk Krismas kali ini," katanya.

Melvin kini muncul dengan drama baru, Tribulations of Life disiarkan pada setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam bermula 30 Disember ini. Berkongsi pengalaman bergelar pelakon, katanya, bidang hiburan sememangnya menyeronokkan tetapi memberi cabaran besar.

"Saya berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang persembahan di Taiwan suatu hari nanti. Kepada peminat, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Krismas dan jangan lupa menonton drama terbaru lakonan saya, Tribulations of Life yang akan menemui penonton tidak lama lagi," katanya.

PROFIL

NAMA: Melvin Sia
TARIKH LAHIR: 14 Jun
ASAL: Singapura
STATUS: Bujang
KERJAYA: Pelakon dan penyanyi
DRAMA: Tribulations of Life dan The Super Match-maker
ALBUM: Reunion 178
HOBI: Melancong, menonton wayang, mendengar muzik dan gimnasium

NAMA: Aenie Wong
TARIKH LAHIR: 2 Ogos 1984
USIA: 26 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
STATUS: Bujang
KERJAYA: Pelakon dan penyanyi
DRAMA: Age of Glory, Mystique Valley, Age of Glory 2 dan The Super Match-maker
ALBUM: Reunion 178
HOBI: Gimnasium, selam skuba dan melancong

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Penangan Hantu Kak Limah

Posted: 24 Dec 2010 06:12 AM PST

JIKA filem Ngangkung mencatat rekod tertinggi kutipan filem Melayu, sekali gus membawa kejayaan besar kepada MIG Productions Sdn Bhd, satu lagi genre komedi seram, Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) juga menjadi kebanggaan Tayangan Unggul Sdn Bhd apabila memberikan pungutan paling tinggi buat mereka.

Ngangkung arahan Ismail Bob Hasim yang ditayangkan di pawagam sejak 25 November lalu mencatat kutipan lebih RM8 juta selepas lima minggu tayangan untuk mengatasi rekod yang dipegang Adnan Sempit juga terbitan MIG dengan kutipan RM7.8 juta.

HKLBR arahan Mamat Khalid yang ditayangkan sejak 9 Disember pula mencecah angka RM5 juta pada Khamis lalu dan mencipta rekod paling tinggi dicatat filem terbitan Tayangan Unggul/Astro Shaw setakat ini.

Ini adalah filem ke-27 Tayangan Unggul manakala filem lain yang turut mencatat kejayaan besar ialah Lagenda Budak Setan (LBS) arahan Sharad Sharan dengan RM4.34 juta dan Papadom arahan Afdlin Shauki (RM3.5 juta).


Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul, Gayatri Su-lin Pillai mengakui pihaknya tidak menyangka HKLBR akan mencatat kejayaan besar hingga mencecah kutipan RM5 juta.


Katanya, walaupun yakin garapan terbaru Mamat itu menghiburkan dan mampu menarik perhatian penonton, pihaknya tidak menyangka ia mampu mencatat fenomena besar.

"Saya bangga kerana HKLBR berjaya menarik masyarakat yang selama ini tidak berminat dengan filem Melayu. Ketika promosi di Ipoh, Perak, saya bertemu penonton yang mengakui tidak menyaksikan filem Melayu sejak 19 tahun lalu, tetapi tertarik untuk menonton HKLBR apabila mendengar kehebatannya daripada rakan.

"Ternyata dia gembira selepas menonton filem ini kerana ia tidak mengecewakan dan cukup berbaloi. Ramai memaklumkan mereka menontonnya lebih dari sekali.

"Apa yang lebih membanggakan pada awalnya filem ini ditayangkan di 46 panggung, tetapi selepas beberapa hari tayangan, ada permintaan daripada dua panggung di Taiping dan Brunei.

"Walaupun beberapa filem ditayangkan selepas HKLBR seperti Aku Masih Dara (16 Disember) dan Janin menyusul (23 Disember), filem dibintangi Awie, Johan Raja Lawak, Ummi Nazeera dan Zainuri Misfar masih ditayangkan di pawagam," katanya.

Mengenai rahsia kejayaan HKLBR, Gaya mengakui ada banyak faktor yang membantu terutama ceritanya yang menarik dan filem Mamat sudah mempunyai pengikutnya sendiri.

"Kedua, sokongan daripada penonton Zombie Kampung Pisang yang turut mencatat kejayaan membanggakan dengan kutipan RM2.8 juta serta dibantu faktor lain seperti barisan pelakon dan juga strategi promosi yang lebih terancang.

"Selain kejayaan HKLBR, dua lagi filem kami yang mencatat kejayaan besar tahun ini ialah LBS dengan kutipan RM4.34 juta dan filem komedi bahasa Mandarin, Woo Hoo (RM4.2 juta). LBS ditayang 3 Jun lalu manakala Woo Hoo (14 Mei).

"Untul 2011, sebanyak 10 filem sudah siap dan bersedia untuk tayangan dimulakan dengan filem seram arahan James Lee, Sini Ada Hantu pada 10 Februari.

"Filem lain yang sudah siap ialah Cun arahan Osman Ali menggandingkan Maya Karin dan Remy Ishak, Seru arahan Pierre Andre, Tolong Awek Aku Pontianak (James Lee), Misteri Jalan Lama (Afdlin Shauki) dan Apokalips (Mamat Khalid)," katanya.

Gaya bangga kerana industri filem tanah air menunjukkan perkembangan yang sangat baik sejak dua tahun ini apabila banyak filem diterbitkan hingga satu filem ditayangkan selang seminggu sepanjang November dan Disember.

Katanya, dengan kehadiran banyak filem yang sedia ditayangkan pada 2011, tidak mustahil filem Melayu ditayangkan selang seminggu sepanjang tahun.

"Bagi saya, karyawan filem perlu berfikiran terbuka dan bersedia untuk bersaing secara sihat dengan tayangan satu filem selang seminggu berbanding sebelum ini selang dua minggu.

"Ini untuk mengelakkan berlakunya lambakan filem pada akhir tahun kemudian filem yang tidak dapat ditayangkan pada tahun itu dibawa ke tahun depan pula. Langkah tayangkan satu filem selang seminggu sepanjang November dan Disember ini membuktikan filem menarik mampu menarik penonton.

"Tidak perlu timbul persoalan apakah industri kita sudah bersedia atau tidak dengan keadaan ini kerana ia sesuatu yang bagus dan penonton berpeluang memilih filem yang terbaik untuk ditonton.

"Itulah yang ditekankan Tayangan Unggul/Astro Shaw selama ini apabila mempelbagaikan genre filem yang diterbitkan supaya penonton dapat membuat pilihan. Jumlah panggung juga bertambah dengan pembukaan lokasi baru seperti
di Terengganu," katanya.

Bagaimanapun, Gaya mengakui beberapa filem terbitan syarikatnya yang ditayang tahun ini gagal mencatat kutipan tinggi seperti Kapoww hanya RM270,000 dan Appalam, filem Tamil yang diadaptasi daripada Papadom (RM750,000). Appalam yang ditayang serentak dengan Ngangkung, masih ditayangkan di beberapa panggung.

Turut mencatat kutipan rendah bawah RM1 juta bagi filem yang ditayangkan sepanjang tahun ini ialah 2 Hati 1 Jiwa dengan kutipan RM400,000, Hooperz (RM290,000), Belukar (RM300,000),

Andartu Terlampau...21 Hari Mencari Suami (RM560,000), Estet (RM350,000), Krayon (RM53,000), 2 Alam (RM440,000) dan Aku Tak Bodoh (RM670,000).

Tayangan filem Melayu 2011 dibuka dengan filem Khurafat arahan Syamsul Yusof pada 13 Januari diikuti filem Haq pada 27 Januari.

Sementara itu, filem MIG yang bakal ditayangkan 2011 ialah Kembar Siang (2 Februari), Kongsi, 321 Cinta, Sekali Lagi, Senario Ops Pocot dan Keramat.

Selain Khurafat, Skop Productions Sdn Bhd juga mempunyai beberapa filem yang sudah siap seperti KL Gangster dan Aku Bukan Tomboy manakala filem baru pula ialah sekuel Bohsia.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.