Adsense

Selasa, 7 Disember 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Harga penghijrahan

Posted: 06 Dec 2010 03:27 PM PST

Hip

Ameer hampir tinggalkan dunia seni sebelum muncul semula dengan album Seluruh Mahabbah

TIADA lagi seluar jeans besar atau kemeja mahupun baju T yang polos membaluti tubuhnya. Ameer Munawer Yusoff, 33, kini selesa dengan imej kemas serta berkopiah.

Malah ketika memenuhi sesi fotografi di Balai Berita baru-baru ini, bekas anggota Ruffedge itu hadir dengan gaya ringkas baju Melayu rona putih berserta kopiah. Dia juga menolak permintaan kami supaya menanggalkan kopiah ketika fotografi, kononnya mahu menampakkan imejnya dalam gaya lebih kontemporari sekalipun sudah bergelar penyanyi berunsur kerohanian.

Permintaan kami ditolak secara baik oleh Ameer, dan kami pula harus menghormati kehendaknya itu. Bagaimanapun, dia tidak menghampakan jurugambar dengan memberikan gaya dan aksi istimewa.

Soalan pertama yang terkeluar dari bibir sebaik selesai fotografi tentulah mengenai penghijrahannya. Sukar untuk Ameer mengingati secara tepat bila dia memulakan perubahan itu.

"Saya sendiri tidak boleh mengingati bila sebenarnya membuat penghijrahan ini. Sejak dulu lagi saya mahukan perubahan tetapi sentiasa tertangguh, sebagai manusia setiap hari kita mahu berubah menjadi baik.
"Kita bertemu perkara seperti ini dalam mencari kebaikan. Perkahwinan juga salah satu impak kepada saya untuk menjadi lelaki yang baik. Menerusi alam rumah tangga menyebabkan saya menjadi lebih berhati-hati. Tanggungjawab saya besar kerana saya perlu membimbing wanita yang bergelar isteri dan juga zuriat kami kelak.

"Saya tidak boleh nafikan perkahwinan adalah hadiah yang paling hebat. Tanggapan saya terhadap wanita juga berbeza selepas berkahwin. Saya lebih faham ibu saya apabila melihat kesibukan isteri menguruskan rumah tangga. Saya juga mempunyai seseorang untuk menyokong saya, dan mempunyai teman kerana kebanyakan perkara dilakukan bersama-sama seperti pergi mengaji bersama," katanya yang mendirikan rumah tangga pada Oktober tahun lalu.

Dek kerana kecintaan mendalami ilmu agama, Ameer pernah membuat keputusan meninggalkan terus dunia seni walaupun hiburan adalah sumber pendapatan utamanya.

Tanpa malu-malu Ameer mendedahkan, akibat tindakannya itu, dia mengalami kemerosotan ekonomi yang teruk hingga tunggakan kereta pun tidak mampu dijelaskan.

Walaupun diuji dengan hebat, dia percaya Tuhan mempunyai perancangan lain untuknya. Benar bagai disangka, dia menemui ketenangan yang tidak mungkin dapat dicapai jika tidak membuat keputusan itu.

"Langsung tidak timbul rasa menyesal dengan keputusan yang dibuat walaupun saya jatuh miskin. Apabila kita reda dengan ketentuan Tuhan, kita dijanjikan dengan kegembiraan. Ilmu yang saya kutip dengan menghadiri pelbagai kelas agama adalah perkara yang membuatkan saya bangkit dari kejatuhan.

"Bagaimanapun, apabila pergi menuntut ilmu, saya mula menyedari yang Allah membekalkan setiap individu dengan kemahiran berbeza-beza. Saya pun bertanyakan kepada ustaz bolehkan saya terus berkarya kerana saya adalah seorang penyanyi. Saya juga nyatakan hasrat untuk terus buat muzik, tetapi ditujukan buat Rasulullah dan lagu berunsur kerohanian, ternyata beliau memberikan galakan.

"Maka lahirlah album Seluruh Mahabbah ini. Alhamdulillah, Allah juga memudahkan proses pembikinan album ini yang berjaya disiapkan dalam tempoh tiga bulan saja.

"Album ini memuatkan dua lagu dan sebuah trek minus one. Seluruh Mahabbah ini saya tujukan khusus buat nabi junjungan kita atas rasa cinta saya terhadap Baginda. Sebuah lagi lagu yang termuat dalam album ini menyaksikan duet saya bersama UNQUE berjudul Maha Suci Allah," katanya yang kini berdebar menantikan kehadiran cahaya mata sulung.

Apa salahnya menyamai Maher Zain

Kehadiran albumnya yang muncul hampir serentak dengan penyanyi dari Sweden berketurunan Lubnan, Maher Zain pastinya menyebabkan dia tidak lari daripada disamakan dengan penyanyi itu. Namun kata Ameer, konsep yang dibawakan mereka jelas sekali berbeza.

Muziknya lebih berunsurkan r&B soul, manakala Maher Zain pula pop soul. Namun dia tidak kisah jika ada yang ingin mengatakan dia meniru tetapi dia hanya mengambil kesempatan di atas fenomena yang melanda industri muzik itu.

"Saya tidak meniru, sebaliknya sekadar mengambil kesempatan. Apabila Maher Zain sudah buka pintu, kenapa tidak kita ambil peluang itu untuk memperbanyakkan lagi lagu berunsur kerohanian?" katanya yang turut sibuk dengan projek Click A Child iaitu portal yang memberi peluang kepada anak-anak yatim mempelajari pelbagai jenis ilmu.

Selain itu, Ameer turut memiliki syarikat Al Maulid yang menyediakan kandungan program televisyen untuk stesen Al Hijrah.

Pengisian yang disediakan oleh Al Maulid ialah Majlis Rasulullah iaitu program ala marhaban yang dilakukan sebulan sekali di Kuala Lumpur. Program selawat beramai-ramai ke atas nabi itu dirakamkan dan kemudiannya akan disiarkan menerusi stesen televisyen Islam yang pertama itu.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Muallaf bukan filem rekaan

Posted: 06 Dec 2010 02:53 PM PST

Hip

Orked bersyukur Yasmin mendapat pengiktirafan tertinggi pada FFAP54

HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Begitulah tingginya penghargaan kepada insan yang pernah menaburkan baktinya kepada negara, bangsa dan agama.

Biarpun jasadnya sudah sebati bersama tanah, namun namanya masih segar bermain di bibir masyarakat, lebih lagi dengan sumbangan yang ditinggalkan hari ini. Tahniah kepada waris Allahyarham Yasmin Ahmad, menerusi filem Muallaf yang muncul sebagai filem pertama negara memenangi pengiktirafan tertinggi di Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-54 yang berlangsung di Taiwan bermula 2 hingga 4 Disember lalu. Menerusi Muallaf, Yasmin diangkat sebagai Pengarah Terbaik, mengenepikan 13 negara Asia Pasifik lain yang bertanding di FFAP54.

Selain Muallaf, 36 filem lain yang bertanding termasuk empat filem tempatan lain yang dibawa seperti Magika, Lagenda Budak Setan, Pisau Cukur dan Cinta Ais Kacang yang tidak menerima sebarang anugerah.

Adik arwah Yasmin, Datin Orked berkata, menerusi kejayaan yang membawa nama negara, pihaknya berharap masyarakat kini sudah boleh menerima filem arahan kakaknya.

"Kami sedar memang ada sesetengah masyarakat tidak boleh menerima filem Muallaf, kerana apa pun saya tidak tahu, tetapi ia menjadi satu-satunya filem yang berjaya dalam FFAP seterusnya sudah membuktikan filem ini ada nilai tersendiri.
"Filem ini bukanlah filem rekaan tetapi ia adalah cerita sebenar yang pernah dilalui kami dan saya sangat berterima kasih kepada uncle Yap yang menjadi orang terpenting sehingga lahirnya filem Muallaf.

"Memang semasa tayangan filem ini pada 24 Disember tahun lalu tidak mendapat publisiti yang meluas daripada media. Ini lebih-lebih lagi ketika itu kami tidak mempunyai wang untuk mengadakan sebarang promosi di seluruh negara, jadi kami buat apa yang termampu saja," katanya yang dihubungi Hip baru-baru ini.

Menurut Orked, bersujud tanda kesyukuran adalah perbuatan yang sering diamalkan kakaknya setiap kali menerima apa-apa anugerah sebelum ini.

"Sebaik saja saya menerima mesej daripada Ahmad Puad Onah yang mewakili filem Muallaf untuk menerima anugerah, katanya Yasmin menang, saya terus bersujud tanda kesyukuran, kerana perkara sama sering dilakukan kakak saya ketika dia masih ada.

"Sebenarnya saya sangat terkilan kerana tidak dapat mengikuti rombongan FINAS ke FFAP. Memang saya teringin sangat nak pergi untuk mewakili filem Muallaf tetapi tidak dibenarkan.

"Menurut FINAS, mereka hanya boleh membawa pengarah dan pelakon saja dan pengarah yang sudah tiada, tidak boleh diwakili oleh orang lain," katanya.

Yasmin antara anak tempatan yang pernah menerima salah satu kategori di dalam FFAP yang dianjurkan Federation Of Motion Picture In Asia Pacific (FPA) setiap tahun.

Sebelum ini, Tan Sri P.Ramlee, Maya Karin, Datin Seri Tiara Jacquelina, Khatijah Tan dan Rosyam Nor pernah meletakkan nama negara begitu tinggi di sanjung oleh negara luar apabila memenangi salah satu kategori yang dipertandingkan.

Filem Muallaf yang diterbitkan MHZ Film Sdn. Bhd (Malaysia) dan The Picturehouse (Singapura) turut dibintangi pelakon seperti Sharifah Amani, Sharifah Aleysha, Bryan Yap, Datuk Rahim Razali dan Ning Baizura.

ilem dari India yang bertajuk 'Janala' memenangi anugerah Filem Terbaik di FFAP54, manakala pelakon veteran dari Filipina, Anita Linda menang Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem 'Lola' dan Hamid Farrokhnezhad dari Iran memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem 'The Fateful Night'.

Yasmin meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada 26 Julai tahun lalu kerana pendarahan otak pada usia 51 tahun.

Sebelum ini, berpuluh anugerah pernah digapai baik dalam mahupun luar negara, antaranya Filem Cereka Terbaik Asia Tenggara (Mukhsin), Festival Filem Antarabangsa Cinemanila, Filipina (2007), Tempat kedua Anugerah Juri Kanak-Kanak (Mukhsin), Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-57 (2007), Anugerah Filem Terbaik Kategori Generasi Baru (Mukhsin), Festival Filem Antarabangsa Berlin ke-57 (2007) dan Pingat perak (Mukhsin), Netpac Festival, Jojagkarta (2007).

Selain itu, menerusi filem Gubra, Yasmin memenangi beberapa kategori seperti Filem Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Poster Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) pada 2006.

Menerusi filem Sepet pula, filem itu menerima kategori Filem Reka Bentuk Terbaik ASEAN dan Anugerah Video Malaysia ke-9 (2004). Selain itu Filem Terbaik Festival Filem Wanita Antarabangsa Creteil, Perancis (2005), Cerita Asal Terbaik,

Filem Terbaik, Poster Terbaik, Filem Asia Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM18). Festival Filem Antarabangsa Tokyo (2005) dan Filem Terbaik Global Chinese Golden Arts, Genting Highlands (2005).

Info
Nama : Yasmin Ahmad
Jawatan: Penulis/Pengarah Filem/Penerbit
Tempat Lahir: Bukit Treh, Muar, Johor
Tarikh Lahir: 1958
Meninggal Dunia : 26 Julai 2009
Status Perkahwinan: Berkahwin
Suami: Abdullah Tan Yew Leong (berkahwin Januari 2003).


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.