Utusan Online - Hiburan |
Posted: "Jangan ganggu anak Nora"Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
SEBUAH portal hiburan baru-baru ini melaporkan ada sumber terlihat kelibat Fasha Sandha seorang diri di sebuah kedai permainan kanak-kanak di Petaling Jaya. Fasha dikatakan sedang membeli beberapa barang mainan kanak-kanak di kedai yang menjadi kegemaran kekasih hatinya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli atau mesra dipanggil Jejai, untuk membeli barang mainan anaknya bersama bekas isterinya, Nora Danish. Kehadiran pelakon yang penuh dengan kontroversi itu di situ, membuatkan orang ramai menyimpulkan yang Fasha sudah mendapat pasport untuk bertemu dengan anak kesayangan kekasihnya itu. Malah dapat disimpulkan, barangan yang dibeli oleh Fasha itu buat anak Rizal itu iaitu Putera Rayqal Rizal Ashram. Sebelum ini, semua sedia maklum yang Nora tidak sudi andai anak kesayangannya itu ditemukan dengan Fasha walau apa cara sekalipun. Saat diaju soalan oleh para wartawan adakah kini kekasih kepada dudanya itu, sudah mendapat lampu hijau untuk bertemu dengan anaknya, dia terkejut besar. "Terima kasih kerana memaklumkan saya tentang ini kerana saya sememangnya tidak pernah mengetahuinya sebelum ini. "Tetapi saya tidak rasa itu untuk anak saya. Mungkin dia membeli mainan untuk anak saudaranya atau anak kawannya. "Baguslah kalau dia rajin beli barang mainan kanak-kanak sebagai persediaannya untuk menjadi ibu suatu hari nanti. "Walau macam mana sekalipun, saya tetap dengan pegangan saya. Tolong jangan ganggu anak Nora! "Jejai tahu dan amat faham pegangan saya itu tetapi saya tidak tahu kalau di belakang saya macam mana. "Walaupun dia sekarang bersama Jejai, tapi saya berharap dia tak perlulah jumpa anak saya atau teringin nak jadi ibu kepada anak saya. "Anak saya masih beribu dan saya tidak rasa Rayqal perlukan seorang lagi ibu," ujar wanita genit ini penuh tegas ketika ditemui di sidang akhbar Kamilah Bintang di Restoran Fullhouse, Kuala Lumpur baru-baru ini. Bukan dengki ataupun tamak, tetapi bagi Nora, Rayqal yang berusia setahun lebih itu adalah dunianya dan dia tidak mahu orang luar mengganggu anak kesayangannya itu. Namun, tambah Nora, dia tidak menolak andai suatu hari nanti pendirian berubah jika Jejai dan Fasha selamat diijabkabulkan. Buat masa ini, ujar Nora, dia tidak mahu memikirkan apa-apa lagi kerana mereka berdua belum berkahwin. Ceritanya lagi, hubungan dia dan Jejai amat baik demi masa depan anak mereka. Malah, tambah Nora, dia, Jejai dan keluarga Jejai akan bersama-sama pergi bercuti di luar negara sekitar bulan Disember ini. "Saya dan keluarga Jejai memang rapat sehingga sekarang dan hubungan itu tidak pernah berubah sejak dari dulu lagi. "Percutian kali ini, kami mungkin akan ke Korea ataupun Jepun," tambahnya yang kini mengacarakan rancangan realiti mencari bakat muda terbitan Astro, Kamilah Bintang. | ||
Posted: MAY pinjam duit rakam albumOleh ABD. AZIZ ITAR
DALAM keadaan pasaran album secara fizikal merudum teruk, tidak ramai penyanyi mahupun pemuzik tempatan yang berani tampil merakamkan album baru kerana enggan berdepan risikon kerugian. Namun, lain pula halnya dengan kumpulan MAY yang tidak menjadikan senario itu sebagai halangan, sebaliknya akan tampil dengan album baru pada awal tahun depan sempena ulang tahun ke-25 penubuhan kumpulan tersebut. Menurut Mus, penyanyi kumpulan berasal dari Manjoi, Perak ini, mereka akan terus merakamkan album biarpun terpaksa meminjam duit daripada Dana Industri Kreatif yang telah disediakan oleh kerajaan baru-baru ini. "Album terbaru MAY ini yang berjudul MAY 25th. Anniversary amat penting kerana ia adalah ulang tahun kami yang ke-25 pada tahun depan. Proses rakaman sedang dijalankan dan album ini akan berada di pasaran tahun depan. "Sebab itu, kami tetap berusaha termasuklah mendapatkan pinjaman RM130,000 daripada Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta yang disediakan oleh kerajaan baru-baru ini. Apa cara pun album itu harus diterbitkan. "Kami terpaksa mencari duit sendiri merakamkan album baru kerana sudah tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman," katanya kepada Hits sewaktu ditemui di Sinar Studio milik MAY di Kuala Lumpur baru-baru ini. Jelas Mus atau nama sebenarnya Mustafa Din, biarpun ini kali pertama MAY mengeluarkan modal sendiri untuk merakamkan album tetapi ia tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berkarya menerusi lagu. Malah, kekangan daripada segi kewangan untuk menerbitkan album yang istimewa buat mereka itu juga bukanlah menjadi batu penghalang. "Sebaliknya, kami akan berusaha keras merakamkan sendiri album ini di Studio Sinar yang merupakan milik kami. Kalau hendak diikutkan pinjaman RM130,000 untuk rakaman album ulangtahun MAY itu tidak cukup. "Ini kerana kos sebenarnya jauh lebih tinggi. Contohnya, untuk tujuan promosi dan pemasaran kami memerlukan RM30,000 untuk iklan di televisyen. Sementara kos rakaman mencecah lebih RM30,000. "Kos itu tidak termasuk promosi lain termasuklah di media-media cetak dari tempoh enam bulan sehingga setahun dan juga pembikinan klip video lagu-lagu terbaru MAY kelak. Kalau kos tidak cukup, kami akan cari sumber lain," ujarnya. Kata penyanyi bersuara lantang ini, album terbaru itu akan memuatkan enam lagu baru, manakala lima lagi merupakan lagu lama MAY yang dirakamkan semula dalam nafas baru bagi menarik perhatian para pendengar. Menariknya kata Mus, terdapat lagu medley yang mengandungi sembilan lagu lama MAY yang dirakamkan semula di mana kesemuanya merupakan lagu-lagu popular mereka suatu ketika dulu. Sembilan lagu yang dirakamkan secara medley menerusi album itu berjudul Dalam Kembara, Sketsa Sebuah Cinta, Ku Dalam Dilema, Sendiri, Gadis Bertudung Putih, Abadi, Meniti Suratan, Jemu dan Sinar. "Agak sukar juga untuk menggabungkan sembilan lagu secara medley dan dijadikan sebuah lagu. Cabaran kami ialah bagaimana mahu memendekkan setiap sembilan lagu itu dalam sebuah lagu dengan durasi empat minit. "Kami terpaksa mencari bahagian-bahagian tertentu dalam lagu itu, misalnya bahagian korus untuk dirangkumkan dengan lagu-lagu lain. Kalau panjang sangat lagu itu nanti susah pula hendak disiarkan di radio," terangnya. Selain Mus, MAY yang turut dianggotai oleh Abu (gitar), Man (dram) dan Yus kini bergerak sendirian dalam industri muzik tempatan selepas kontrak mereka dengan Nova Music tamat baru-baru ini. Sungguhpun tanpa dinaungi mana-mana syarikat rakaman, namun pengalaman bergelar penyanyi dan pemuzik sejak MAY ditubuhkan pada Mei 1986 banyak membantu mereka mengharungi karier yang penuh cabaran itu. "Saya akui bahawa tahun ini paling mencabar buat MAY. Kami kena uruskan MAY 100 peratus. Daripada cipta lirik dan lagu sampaikan promosi kami jalankan sendiri. Memang memenatkan tetapi inilah cara kami untuk terus hidup. "Kalau harapkan syarikat rakaman lain, ramai yang tidak berani terbitkan album baru. Supaya karier kami tidak berkubur kami harus berusaha sendiri termasuklah meminjam dan keluar duit sendiri untuk rakam album," katanya lagi. Album MAY 25th. Anniversary yang diterbitkan sepenuhnya di Studio Sinar dan masih berkonsepkan rock itu kini sedang dalam proses rakaman di mana ia dijangka berada di pasaran pada Januari tahun depan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |