Harian Metro: Rap |
Ketepi spekulasi tumpu keluarga, karier Posted: 14 Nov 2010 03:24 AM PST BIARPUN berdepan pelbagai spekulasi dan kontroversi, majlis pernikahan pelakon, Raja Farah Raja Aziz, 22, dengan pasangannya, Megat Bashirun Qhuyum Zakaria, 25, tetap berlangsung dengan jayanya. Raja Farah sebelum ini menarik perhatian ramai apabila dikatakan mula 'besar kepala', menyingkirkan pengurus atau ibunya yang bertanggungjawab menguruskan aktiviti sepanjang terbabit dalam dunia seni. Paling mengejutkan, mengenai pengakuan sudah bertunang pada 9 Oktober lalu secara senyap diikuti perancangan pernikahan pada waktu terdekat hingga timbul spekulasi mengenai pernikahan mereka. Bagi Raja Farah biar apa pun tanggapan orang luar mengenai spekulasi atau kata-kata nakal ditujukan kepadanya, dia tetap tidak ambil pusing. Apa yang lebih penting bagi dirinya, dia lega apabila majlis pernikahan yang penuh makna berjalan lancar.
"Mungkin ini jodoh dan ketentuan saya ditakdirkan daripada Yang Maha Esa. Apa yang penting, kami saling menyayangi dan mencintai antara satu sama lain. "Saya tidak mahu komen mengenai gosip atau fitnah lagi. Sesiapa saja yang membuat dakwaan itu, saya cabar mereka tampil ke hadapan dan buktikan. Saya sendiri boleh membuktikan apa saja dakwaan negatif yang cuba menimbulkan keaiban kepada saya dan keluarga terutama jika ia membabitkan perkara yang tidak benar. "Saya ucapkan tahniah kepada orang yang cuba menabur fitnah itu kerana hampir berjaya memecahbelahkan keluarga saya dan mentua. "Saya akui lemah dan hampir putus asa untuk terus aktif dalam bidang seni. Jika berhenti, bermakna saya mengaku kalah. Apatah lagi memikirkan masa yang terbuang dan pengorbanan dilalui selepas sekian lama terbabit dalam bidang ini," katanya ketika ditemui sebaik selamat dinikahkan, Jumaat lalu. Bagi suami, Megat Bashirun Qhuyum dia sentiasa memberi galakan kepada isteri untuk aktif dalam bidang seni. Malah mengakui gosip dan spekulasi yang menimpa Raja Farah turut membuatkan dia berasa tempiasnya, namun sudah bersedia menghadapinya. "Memang saya akui tertekan apabila mendapat tahu mengenai gosip yang menimpa Raja Farah. Apa lagi apabila membabitkan benda negatif, tempias terkena pada saya juga. Saya harap dengan ketabahan Raja Farah dapat membantu saya berdepan segala gosip yang bakal dilalui kelak," kata Megat yang juga seorang ahli perniagaan. Mengenai perancangan mempunyai cahaya mata pula, Raja Farah memaklumkan mereka tidak merancang dan berserah kepada takdir. Begitu juga perancangan bulan madu di Pulau Sipadan dan Raja Empat di Indonesia, memandangkan masing-masing berkongsi minat sama, menyelam di dasar laut. Raja Farah hanya bercuti beberapa hari untuk majlis itu sebelum kembali sibuk di lokasi penggambaran, tetapi merancang bercuti panjang selepas selesai majlis persandingan yang dijadualkan awal Januari tahun depan. Pasangan pengantin yang anggun mengenakan busana berwarna putih tajaan dan rekaan Syahmir Nur Din memilih konsep pernikahan taman air yang direka khas perundingan pengantin, Reka Teemor. Rumah yang disewakan khas untuk tujuan majlis, dihias indah dengan permukaan air dan hiasan taman bagaikan mengambil mood di dasar laut sesuai dengan minat pasangan mempelai terhadap aktiviti menyelam. Warna putih dan bersih sebagai pelengkap tema majlis pernikahan serba ringkas dan penuh simbolik itu. Bagi ibu Raja Farah, Farizah Abu Samah dia melihat semangat dan kesabaran yang tinggi ditunjukkan anaknya itu dalam berdepan pelbagai rintangan yang dilalui sebelum mendirikan rumah tangga. "Dia nampak cekal menerima segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya. Mungkin pengalaman terbabit dalam dunia seni sejak sekian lama mematangkan dirinya. "Memang kalau difikirkan ada tuduhan yang dilemparkan kepadanya benar-benar tidak berasas. Saya sering menasihatkannya supaya sabar dan kuatkan semangat kerana anggap apa yang berlaku adalah ujian daripada Allah. "Saya dapat rasakan Megat adalah jodohnya. Saya nampak ada keserasian di antara mereka. Dia (Megat) seorang pemuda yang bertanggungjawab, penyabar dan sentiasa mengambil berat mengenai Raja Farah. Kami sekeluarga sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka," katanya. Farizah tidak berasakan keputusan anaknya untuk bernikah pada masa yang singkat sesuatu yang aneh memandangkan dirinya dan suami juga melalui situasi yang sama. Begitupun, dia juga tidak menyangka jodoh anaknya itu begitu cepat pada usia yang muda. Sebagai ibu, dia sentiasa menyokong apa saja tindakan yang boleh mendatang kebaikan kepada masa depan anaknya itu. Pihak pengantin lelaki menyerahkan tujuh dulang hantaran berupa mas kahwin (RM888) dan cincin, telefon bimbit iPhone 4, minyak wangi (Gucci) dan barang solekan (Dior), set persalinan kain termasuk telekung, sejadah, pulut kuning, sirih junjung, set lengkap al-Quran, tasbih dan rehal. Ia dibalas sembilan oleh pihak perempuan - sejadah dan kain pelekat, telefon bimbit iPhone 4, jam tangan (Tissot), Cincin (Habib), kek, dompet dan tali pinggang (Dunhill), minyak wangi (Issey Miyake), sirih junjung, al-Quran dan tasbih. Saudara-mara dan keluarga terdekat kedua-dua pasangan pengantin hadir pada majlis yang ringkas penuh makna itu. Rakan artis turut hadir antaranya Anita Baharom, Anith Aqilah dan Faezah Elai. Majlis akad nikah berlangsung pada sebelah pagi sementara majlis doa selamat di kediaman pengantin wanita berlangsung pada waktu malam, Jumaat lalu itu. |
Ramai blogger puji ...Dalam Botol Posted: 14 Nov 2010 03:12 AM PST SEJAK awal proses pembikinan lagi, filem ...Dalam Botol arahan Khir Abdul Rahman sudah mencetuskan kontroversi berkenaan judulnya yang dianggap sangat kasar selain plot yang membongkar kisah golongan gay dan mak nyah. Bagaimanapun, Raja Azmi yang dikenali sebagai produser berhati waja tampil mempertahankan filem itu yang dikatakan mempunyai mesej tersendiri sambil membuat rujukan dengan badan tertentu seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Polemik demi polemik hangat diperkatakan apabila ada segelintir pihak menuduh Raja Azmi sememangnya suka mencetuskan kontroversi murahan bagi memancing perhatian masyarakat terhadap filem lakonan Arja Lee, Wan Raja dan Diana Danielle itu. Namun heboh-heboh yang berlaku di sini rupanya diperhatikan pihak luar kerana filem berkenaan semakin mendapat liputan di Itali, Perancis, Singapura, Indonesia, Australia dan terbaru, Amerika Syarikat.
"Ramai yang teruja mahu datang untuk menonton sendiri filem ini. Jemputan hanya dibuat kepada 50 orang tapi yang hadir lebih 60 orang. Antara penulis blog yang hadir ialah Ajami Hashim dan Klubbkidd. Saya gembira melihat sambutan yang diberikan mereka. Daripada respons yang diberikan ramai berpuas hati dengan hasil filem ini. "Boleh dikatakan daripada 10, lapan memberikan komen positif dan hanya dua yang memberi komen negatif. Wakil media luar yang datang ialah dari BBC, Reuters dan Associated Press (AP). Mereka juga memberi komen yang positif mengenai filem ini. "Komen mereka boleh diikuti menerusi Internet. Ia satu pembakar semangat buat diri saya, Khir Rahman dan pelakon-pelakon filem ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro, baru-baru ini. Filem yang menelan belanja RM800,000 itu memaparkan percintaan kaum sejenis namun digambarkan dalam bentuk berhemah tanpa babak cium dan seks seperti kebanyakan filem Barat. Turut membintangi filem ini ialah Fauziah Ahmad Daud, Normah Damanhuri, Jalil Hamid, Pekin serta pejuang makyung, Rosnan Rahman. Bakal menemui penonton pada 10 Februari 2011, Raja Azmi bercadang mengadakan sesi prebiu ... Dalam Botol kepada pihak media tempatan pula selepas ini melalui satu tayangan gala. Dia akui teruja menantikan reaksi media tempatan lain kerana mahu mendengar pandangan yang jujur. "Saya mahu semua wakil media menonton dan memberi pandangan seikhlas mungkin kepada saya dan Khir. Mungkin prebiu itu akan dibuat sebelum Krismas dan kalau tidak sempat, mungkin akan dibuat selepas sambutan Tahun Baru 2011. Buat masa ini biarlah filem ini ditonton penulis blog terlebih dulu sebagai publisiti awal. "Biarlah mereka cakap-cakap dulu di Internet mengenai filem ini supaya peminat teruja menyaksikannya nanti. Malah saya tampilkan di sini poster rasmi ...Dalam Botol yang baru disiapkan. "Ia unik dan diilhamkan sendiri oleh Khir bagi disesuaikan dengan tema filem ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |