Utusan Online - Hiburan |
Posted: Yusry hanya kawan biasaOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
KETIKA dihubungi Hits baru-baru ini untuk mendapatkan penjelasan Maya Karin tentang kononnya kini dia menjalinkan hubungan cinta dengan duda popular, Yusry Abdul Halim, dia hanya ketawa kecil. Tidak melatah sebaliknya Maya bersedia memberikan jawapannya tentang gosip tersebut yang disifatkannya sebagai sesuatu yang cukup melucukan. "Saya dengan Yusry sudah lama berkawan iaitu hampir tujuh tahun. Saya rasa tidak salah untuk kami keluar makan mahupun menonton wayang bersama-sama. Adakah itu bermakna kami bercinta? "Jujurnya, hubungan saya dan Yusry tidak lebih daripada seorang sahabat. Memang kami tiada apa-apa hubungan cinta. Kadang-kadang saya rasa pelik mengapa sejak saya kembali solo, ramai pula lelaki yang dikaitkan dengan saya," jawab Maya sambil berseloroh. Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja nama Maya dikaitkan dengan Yusry dan dikatakan sedang menjalinkan hubungan cinta seperti mana yang tersiar di sebuah akhbar mingguan (bukan terbitan Kumpulan Utusan). Gosip itu mengatakan mereka berdua kerap keluar bersama dalam keadaan yang cukup romantis dan berpegangan tangan. Namun pun begitu, Maya dengan pantas menangkis dakwaan tersebut sambil mengatakan ia tidak benar sama sekali. "Kalau kami keluar pun, ia hanyalah hubungan antara kawan. Tidaklah sampai berpegangan tangan. Semua itu tidak betul kerana ia tidak pernah berlaku," ujarnya dalam nada penuh berhemah. | ||
Posted: Rina ikon baru gadis MelayuOleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
ORANGNYA ayu, bijak, sopan-santun, penuh dengan kelembutan dan ciri-ciri seorang gadis Melayu sejati. Dalam masa yang sama tegas serta tahu membuat keputusan sewajarnya dalam hidupnya. Ciri-ciri itulah yang membuatkan gadis dari Subang Jaya, Selangor, Norazrina Mohd. Salleh, memenangi hati juri lalu mengangkatnya menjadi ikon Gadis Melayu bagi musim ketiga (GM3) ini. Usahawan muda itu berjaya memikat hati juri dengan cara dan bakatnya yang ditonjolkan sepanjang program itu berlangsung selama hampir tiga bulan dan kebijaksanaannya memberikan jawapan yang bernas ketika malam final GM3 itu. Program realiti televisyen terbitan TV9 itu menyaksikan gadis berusia 25 tahun ini membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, set Mutiara Rafflesia bernilai RM120,000, barangan Singer bernilai RM10,000 dan trofi dan yang paling penting gelaran ikon itu sendiri. Ujar ikon GM3 yang dikenali sebagai Rina, dia masih terkejut dengan kemenangannya pada malam itu kerana menjangka rakan baiknya, Fatheen yang akan menang. "Sepanjang berada di dalam GM3, Fatheen merupakan peserta yang saya paling kagumi kerana kebijaksanaannya dan cara dia membawa diri. "Selalunya kalau ada masalah, saya akan merujuk dengan Fatheen kerana dia paling dekat dengan saya dan saya selesa dengannya. "Saya memang reda jika dia yang menang pada malam itu kerana kami tahu keistimewaannya. Tetapi mungkin rezeki sudah tertulis dan saya pula dinobatkan sebagai juara. "Peluang yang diberikan akan saya hargainya dan saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam bidang penyiaran, sesuatu yang baru dalam hidup saya. "Kemenangan ini merupakan satu titik permulaan untuk saya melakukan sesuatu kepada masyarakat dan saya mahu menjadi contoh kepada mereka di luar sana terutamanya dalam bidang perniagaan. "Kalau boleh, saya mahu menggunakan platform yang diberikan dengan mendekati badan kerajaan mahupun NGO bagi membantu remaja seperti saya memulakan perniagaan. "Saya mahu remaja tahu mereka juga boleh melangkah jauh asal ada keazaman dan kesungguhan untuk berjaya," ujarnya sejurus selepas final GM3 baru-baru ini. Ujar Rina, jika diberi peluang, dia mahu mengacarakan program kemasyarakatan seperti Majalah 3 kerana sering terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan sejak di bangku sekolah lagi. Mahu berkongsi rezeki dengan keluarga, Rina merancang menggunakan duit kemenangannya sebanyak RM30,000 tersebut untuk membantu keluarga serta menghantar kedua ibu dan bapanya mengerjakan umrah serta melakukan sesuatu kepada masyarakat. Pada malam itu, Rina berjaya mengenepikan saingannya, Nur Diana Zainuddin atau Diana, 19 dari Pulau Pinang yang mendapat tempat kedua dan Fatheen Nabila Ghazali, 24, dari Johor mendapat tempat ketiga. Peserta-peserta lain pada malam final yang disiarkan secara langsung menerusi TV9 dari Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor itu ialah Afiqah Hazwani Md Nordin, 18, atau lebih dikenali Afiqah dari Johor; dan Siti Nur Afiqah Abdullah (Siti), 21, dari Kelantan. Empat peserta lain terdiri daripada Norhidayah Samsudin (Hidayah), 21, dari Johor; Nor Shamimi Ernida Mansor (Mimie), 20, dari Kedah, Siti Nurzakiah Abdul Aziz (Zakiah), 21, dari Selangor dan Siti Mastura Mohamad Saleh (Mastura), 24, dari Pahang. Hadiah sampingan penaja iaitu Gadis Hai-O dimenangi Afiqah, Gadis Secret Garden (Diana) manakala Gadis Silkygirl jatuh ke tangan Zakiah. Tetap mahu bergelar pengacara Bagi Diana yang merupakan pelajar Tingkatan Enam Atas SMK Permatang Rawa, Pulau Pinang, tempat kedua yang dimilikinya tidak mematahkan semangatnya dalam bidang yang diminati. "Mendapat markah lima yang tertinggi pun boleh dikatakan satu kejayaan yang besar dalam hidup saya. "Rezeki pada malam ini berpihak pada Rina dan saya tahu dia memang layak untuk bergelar Ikon GM3. "Saya harap cita-cita saya tidak akan berhenti di sini sahaja kerana perjalanan hidup saya masih panjang dan saya amat meminati bidang pengacaraan," ujarnya yang bakal menduduki ujian Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bulan depan. Dia yang berhasrat untuk meneruskan pengajian dalam bidang komunikasi dan pengajian media meletakkan akademik di tempat pertama dalam hidupnya. Diana yang aktif dengan pidato dan syarahan ketika sekolah, sentiasa mengulangkaji pelajaran ketika berada dalam program GM3 bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi STPM. Sementara itu, Fatheen yang hanya berpuas hati dengan tempat ketiga merupakan antara peserta yang disebut-sebut bakal menjulang gelaran juara pada malam itu. Gadis berasal dari Johor ini bukan calang-calang orangnya kerana kini dia merupakan penuntut ijazah sarjana jurusan Botani di Universiti Putra Malaysia. Bijak, berkeyakinan, cantik, Fatheen mempunyai pakej yang lengkap untuk bergelar juara mahupun menjadi pengacara yang hebat. Namun, gelaran juara bukan miliknya sebaliknya berpihak kepada teman rapatnya, Rina yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan. Ujar Fatheen, dia menerima semua ini dengan tangan terbuka dan optimis untuk pergi lebih jauh dalam bidang pengacaraan dengan caranya yang tersendiri. "Saya mahu mendedahkan kepada masyarakat tentang kepentingan alam sekitar memandangkan ia adalah bidang yang saya pelajari sekarang. "Selain itu saya harap dapat membuktikan kepada masyarakat pendidikan juga antara teras utama untuk berjaya dalam hidup ini," ujar Fatheen. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |