Adsense

Selasa, 2 November 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Bernyawa kembali

Posted: 01 Nov 2010 04:33 PM PDT

Hip

  
  • Foto
  • Foto

    ANTARA pelakon utama drama Natrah, dari kiri Natasha, Juliana Evans, Sherie Merlis dan Fikree Bakar.

Kepedihan berpisah dengan anak memberikan hikmah kepada Sherie Merlis

MEMBAWAKAN watak Che Aminah dalam drama Natrah mungkin tidak sukar bagi Sherie Merlis.

Ini kerana dalam dunia realiti, ibu kepada dua cahaya mata itu juga pernah merasai kepedihan berpisah dengan anak kesayangan dek suatu keadaan yang sukar untuk dimengertikan. Cuma baginya, wanita kental yang sanggup bergadai nyawa demi merebut kembali anak angkatnya, Natrah cukup bertuah apabila mendapat sokongan banyak pihak termasuk seluruh umat Islam di Malaya ketika itu sekali pun akhirnya terpaksa akur terhadap undang-undang ciptaan manusia.

Bukan mahu menyalahkan takdir sebaliknya empunya nama sebenar Sharifah Merlisa Al-Barakbah itu tetap bersyukur dikurniakan ketabahan sekental Che Aminah apabila selepas menanti lebih 13 tahun, dua nyawa yang pernah berkongsi degupan jantung dengannya, Habib, 18 dan Harith, 17 kembali ke pangkuan.

"Allah itu Maha Agung", itulah ucapan yang acap kali diluah Sherie Merlis sepanjang perbualan pada pertemuan di set lokasi drama Natrah di pinggir ibu kota sekali gus membayangkan rasa syukur seorang ibu yang akhirnya mendapat peluang merangkul darah daging sendiri.

Walaupun pada awal bicara dia lebih ghairah bercerita mengenai drama arahan Wan Norliza selain wataknya sebagai emak angkat Natrah lakonan Juliana Evans, tetapi apabila diaju dengan khabar mengenai kepulangan anak-anaknya awal tahun ini, Sherie Merlis tetap sedia berkongsi rasa, biarpun hanya sekelumit kisah.
Cukuplah menyatakan Habib dan si adik, kini berada di dalam jagaannya sejak awal tahun kerana tidak mahu jika bercerita panjang ia nanti boleh menimbulkan salah faham atau rasa kurang selesa di pihak lain. Apa yang utama mereka anak beranak sudah sebumbung.

"Memang hebat dugaan yang saya tanggung sejak berjauhan daripada mereka. Bukan tidak berusaha bertemu, cuma keadaan cukup rumit untuk dihuraikan. Namun sememangnya Allah tidak akan menduga hamba-Nya yang lemah. Apa pun segala kepahitan kini bertukar manis untuk kami bertiga," ungkapnya penuh makna.

Mengakui awalnya mereka agak canggung, selepas mengenali dengan lebih mendalam, hubungan antara ibu dan anak semakin akrab malah bagi wanita yang sudah menjangkau 39 tahun itu, dunianya kini hanya untuk Habib dan Harith sekali pun dia tidak mungkin mampu menebus kembali tempoh 13 tahun yang hilang.

"Alhamdulillah, saya sudah bernyawa kembali. Saat yang saya nantikan akhirnya tiba. Sudah pasti saya tidak akan mensia-siakan anugerah yang Allah kurniakan dan bekerja lebih keras demi mereka berdua," katanya lagi yang masih solo selepas perceraian dengan aktor, Esma Daniel, kira-kira 16 tahun lalu.

Belajar pelbagai dialek demi Natrah

Berbicara kembali mengenai drama epik empat episod dalam slot Satu Ketika-Astro Citra, sebaik menerima tawaran sekitar September lalu, Sherie Merlis menumpukan sepenuh perhatian terhadap watak Che Aminah dengan membaca kisah sejarah itu menerusi internet dan buku tulisan Datin Fatini Yaacob.

Baginya, cabaran membawakan watak wanita berkerjaya sebagai penterjemah itu adalah menonjolkan kebolehan menuturkan pelbagai bahasa termasuk dialek Terengganu, Melayu lama, Indonesia, bahasa Inggeris dan Jepun di dalam perbualan sehari-hari.

Begitupun, barisan pelakon mendapat bimbingan guru bahasa sepanjang penggambaran yang akan menjaga kelancaran pertuturan mereka apatah lagi bagi watak Che Aminah yang sememangnya pada era 1950-an dianggap sebagai wanita Melayu berwibawa dengan kepakaran bahasa yang dimiliki.

"Boleh dikatakan watak saya punya ego tersendiri, berjiwa kental hingga langsung tidak mengalirkan air mata biar menghadapi pelbagai dugaan.

"Namun tatkala terpaksa melepaskan Natrah selepas menerima keputusan mahkamah, naluri keibuan Che Aminah tidak mampu dibendung lagi hingga dia menangis teresak-esak.

"Apa pun, kerjasama pelakon terutama pendukung watak Natrah iaitu Juliana Evans membolehkan kami terus serasi untuk menghidupkan watak dan perwatakan dalam drama epik ini," katanya mengenai drama yang turut mengambil lokasi di Batu Gajah dan Ipoh, Perak itu.

Selain Sherie Merlis dan Juliana Evans, kisah tragik yang pernah mencetuskan kontroversi hingga berlaku rusuhan di Singapura itu turut dibintangi Natasha Hudson sebagai Adeline Hunter (ibu kandung Natrah) serta Fikree (Mansor Adabi).

Ia berkisar hidup Natrah atau Maria Hertogh, gadis Belanda yang dibesarkan dengan pendidikan Islam selepas diserahkan kepada Che Aminah untuk dipelihara tanpa pengetahuan bapanya yang ditawan tentera Jepun dan kemudian berlaku perebutan hak penjagaan sebaik saja bapanya dibebaskan.

Selepas Natrah, pelakon yang asalnya model iklan dan mula diperkenalkan menerusi filem Part Time ketika berusia 19 tahun itu sudah disambar membintangi sebuah lagi drama epik berjudul Alauddin yang memaparkan keagungan kesultanan Melayu Melaka.

PROFIL: Sharifah Merlisa Al-Barakbah
Usia: 39 tahun
Asal: Dilahirkan di Sibu tetapi dibesarkan di Kuching, Sarawak
Filem: Part Time, Janin, Leftenan Adnan
Iklan: Dreamland, Palmolive


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Bob popularkan Bawal Power

Posted: 01 Nov 2010 04:27 PM PDT

Hip

EMRI SHAMREZA (kiri), Bob dan Jumie Mohd ketika ditemuramah di Kota Damansara.

EMRI SHAMREZA (kiri), Bob dan Jumie Mohd ketika ditemuramah di Kota Damansara.

Dalam kesibukan masih sempat siapkan skrip filem Sepi seorang Raksasa

SEMEMANGNYA anak seni bernama Husni Mohd Rawi atau lebih sinonim dipanggil Bob Kuman tidak boleh duduk diam. Dalam kesibukan memenuhi tawaran membintangi drama dan filem, pelakon Jangan Pandang Belakang Congkak 2 itu masih ada waktu mengendalikan perniagaan berasaskan makanan.

Setiap hari jika tidak terbabit dengan penggambaran, kelibatnya dapat dilihat di Medan Selera Tanjong Village di Dataran Sunway, Kota Damansara rancak menguruskan gerai Bawal Power yang menawarkan hidangan istimewa resipi rakan kongsinya, Emri Shamreza Mazwim. Cawangan kedua yang baru tiga bulan beroperasi itu umpama rumah kedua Bob. Malahan demi memastikan perniagaan yang bermula dari waktu makan tengahari hingga 12 tengah malam lancar, setiap hari dia sanggup menempuh kesesakan dari kediamannya di Sentul.

"Inilah tumpuan saya selepas keluarga dan lakonan. Bukan untuk kaya sebaliknya berkongsi dengan masyarakat, malah niat bergabung dengan rakan niaga buka cawangan baru disebabkan menggemari hidangan Bawal Power," katanya.

Biarpun masih baru bertatih, keenakan air tangan Emri, terutama ikan bawal goreng yang diperap dengan adunan istimewa dan dicicah bersama sambal kicap atau sambal belacan menarik pelanggan untuk kembali semula menikmati menu utama itu, belum termasuk aneka pilihan set lain seperti sotong serta ayam berempah.

Akui pelakon yang sudah mencecah usia 40 tahun itu, hidangan menepati selera selain dimasak sepenuh hati antara rahsia sajian mereka menjadi pilihan malah tidak hairan apabila meja di hadapan gerainya dipenuhi pelanggan setiap kali waktu makan tengah hari.
"Alhamdulillah, ini rezeki Allah. Kami sudah ada pelanggan tetap. Setakat ini memang ada permintaan untuk menjadi francais tetapi kami tidak mahu tergesa-gesa," katanya lagi mengenai set lauk yang diacu bersama nasi putih, gulai kari dan ulam kampung.

Nyata cukup bersemangat Bob berkongsi rancangan masa depan perniagaannya sekali gus membayangkan dia tidak pernah berkompromi soal persediaan hari esok, biarpun melihat dari segi tawaran lakonan, wajahnya kerap menghiasi layar perak.

"Saya berlakon dan menyanyi sejak 15 tahun lalu tetapi biasalah... bidang ini ada pasang surutnya. Jika ada peluang berniaga, baik kita rebut peluang itu. Sebagai ketua keluarga, saya juga perlu menyediakan 'payung' untuk masa depan kami," ungkap suami kepada Sri Hidayu Norhadi, 28 dengan penuh makna.

Menyingkap kembali pembabitannya di arena seni, dia bermula sebagai pelakon pembantu dalam filem Sama Tapi Tak Serupa pada 1995 dan kemudian bergabung dengan rakan sekampung, Khuzaimi Ismail atau Kumin menggelarkan diri mereka sebagai KU2.

Siapa sangka, album sulung berjudul Motivasi yang diedarkan pada tahun sama meraih anugerah platinum berikutan jualan melebihi 25,000 unit hingga mendorong syarikat rakaman mereka mengeluarkan album seterusnya, Evolusi (1997), Album Baru Aku! (1999), The Best of KU2 (2001) dan beberapa album tribute.

Nama Bob di arena perfileman juga tidak perlu disangkal apabila lakonannya dapat dilihat menerusi Kapoww!!, Brainscan: Aku Dan Topi Ajaib, Orang Minyak, Jutawan Fakir, Dari Jemapoh Ke Manchester, Raja Melewar dan Gemerlapan.

Bersama pengalaman sedia ada, anak jati Negeri Sembilan itu menyimpan hasrat mengarahkan filem hasil garapan sendiri berjudul Sepi Seorang Raksasa dengan genre komedi fiksyen seram malah hingga kini sudah ada beberapa skrip tulisannya berada di dalam simpanan.

"Skrip Sepi Seorang Raksasa saya hasilkan tahun lalu tetapi hanya disimpan saja hinggalah saya bertemu dengan seorang produser. Projek itu masih dalam perbincangan. Mungkin hanya bermula sekitar awal tahun depan," katanya lagi yang juga bakal terbabit dengan drama bersiri JPBC.

Ditanya sama ada Bob terdaya melakukan pelbagai kerja pada satu masa, katanya semua itu terpulang kepada kesungguhan malah biarpun baru keluar hospital disebabkan masalah sesak nafas, akuinya doktor hanya menasihatkannya supaya lebih banyak berehat.

"Akhir bulan lalu saya dimasukkan ke wad buat kali kedua tetapi bukanlah disebabkan sakit kronik sebaliknya berehat saja kerana disebabkan sibuk dengan urusan kerja, kesihatan kadangkala saya lupakan. Terima kasih kepada yang mendoakan kesejahteraan saya.

"Ada hikmahnya ditahan hampir seminggu dalam wad kerana saya sempat menyiapkan skrip Sepi Seorang Raksasa," ulasnya lagi yang turut menyatakan rasa terkilan apabila dituduh sukar memberikan kerjasama kepada pihak media disebabkan insiden di hospital sebelum ini.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.