Adsense

Selasa, 16 November 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Manjakan diri

Posted: 15 Nov 2010 03:34 PM PST

Hip

pix_gal0
Penat bekerja, tiga gadis bersantai di spa sambil bercerita hal peribadi dan kerjaya

SERONOK sungguh tiga dara popular ini 'berpesta' spa ketika berkunjung ke Slimming Sanctuary di Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Apabila penat seharian berada di lokasi, tentunya habis kejang segala otot di badan.

Lalu, kesempatan berkunjung ke spa semestinya amat dihargai pelakon cantik, Irma Hasmie, Linda Hashim dan Intan Ladyana kerana di tempat beginilah mereka dapat merehatkan, selain membelai diri. Apatah lagi di spa yang terkenal itu, mereka dapat menikmati pelbagai perkhidmatan termasuk program pelangsingan badan, rawatan wajah, program menyegarkan kembali badan, program nyah toksin dan bermacam-macam rawatan mahupun perkhidmatan lain.
Selepas masing-masing menikmati perkhidmatan yang ditawarkan, ketiga-tiganya melepak pula di ruang tamu sambil menikmati teh. Peluang itu tentu sekali digunakan bintang muda ini untuk bertanya khabar, selain mengetahui perkembangan diri.

Sambil menikmati rawatan dan perkhidmatan di sini, ketiga-tiganya saling bertukar-tukar cerita serta perkembangan terbaru masing-masing.

Kembali dalam Awan Dania
Melupakan kisah peribadinya, Irma lebih ceria untuk bercerita mengenai kisah kerjayanya yang semakin mendapat perhatian. Selepas hilang daripada musim kedua, jodoh Irma nampaknya kembali bertaut dengan siri popular, Awan Dania, apabila watak Fifi yang dilakonkan dalam musim pengenalan dihidupkan semula.

"Ketika mereka menghasilkan musim kedua siri ini, saya terbabit dengan penggambaran drama bersiri Alif Firdaus. Jadi, watak Fifi ditiadakan dalam musim itu. Namun, dalam musim terbaru, mereka mahu mengembangkan lagi watak Fifi, yang tentu sekali menggembirakan saya. Kebetulan pula, jadual kerja mengizinkan saya menyertai kembali produksi ini," kata Irma.

Sepanjang November pula, wanita berusia 28 tahun ini terbabit dengan penggambaran drama epik empat episod berjudul Alauddin.

"Ketika yang sama, saya masih mengacarakan program Galaksi siaran TV9. Kontrak saya bersama rancangan ini akan berakhir Disember depan. Ketika saya semakin seronok mengacarakan program ini, tiba-tiba ia sudah pun hendak sampai ke penghujung. Sedangkan, rasanya masih banyak lagi yang boleh saya pelajari sebagai pengacara," ujarnya yang pernah mengendalikan program Chopp!!! juga di TV9.

Kata Irma, sebagai artis yang ingin mempelbagaikan bakat, dia sememangnya bersedia untuk menimba lebih banyak ilmu pengacaraan.

"Sebelum ini, banyak tawaran untuk mengendalikan program datang kepada saya. Begitupun, waktu itu jadual kerja kurang mengizinkan, manakala saya sendiri belum benar-benar bersedia. Chopp!!! menjadi pencetus minat saya untuk terus mencuba dalam bidang ini, sebenarnya. Tetapi, seketika bersama mereka, saya disambar pula oleh Galaksi," katanya.

Sempat bantu kakak berniaga

PEMINAT tentu amat mengenali wajah manis ini yang agak menonjol sewaktu membintangi siri Tudung Ekspres. Selain dirinya, siri yang memaparkan kehidupan empat wanita berbeza latar belakang itu turut dijayakan Lisa Surihani, Chermaine Poo dan Julia Ziegler.

"Saya sendiri cukup seronok ketika menjayakan siri terbabit, apatah lagi watak yang dipegang itu memerlukan saya bertudung. Sebenarnya imej bertudung memudahkan kerja apabila kita tidak perlu hendak mendandan rambut sewaktu menjayakan siri ini. Jika ia disambung semula, tentunya saya orang pertama yang akan bersetuju.

"Peminat juga sering bertanya, apakah ia akan disambung semula? Paling tidak, mereka ingin menyimpan siri terbabit dalam bentuk DVD," kata Linda yang ketika itu masih berulang alik ke lokasi Misteri Alam Hutan arahan Rashid Sibir.

Peminat juga akan dapat menyaksikan lakonan Linda dalam siri komedi Dollah Hapak arahan TS Jeffrey, yang menggandingkannya dengan Fizo Omar dan Yasmin Hani.

Selain itu, Linda akan turut beraksi dalam drama 26 episod berjudul Biar Rindu Berlalu, sebuah kisah yang akan disiarkan RTM, berdasarkan novel tulisan Sharifah Abu Salim.

Ketika yang sama, jika ada waktu terluang, Linda akan membantu kakaknya dalam perniagaan pengaturcaraan perkahwinan.

"Saya akan ke Jakarta bersamanya untuk mencari bahan-bahan yang boleh digunakan untuk persiapan majlis perkahwinan dalam masa terdekat. Saat ini, saya hanya membantu, manalah tahu kalau suatu masa nanti, saya pula akan menjalankan perniagaan ini," katanya yang seronok menggubah bunga untuk majlis kahwin.

Intan bercinta dengan Kamal Adli

SAAT ini, pelakon cantik Intan Ladyana sibuk di lokasi Seribu Kali Cinta, drama 24 episod yang menemui penonton TV3 mulai 8 November di slot Akasia. Selain dirinya, turut menguatkan drama cinta itu ialah jejaka yang hangat digosipkan dengannya, Kamal Adli. Pelakon lain ialah Marsha Milan Londoh, Noorkhiriah dan Cat Farish.

Menurut Intan, drama terbabit cukup menarik apabila ia mengisahkan seorang pemuda yang setiap hari perlu memenangi hati wanita pujaannya, yang menghidap amnesia.

"Ceritanya lebih kurang sama dengan filem lakonan Drew Barrymore dan Adam Sandler, 51 First Dates. Jadi, saya ada juga menonton filem itu untuk mempelajari karakter yang perlu saya bawa," kata Intan.

Ditanya mengenai gandingan dengan Kamal, Intan mengaku serasi bekerja dengan pelakon muda itu. Apatah lagi ia bukanlah gandingan pertama mereka di depan kamera. Sebelum ini, mereka beraksi bersama dalam siri Bio-Nik. Manakala pada awal tahun depan, filem yang menggandingkan mereka berdua, Kembar Siang, akan menemui penonton di pawagam.

"Kembar Siang menjalani penggambaran sekitar Jun lalu. Filem komedi cinta ini diarahkan Prof Dr Hatta Azad Khan. Secara ringkas, filem ini mengisahkan gadis kembar seiras yang jatuh cinta kepada lelaki yang juga kembar seiras. Jadi, peminat boleh bayangkan bagaimana kelakarnya apabila kekeliruan timbul antara mereka nanti," katanya.

Intan juga mendedahkan betapa dia seronok mengikuti penggambaran filem terbabit.

"Ia dijayakan pasukan produksi serta barisan pelakon yang cukup 'sporting'. Antara pelakon pembantunya ialah Sathiya, Hamid Gurkha, Mat Over dan Syanie. Mereka semuanya cukup baik dan profesional, yang saya anggap seperti keluarga sendiri. Walaupun sudah lama dalam bidang seni, mereka sedia berkongsi ilmu dengan saya yang masih baru ini," katanya.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Sohaimi serius mahu kembali

Posted: 15 Nov 2010 03:27 PM PST

Hip

Penerimaan baik lagu Kalau Berpacaran akar semangat untuk berkarya, menyanyi semula

LAGU Kalau Berpacaran membuka lembaran baru buat penyanyi puisi yang popular 80-an, Sohaimi Mior Hassan.

Ini kerana lagu yang dicipta ketika dalam perjalanan menghadiri Bengkel Cipta Ekspres anjuran Perlindungan Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP) di Port Dickson, Mei lalu melonjakkan semula namanya di persada seni.

Melodi yang 'dicantikkan' lagi bersama gabungan idea dua anak muda gandingannya, iaitu Altimet dan Ana Raffali nyata menyerlahkan lagi identiti lagu berkenaan apabila bukan saja menarik perhatian malah menjangkau ramalan bakal 'meletup' jika dikongsi bersama pendengar. Bagi penyanyi kelahiran Bruas, Perak yang kini sudah berusia 53 tahun itu, penerimaan terhadap lagu Kalau Berpacaran sebenarnya secara peribadi memberi makna mendalam terhadap dirinya, sekali gus menyuntik semangat selepas album terakhir yang dirakam pada 2007 berjudul Suatu Hari Nanti kurang memberikan impak.

Bukan merajuk jauh sekali kecewa, namun ketika itu ia seakan-akan petanda kepada penyampai lagu Epilog Cinta Dari Bromley dan Misteri Cinta ini supaya mengenepikan seketika cintanya terhadap arena seni suara dan menumpukan sepenuh perhatian dengan kerjayanya sebagai jurutera.

Sohaimi mula menghasilkan album pada tahun 1981 berjudul Prolog, diikuti dengan Dedikasi (1983), Misteri Cinta (1984) dan Suatu Hari Nanti (2007)
Akui Sohaimi, selepas album Suatu Hari Nanti, dia kembali menyepi dan sekadar mengikuti aliran muzik perdana dari jauh kerana yakin masanya belum tiba melihatkan kebanjiran penyanyi muda. Tapi lagu Kalau Berpacaran menyuntik semangat baru untuk kembali mewarnai muzik tanah air dengan lebih serius.
"Sememangnya lagu ini membawa makna tersendiri. Ia umpama penyuntik semangat tambahan pula bekerja dengan dua anak muda berbakat besar seperti Ana dan Altimet yang begitu optimistik hinggakan keyakinan mereka meresap ke dalam jiwa saya," katanya.

Masih tampak segak sekali pun sudah dipanjat usia, bagi bapa kepada tiga puteri yang berusia lingkungan 20-an itu, lagu berkenaan juga adalah suara seorang bapa yang secara simbolik memberi peringatan kepada anak daranya supaya pandai menjaga diri, biarpun sedang hangat dilamun cinta.

Melodi yang dicipta kurang daripada 10 minit itu akhirnya dirakamkan untuk single, seterusnya kini memanjat carta lagu popular di beberapa stesen radio membuatkan Sohaimi merancang sebuah projek besar bersama teman gandingannya.

"Saya tidak akan berhenti setakat ini. Melihatkan bakat Ana dan Altimet, selain penerimaan ramai terhadap gandingan yang mewakili dua generasi, ini kami merancang tampil bersama sebuah album EP yang memuatkan lima atau enam lagu.

"Saya sudah mula menghasilkan beberapa lagu dan seperti lagu Kalau Berpacaran, idea daripada Ana serta Altimet tetap diperlukan kerana mereka yang menyegarkan lagu itu. Malahan malah saya yakin suntikan idea mereka mampu melonjakkan EP ini," katanya lagi.

Altimet, Ana mengaku teruja

Sementara itu, Ana yang sinonim dengan imej berbaju kurung menganggap garapan Sohaimi itu turut memberi tempias terhadap kedudukannya sebagai penyanyi baru apabila kini ramai yang mengusiknya sebagai Ana Kalau Berpacaran sama ada peminat sudah berusia mahu pun si kecil.

"Memang saya mempunyai lagu sendiri seperti Tolong Ingatkan Aku tetapi lagu Kalau Berpacaran mengukuhkan lagi portfolio saya tambahan pula berpeluang bergandingan dengan uncle Sohaimi yang sudah dikenali hampir tiga dekad lalu," katanya.

Bagi Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman , 32, berkata kemunculan Sohaimi yang mendapat tepukan gemuruh di atas pentas memberikan ceramah kepada peserta bengkel membuatkannya ingin mengetahui latar belakang penyanyi merangkap komposer itu dengan lebih mendalam.

"Apabila mendengar semula lagunya seperti Epilog Cinta Dari Bromley serta Misteri Cinta, saya pasti beliau bukan sebarangan anak seni. Malah tidak sangka dapat bekerjasama dengan penyanyi berpengalaman yang sedia menerima buah fikiran orang muda seperti saya dan Ana.

"Jika pendengar menggemari Kalau Berpacaran kerana banyak sebab, bagi saya sendiri lagu ini saya anggap tuah kerana popularitinya turut menyerlahkan keupayaan saya, biarpun sebelum ini pernah merakamkan album, cuma agak kurang menonjol," katanya.

Lirik lagu Kalau Berpacaran
Kalau berpacaran memang banyak pantang larang
Menjaga susila ibu, bapa adik abang
Apabila berdua carilah tempat yang terang
Agar tidak pula mencuba buah terlarang

korus:
Boleh pandang pandang, jangan pegang pegang
Duduk renggang renggang, bertambah sayang

Biar malu-malu, biar segan segan
Kerana malu itu, perisai orang beriman

Kalau berpacaran boleh saja jalan jalan
Tapi jangan sampai cuba-cuba pegang pegang
Kerana bila syaitan merasuk dalam fikiran
Saya pun berjalan sampai ke tempat larangan

(rap)
Yah! Nak sambung cerita
Kalau kamu berdua aku yang ketiga
Ha ha... akulah penambah perasa
Akulah pendarab nafsu serakah

Hai si teruna bikin perangai selamba
Hati si dara kata tak apa apa
Berani buat terima padah
Kalau tak sedia ucap syahadah


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.