Utusan Online - Hiburan |
Perjalanan seni yang membanggakan Posted: Perjalanan seni yang membanggakanOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SEJAK dia meninggalkan pentas American Idol pada tahun 2009, anak muda berusia 28 tahun ini dengan pantas mencipta popularitinya. Kejayaan Adam Mitchel Lambert atau lebih dikenali seluruh dunia sebagai Adam Lambert memang sesuatu yang di luar jangkaan. Kata Lambert, semuanya itu memerlukan kerja keras dan kesabaran dalam membina namanya sebagai seorang penghibur. Masih jelas dalam ingatannya ketika dia beraksi di pentas akhir American Idol musim kelapan tahun lalu bersama Kris Allen. Ketika itu, ramai yang menyangka dia yang bakal dinobatkan sebagai juara sementelah saban minggu juga dia memberikan persembahan yang cukup konsisten sehingga mendapat pujian juri. Begitu juga dengan persembahannya yang penuh energetik dan bertenaga di pentas akhir dan berpeluang beraksi bersama kumpulan legenda, Queen. Jika diukur daripada kejayaan itu, memang Lambert mampu menang mudah pada malam keramat itu. Namun, takdir menentukan segala-galanya dan kemenangan telah menjadi hak milik mutlak Allen dan Lambert hanya mampu berpuas hati dengan gelaran naib juara. Barangkali semuanya ada kena-mengena keterbukaan Lambert mengenai orientasi seksnya lalu membuatkan penonton serta pengikut setia rancangan popular itu enggan mengangkatnya sebagai juara. Dengan penuh jujur, Lambert mengakui ketika itu dia berasa sedikit terkilan kerana masyarakat tidak memandang kepada bakatnya dan lebih melihat kepada kehidupan peribadinya. Walhal, impian Lambert adalah untuk menjadi seorang penghibur dan dia mahu masyarakat menerima bakatnya tanpa sebarang prejudis. Namun kini, hanya berbekalkan sebuah album yakni For Your Entertainment, Lambert ternyata bangga apabila pandangan skeptikal itu mula terhakis sedikit demi sedikit. Malah, dia sendiri tidak pernah menyangka dia akan mengecapi sukses seperti mana yang dimilikinya hari ini hanya dalam tempoh setahun sahaja. Lambert berjaya mencuri perhatian peminat dan pencinta muzik dunia menerusi rangkaian lagu-lagunya seperti For Your Entertainment, Time For Miracles dan terkini, Whataya Want From Me. "Menyertai American Idol merupakan pengalaman yang cukup manis dan berharga untuk saya. Tidak pernah sedikit pun untuk saya berasa menyesal kerana rancangan itu telah membentuk diri saya untuk menjadi seorang yang lebih baik. "Saya harus akui kejayaan yang saya miliki ini benar-benar buat saya terkejut. Dalam masa yang sama juga, saya merasakan diri saya seorang yang bertuah dan saya terharu dengan penerimaan peminat terhadap saya. "Saya percaya saya telah dilahirkan untuk menjadi seorang penghibur dan seniman. Saya mahu terus bekerja keras bagi memastikan saya akan berada di pentas seni untuk jangka masa yang lama," ikrarnya ketika diminta mengulas kejayaannya setakat ini. Lambert berkata demikian dalam satu temu bual telefon yang telah diatur oleh syarikat rakaman Sony Music bersama Hits baru-baru ini. Dengan populariti yang dikecapinya itu, ia sedikit sebanyak membuatkan peminat sering membandingkannya dengan Allen. Allen sendiri sebelum ini dalam kunjungannya ke Malaysia beberapa bulan lalu, dia tumpang gembira dengan kejayaan yang dimiliki Lambert tanpa ada rasa cemburu. Saat diajukan persoalan yang sama kepada Lambert, anak kelahiran San Diego, California, Amerika Syarikat ini merasakan perbandingan tidak sewajarnya dilakukan antara dirinya dengan Allen. Ditanya sama ada dia berasa bosan setiap kali dibandingkan dengan juara American Idol kelapan itu, Lambert hanya menjawab: "Haluan muzik kami berbeza dan rasanya tidak perlulah untuk dibuat perbandingan antara kami. "Dia (merujuk kepada Allen) seorang yang cukup baik dan senang untuk dibawa berbincang. Saya juga gembira dengan apa yang telah diraih selepas keluar dari American Idol." | ||
Posted: Tidak kisah anak ikut jejakOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
HAMPIR dua dekad, dia menjelajah seluruh dunia untuk mengkaji dan mendalami hidupan liar khususnya dari kelompok reptilia. Sehingga hari ini, tiada siapa yang dapat memecahkan rekodnya menjadi satu-satunya individu yang berjaya menangkap dan mengkaji 23 spesis buaya di dunia yang mana satu pertiga daripadanya diancam kepupusan. Baginya, makhluk Tuhan itu cukup istimewa dan sepatutnya dijaga sebaik mungkin, bukan dijauhi serta dibunuh semata-mata mereka dianggap sebagai pengancam kepada manusia. Ada kala hatinya tersentuh melihat bagaimana hidupan liar semakin jauh daripada habitat mereka kerana dimusnahkan oleh manusia. Turut dikenali sebagai pakar buaya terkemuka dunia, Brady Robert Barr atau lebih dikenali dengan sebagai Dr. Brady Barr menggesa masyarakat dunia lebih peka dengan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar. Katanya, jika semua pihak memainkan peranan dan mengambil berat, ia dapat membantu hidupan liar ini kekal dalam habitat asalnya. "Manusia sering salah sangka terhadap hidupan liar yang dianggap ancaman yang mampu membawa bahaya kepada kehidupan mereka. "Seharusnya tanggapan itu perlu diperbetulkan kerana mereka juga seperti haiwan lain yang mahu hidup bebas dalam dunia mereka tanpa diganggu oleh manusia. "Selama hampir 20 tahun mengkaji dan mendalami hidupan liar ini, saya mendapati mereka sebenarnya haiwan yang cukup unik dan sewajarnya dipelihara agar mereka tidak terus pupus," kata Barr memberikan hujahnya. Personaliti terkenal yang sering menghiasi saluran National Geographic Channel itu ditemui pada pelancaran The Dangerous Encounters with Brady Barr in Malaysia yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, Kelana Jaya, Selangor baru-baru ini. Turut hadir ialah Pengarah dan Ketua Wilayah Fox International Channels and National Geographic Channel Asia, Basil Chua dan juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil. Kehadiran Barr ke negara ini untuk mempromosikan musim terbaru rancangan kelolaannya, Dangerous Encounters With Brady Barr yang sudah pun ditayangkan sejak 10 Oktober lalu di saluran Nat Geo Wild (saluran 550, Astro) mulai pukul 8 malam. Kunjungan pakar reptilia itu juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada murid-murid sekolah mengenai alam sekitar dan hidupan liar serta berkongsi pengalamannya bersama pelajar sekolah berkenaan. Selain Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, sebuah lagi sekolah yang terpilih dalam siri lawatan Barr ke negara ini adalah Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur. Kata Barr lagi, untuk memastikan program tersebut berjaya, ia harus dimulakan dengan kanak-kanak kerana pengaruh mereka cukup kuat dalam mengubah dunia hari ini. Dalam hal ini, dia memberi contoh kejayaan program kitar semula di negara Amerika Selatan yang selama ini tidak dipandang oleh rakyatnya. "Namun, selepas kanak-kanak didedahkan mengenai kebaikan kitar semula di sekolah, mereka mula memberi kesedaran dan semuanya bermula dari rumah. "Lama-kelamaan, program itu menjadi sukses dan akhirnya kitar semula telah dilaksanakan dengan serius di negara-negara tersebut. "Jadi, saya percaya pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar akan berjaya jika kita terus memberi didikan dan pendedahan kepada kanak-kanak terutama di sekolah," ujarnya. Menyorot kembali kisahnya sebagai pakar reptilia, Barr menjelaskan kanak-kanak memainkan peranan yang cukup besar dalam perkembangan kariernya selama menjadi saintis untuk National Geographic. Setiap kali dia memberi ceramah atau melawat sekolah-sekolah di sekitar Amerika Syarikat, Barr pasti menerima maklum balas positif daripada kanak-kanak. Tidak cukup dengan itu, ratusan surat dan e-mel juga membuatkannya tersentuh mengenangkan betapa kreatifnya dan murni jiwa anak-anak yang menyanjungi kerjayanya itu. "Kiriman mereka ada ketika tidak terjangkau dek akal. Orang dewasa seperti saya pun tidak pernah terfikir idea yang dilontarkan mereka. "Idea-idea mereka itu saya ambil dan gunakan untuk membuat penyelidikan hidupan liar di seluruh dunia. Menariknya, mereka menyertakan sekali lakaran mereka dan menamakannya dengan pelbagai panggilan yang membuatkan saya tersenyum sendirian," kata Barr. Antara cadangan kanak-kanak yang diguna pakai oleh Barr sepanjang membuat penyelidikan ialah kamera yang dilekatkan pada kereta mainan kawalan jauh dan kostum berbentuk buaya. Dalam usianya yang mencecah 47 tahun, dia menyifatkan perjalanan kariernya sebagai seorang saintis cukup menakjubkan walaupun ada ketikanya hampir meragut nyawa Barr sendiri. Dia bertuah dan bersyukur kerana National Geographic memberinya peluang untuk melakukan perkara yang cukup diminatinya. "Dalam apa hal sekalipun, minat perlu ada untuk memastikan kita berjaya dalam hidup. Itu juga yang saya beritahu kepada dua orang anak saya. Jika mereka mahu ikut jejak langkah saya, saya tidak mampu menghalangnya kalau itu yang mereka suka," ujar bapa kepada sepasang cahaya mata berusia dua dan lima tahun itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |