Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Reputasi Darling tercalarOleh HARYATI KARIM SELEPAS dua tahun turun naik mahkamah dan akhirnya mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membuka akaun di Bank RHB Berhad pada 29 September lalu, aktres yang juga penerbit Nasreen Ngasri atau Darling kini mampu bernafas lega. Segala bebanan yang ditanggung selama ini sudah terlepas daripada bahunya kerana kes tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat. Meskipun mengaku bersalah atas dakwaan tersebut dan terpaksa membayar denda sebanyak RM15,000 serta RM150,000 kepada pengadu Mohamad Ridzwan Mat Hussin yang juga bekas rakan kongsinya dalam syarikat Nazridz Pictures sebagai jalan penyelesaian, Darling terpaksa akur. Katanya, wang boleh dicari tetapi tidak sebuah kehidupan yang bebas dan bahagia bersama keluarga. "Saya mengaku bersalah kerana saya memandang masa depan dan tidak mahu kes ini menghantui hidup saya dalam tempoh yang lama. "Walaupun reputasi saya tercalar dek kes ini, saya anggap ini sebagai pengorbanan untuk saya meniti kejayaan," ujarnya yang ditemui ketika sesi fotografi baru-baru ini.
Sedar pandangan sinis serta impak yang bakal diterima dek pengakuan bersalahnya itu, Darling terima dan reda akan masa depan yang menantinya. "Semua perbuatan dan kenyataan datangnya daripada saya sendiri, baik atau pun buruk. Sebagai manusia saya tidak boleh menyesal dengan apa yang berlaku sebaliknya mengambil iktibar dan belajar untuk menjadi insan yang lebih baik daripada apa yang berlaku," tuturnya. Hargai Kehidupan Tanpa berselindung, Darling memberitahu pengalaman turun naik mahkamah merupakan episod hitam yang memberinya tekanan tetapi mujur setiap langkahnya tidak dilalui seorang diri sebaliknya keluarga serta suami sentiasa berada di sisi. "Rasanya semua orang yang ada kes di mahkamah berada di dalam tertekan dan bercelaru. Begitu juga dengan saya, itu kes pertama dan terakhir saya. Selepas ini kalau boleh saya tidak mahu jejak lagi mahkamah. "Saya juga bersyukur kerana sepanjang saya melalui kes ini keluarga dan suami tidak pernah meninggalkan saya seorang diri. Mereka sentiasa ada apabila saya dalam kesusahan," jelasnya.
Tambahnya lagi, terdapat banyak hikmah sebalik kes tersebut yang membuka matanya untuk menjadi insan, anak dan isteri yang lebih baik. "Saya lebih tenang selepas segalanya berakhir dan saya sedar bahawa hubungan kekeluargaan kami semakin rapat. Suami saya juga sentiasa menyokong saya. Setiap langkah yang diambil semuanya melalui perbincangan bersamanya dan keluarga. "Selepas apa yang berlaku saya dapat bezakan antara teman yang benar-benar menyokong dan teman-teman yang hanya hadir ketika waktu gembira sahaja," ulasnya. Usianya kini menjangkau angka 27 tahun, sebagai insan seni yang membesar dalam dunia yang penuh glamor dan menghadapi pelbagai kontroversi, Darling lebih matang daripada wanita seusianya.
Tidak mahu menoleh ke belakang dan menangisi sejarah silam yang menjatuhkan semangatnya, Darling kini bangkit sebagai wanita yang lebih berani. "Saya akui ada perbezaan dalam diri saya. Saya bukan lagi Darling yang dulu kerana sekarang saya lebih berhati-hati dalam setiap langkah yang saya ambil. "Saya juga lebih hargai kehidupan dan orang sekeliling yang sentiasa menyayangi saya seadanya," tuturnya. | ||||||
Posted: Keluhan Zainal AbidinOleh RONI HIDAYAT RIDWAN ZAINAL ABIDIN dan A. Samad Said, antara figura yang bakal terbabit dengan Festival Seni KLCC yang bakal berlangsung dari 12 hingga 17 Oktober ini. PENGANJURAN Festival Seni KLCC yang julung-julung kalinya diadakan pada tahun ini akan digunakan sepenuhnya oleh penyanyi terkenal tanah air Zainal Abidin untuk mempromosikan lagu-lagu rakyat. Namun, penyanyi yang cukup dikenali dengan lagu Hijau itu bagaimanapun ada sesuatu yang mahu diluahkan dari dasar lubuk hatinya. Zainal yang hadir sewaktu sidang akhbar mengenai penganjuran festival tersebut berkata, ketika ini kebanyakan lagu-lagu rakyat semakin dilupakan terutamanya oleh generasi muda dan kanak-kanak. "Kalau dilihat di kebanyakan taman didikan kanak-kanak (tadika) di negara ini, ramai pelajar yang hanya menyanyikan lagu-lagu dari Barat seperti Twinkle-Twinkle Little Star. "Sedangkan kita sebenarnya mempunyai ribuan lagu rakyat yang sebenarnya menarik untuk dinyanyikan seperti Can Mali Can, Jong Jong Inai dan Rasa Sayang. Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk mempopularkan lagu-lagu ini semula," ujarnya. Bekas penyanyi kumpulan Headwind yang cukup popular dengan lagu ini berkata, beliau merasakan cukup bertuah apabila diundang untuk menjayakan festival tersebut. Zainal bakal membuat persembahan pada 13 Oktober ini dengan menyanyikan enam buah lagu rakyat yang turut diselang-selikan dengan persembahan wayang kulit. Sementara itu, Festival Seni KLCC merupakan sebuah persembahan muzik ekstravaganza oleh Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dalam bentuk sebuah festival seni yang akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) bermula pada 12 hingga 17 Oktober akan datang. Pengarah Galeri Petronas, Hartini Abdullah berkata, penganjuran festival berkenaan dilihat sebagai satu langkah yang baik untuk mengetengahkan seni yang berkualiti kepada rakyat Malaysia. "Sebelum ini, KLCC hanya dikenal ramai sebagai tempat terletaknya sebuah menara berkembar tertinggi di dunia serta pusat beli belah yang kerap menjadi tumpuan rakyat tempatan dan pelancong.
"Diharapkan melalui festival ini akan membuka mata ramai pihak bahawa sebuah tempat seperti KLCC juga sesuai untuk menganjurkan aktiviti seni kerana di sini juga turut terdapat sebuah galeri kesenian dan sebuah kumpulan orkestra yang cukup terkenal," ujarnya. Sementara Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang akan membuat persembahan pada 12 Oktober bakal mendeklamasikan beberapa buah puisi yang diambil daripada buku antologi puisi beliau, Rindu Ibu. "Saya sangat berbesar hati apabila diundang dan ini merupakan kali pertama saya membuat persembahan di DFP. Dalam usaha untuk menyemarakkan aktiviti seni di negara ini, saya berharap agar usaha ini akan diteruskan setiap tahun. Selain persembahan muzik oleh MPO, Galeri Petronas turut mengadakan bengkel dan pameran seni di Tingkat 4, KLCC yang bermula pada 10 Oktober. Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan itu adalah percuma kepada orang ramai. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |