Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Jimmy sms kepada MunirohOleh FAIZAL SAHARUNI MENJELANG hari pernikahan, sebelum munculnya tanggal keramat 1 Oktober lalu, segudang perasaan meribut di jiwa bekas pengacara Trek Selebriti, Jimmy Shanley, 31. Dia tahu, melafaz nama Nursuhaila Eliani Datuk Suhaimy, 24, pada acara akad nikahnya, transisi baru sebagai kepala keluarga pasti menunggu di haluan depannya. Bukan tidak menyiapkan diri seawal mungkin untuk menempuh hidup baru bersama si penangkap hatinya yang merupakan puteri tunggal daripada tiga beradik itu. Jimmy sebaliknya membayang beragam emosi lain turut dirasai oleh setiap bakal mempelai sebelum munculnya hari berbahagia dipertauliahkan gelaran sebagai sang suami. Tanpa berselindung, penama lengkap Jimmy Shanley Norjahan Saleh itu membuka cerita, entah kenapa dirinya berasa resah gelisah dan gementar malam sebelum diijabkabulkan. Bayangkan, Jimmy sempat melayangkan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada ibu pengantin perempuan, Datin Muniroh Kassim gara-gara tidak sempurna lelap tidurnya. "Kononnya saya hantar SMS kepada ibu Suhaila sebab hendak meluah perasaan selepas pulang menghantar kad jemputan kepada seorang teman sekitar 2 pagi. Tapi, dia tidak membalas pula sebab barangkali sudah tidur pada waktu itu. Kerana itu, saya melayan sendiri kebimbangan dalam diri selang beberapa jam sebelum bernikah. JIMMY mencium tangan ibu mertuanya, Muniroh. "Rasa berdebar sampai tidak boleh tidur. Malah, saya sempat fikir, ini menjadi malam terakhir tidur seorang diri. Jadi, saya semahunya menikmati saat ini kerana malam seterusnya sudah ada isteri," kata Jimmy ketika ditemui usai majlis pernikahannya di kediaman Suhaila di Bandar Sunway Rahman Putra, Sungai Buluh, Selangor Sabtu lalu. Tidak mencuri waktu panjang menyambung bicara, hos bersama Akademi Fantasia 8 (AF8) itu sekali lagi menghantar SMS kepada Muniroh. Tiada lain diinginkan, dia sebolehnya mahu merawat kekecewaan dialami dengan bertebar cerita kononnya Jimmy bernikah dengan Suhaila atas dasar harta. "Saya tahu ada sebilangan pihak buat spekulasi kurang enak sebelum ini. Dan kerana itu, saya menerangkan semula kepada ibu Suhaila bahawa perkahwinan ini terjalin atas dasar cinta ditambah sudah lama sebenarnya saya memendam hasrat untuk menjadi sebahagian daripada ahli keluarga mereka. "Ingatkan dapat jadi anak angkat saja, rupa-rupanya tanpa disangka jadi menantu pula," jawab Jimmy tertawa nakal sambil diperhatikan Suhaila yang lebih banyak mengerling manja belahan jiwanya itu daripada membuka mulut sementelah tidak terbiasa berdepan dengan pihak media. Ditebak tentang perasaannya selepas melalui tiga kali lafaz akad nikah untuk memperisterikan Suhaila, anak jati Ipoh, Perak itu terang-terangan memperlihat reaksi lega. Biar bibirnya mengungkap kelegaan itu, hakikatnya senyuman terpancar dari anak mata Jimmy, ternyata mengisytiharkan segala-galanya. SITI NURHALIZA tidak ketinggalan menepung tawar pasangan pengantin pada majlis respesi di Kuala Lumpur Convention Centre, Ahad lepas. "Siapa saja tidak gembira selepas selamat dinikahkan. Begitupun, ini sekadar permulaan kepada hidup saya dan Suhaila. Biasalah, selepas ini asam garam rumah tangga akan bermula. Dengan saya semakin berusia, harap dapat menjadi lebih matang dalam segala hal. Bahkan, saya kena seimbangkan kehidupan apatah lagi sudah punya isteri. "Sebaik saja semua selesai termasuk resepsi perkahwinan ini, saya akan membawa Suhaila berpindah ke rumah sendiri di Subang Jaya, Selangor. Cuma, masih terlalu awal untuk saya bercakap tentang perancangan selepas mendirikan rumah tangga," luah Jimmy yang mahukan lima cahayamata - empat lelaki dan satu perempuan. Cinta selepas nikah Dengan tiga kali lafaz, Jimmy selamat bergelar suami Suhaila pada pukul 4.40 petang Sabtu lalu selepas dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah/Jurunikah Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara, Mustafa Kamal Abu Bakar berwalikan bapa pengantin perempuan, Suhaimy Othman. Jejaka kacukan Melayu-Australia yang kelihatan kacak dengan sepersalinan baju Melayu rona kelabu ilham Rizman Ruzaini itu memberi mas kahwin dan wang hantaran berjumlah RM31,186. Ia sebagai memperingati hari lahir isterinya yang jatuh pada 31 Januari 1986 sambil membawa sembilan dulang hantaran berbalas 11. Kisah mereka bermula dengan satu bidikan lensa kamera sebagai selebriti dan peminat di Genting Highlands sekitar empat tahun lalu. Kuasa Yang Maha Esa tiada tolok tandingnya. Kemudian, mereka dipertemukan kembali Januari lalu sebelum kedua pihak mengambil kata putus mahu mengikat tali pertunangan pada 11 Jun 2010. Dalam masa singkat, mereka kini sah menjadi suami isteri dari segi hukum dan agama. Mengenali antara satu sama lain secara serius sepantas kilat, justeru, Jimmy dan Suhaila mahu menjalin cinta selepas hari bahagia mereka. Bagai menjadi lumrah apabila ada sesetengah pasangan pengantin baru lebih mendalami sesama sendiri selepas melafaz akad nikah. PENGANTIN lelaki tiba pada majlis resepsi bersama pengantin perempuan dengan menaiki sebuah kereta mewah. "Dengan tempoh perkenalan kami yang pantas, banyak lagi saya tidak tahu tentang isteri. Sama juga dengan keadaan Suhaila yang belum kenal secukupnya tentang saya," akui Jimmy yang bakal berbulan madu di dalam negara tidak lama lagi dan memasang hajat untuk menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah pada Februari tahun depan. Dalam pada itu, Suhaila yang merupakan anak pengasas kepada produk kecantikan Natasha berkata, dia meluah kesyukuran kerana selamat bergelar isteri Jimmy. Biarpun nampak sedikit pemalu dan lontaran suaranya menebal dengan dialek Kedah, dia bagaimanapun cuba berkongsi emosi kepada himpunan pihak media yang duduk di depannya. "Alhamdulillah, semua berjalan seperti dirancang. Tiada sebarang perbezaan walaupun kami telah disatukan. Jimmy boleh meneruskan kerjaya seni tanpa sebarang masalah manakala saya akan terus bekerja dengan famili. Sebagai isteri, sudah tentu saya akan terus menyokong dia dari belakang," jelasnya yang memuja sikap humor dan menghormati suaminya kepada orang tua. Pasangan itu mengadakan resepsi persandingan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ahad, 3 Oktober lalu manakala sebuah lagi majlis untuk sebelah perempuan di Hotel Park Avenue, Sungai Petani, Kedah (9 Oktober) dan diakhiri dengan pihak Jimmy di Ipoh seminggu kemudian. |
Posted: Bajet kecil, jiwa besarOleh FAIZAL SAHARUNI WATAK kanak-kanak turut menguatkan jalan cerita Crayon. SEINDAH judul diangkat, Crayon yang merupakan filem berbalut drama dan thriller digarap dengan mesej tersendiri. Melampias pengertian harapan dalam beragam skop, ia terang-terangan memperlihatkan keprihatinan makhluk di muka bumi ini sesama insan lain terutama bernasib malang. Crayon yang ditunjangi oleh Hon Kahoe, Ariff Faisal Abdullah, Adibah Noor, Joshry Adamme, cukup dekat di hati sang pengarah dan penulis skrip - Dean A. Burhanuddin. Pemergian kepala keluarga, Burhanuddin Ahmad Tajudddin akibat penyakit jantung setahun lalu meninggalkan impak terbesar dalam hidupnya. Anak muda yang turut bertindak sebagai penerbit bersama Linda Ziegler dan Elise A. Hamid itu memberitahu, bapanya menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 78 tahun akibat penyakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Biarpun setahun berlalu, Dean tetap merasai kehilangannya. "Selepas peristiwa memilukan ini, saya seperti hilang harapan untuk meneruskan hidup. Bahkan saya sampai terfikir, buat apa hidup jika semata-mata untuk mencari kemewahan. Jadi, saya menulis skrip Crayon sekitar September 2009 bertujuan untuk menyuluh harapan kepada mereka yang pernah merasai kehilangan agar pantas bangkit. "Saya juga harap filem ini bakal membuka mata masyarakat untuk lebih prihatin terhadap anak-anak yatim yang ada sebilangannya hidup tersisih. Bayangkan, bantuan diberi kepada mereka hanya setahun sekali terutama pada musim perayaan. "Kalau boleh, saya mahu umum sedar tentang situasi menyedihkan ini. Anak-anak yatim juga berhak menjalani kehidupan macam orang lain yang punya ibu bapa," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran Crayon di Cathay Cineplexes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini. Mengarah naskhah Crayon yang dipayungi rumah produksi ZiOSS Films Sdn. Bhd. itu bukan semudah dilihat atau didengar. Kekurangan pengetahuan dan pengalaman mengenai lapangan seni di Malaysia, membuat dirinya sedikit sukar untuk menzahirkan idea berkarya. "Selain itu, saya harus bekerja dalam keadaan bajet kecil dan tempoh masa terhad. Lantaran itu, semua perkara harus dilakukan dengan betul. Mujur dengan bajet di antara RM500,000 hingga RM700,000 Crayon berjaya disiapkan dalam masa 25 hari," jelas Dean yang pernah menulis skrip untuk filem Amok dan The Lonely di Amerika Syarikat. Puas sudah membanting tulang menyelesaikan Crayon dengan durasi 83 minit, tiada lain dimahukan Dean selain inginkan keprihatinan daripada masyarakat agar dapat menghulurkan bantuan kepada insan di sekeliling mereka terutama kurang bernasib baik. "Crayon akan dihasilkan dalam bentuk trilogi. Jika filem pertama berkisar kehidupan anak-anak yatim, karya seterusnya saya hendak mengangkat kisah golongan orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pekak dan bisu. SATU babak dalam filem Crayon yang menggandingkan Adibah dan Joey. "Filem ketiga pula, saya merancang untuk menyingkap kehidupan orang-orang tua yang disingkir oleh keluarga sendiri," jelasnya yang lebih senang membikin naskhah kemasyarakatan berbanding berlumba mewarnakan karya berjalur komersial. Pengalaman berharga Kahoe Dalam pada itu, Kahoe yang bercerita mengenai watak dibintanginya sebagai Adam, dia merupakan seorang pelajar kolej berasal dari Kuala Lumpur dan melanjutkan pengajian di Singapura. "Adam seorang yang baik dan tidak pernah mendatangkan masalah kepada orang lain. Tidak sukar melakonkan watak ini. Cuma, kesusahannya apabila saya menjadi pelakon utama. Pasti penonton akan menilai lakonan saya. Jika dalam Talentime, saya hanya bawa watak sokongan lantas ia tidak terlalu memberi tekanan. "Dalam Crayon, tanggungjawab saya sangat berat kerana perlu menyampaikan mesej kepada penonton. Apapun saya telah memberikan lakonan terbaik dan berharap audiens berpuas hati kelak," katanya yang turut melibatkan diri dalam iklan komersial selain berlakon. Tidak membuang waktu panjang, Kahoe meluah keterujaan berlakon di bawah arahan Dean. Jelasnya, individu tersebut sarat kualiti bijak dan kreatif. Malah, tanpa berselindung, dia ingin bekerjasama lagi dengan Dean jika diberi kesempatan. "Dean tahu apa yang hendak dilakukannya. Paling bagus sebab dia beri sepenuh kebebasan kepada setiap pelakon untuk menjayakan watak masing-masing dengan stail tersendiri. Namun, dalam waktu sama, dia tetap membimbing kami," ulasnya sambil tersenyum. Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang Crayon bakal mewarnai panggung di seluruh negara pada 11 November ini, jangan lupa melayari laman sesawang www.crayonthemovie.com. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |