Berita Harian: Hip |
Posted: 04 Oct 2010 04:46 PM PDT Hip PADA zahirnya, dia kelihatan seperti seorang wanita yang riang, sebagaimana watak yang sering dilakonkannya dalam beberapa drama bersiri seperti Riang Tirana, Sindarela, Kisah Kaisara dan terbaru, Tipah Vavavoom. Namun jauh di lubuk hati, Wan Sharmila tak ubah seperti perempuan lain yang mengerti makna duka apabila dihimpit lara. Pada 23 Oktober ini, genap setahun wanita berbakat ini berpisah dengan bekas suami, Fazli Baharom, yang juga pemilik syarikat produksi Radius One. Dan, akuinya, fasa yang terpaksa dilalui bukanlah episod yang mudah sebagaimana disangka. Malah Wan tidak menafikan betapa dia perlu berusaha keras untuk melepasi detik duka yang sehingga kini masih dirasa, akibat perpisahan berkenaan. "Saya masih lagi berasa lemah dek segala kepahitan serta perpisahan yang ditempuhi setahun lalu. Namun, saya amat bersyukur kerana melalui doa dan usaha mendekatkan diri dengan Yang Maha Kuasa, ia membolehkan saya mendapat sedikit penawar untuk terus bernafas," katanya kepada Hip, baru-baru ini.Tiga tahun usia perkahwinan, dengan sebahagian daripadanya dihiasi onak, Wan mungkin mampu menarik nafas lega apabila semua kekusutan terurai sudah. Bagaimanapun, kelegaan yang dirasa turut diiringi kedukaan dalam jiwa. Kedukaan itu pula dihadapinya bersendirian, dengan sesekali teman rapat menjadi pendengar setia, serta tempatnya berkongsi air mata. Dia menyedari, untuk sembuh sepenuhnya, tentulah mengambil sedikit masa. Justeru, pelakon ini tidak tergesa-gesa untuk mencari cinta seterusnya. "Saya sendiri bukannya terdesak mencari kekasih atau pasangan hidup yang baru. Malah, saya sudah tetapkan minda untuk tidak terlalu memikirkan perkara berkenaan. Jika ada yang sudi mendekati, saya mengambil langkah berkawan-kawan saja dengan mereka. Saya perhatikan saja apa yang ada di depan mata.
Tidak memusuhi bekas suami, sebaliknya Wan dan Fazli tetap bersahabat.
Tidak dikurniakan cahaya mata ketika masih berumah tangga, namun Wan mengaku dirinya cukup rapat dengan seorang kanak-kanak perempuan dipanggil Mira. Kanak-kanak berusia empat tahun itu membolehkannya 'berangan' memiliki cahaya mata sendiri, setiap kali mereka keluar bersama. Anak kepada rakan bekas suami, dia sering kali membelikan Mira hadiah. Tidak kira waktu, apa saja yang dirasakan sesuai dengan kanak-kanak berkenaan, pasti disambar olehnya. Apatah lagi pada hakikatnya Wan seorang yang gemar melayan, mahupun mengusik kanak-kanak. Mira sendiri sebenarnya mudah mesra dengan sesiapa saja. "Memanglah saya teringin untuk memiliki anak sendiri, tetapi buat waktu ini, agak sukar sikitlah," katanya sambil menguntum senyuman mesra. Sering dibuli rakan sekerja KETIKA ini, tentu penonton TV3 berseronok menyaksikan aksi Wan Sharmila, Kamal Adli, Puteri Sarah Liyana, Bob AF, Sheila Mambo, Raja Farah, Ropi Cecupak dan Liza Abdullah dalam drama bersiri Tipah Vavavoom yang mengisi slot Senda Pagi, setiap Khamis, di saluran televisyen nombor satu negara. Dalam siri arahan Along Kamaruddin itu, Wan beraksi sebagai gadis kampung yang mudah gelabah. Kerana sikapnya itu, dia sering kali gagal dalam temu duga. Namun, nasibnya agak baik apabila dia diterima bekerja sebagai pelayan di sebuah resort, walaupun pada awalnya dia memohon untuk bekerja sebagai setiausaha. Setelah dirinya diangkat sebagai setiausaha kepada Kamal Adli pada akhirnya, lelaki itu bersama Puteri Sarah berusaha sedaya upaya untuk mengusirnya. Sejak itu, dia sering kali dibuli, hanya kerana dia bukannya gadis cantik yang berkeyakinan tinggi. Tipah hadapi semuanya kerana dia juga punya cita-cita, apatah lagi dia sekeluarga sememangnya hidup dalam keadaan yang cukup ceria. "Ketika mula-mula menerima skripnya, saya terfikir watak Tipah seperti badut. Saya jadi risau juga, sebab bukan mudah sebenarnya untuk membuatkan orang ketawa. Bagaimanapun, kelakar Tipah bukan kelakar murahan. Penonton akan banyak ketawa menyaksikan penampilan dan sikapnya yang tak kena pada tempatnya. "Saya juga malu pada mulanya untuk membawakan watak perempuan seperti ini. Dalam hati, hendak juga saya melakonkan watak wanita cantik sebagaimana pelakon lain. Tetapi nampaknya rezeki saya lebih kepada watak sebegini, yang sebenarnya turut mencabar kemampuan saya. Bagaimanapun, pada penghujung cerita, ada babak menampakkan saya cantik, walaupun sekadar cantik komedi saja," katanya bersulam ketawa. Menurut Wan, kulitnya juga bertambah gelap selepas menjayakan siri komedi 13 episod itu. Penggambarannya dilakukan di Kuala Terengganu, dengan tajaan lokasi oleh Ri-Yaz Heritage Resort & Spa. "Lokasinya memang hebat. Banyak penggambaran dilakukan di kawasan tepi pantai. Kerana itu, kulit saya pun makin gelap. Lebih-lebih lagi sebelum terbabit dengan Tipah Vavavoom, saya turut mengacarakan sebuah program, Klik Klik Asean (untuk RTM), yang membawa saya menjelajah beberapa negara Asia Tenggara. "Pada 5 Oktober pula, Wan akan menyertai beberapa pelakon handalan seperti Nasha Aziz, Vanidah Imran dan Aida Aris menjayakan sebuah telefilem arahan Bade Haji Azmi berjudul Dendam Maya. Telefilem terbitan Asia Media Content itu bakal dirakam di sekitar ibu negara dan Hulu Selangor. "Saya begitu teruja untuk memulakan projek ini kerana ia bukan hanya dibarisi bintang handalan, malah ia juga cerita berbentuk thriller pertama buat saya. |
Posted: 04 Oct 2010 04:39 PM PDT Hip Mentor catat rating tertinggi kerana penampilan artis yang baru dan segarPROGRAM yang disiarkan oleh TV3 sepanjang musim raya masih menjadi pilihan utama penonton dengan kebanyakannya mencatatkan rating lebih dua juta tontonan. Mentro Raya menjadi program paling tinggi dengan catatan 3.3 juta penonton mengatasi Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain dan Faizal Tahir meskipun ketiga-tiganya penyanyi bernama besar. Ini juga kejayaan pertama untuk program hiburan apabila muncul nombor satu sedangkan sebelum ini kedudukan itu sering kali dikuasai program berbentuk drama mahupun filem tempatan. Selain itu, TV3 turut mencatatkan prestasi cemerlang apabila berjaya mengekalkan kedudukan kukuh dengan meraih jumlah penonton tertinggi untuk hampir ke semua program sepanjang minggu raya mengatasi saluran tempatan yang lain.Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Farid Ridzuan yang ditemui ketika majlis rumah terbuka MPB di Sri Pentas baru-baru ini berkata, persiapan lebih awal penyumbang kepada kejayaan program terbitan TV3. Ia juga adalah usaha MPB mengurangkan jumlah program raya terbitannya sebaliknya memberi keutamaan kepada mutu kandungan sesebuah program yang hendak disiarkan. "Selalunya persiapan dibuat antara lima hingga tujuh bulan sebelum Aidilfitri tetapi kali ini persiapan lebih awal dilakukan. Tahun ini juga, kami mengurangkan program raya tetapi kita lebih fokus dengan kualiti. Kami menumpukan kepada program raya minggu pertama saja.
"Mentor adalah muncul program paling konsisten jumlah penontonnya. Setiap kali muncul di kaca televisyen, program berkenaan mampu meraih purata dua juta penonton. Sempena musim perayaan pula, Mentor menjadi program paling tinggi jumlah penonton. Ini disebabkan kelainan kepada barisan artis yang ditampilkan dalam program ini yang tiada di mana-mana stesen lain. "Berbanding penyanyi lain, mereka bukan saja muncul di program terbitan TV3, tetapi wajah mereka juga boleh dilihat di stesen TV lain. Mungkin disebabkan itu ratings program mereka terpaksa dibahagikan dengan stesen lain," jelas Farid. Oleh kerana sering muncul sebagai stesen TV nombor satu, Farid berkata ia memberi tekanan kepada pasukan produksi MPB. Tekanan itu, katanya, bukan untuk bersaing dengan stesen TV lain tetapi bagaimana untuk meningkatkan lagi kualiti program di bawah terbitan MPB. Menurutnya, pihaknya tidak memandang kepada persaingan daripada stesenTV lain kerana lazimnya pesaing sering mengikut jejak langkah mereka tetapi kepuasan penonton lebih menjadi keutamaan. Selain mementingkan mutu program hiburan, TV3 juga amat mementingkan aspek yang sama untuk drama. Telefilem yang disairkan oleh TV3 iaitu Airmata Nur Salina menerusi slot Cerekarama, contohnya berjaya mencatat 2.5 juta penonton. Slot berkenaan jelas Farid, umpama tiang seri kepada TV3 dan beliau akui tidak semua drama yang disiarkan di dalam slot Cerekarama mencapai mutu yang ditetapkan hampir 90 peratus adalah konsisten. Malah slot berkenaan juga mendapat kepercayaan daripada pengiklan. "Kami tahu standard yang penonton di TV3 mahukan. Pengiklan juga amat yakin dengan slot ini sehingga mereka berani membeli slot iklan tanpa menonton tajuk drama yang bakal disiarkan. Kami memang sentiasa mencari drama yang terbaik tetapi kami juga mengetahui syarikat produksi yang terkenal sentiasa sibuk. "Selain slot Cerekarama, slot di waktu perdana seperti Samarinda juga mempunyai purata penonton mencecah dua juta orang seperti drama Syurgamu Ramadan baru-baru ini. Tidak timbul soal MPB pilih kasih, pantang bagi saya apabila orang melabelkan kami hanya memilih syarikat produksi dan juga pelakon tertentu kerana apa yang cuba kami hidangkan adalah demi kepuasan penonton," katanya. Antara program lain yang mencatat jumlah peratus tinggi sepanjang Syawal ialah Sampaikan Raya 2010 (31 peratus), Stylistika Siti (28 peratus), Syawal Pertama (41 peratus), Bas Raya (38 peratus), Bang Bang Boom Raya (30 peratus), Ewah Ewah Raya (35 peratus), Cheritera (33 peratus) dan Manikam Kalbu (30 peratus) dengan kadar penonton melebihi 1 juta penonton secara purata. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |