Adsense

Sabtu, 9 Oktober 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Terdedah dunia permotoran sejak kecil

Posted: 08 Oct 2010 07:39 AM PDT

GADIS ini pernah menggemparkan masyarakat apabila gambar kontroversinya 'bercumbuan dengan wanita' di kelab hiburan sekitar Kuala Lumpur tersebar tatkala dia menyertai program Gadis Melayu Musim 2, tahun lalu.

Itu juga dikatakan menjadi punca penyingkiran Sharifah Jasmine Soraya Syed A Jalil Jamalullail, 22, daripada program berkenaan.

Sudut kamar hatinya menyedari mungkin tiada lagi peluang untuknya mengejar cita-cita di pentas pengacaraan walaupun keinginan memburu impian tidak pernah padam walaupun maruah diaibkan.

Akhirnya, kesabaran gadis mesra disapa Jasmine ini berbaloi apabila diterima TV3, sekali gus diberi kepercayaan mengendalikan program baru mengenai permotoran, Auto.

Sama sekali tidak menyangka terpilih, sekali gus mengetepikan peserta lain yang turut menghadiri uji bakat program itu tidak lama dulu yang turut disertai peserta Gadis Melayu.

Jasmine berjanji dengan peluang diberikan stesen hebat berkenaan, dia akan lebih berhati-hati dengan segala tindak- tanduk serta aturan hidupnya.

"Segala yang pernah tercetus, saya anggap itu kisah lama dan memberi pengajaran bermakna dalam hidup saya. Kini, saya lebih berhati-hati dengan segala tindak-tanduk dan cuba mengelak terbabit dengan insiden seumpama itu lagi.

"Sekarang ini saya mahu fokus dengan kerjaya ­pengacaraan yang baru bermula dan ­komited dengan tanggungjawab yang digalas. Sememangnya saya tidak ­menyangka terpilih ­mengendalikan program ini kerana proses pemilihan dibuat menerusi uji bakat yang turut disertai ­peserta Gadis Melayu musim lalu. Alham­dulillah, mungkin rezeki sudah tertulis buat saya," katanya.

Untuk bangkit daripada sebuah kegagalan bukan perjalanan yang mudah untuk ditempuhi. Namun, Jasmine bersyukur kerana ibu bapa dan mereka yang layak dipanggil sahabat sentiasa berada di sampingnya saat ­susah dan senang selain memberi sokongan tidak berbelah bagi.

"Merekalah sumber kekuatan saya. Selain sokongan keluarga, ramai kawan sentiasa berada di samping tatkala melalui saat sukar itu.

"Tidak dinafikan apabila sendirian dalam bilik, saya menjadi emosional. Bagaimanapun, daripada terbawa-bawa dek perasaan yang tidak membawa sebarang penyelesaian, saya akhirnya menguatkan hati untuk berfikiran positif dan pandang ke depan.

"Bagi saya, semua orang melakukan kesilapan dan masih ada ruang untuk mereka berubah. Lagipun, takkan saya harus mengalah dan membiarkan cita-cita berkubur hanya kerana kesilapan silam saya dan cakap-cakap orang.

"Saya bangkit semula dengan semangat baru untuk membuktikan saya punya kualiti untuk menjadi pengacara yang baik suatu hari nanti," katanya.

Ditanya, apakah dia tidak bimbang kisah silamnya kembali diungkit apabila mengacarakan program Auto ini, Jasmine berkata, dia tidak mampu menghalang kata-kata atau tindakan mereka yang ingin menghangatkan kembali cerita lama.

"Itu kisah lama dan saya sudah mengakui kesilapan saya dengan permohonan maaf. Kalau ada yang mahu mengungkit atau mensensasikan kembali cerita ini, terserah kerana saya langsung tidak kisah dengan perbuatan mereka.

"Apatah lagi sekarang ini ada perkara yang lebih penting untuk difikirkan dan didahulukan. Bagi saya, orang seperti itu tiada kerja lain nak buat," katanya.
Masih menuntut dalam jurusan Komunikasi dan Pengurusan Media di Kolej Antarabangsa Taylors, Jasmine juga memaklumkan dia merancang menyambung ­pengajian dalam bidang sama di University of South Australia, tahun depan.

Tenang menjawab setiap pertanyaan, wajah cantiknya bertukar ceria apabila diajak berbual mengenai Auto, program automotif yang memaparkan maklumat terkini dan segar yang menemui penonton setiap Ahad, jam 5 petang sejak 3 Oktober lalu.

Akui Jasmine, mengacarakan program ini ibarat impian jadi kenyataan kerana selain dapat melunaskan cita-cita, program automotif antara yang ­sememangnya ingin dilakukan.

"Bapa saya seorang ­juruterbang dan dia sering membawa pulang model kapal terbang atau kenderaan yang unik setiap kali pulang bertugas. Di rumah juga bapa memang suka menonton rancangan sukan permotoran, selain rajin membeli majalah berkaitan kereta.

"Jadi sejak kecil saya memang sudah didedahkan serba sedikit mengenai dunia permotoran. Apabila ditawarkan mengendalikan program ini, saya tidak rasa begitu kekok kerana minat memang sudah ada.

"Paling menyeronokkan, dapat memandu kereta mewah yang tidak pernah termimpi mampu memilikinya. Menarik­nya program ini, ia menceritakan secara terperinci mengenai penjagaan dan kelebihan sesebuah kereta.

"Pasti ramai yang tertanya-tanya mengapa ada kalanya harga sebuah kereta mencecah jutaan ringgit. Apa kelebihan kereta itu berbanding kereta lain dan semuanya akan didedahkan dalam Auto," katanya.

Setiap episod mempunyai tema berlainan, bergantung kepada kenderaan yang di paparkan seperti kereta sedan, 'sports car', hybrid, MPV, SUV dan banyak lagi. Bukan hanya soal kereta, Auto juga memfokuskan kenderaan lain seperti motosikal.

Pelbagai tip dan panduan yang pastinya berguna buat penonton khasnya pemilik dan penggemar automotif. Terdapat lima segmen khusus sepanjang 13 episod yang bakal ditayang­kan iaitu 'Test Drive', 'Hobi', 'Maintenance', 'Personaliti' dan 'Event'.

Dalam segmen 'Test Drive' penonton boleh merasai pengalaman memandu pelbagai jenis kereta seperti Porsche Panamera (model pertama jenis Sedan oleh Porsche), Hummer H3 dan banyak lagi.

Dengan itu, penonton mampu membandingkan kereta mana yang memenuhi cita rasa mereka. Segmen kedua, Hobi memaparkan aksesori ­tambahan seperti gadget (Global Positioning System atau GPS, LCD Monitor dan banyak lagi) serta kecanggihan sistem bunyi yang pasti akan menarik minat penonton.

Segmen seterusnya ialah Maintenance, di sini penonton akan diberi panduan bagaimana hendak menjaga kereta yang merangkumi bahagian enjin, tayar dan lain-lain.

Segmen Personaliti pula menjemput selebriti bersama kenderaan mereka seperti Fauziah Latiff dengan motosikal Ducati Hypermotard 769 dan Puteri Ay Jasmin dari Redbull Racing Team dengan kereta Subaru Impreza WRX STI.

Program Auto hasil idea Mohd Said Abdullah Thani selaku Penerbit Eksekutif dan Mohd Fareed Sharif selaku Penerbit daripada Primeworks Studios.

PROFIL
NAMA: Sharifah Jasmine Soraya
PANGGILAN: Jasmine, Soraya
TARIKH LAHIR: 14 Januari 1988
TEMPAT LAHIR: Subang Jaya
UMUR: 22 tahun
ANAK: Kedua daripada tiga beradik
SUKA: Aktiviti lasak, bersukan, muzik dan melepak dengan kawan-kawan dan membeli-belah
TIDAK SUKA: Hipokrit, orang yang suka jaga tepi kain orang dan orang yang suka memandang rendah orang lain
KERJAYA: Pengacara dan pelajar

Full Feed Generated by GetFullRSS.com and Used Car Search Engine.

Tak mahu keruhkan keadaan

Posted: 08 Oct 2010 07:03 AM PDT

"SAYA tidak pernah berdendam dengan sesiapa. Saya redha dengan apa yang berlaku," kata Hashimah Md Din, 56, balu pelakon, Mohd Rajoli Mohamed Zain, 65, atau M Rajoli berhubung konflik yang berlaku antaranya dan isteri kedua, Wan Chik Daud, 70.

Pelbagai laporan dipaparkan media mengenai masalah yang melanda membabitkan mereka sejak beberapa tahun lalu. Lebih menarik perhatian, selepas M Rajoli menghembuskan nafas terakhir pada 17 Sep­tember lalu di Hospital Ampang, Pandan Mewah, Selangor, jam 10.45 malam, Wan Chik dikatakan tidak berpeluang menatap wajah suaminya buat kali terakhir.

M Rajoli menderita penyakit kanser dalam kelenjar otak (lymphoma) sejak tiga tahun lalu, disusuli masalah pada sistem sarafnya.

Bagi Hashimah, tidak ada apa yang perlu dijelaskan lagi memandangkan dia dan Wan Chik tidak pernah bergaduh, cuma mungkin berlaku sedikit perselisihan pendapat antara mereka.

Justeru, untuk tidak mengeruh­kan keadaan ada baiknya tidak perlu diperkatakan lagi mengenai perkara yang sudah berlalu. Begitupun, dia akui hubungan mereka agak renggang sejak dua tahun lalu.

Apa yang lebih penting baginya dan keluarga, tang­gungjawab menjaga arwah sepanjang empat tahun terlantar sakit terlaksana. Malah, dia sendiri tidak pernah menyimpan niat untuk menyalahkan mana-mana pihak mahupun mencetuskan perbalahan dengan sesiapa.

"Kami tidak pernah bergaduh. Cuma buat masa ini, hubungan kami renggang. Arwah juga tidak suka kami bergaduh. Terpulang apa pandangan orang luar mengenai isu ini.

"Memang saya tidak mahu mengulas lagi isu ini. Saya juga tidak mahu mengeruhkan keadaan. Walaupun tidak bersefahaman dengan Wan Chik, saya tidak berdendam," ujar Hashimah.

Ketiadaan arwah cukup dirasai Hashimah dan keluarga. Sebagai manusia, dia menerima segala takdir dan ketentuan daripada Yang Maha Esa. Hashimah yang tidak berkerja mengakui berasa sunyi selepas ketiadaan arwah.

"Memang hati saya sebak apabila mengenangkan abang (M Rajoli). Kami memang tidak ke mana-mana pada hari raya lalu memandangkan kesihatan abang yang tidak mengizinkan ketika itu. Berbanding tahun lalu, kami pernah juga keluar beraya sehingga ke Pulau Pinang dan Perak.

"Sebelum meninggal, abang sudah lima bulan tidak bercakap. Bagaimanapun, kadangkala dia ada juga membuat kejutan apabila meminta minuman. Risau juga apabila saya terdengar arwah bercakap. Begitu juga sehari sebelum meninggal, arwah masih boleh bercakap," katanya.

Hasil perkongsian hidup bersama Hashimah selama 36 tahun, mereka dikurniakan empat anak iaitu Siti Dzaleha, 34, Nur Mohamad, 33, Siti Nazirah, 28, dan Muhammed Ariff, 23.

Tambah Hashimah, arwah meninggal pada sebelah malam sebelum mendapat cucu ketujuh, anak kepada Siti Nazirah pada sebelah petang di hospital sama. Wajah cucu yang mirip seperti datuknya itu dinamakan Nur Rejal Hakimi.

Hashimah ditemui di kediamannya di Hulu Klang, kelmarin, selepas menerima sumbangan khairat kematian daripada Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Mohammed Mohd Daud.

Sumbangan RM5,000 itu adalah sebahagian dana RM3 juta yang diperuntukkan kerajaan menerusi Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi membantu penggiat seni dan keluarga yang mengalami kesakitan kritikal, kematian dan pendapatan terjejas.

Menurut Hashimah, dia bersyukur dan berterima kasih dengan sumbangan diberikan itu. Sumbangan berkenaan kali pertama diterima selepas kematian arwah. Turut serta, anak bongsunya yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Bahagian Agama dan Kaunseling Polis Diraja Malaysia, Muhammed Arif.

Sementara itu, Mohammed Arif berkata, sepanjang penge­tahuannya, arwah M Rajoli sememangnya dikenali dengan keperibadian yang mulia, selain berbakat dalam bidang seni. Industri seni kehilangan bakat besar yang sukar dicari ganti. Sikapnya yang sentiasa ceria dan mudah mesra juga ternyata disenangi ramai.

Mengulas mengenai sumbangan itu, dia memberitahu sumbangan khairat kematian adalah salah satu peruntukan yang disalurkan menerusi dana itu. Sumbangan diperuntukkan kepada semua lapisan golongan yang terbabit dalam industri kreatif. Bantuan berkenaan disalurkan selepas mengambil kira masalah sakit kronik yang menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com and Used Car Search Engine.