Berita Harian: Hip |
Posted: 15 Oct 2010 05:58 PM PDT Hip Kehadiran Tristan Tareef anugerah Tuhan paling bernilai bagi selebriti masakan, Datuk Redzuawan IsmailLIMPAHAN kemewahan dan pujian tidak mungkin sama dengan anugerah yang diberikan Tuhan menerusi kelahiran Tristan Tareef, cucu sulung yang menjadi pelengkap hidup selebriti masakan, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan. Kelahiran yang disifatkan Chef Wan mengubah seluruh hidupnya, malah mengutuhkan lagi kejituan perasaan kasih dan sayang yang sekian lama subur dalam sanubarinya. Membahasakan dirinya sebagai Tok Wan, kehadiran Tristan hasil perkahwinan anak kesayangannya, Serina dan Gavin Edward O'luanaigh atau Salahudin Ghaffar, 33 begitu istimewa dalam hidup lelaki berusia 53 tahun itu."Tristan ialah anugerah Tuhan paling besar dalam hidup saya. Dia hadir melengkapi hidup keluarga kami. Tristan menyempurnakan segala yang mungkin selama ini hilang atau terabai kerana kesibukan masing-masing tetapi kembali subur dengan kelahirannya. "Tristan ialah anugerah Tuhan yang tidak ternilai, tidak mungkin dapat diganti dengan apa saja dalam hidup ini. Setiap kali menatap wajah bersihnya, saya tertanya mengapa ada yang sanggup berlaku kejam dan membunuh zuriat sendiri yang tidak berdosa?" katanya yang ditemui di kediamannya di Tiara Ampang, Kuala Lumpur beberapa jam sebelum berangkat ke Eropah. Keutuhan kasih terhadap Tristan jelas terserlah dalam setiap bicaranya. Tidak cuma itu, Chef Wan turut menitikberatkan setiap aspek pemakanan Serina memandangkan cucunya menyusu badan. Hal itu diakui Serina yang turut ada bersama ketika sesi fotografi ini diadakan. Hati kecilnya tersentuh tatkala melihat ketulusan kasih yang menjalar tanpa bertebing dalam diri papanya itu. "Jika tidak terikat dengan apa-apa komitmen, papa akan menjaga Tristan. Sedikit pun dia tidak mahu berenggang, hinggakan Tristan sendiri begitu rapat dengannya. "Saya dapat merasai keanehan dalam perlakuan Tristan apabila papa terpaksa bertugas di luar. Tristan seperti kehilangan, membuatkan saya akur magisnya perasaan suci yang lahir dalam jiwa mereka," kata Serina. Chef Wan berkata, kelahiran Tristan turut membawanya melalui satu fasa baru yang memberinya semangat dan kekuatan untuk menikmati hidup dengan tenang serta aman. Sebagai insan, dirinya sarat dibaluti perasaan kasih dan sayang yang mahu dikongsi sesama makhluk hingga pada satu ketika, dia mengutamakan kepentingan orang lain berbanding dirinya sendiri. Baginya, apa yang penting dalam kehidupan ini adalah keikhlasan lalu sentiasa mengingatkan dirinya supaya bertanggungjawab dan menghormati orang lain. "Saya belajar untuk memaafkan orang lain kerana Allah itu Maha Pengampun. Biarpun terluka dan kecewa tetapi saya cuba memaafkan perbuatan orang lain kerana hidup ini masih panjang. "Saya tidak mahu ada dendam dalam diri ini. Tuhan menganugerahkan saya sebuah kehidupan yang sempurna, jadi mengapa perlu saya pentingkan diri sendiri? "Menatap Tristan menyedarkan saya betapa besar tanggungjawab untuk membentuknya menjadi manusia yang penuh kasih sayang apabila dia dewasa nanti," katanya, sesekali menahan sebak di dada. Chef Wan berkata, pada minggu pertama selepas kelahiran Tristan pada petang 13 September lalu dia diburu rindu yang tidak bertepi. Terpaksa berpisah dengan cucu kesayangannya kerana perlu ke Tokyo, Jepun dan Bangkok, Thailand, hal itu kata Chef Wan, terlalu berat untuk dilakukan. "Jika boleh setiap saat saya mahu berada di sampingnya. Melihat Tristan membesar hari demi hari, memberi saya sebuah kebahagiaan yang sukar diungkapkan dengan perkataan. "Tristan terlalu istimewa dalam hidup saya. Memegang jari halusnya dan melihat dia memberikan reaksi, membuat saya bersyukur kerana Tuhan terlalu baik kepada saya dan keluarga. "Sebagai hamba yang mensyukuri setiap kurniaan-Nya, saya akan menunaikan umrah di Makkah pada 20 Disember depan untuk berterima kasih kepada Allah. "Cuma itu yang mampu saya lakukan untuk menyatakan betapa saya menghargai pemberian Allah ini," kata Chef Wan dalam nada terharu. Meraih pengiktirafan luar SELAMA 26 tahun berkecimpung dalam seni kulinari, penghargaan demi penghargaan diterimanya membuatkan Chef Wan terharu kerana sumbangannya diiktiraf hingga di peringkat antarabangsa. September lalu, Chef Wan terbang ke Bangkok untuk menerima trofi, Friends of Thailand Awards 2010 daripada kerajaan Thailand atas pencapaian serta sumbangannya kepada industri pelancongan negara itu. Pengiktirafan yang membuat air matanya menitis kerana kerja keras Chef Wan selama 26 tahun diperakui oleh masyarakat luar. "Dunia hari ini dipenuhi dengan permusuhan dan perebutan kuasa tetapi siapa menyangka kuasa sebuah masakan itu sebenarnya mampu menyatukan manusia dari seluruh pelusuk. "Menerusi makanan, kita menyuburkan persahabatan, cinta dan keprihatinan antara sesama insan. Anugerah ini juga menjadi contoh betapa kita sebagai rakyat Malaysia begitu terbuka dalam menerima dan mengadaptasi budaya masyarakat luar. "Saya mahu melihat lebih ramai anak tempatan memperluaskan bakat serta kebolehan di mata dunia dan menjadikan anugerah ini sebagai penggerak untuk mencapai cita-cita mereka," katanya. Barangkali tidak ramai yang tahu, di sebalik kejayaan itu Chef Wan terpaksa merentasi onak dan ranjau malah pernah satu ketika dia hampir berputus asa apabila usahanya tidak mendapat sokongan. Pernah katanya, disebabkan kecewa dia bertekad mahu melarikan diri dan mencari peluang di negara luar yang menghargai segala usaha serta kerja kerasnya. "Tetapi cinta saya kepada Malaysia terlalu mendalam membuatkan saya terus bertahan walaupun terpaksa berdepan pelbagai kerenah menyakitkan. "Mungkin penaja korporat tidak melihat betapa kuatnya pengaruh televisyen hingga enggan menyokong setiap kali saya membentangkan kertas cadangan. "Saya hairan kenapa orang luar menerima dan mengakui kekuatan bakat kita, tetapi di negara sendiri kita seperti mengemis untuk meraih sedikit sokongan. "Saya tidak tahu apa bukti yang mereka perlukan lagi kerana sepanjang 26 tahun, sudah banyak yang saya berikan untuk memperkenalkan nama Malaysia," katanya. Situasi itu kata Chef Wan tidak pernah sesekali memudarkan semangatnya, bahkan perjuangannya akan diteruskan kerana dia ikhlas dalam setiap pekerjaannya. Baginya, tiada siapa yang mampu menghalang langkahnya untuk terus mara kerana selagi diizinkan Allah, dia akan membawa nama negara di mata dunia dengan caranya tersendiri. |
Posted: 15 Oct 2010 04:18 PM PDT Hip Adam Lambert tak anggap dirinya ikon gaySESIAPA pun bebas melontarkan kata nista terhadapnya tetapi bagi Adam Lambert, dia cuma menjadi dirinya sendiri dan bersikap terbuka terhadap kritikan manusia yang kurang menyenangi. Naib juara American Idol musim ke-8 itu berkata, dia berbangga dengan pilihan yang dibuat. Sebuah luahan tulus tanpa perlu menjadi hipokrit hanya kerana memenuhi tuntutan sosial. The Times melabelkan jejaka berusia 28 tahun itu sebagai penyanyi gay pertama melancarkan karier nyanyiannya di bawah label besar di Amerika Syarikat."Jangan cuma dilihat sisi peribadi kerana saya berada di sini untuk berkongsi minat dan hasil kerja. Jiwa saya terhadap seni persembahan terlalu mendalam. Saya berasakan saya memang dilahirkan untuk menjadi seorang penghibur. Namun, bergelar selebriti tidak bermakna saya harus menggadaikan seluruh ruang privasi hidup. "Saya juga mempunyai hak untuk menyimpan sedikit ruang peribadi itu kepada diri sendiri. Di pentas, saya seorang penghibur tetapi hakikatnya saya seorang yang mementingkan kesederhanaan. Saya tidak menyesal dilahirkan begini dan berharap masyarakat juga menghormati pendirian saya," katanya dalam satu temubual menerusi telefon yang diatur Sony Music Entertainment, baru-baru ini. Pemuda yang berasal dari San Deigo, Amerika Syarikat itu akur, realiti dunia hiburan yang cenderung menyorot cerita peribadi ada ketika membenihkan perasaan kecewa di sudut hatinya. "Saya bersikap terbuka dan percaya, masyarakat di luar juga mengenali siapa Adam Lambert yang sebenar. Justeru, berikan ruang kepada saya untuk memfokus kepada bidang yang saya cintai. Saya berada di sini bukan untuk menggugat sesiapa. Apatah lagi menjadi menjadi ikon kepada golongan gay, lesbian atau biseksual kerana itu bukan keutamaan saya. "Saya cuma mahu berkongsi minat serta aspirasi saya terhadap nyanyian. Tuhan mengurniakan saya kemampuan, justeru saya ingin manfaatkan anugerah itu dengan memberikan hasil kerja yang menyentuh hati semua orang," katanya serius. Sering tampil dengan gaya ranggi dan eksentrik ketika di pentas, Lambert berkata, dia akan menjadi seorang yang berbeza apabila berada di luar lingkungan glamour. Lambert tidak kekok menyarung jeans dan baju T apabila mahu keluar bersantai. Leka berbicara, penyanyi Whataya Want From Me ini membuka satu rahsia. Akui Lambert yang mendaki populariti menerusi album, For Your Entertainment ini, dia tidak pandai bersolek sendiri dan bergantung kepada penata gaya setiap kali mengadakan persembahan. "Mereka yang akan menata rias wajah dan menentukan penampilan saya. Saya bergantung kepada mereka sepenuhnya kerana saya tidak pandai bersolek sendiri. Bagaimanapun, dalam berpakaian, saya selesa menentukannya sendiri mengikut pilihan hati. Saya akan keluar membeli belah sendiri kerana lebih memahami apa yang saya mahukan," katanya. Sesi temubual ini diatur sempena promosi Adam Lambert Glam Nation Tour Live In Malaysia 2010 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, kelmarin. Lambert ke Kuala Lumpur usai menjayakan persembahan di Tokyo, Jepun dan Hong Kong. Kembara seluruh dunia yang bermula sejak Jun lalu turut singgah di Singapura, Australia dan Eropah. "Saya mencintai semua peminat. Tanpa mereka tidak mungkin saya berada di sini. Lantas, saya sentiasa bekerja keras untuk mencipta sebuah persembahan yang mampu memberi impak kepada mereka semua," katanya. Penggemar berat Madonna, Queen, David Bowie, Michael Jackson, Aerosmith dan Led Zeppelin ini mengakui teruja jika diberi peluang berlakon. Lakonan, kata Lambert, bukan sesuatu yang asing kepadanya kerana sebelum ini dia turut aktif menyertai teater yang dipentaskan sekitar Los Angeles. Sekadar mengimbas, Lambert menyedari cintanya kepada seni persembahan bermula seawal usia 10 tahun apabila diberi peluang beraksi dalam pementasan Charlie Brown di San Deigo. Tertarik dengan rutin pementasan, Lambert memperkemaskan langkahnya apabila menyertai kelas vokal persendirian. Keyakinan itu bertambah apabila diberi peluang muncul dalam beberapa pementasan lain seperti Joseph and the Amazing Technicolor Dreamcoat, Grease dan Chess. "Saya gembira jika dapat kembali berlakon tetapi perkara itu tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat. Jika diberi pilihan, saya lebih berminat untuk membintangi siri televisyen atau filem. "Berlakon cukup menyeronokkan kerana memberi peluang kepada seseorang itu untuk lari daripada spektrum sebenar dirinya," kata pemuda yang dilahirkan pada 29 Januari 1982 itu. Beralih bicara mengenai musim terbaru American Idol yang bakal menyusul, Lambert enggan cepat mengalah kerana peluang baginya akan terbuka kepada sesiapa saja yang berusaha keras. Populariti program realiti itu kata Lambert, tidak hanya terletak kepada kekuatan peserta. Sebaliknya ia turut dibantu oleh pasukan produksi yang hebat, penerbit yang kreatif serta peserta berbakat besar. "Saya antara insan bertuah kerana berpeluang mempamerkan bakat dalam program yang ditonton seluruh dunia. American Idol menjadi platform terbaik kepada setiap peserta untuk mempamerkan kebolehan dan kemampuan mereka. "Justeru, apabila peluang sudah berada dalam genggaman, manfaatkan sebaik mungkin. Semua orang mengimpikan peluang untuk berada di situ dan saya bersyukur kerana American Idol merealisasikan impian saya selama ini," katanya. Menarik Adam Lambert: |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |