Adsense

Jumaat, 9 Julai 2010

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong

MY ADHA™ | Sumber Maklumat Terkini, Jawatan Kosong


Wawasan 2020 Mampu Dicapai Jika Tukar Strategi - Dr Mahathir

Posted: 08 Jul 2010 09:49 AM PDT

Malaysia boleh mencapai Wawasan 2020, iaitu untuk mencapai status negara maju, sekiranya beberapa strategi pembangunan dan ekonomi ditukar, kata Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas perdana menteri yang mengilhamkan wawasan itu pada 1991, berkata ini kerana krisis kewangan dunia serta krisis dalaman negeri pada tahun 1997 dan 1998 sedikit sebanyak telah menyekat pertumbuhan ekonomi negara seperti yang dirancang.

"Untuk mencapai Wawasan 2020, negara perlu memperoleh pertumbuhan ekonomi sebanyak tujuh peratus setiap tahun bagi tempoh 30 tahun," katanya pada 'Forum RMK-10 KITA' Siri 3 anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam Khamis, disiarkan secara langsung melalui TV1.

Dr Mahathir berkata bagaimanapun, strategi pembangunan dan ekonomi yang perlu ditukar itu harus dibincang dengan lebih mendalam bagi mengenal pasti bentuk strategi yang boleh menggalakkan pertumbuhan yang lebih besar.

"Ada cara-caranya, tapi kita kena perah otak supaya kita dapat satu idea bagaimana untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Mengenai pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur, Dr Mahathir mencadangkan supaya kaum lain turut terlibat dalam program pembangunan itu supaya ia dapat dijadikan daya penarik dalam usaha tersebut.

"Saya berpendapat perlu ada kaum lain yang mengambil bahagian. Kita tidak boleh tentukan 40 peratus ke 50 peratus tetapi sedikit sebanyak mesti ada, kerana ia adalah satu daya penarik.

"Kalau tidak ada kaum lain berniaga bersama, orang Melayu pun tidak akan datang kerana memang sudah kepercayaan kononnya orang Melayu tidak boleh berniaga," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata punca masyarakat Melayu masih berkurangan dalam senarai 40 orang terkaya di negara ini walaupun Malaysia telah 50 tahun merdeka adalah kerana dakwanya orang Melayu masih "tidak dapat mengawal nafsu dan terlalu boros."

"Kita tidak kawal nafsu, kita dapat duit sahaja (kita) hendak belanja. Saya jumpa dengan seorang kawan Cina, katanya masalah mengenai Bumiputera, tidak pandai hendak menguruskan tunai, ada duit sahaja hendak belanja, belum jadi duit sendiri pun sudah belanja," katanya.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa Rancangan Malaysia Ke-10 bukan bersifat rasis walaupun banyak memberi tumpuan kepada agenda pembangunan Bumiputera.

"(RMK-10) hanya bertujuan menyamakan pendapatan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Tumpuan mesti diberikan kepada yang tertinggal kerana yang di belakang tidak dapat kejar yang di depan," katanya.

- BERNAMA

SPRM Tahan 194 Pemberi Rasuah, 140 Penjawat Awam

Posted: 08 Jul 2010 09:43 AM PDT

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 194 orang yang didapati menawarkan rasuah kepada penjawat awam sejak Januari hingga bulan lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, mereka yang memberi rasuah kini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang, sama seperti penerima rasuah.

Beliau berkata, orang awam yang ditahan kerana kesalahan rasuah juga melibatkan rakyat asing, antaranya dari Bangladesh, Singapura, Vietnam, Sepanyol dan Argentina.

"Antara kesalahan mereka kerana cuba memberi rasuah kerana ketiadaan dokumen perjalanan diri dan ada yang ditahan kerana memberi rasuah kepada anggota polis trafik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan 'Bulan Julai sebagai Integriti Amanahraya' di Wisma Amanahraya di sini hari ini.

Katanya, dalam tempoh yang sama, seramai 140 penjawat awam turut ditahan kerana kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

"Statistik bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini menunjukkan agensi-agensi penguatkuasa di negeri ini masih terdedah kepada jenayah rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

"Bagaimanapun kini orang awam yang ditahan lebih ramai dari penjawat awam, ini mungkin kerana peningkatan integriti dan kesedaran menjauhi rasuah di kalangan penjawat awam," katanya.

Mengenai aktiviti mencegah rasuah di kalangan pekerja di sesebuah organisasi termasuk sektor awam dan swasta diteruskan, SPRM akan menganjurkan kursus 'Sijil Pegawai Integriti' (CIO) yang akan dimulakan pada bulan ini.

Beliau berkata, kursus pertama itu bakal memberi pengetahuan menyeluruh dan teknik terkini mengenai fahaman integriti dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.

Katanya, kursus bagi kumpulan pertama itu akan dijalankan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) selama seminggu pada setiap bulan selama enam bulan.

"Sebelum ini kita meletakkan pegawai kita sebagai CIO di Amanahraya Berhad dan kita dapati langkah itu efektif dalam membudayakan integriti dan meningkatkan sistem perkhidmatan organisasi.

"Justeru kita mengaplikasi langkah itu dengan mengambil dan memilih pegawai-pegawai dari beberapa organisasi termasuk sektor awam dan swasta untuk menjalani kursus tersebut supaya dapat menjadi CIO di organisasi sendiri," katanya.

Beliau berkata, pada pengambilan pertama ini tiada sebarang yuran dikenakan dan kini SPRM sedang meneliti permohonan untuk memilih hanya 30 pegawai dari pelbagai sektor.

Katanya, kursus seumpama itu sudah lama dipraktikkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat.

- BERNAMA

28 juta dijangka dibanci hingga Ogos

Posted: 08 Jul 2010 08:57 AM PDT

Dianggarkan lebih 90 peratus daripada kira-kira 28 juta penduduk akan dibanci sepanjang tempoh bancian bermula kelmarin sehingga 22 Ogos depan.

Sasaran yang menyamai standard antarabangsa itu adalah berdasarkan kejayaan bancian dan pengumpulan data oleh Jabatan Perangkaan terdahulu.

Ketua Perangkawan Malaysia yang juga Pesuruhjaya Banci, Datuk Wan Ramlah Wan Abd Raof, berkata tiada rekod kejayaan 100 peratus bancian dapat dicatatkan oleh mana-mana negara di dunia ini.

Beliau berkata, kadar itu berdasarkan pemerhatian sebelum ini bahawa rakyat Malaysia memberikan kerjasama baik kepada pembanci untuk menjalankan tugas walaupun berdepan dengan pelbagai masalah.

Maklum balas termasuk penerimaan rakyat terhadap tugas pembanci dan masalah dihadapi hanya akan dapat diketahui minggu depan.

Namun berdasarkan pengalaman lalu, modus operandi dan halangan yang diterima pembanci sama seperti jurujual yang berkunjung dari rumah ke rumah, bezanya kita menjual perkhidmatan, katanya ketika dihubungi semalam.

Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2010 membabitkan 30,000 pembanci dan penyelia untuk mengetahui bilangan penduduk Malaysia ketika ini dan jangkaan akan datang, sekali gus berupaya menyediakan perancangan kemudahan untuk rakyat.

Program banci penduduk kali ini menggunakan tiga kaedah iaitu temu ramah secara bersemuka, drop-off and pick-up (DOPU) dan secara dalam talian e-Census di laman web www.statistics.gov.my.

Wan Ramlah berkata, pembanci dan penyelia masing-masing berkelayakan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diploma diberi latihan seminggu termasuk diberi pendedahan mengenai pendekatan untuk bersemuka dan pelbagai masalah yang bakal mereka hadapi.

- BERITA HARIAN

Gadis ditemani 100 ular berbisa

Posted: 08 Jul 2010 08:42 AM PDT


KOTA BHARU - Keberanian seorang gadis, Puteri Nur Aryani Saiful Yuzah, 24, tinggal bersama 100 ekor ular berbisa menarik perhatian pengunjung Pameran dan Pertunjukan Ular 2010 di Perbadanan Muzium Kelantan di sini.

Pameran anjuran Perbadanan Muzium Negeri Kelantan itu berlangsung selama sebulan bermula kelmarin.

Puteri Nur Aryani beraksi dengan tinggal bersama ular dalam bilik kaca berukuran kira-kira empat meter persegi selama 12 jam sehari bermula pada pukul 9 pagi hingga 10 malam.

Menurut gadis berasal dari Sungai Petani, Kedah itu, penyertaannya dalam pertunjukan tersebut sebagai latihan untuk mencipta rekod dunia pada awal tahun depan.

"Semasa bersama ular tersebut, saya cuba mendalami secara lebih dekat kehidupan reptilia berbisa itu," katanya di sini semalam.

- KOSMO!

Carrefour nafi mahu tutup perniagaan

Posted: 08 Jul 2010 07:59 AM PDT

Pasar raya besar, Carrefour menafikan ia akan menutup perniagaannya di Malaysia dan menegaskan semua pasar raya miliknya masih menjalankan perniagaan seperti biasa.

Kumpulan peruncitan dari Perancis itu menerusi satu kenyataan dikeluarkan Carrefour Malaysia-Singapore, semalam, turut menafikan ia akan menutup perniagaannya di Singapura dan menegaskan semua pasar rayanya di republik itu masih beroperasi.

Malah, tahun ini saja, kami sudah membuka empat pasar raya baru di Malaysia dan merancang pembukaan empat lagi cawangan di Malaysia sebelum akhir tahun ini, demikian menurut kenyataan ringkas syarikat itu, semalam.

Isnin lalu, agensi berita Reuters melaporkan Carrefour sudah melancarkan jualan bagi unit perniagaannya di Malaysia, Singapura dan Thailand.

Mengikut laporan itu yang memetik sumber yang mempunyai kaitan rapat dengan syarikat berkenaan, jualannya dijangka mencecah nilai kira-kira AS$1 bilion (RM3.22 bilion).

Pemilik pasar raya itu juga dikatakan sudah mengadakan perbincangan dengan bank pelaburan Goldman Sachs dan UBS bagi mengatur urusan penjualan itu.

Carrefour, peruncit kedua terbesar dunia, dalam tempoh beberapa tahun lalu telah menutup perniagaannya di Jepun dan Korea, bagi memberi tumpuan kepada pasaran lebih besar dan sedang pesat berkembang seperti di India.

Di Indonesia, Reuters melaporkan ING-JP Morgan, konglomerat yang mempunyai kepentingan dalam sektor perbankan dan media, mahu meraih dana menerusi terbitan bon pada peringkat antarabangsa pada tahun ini bagi membiayai pembelian kepentingan dalam Carrefour.

The Bangkok Post pula melaporkan, Carrefour sudah bertemu dengan pembeli berpotensi dan akan membuka tawaran bagi penjualan itu awal September depan.

Carrefour beroperasi di 38 lokasi di Thailand dengan aset keseluruhan miliknya di negara itu dianggarkan bernilai antara AS$500 juta (RM1.6 bilion) dan AS$600 juta (RM1.9 bilion).

Di Malaysia, syarikat yang merancang memiliki 40 rangkaian menjelang 2012 itu memiliki aset bernilai RM1.5 bilion berdasarkan anggaran industri peruncitan.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini kementeriannya tidak menerima sebarang maklumat mengenainya dan mengang-gapnya sekadar desas-desus.

Kita tidak boleh membuat sebarang pengesahan sama ada benar atau tidak perkara itu. Saya sendiri hanya membaca daripada laporan akhbar. Lazimnya, jika benar mereka mahu menjualnya, mereka akan memaklumkan kepada kementerian terlebih dulu, katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan di sini, semalam.

Bagaimanapun, Ismail Sabri memberi jaminan tidak akan berlaku pembuangan pekerja jika pasar raya itu mahu menjual atau menutup operasinya.

- BERITA HARIAN

Produk ikan Atimas

Posted: 08 Jul 2010 07:37 AM PDT


Bermula dengan menternak ikan keli kanvas secara kecil-kecilan, pasangan suami isteri Ami Ludin Surip dan Siti Hanim Kosnin berdepan dengan pelbagai jenis masalah.

"Banyak masalah yang kami hadapi semasa menternak ikan keli seperti harga makanan yang semakin meningkat selain masalah pemasaran.

"Bagi mengatasi masalah pemasaran, kami menghasilkan produk hiliran daripada ikan keli iaitu burger ikan keli.

"Ketika itu kami mahu menghasilkan produk baru yang tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana usahawan di negara ini," kata Siti Hanim sewaktu ditemui di premisnya di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor baru-baru ini.

Walaupun burger ikan keli enak tetapi 30 peratus pelanggan menolak apabila mendapatkan tahu bahan asasnya adalah ikan keli.

"Isi ikan keli lebih halus dan putih sesuai dijadikan pelbagai produk makanan tetapi ramai pelanggan yang menolaknya menyebabkan kami berubah menggunakan ikan laut bagi memenuhi selera pelanggan," jelasnya.

Minat yang mendalam dengan produk makanan berasaskan ikan mendorong Siti Hanim menghadiri pelbagai kursus penghasilan produk ikan anjuran Jabatan Perikanan di Chendering, Terengganu dan kursus inovasi di Perak.

Selepas menamatkan kursus, Siti Hanim yang juga Pengurus Perniagaan Atimas menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama dua tahun bagi mendapatkan maklum balas pelanggan mengenai burger ikan.

"Dalam tempoh berkenaan saya mengedarkan burger ikan Atimas ke gerai-gerai burger berhampiran dan mendapatkan maklum balas bagi meningkatkan lagi kualiti bagi menepati selera pelanggan," ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Setelah burger ikannya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan dan pengusaha gerai burger, Siti Hanim menyewa sebuah premis di Taman Putra Perdana, Puchong bagi melancarkan operasinya.

Di sana, dia mengembangkan lagi perniagaan dengan menghasilkan pelbagai jenis produk berasaskan ikan seperti otak-otak, popia otak-otak, sata, popia sata dan pulut panggang.

Dalam menjalankan perniagaan, Siti Hanim dibantu agensi kerajaan seperti Jabatan Perikanan dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Bagi menganalisis nutrisi pemakanan, Perniagaan Atimas menggunakan khidmat nasihat Jabatan Teknologi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI).

Sehingga kini, Perniagaan Atimas yang merupakan anak angkat kepada Jabatan Perikanan menerima bantuan dalam bentuk geran sebanyak RM50,000.

Mempunyai lima orang pekerja sepenuh masa, Perniagaan Atimas mempunyai kapasiti mengeluarkan 2,400 bungkus burger sehari selain lima produk lain.

Mendapat bekalan ikan daripada Pasar Borong Selayang, Siti Hanim menggunakan ikan selayang dan tamban dalam burger dan kebanyakan produknya.

Pelan pemasaran yang teratur dan rasa produk yang enak menyebabkan produk Atimas mudah mendapat pasaran. Selain itu kehadiran ejen-ejen di sekitar Lembah Kelang juga menjadikan produk Atimas mula dikenali ramai di kalangan pengguna.

Burger ikan

"Kami mempunyai ejen di sekitar Selangor seperti Banting dan Hulu Langat, Kelang dan Puchong serta di Seremban, Negeri Sembilan.

"Selain menggunakan ejen, terdapat juga pelanggan yang datang membeli terus dari premis kami," katanya.

Bercerita mengenai perancangan masa depan, Siti Hanim memberitahu dia bercadang menghasilkan produk baru setiap dua bulan.

Antara produk terbaru yang telah dihasilkan adalah sosej ikan, ketul ikan, bebola ikan dan kek ikan bersalut di samping menghasilkan burger dan produk ikan lain menggunakan ikan keli seperti bebola ikan dan kek ikan yang memerlukan ikan isi putih.

Kepada mereka yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk Atimas bolehlah melayari laman blog http://atimasburger.blogspot.com atau hubungi Ami Ludin di talian 016-2292 592.