Adsense

Jumaat, 9 Julai 2010

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog


Dera rakan hingga mati: 7 anggota RAMD dipenjara

Posted: 08 Jul 2010 11:59 PM PDT

Tujuh prebet Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) masing-masing dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini setelah mengaku bersalah atas tuduhan pilihan menyebabkan kematian rakan mereka, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abdul Razak berkata mahkamah tidak dapat menerima apa sahaja alasan mereka melakukan perbuataan mendera (ragging) menyebabkan kehilangan nyawa seorang pemuda tidak berdosa serta keluarganya hilang orang yang disayangi.

Beliau memerintahkan semua tertuduh itu menjalani hukuman bermula tarikh tangkapan masing-masing.

Mahazir Hamad, Mohd Azman Jabri, Mazlan Awang Ngah, semua berusia 26 tahun, Shahrin Mat Rabu, Mohd Khairi Abdullah, Syabramallisi Shahidan, semua beruisa 28 tahun dan Mohd Bukhari Shawal, 25, dan ditahan dalam tempoh seminggu selepas kematian Mohd Shahrizal Mohd Shaffie, 27, pada April 2008.

Pada 22 April 2008, kesemua tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh tetapi mereka mengaku bersalah setelah pihak pendakwaan menawarkan tuduhan pilihan di Mahkamah Tinggi semalam.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di Bilik Tahanan Pasukan, Unit 1 RAMD, Kem Tentera Sungai Besi, antara jam 11 malam pada 5 April 2008 hingga jam 1 petang 6 April 2008.

Mengikut fakta kes, mangsa telah dipukul, tumbuk dan diterajang pada 5 April 2008 kerana didakwa tidak pandai melipat pakaian dan perbuatan sama telah berulang pada keesokan harinya.

Mangsa juga dikatakan dilastik dengan getah pada kemaluannya serta salah seorang daripada tertuduh telah memijak bahagian belakang mangsa dengan kasut pepaku sehingga dia terkencing.

Mereka hanya memberhentikan perbuatan itu setelah ditegur seorang pengawal dan Mohd Shahrizal telah dikejarkan ke hospital HUKM dan disahkan meninggal dunia.

Tuduhan pilihan di bawah Seksyen 304(b) membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Untuk rekod, pihak pendakwaan telah memanggil 11 saksi sebelum semua tertuduh ditawarkan dengan tuduhan pilihan.

Mohd Sofian menolak alasan peguam yang mewakili tertuduh bahawa perbuatan mereka akibat tidak dapat menyesuaikan diri mereka bersama RAMD walapun mempunyai pengalaman empat hingga enam tahun.


"Pada saya, RAMD mempunyai sejarah yang gemilang dan merupakan rejimen pertama sebelum Perang Dunia Kedua dan seharusnya kamu semua berasa bangga berkhidmat bersama RAMD," tegas Mohd Sofian.

Hakim tersebut berkata penderaan bukan satu cara untuk melanggar peraturan yang ditetapkan oleh RAMD ataupun jalan keluar daripada pasukan tersebut.

"Saya faham sepanjang perkhidmatan kamu, ada yang telah menerima anugerah ataupun pingat kecemerlangan, kini itu semua tidak bermakna lagi akibat tindakan kamu," katanya.

Pembinaan Masjid Nabawi

Posted: 08 Jul 2010 11:47 PM PDT


Masjid Nabawi di Madinah.


SELEPAS membina masjid Quba', Rasulullah SAW pun meneruskan perjalanan baginda bersama-sama dengan sahabat ke Madinah yang juga ketika itu dikenali sebagai Yathrib.

Perjalanan yang ditempuh amat jauh dan memakan masa berhari-hari. Cuaca padang pasir yang panas terik dan kering menyukarkan perjalanan. Walaupun begitu, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat baginda dan para sahabat untuk berhijrah.

Ketika dalam perjalanan itu juga, tiba-tiba sahaja unta yang ditunggang oleh Rasulullah berhenti dan melutut. Terdapat beberapa orang Islam sedang mengerjakan solat di tempat itu. Baginda dan para sahabat pun berhenti di situ.

Di tempat itu juga terdapat dua orang anak lelaki yatim piatu. Seorang bernama Sahl dan seorang lagi Sohail. Mereka mempunyai sebuah kandang unta di tempat yang betul-betul mengenai tapak Rasulullah ingin membina masjid.

Sebagaimana yang diketahui, Rasulullah akan membina masjid di mana sahaja baginda berhenti. Baginda pun memanggil kedua-dua orang lelaki itu. Baginda ingin berunding untuk mendapatkan kandang unta mereka. Tujuan baginda adalah untuk membina sebuah masjid di situ.

Mereka pun berkata: "Wahai Rasulullah, ambil sahajalah kandang unta kami itu. Binalah masjid sebagaimana kehendak Allah. Kami amat berbesar hati sekiranya dapat berbakti di jalan Allah."

Walaupun begitu, Rasulullah menolak tawaran mereka itu. Baginda telah membayar sebanyak 10 dinar dan mengarahkan sahabat untuk membuat pembayaran kepada mereka berdua.

Setelah itu, pembinaan masjid Nabawi pun dimulakan. Rasulullah telah mengarahkan pokok-pokok kurma ditebang dan batu-batu dialihkan.

Kubur-kubur pada zaman Islam telah digali dan ditanam semula di tempat lain. Kawasan tapak kandang unta itu terdapat air yang bertakung. Baginda pun telah mengarahkan para sahabat agar mengalirkan air itu ke tempat lain sehingga kering.

Masjid Nabawi yang dibina itu mempunyai ukuran panjang dari depan ke belakang lebih kurang 100 hasta dan begitu juga pada bahagian sisi sebelah lagi. Ia berbentuk empat persegi dan dipengaruhi dengan reka bentuk pembinaan pada ketika itu.

Binaan asasnya pula berukuran tiga hasta dalam yang dibina di atas tanah. Para sahabat dan baginda membina masjid ini secara bergotong-royong.

Rasulullah membuat kiblat ke arah Baitulmaqdis di Palestin kerana pada ketika itu belum diperintahkan arah kiblat menghadap ke Kaabah di Mekah. Unsur-unsur seni bina Masjid Nabawi banyak menyerupai Masjid Quba.

Kedua-dua masjid ini mempunyai ciri-ciri rekaan dan binaan daripada Masjidil Haram di Mekah. Pada tahun 700 masihi, Masjid Nabawi diperbaharui atas perintah khalifah Walid Abdul Malik.

Dr. Danial contohi ulama tersohor

Posted: 08 Jul 2010 11:46 PM PDT


FENOMENA golongan profesional menulis buku agama dan dakwah secara tidak lansung menjadi faktor semakin ramai yang mengunjungi pesta dan jualan buku di mana sahaja.


Dr. Danial Zainal Abidin, satu lagi nama yang cukup terkenal kerana usaha-usaha beliau yang tidak pernah putus menulis buku mengenai Islam.

Beliau merupakan seorang doktor perubatan yang mempunyai klinik di Gelugor, Pulau Pinang.

Sebenarnya, negara mempunyai ramai lagi kalangan profesional yang juga bergelar ustaz. Malah ramai di kalangan mereka ini menulis untuk tujuan dakwah.

Selain doktor perubatan seperti Danial nama-nama seperti Muhammad Alexander (Perancang Bandar), Zulkifli Khair (Pakar Motivasi), Abdul Latip Talib (bekas Pengurus Felcra, Shamsuddin Kadir (Akauntan), Amran Yunus (Jurutera), Norhayati Bakri (Jurutera) dan Aswanizam Alias (Jurutera Eletrik) adalah antara kalangan profesional yang menulis untuk tujuan dakwah. Penglibatan mereka ini mendedahkan kehebatan dan mengagungkan Islam.

Seorang lagi penulis muda yang menceburi penulisan novel Islam ialah Dr. Farhan Hadi Mohd. Taib, 26, yang menghasilkan novel sulungnya, Denyut Kasih Medik.

Jika Farhan Hadi menulis novel, Danial memilih menulis pelbagai topik menarik mengenai Islam yang memberikan motivasi dan kesan kepada pembaca.

Apabila penulis membaca karyanya - Bukti-bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad yang diulang cetak kali ke-10 menambahkan keyakinan umat Islam tentang kerasulan Nabi Muhammad. Sebabnya, baginda ada disebutkan dalam pelbagai kitab agama yang ada di dunia ini; Injil, Vedas, Purana dan Maitreya.

Ini cukup mengagumkan kerana selain tugas hakiki merawat kecederaan fizikal, Danial juga 'merawat' penyakit dan kesakitan yang ditanggung daripada aspek rohani umat Islam.

"Saya menulis buku-buku dengan menjadikan al-Quran sebagai asas sambil disokong oleh pelbagai fakta akademik, sains sehinggalah sejarah.

"Ini bagi merawat kebanyakan kita yang pada hari ini ditimpa penyakit kronik berkaitan dengan kerohanian, cara berfikir, sikap dan cara hidup," katanya.

Medan terbaik

Graduan perubatan Universiti Iskandariah, Mesir itu mula-mula menulis kerana dirangsang petikan ayat al-Quran surah ali-'Imran, ayat 110 yang bermaksud: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan bagi manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.

Ayat itu merangsang beliau mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran kepada diri dan juga masyarakat dengan bertunjangkan iman.

"Penulisan merupakan antara medan yang baik untuk menyebarkan konsep ini. Apabila kita menulis kita sedang memelihara ilmu dan sejarah. Tanpa penulisan, ilmu dan sejarah akan hilang," kata bapa kepada lapan anak itu.

Lebih-lebih lagi beliau mendapati ramai ulama Islam yang tersohor menyebarkan kebenaran dan ilmu melalui penulisan.

Sebagaimana Imam al-Ghazali menghasilkan 57 karya, mengikut Imam As Subki dalam Thabaqat Asy Syafi'iyah dan Imam Syafie pula menghasilkan 174 kitab.

Pencapaian Danial yang kini telah menulis dan menghasilkan 10 buku boleh dianggap mengagumkan di sebalik kesibukan tugas sebagai doktor.

Terkini empat buku beliau telah dilesenkan untuk pasaran Indonesia, iaitu Empayar Minda Muslim, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, 7 Formula Inividu Cemerlang dan Tip-tip Cemerlang Daripada Quran.

Ini satu penanda aras yang baik bagi menunjukkan usaha beliau itu telah mula mendapat pengiktirafan pihak luar.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Syarikat Danial Zainal Consultancy (M) Sdn. Bhd. adalah kolumnis Ruang Islam dan Sains di Majalah I (Karangkraf) dan Majalah Kosmik (Dewan Bahasa dan Pustaka) yang diminati para pembaca.

Nikmat dunia terbatas

Posted: 08 Jul 2010 11:44 PM PDT


segala kemewahan yang dikecapi di dunia ada hadnya dan ia terputus dengan kematian. - Gambar hiasan


Al-Maraghi berkata: Setelah Allah SWT menerangkan keadaan golongan penderhaka, orang yang mengurangkan sukatan dan timbangan serta kedudukan masing-masing di sisi Allah SWT pada hari kiamat.

Berikutnya Dia menjelaskan pula keadaan orang yang berbakti kepada Tuhan iaitu mereka yang beriman kepada Tuhan mereka, membenarkan apa yang dibawa oleh rasul yang diwahyukan oleh penciptanya, dan mengamalkan kebajikan sewaktu di dunia dahulu.

Allah SWT juga menerangkan bahawa Dia pasti akan menghisab amalan-amalan mereka dan memasukkannya dalam kitab yang disebut Illiyin yang disaksikan oleh para malaikat Muqarrabun.

Pada akhirnya Tuhan menghitung jenis balasan kebaktian dan kebaikan yang diperolehi oleh kaum Abrar. Dalam ayat di atas terdapat nasihat agar kita selalu mengerjakan ketaatan, menanam keazaman, berbuat kebajikan untuk menambah kebaikan, meninggalkan perkara-perkara yang syubhat dan mengikut jalan yang lurus.

Firman Allah SWT: Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya kitab suratan amal orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam Illiyiin. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia Illiyiin itu?

Kata kalla pada ayat tersebut difahami oleh al-Biqaie dalam maksud sekali-kali tidak lalu menghubungkannya dengan ayat sebelumnya.

Menurut penyampaian kepada para penderhaka bahawa inilah seksa yang dahulu kami ingkari menimbulkan kesan bahawa apa yang dialami itu merupakan seksa yang akan mereka tempuhi.

Syed Qutub berkata: Illiyin adalah satu perkara di luar ilmu pengetahuan dan kefahaman manusia. Kemudian al-Quran menjelaskan hakikat buku amalan golongan yang taat.

Firman Allah SWT: Ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata. Yang disaksikan oleh sekumpulan malaikat, yang didampingkan Tuhan di sisinya.

Syed Qutub berkata: Maksud ungkapan yang ditulis rapi telah dijelaskan tetapi di sini ditambah pula dengan satu keterangan yang lain iaitu buku amalan golongan yang taat disaksi dan dilihat oleh para malaikat yang hampir kepada Allah SWT.

Penjelasan hakikat ini memberikan satu suasana mulia, suci dan luhur kepada buku amalan golongan yang taat.

Buku itu disaksikan oleh para malaikat dengan penuh nikmat kerana di dalamnya terdapat amalan-amalan dan sifat yang mulia.

Ini satu lagi suasana mulia yang disebut dengan tujuan memberi penghormatan yang tinggi kepada mereka.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam syurga yang penuh nikmat. Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ).

Ibn Kathir berkata: Pada hari kiamat kelak mereka berada dalam kenikmatan yang abadi dan syurga di dalamnya terdapat kurnia yang menyeluruh.

Al-Araiq berkata: Ia bererti tempat tidur. Di sebalik kelambu mereka memandang. Ada juga menyatakan: Mereka melihat kerajaan mereka dan segala sesuatu yang telah diberikan Allah kepada mereka iaitu kebaikan dan anugerah yang tidak pernah berkurang dan tidak akan habis.

Firman Allah SWT: Engkau dapat melihat pada muka mereka cahaya nikmat yang mereka perolehi. Mereka diberi minum dari satu minuman yang termeterai bekasnya.

Al-Maraghi berkata: Jika kamu melihat wajah mereka, kamu akan menemui mereka sebagai orang yang mendapat kenikmatan kerana di wajah mereka dapat dilihat tanda-tanda yang menggambarkan keadaan itu.

Contohnya: Ketawanya sehingga meresap ke jiwanya dan berwajah ceria.

Botolnya tertutup dengan kasturi, pengganti penutup yang diperbuat daripada tanah sebagai penghormatan dan penjagaan daripada berlakunya kerosakan yang biasa terjadi pada penutup buatan manusia terhadap sesuatu yang dihargai dan dijaga dengan baik.

Firman Allah SWT: Meterainya kasturi dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.

Ibn Kathir berkata: Iaitu mereka diberi minum daripada khamr syurga. Al-Rahiq merupakan salah satu nama minuman khamr. Demikian yang dikemukakan oleh Ibn Mas'ud, Ibn Abbas, Mujahid dan al-Hasan.

Ibn Mas'ud berkata: "Iaitu dicampuri dengan minyak kasturi". Sedangkan al-Aufi meriwayatkan daripada Ibn Abbas: Allah SWT telah membuat baik minuman khamr itu bagi mereka, ia merupakan sesuatu yang paling akhir dipersembahkan dan ditutup oleh minyak kasturi.

Hendaklah orang saling membanggakan diri, bermewah-mewahan dan memperbanyak serta berlumba-lumba meraih apa yang diperoleh yang terdahulu.

Firman Allah SWT: Dan campuran minuman itu adalah daripada tasnim iaitu mata air yang diminum daripadanya oleh orang-orang yang didampingkan (Tuhan di sisi-Nya).

Maksudnya campuran minuman al-Rahiq ini adalah yang disebut dengan tasnim iaitu salah satu minuman yang diberi nama tasnim. Ia merupakan minuman yang paling mulia lagi paling tinggi untuk penghuni syurga.

Minuman yang diminum oleh orang yang didekatkan kepada Allah SWT secara murni (tanpa campuran) dan diminum oleh ashabul yamin (orang-orang yang menerima catatan amal dengan tangan kanan) dengan dicampur minuman lain.

Demikianlah yang dikemukakan oleh Ibn Mas'ud, Ibn Abbas, Masruq, dan Qatadah dan lain-lain.

Syed Qutub berkata: Umur seseorang di dunia ini adalah terbatas, sedangkan umurnya di akhirat tidak diketahui batas kesudahannya melainkan Allah SWT.

Kenikmatan dunia juga terbatas sedangkan nikmat syurga tidak dapat dibataskan oleh kefahaman manusia. Taraf nikmat dunia telah diketahui semua orang, sedangkan taraf nikmat akhirat sahaja yang layak kekal abadi.

Alangkah jauhnya perbezaan di antara ruang hidup dunia dengan ruang hidup akhirat. Antara matlamat hidup dunia dengan akhirat perbezaannya tidak dapat dihitung dengan kira-kira untung rugi yang biasa dibuat oleh manusia.

Semoga kita beroleh kejayaan dalam meniti kehidupan seterusnya melayakkan kita menghuni syurga Allah SWT.

Promosi Ramadan di SDCC

Posted: 08 Jul 2010 11:43 PM PDT


Gulai kawah tulang kambing antara yang membuka selera.


MUNGKIN masih terlalu awal untuk berbicara tentang juadah berbuka puasa. Namun Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC) mendahului dalam mempromosi hidangan berbuka sempena kedatangan Ramadan kira-kira sebulan lagi.

Memilih konsep gerai dalam bazar, kesemua hidangan sempena berbuka puasa di SDCC dipertanggungjawabkan kepada Chef Eksekutif Zainuddin Abu Hassan bersama kumpulan chefnya.

Menurut Chef Zainuddin lebih 30 buah gerai makanan akan disediakan di bazar Ramadan itu.

Kesemuanya menyediakan makanan Malaysia yang enak.

''Selain nasi bersama beberapa jenis lauk, kami turut menghidangkan kambing golek panggang, rusa panggang, ayam golek, kari kepala ikan salmon, kari ekor lembu, kari tulang dan lidah bakar.

''Jangan lupa mencuba bubur lambuk kami kerana ia berbeza dengan pelbagai ramuan ulam-ulaman seperti ulam raja, pegaga, tapak itik, tenggek burung dan banyak lagi,'' kata Chef Zainuddin.

Tambahnya, pelanggan juga boleh merasai sup isi ikan merah berlada hitam yang dihidang bersama roti paun serta pelbagai pilihan kerabu seperti kerabu ayam panggang dan mangga muda, kerabu perut pedas limau nipis, kerabu betik muda dan sebagainya.

''Mungkin ada yang teringin untuk makan laksa utara, ikan bakar, ais kacang dan cendol, murtabak, ais krim goreng, kek-kek, kuih-muih Melayu, bubur dan lemang,'' ujarnya.

Chef Zainuddin dan kumpulannya turut menyediakan pelbagai pilihan makanan Melayu, Cina dan Barat seperti itik lado hijau, sotong sumbat percik dan malbari kambing iaitu resipi daripada keluarga Sous Chef, Usri Abu Bakar yang diperturunkan daripada generasi ke generasi.

Selesai makan berat, katanya, pelanggan boleh mencuba hidangan pencuci mulut. Antara yang dicadangkan ialah bubur pulut durian, tapai pulut daun pisang, strudel pisang, apple crumble, kek keju oreo dan kek keju durian.

Harga hidangan bufet ini bermula dari RM68.00 seorang pasti memuaskan hati mereka yang menikmatinya. SDCC juga menawarkan baucar istimewa (yang boleh dibeli awal dan ditukar semasa bulan Ramadan).

Baucar yang dibeli di antara 17 Mei hingga 30 Jun 2010 hanya berharga RM45 sementara baucar yang dibeli di antara 1 Julai hingga 31 Julai 2010 berharga RM55.

Pada dua minggu Ramadan itu nanti , SDCC turut menyediakan kaunter zakat bagi kemudahan pelanggan membayar zakat.

Pusat Konvensyen Sime Darby terletak di 1A. Jalan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Menulis kerana isteri

Posted: 08 Jul 2010 11:42 PM PDT


Pasangan ideal, Dr. Farhan Hadi dan isteri, Fatimah Syarha bersama-sama buku-buku hasil penulisan mereka.


FENOMENA Ayat-ayat Cinta yang dicetuskan oleh penulis dari Tanah Seberang, Habiburrahman Al Syirazy pada tahun 2004 benar-benar luar biasa, malah sehingga hari ini masih terasa.

Kini semakin ramai penulis yang mengambil pendekatan novel Islam sebagai satu tarikan kepada pembaca.

Walaupun berkelulusan ijazah sarjana dari Universiti Al Azhar, Mesir namun semua itu bukan penghalang Habiburrahman melahirkan Ayat-ayat Cinta, sebuah novel Islam yang meledak jualannya di Indonesia dan Malaysia.

Fenomena itu tercetus tentu sahaja kerana tujuan yang satu, iaitu dakwah, supaya Islam itu dilihat dengan lebih indah. Sekalipun bercinta tetapi suasananya mestilah dengan syariat yang terjaga.

Soalnya, bagaimana mereka yang tidak berlatarkan pendidikan dan kerjaya agama mampu melahirkan karya atau lebih tepat buku dalam pelbagai genre untuk tujuan dakwah.

Seorang doktor muda, Dr. Farhan Hadi Mohd. Taib, 26, misalnya turut mencetuskan fenomena yang sama apabila menghasilkan novel Islam iaitu Denyut Kasih Medik terbitan Telaga Biru.

Jika dihayati novel ini hingga noktah terakhir, novel ini nyata mempunyai serampang dua mata!

Ia bukan sahaja memartabatkan tugas seorang doktor yang sangat menjaga syariat Islamnya. Namun sebagai insan yang normal, seorang doktor juga melalui zaman percintaan namun tetap indah apabila, percintaannya itu disulami dengan syariat.

Maka hasilnya, suatu percintaan yang sejati untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang sakinah, mawaddah wal rahmah (tenang dan dilimpahi kasih sayang)

Cubaan pertama yang cukup menjadi. Farhan sendiri tidak menyangka dia akhirnya berjaya menghasilkan sebuah novel di sela-sela kesibukan tugasnya hakikinya di Klinik Kerajaan di Bagan Terap, Sabak Bernam.

Dalam tempoh enam bulan sahaja lahirlah novel sulungnya itu setebal 390 muka surat. Dikatakan kini jualannya menjangkau 10,000 naskhah dan sedang dalam perancangan untuk cetakan kedua.

Novel itu mesti dimiliki dan dibaca kerana ia tidak sekadar sebuah cerita mengenai seorang doktor pelatih (houseman) yang setiap hari ada sahaja dugaan dan cabaran.

Namun, termuat di dalamnya pelbagai mutiara kata, dalil-dalil, maklumat ringkas sehinggalah tip mencari jodoh bagi wanita (muka surat 215).

Secara peribadi antara yang sangat menarik yang boleh diambil daripada buku ini adalah mengenai amalan minum air selusuh yang kononnya untuk memudahkan bersalin.

Andai tidak diminum air itu maka sukarlah seseorang ibu melahirkan anak sedangkan amalan itu sebenarnya boleh menyebabkan berlakunya komplikasi kepada si ibu apabila dia akan bersalin terlalu awal dari tarikh yang dijangka.

"Saya tidak ada pengalaman menulis sebelum ini. Apatah lagi menulis fiksyen atau novel. Yang lazimnya, pasti sesuatu yang sangat mustahil bagi seorang doktor.

"Sedangkan kita mempunyai ramai doktor di negara ini, yang telah lebih lama bertugas dan menjadi seorang yang sangat pakar tetapi untuk mereka menulis novel, tidak akan pernah terlintas di fikiran," kata Farhan.

Bagi beliau, segala-galanya bertitik tolak daripada galakan isteri, Fatimah Syarha Mohd. Noordin.

Si isteri seperti yang dikenali umum, seorang novelis yang prolifik dengan pendekatan penulisan sastera Islam yang mencuit hati remaja.

Fatimah Syarha tidak sahaja dapat mencium bakat suami tetapi membantu memupuk bakat yang ada supaya ia diketengahkan.

Berkecimpung dalam minat yang sama bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan malah ia dijadikan usaha menjalankan tanggungjawab berdakwah melalui novel.

"Fatimah memang banyak membantu saya atas kesedaran kami bersama supaya liku-liku kehidupan seorang doktor dirakamkan dalam bentuk novel.

"Walaupun pada mulanya satu gurauan apabila Fatimah mengusulkan saya menulis novel tetapi dengan bantuannya, perkara yang dianggap mustahil akhirnya terbukti dapat dihasilkan.

"Benar, apabila seseorang itu merasakan dia lebih rela meratakan sebuah bukit, berbanding di suruh menulis novel," katanya sambil tersenyum.

Apabila Farhan telah menemui rentak untuk menulis maka yang beliau perlukan kini adalah istiqamah walaupun menyedari masa 24 jam sehari seakan tidak cukup.

"Sekurang-kurangnya dalam sehari, sejam mesti diperuntukkan untuk menulis. Malah dengan kesempatan menulis itulah saya mengisi masa rehat dan melepaskan lelah bekerja," katanya.

Walaupun begitu, novel tersebut tetap merupakan karya aslinya waima dia kuat dipengaruhi dengan bakat dan pengalaman si isteri.

"Fatimah sekadar editor yang banyak mengekalkan sentuhan saya sendiri kecuali kesilapan dan kesalahan yang ketara pada ejaan mahupun struktur ayat.

"Beliau sama sekali tidak menulis semula penulisan saya," kata graduan perubatan dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu.

Namun yang menariknya si isteri yang sedar akan kesilapan dan kesalahan si suami menulis itu akan menggunakan pendekatan secara berhikmah.

Beliau tetap memuji kemajuan penulisan si suami tetapi pada masa yang sama tangannya akan membetulkan kesilapan si suami.

Denyut Kasih Medik benar-benar mengangkat imej doktor perubatan yang tidak kurang dilemparkan dengan pelbagai rasa tidak puas hati orang ramai.

Mereka mungkin tidak memahami erti kesibukan tugas seorang doktor yang kadang kala terpaksa menyebabkan layanan kurang memuaskan, terpaksa menunggu lama dan sebagainya.

Melalui novel itu, pembaca akan memahami sepenuhnya tanggungjawab doktor yang tidak sahaja cuba memberi rawatan terbaik terhadap pesakit tetapi dalam masa yang sama berhadapan dengan pelbagai kerenah pentadbiran, rakan dan sebagainya.

Ia sepeti apa yang ditulis oleh penulis terkenal, Micheal Crichton ketika menghasilkan skrip rancangan TV paling popular ER.

Namun melalui Denyut Kasih Medik Farhan menampilkan watak seorang doktor yang amat sibuk namun tidak meninggalkan tanggungjawab terhadap Allah.

Tidak sahaja dapat menyempurnakan solat lima waktu malah sempat juga untuk membaca al-Quran walaupun sekadar satu atau dua surah pendek.

Perwatakan seperti itu jarang digambarkan termasuk dalam drama dan filem kecuali gambaran seorang doktor yang terlalu obses atau menjadi hamba kepada tugas-tugasnya.

Novel Denyut Kasih Medik merupakan satu usaha dakwah yang sangat murni bagi memberikan imej yang lebih bersih, segar dan dinamik mengenai dunia perubatan dan tugas seorang doktor mengikut perspektif Islam.

Selera Orang Asli

Posted: 08 Jul 2010 11:41 PM PDT


Manuk bakar inspirasi daripada makanan tradisional Orang Asli.


BENAR kata orang, budaya, cara hidup dan makanan tidak boleh dipisahkan. Minggu lepas selama dua hari satu malam saya berkesempatan menyertai khidmat masyarakat yang dianjurkan oleh Fakulti Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang.

Program tersebut berlangsung di perkampungan Orang Asli Kampung Bukit Asu yang terletak di Pangkalan Hulu, Perak.

Para peserta terdiri daripada pensyarah dan staf seramai 60 orang. Antara objektif program ini adalah menghulurkan bantuan dan menyelami gaya hidup masyarakat Orang Asli selain memberi informasi dan aktiviti berguna kepada masyarakat berkenaan dengan menjalankan aktiviti sukaneka dan tayangan video.

Mulanya saya berasa agak gelisah kerana kehidupan serba kekurangan masyarakat tersebut mungkin tidak akan memberi keselesaan. Namun niat membantu orang yang memerlukan membuatkan saya gagah untuk meneruskan kerja mulia ini.

Kegelisahan saya terpadam sejurus tiba di tempat yang dituju apabila tarian tradisional Sewang dipersembahkan.

Tarian itu tanda simbolik Orang Asli mengalu-alukan kedatangan tetamu. Saya berasa kagum dengan keaslian budaya mereka.

Keramahan Tok Batin dan penduduk tempatan terutama kanak-kanak juga mendorong saya untuk lebih menyelami kehidupan masyarakat Orang Asli terutamanya tentang makanan tradisi mereka. Saya sungguh teruja kerana berkesempatan mempelajari dua jenis masakan orang asli iaitu nasi dalam buluh dan ayam dalam buluh.

Mungkin ini bukan perkara asing kerana saya pernah membuat masakan ayam dalam buluh yang sangat terkenal dari Sarawak dikenali sebagai 'manuk pansoh' (ayam bakar dalam buluh).

Kedua-dua suku masyarakat pribumi dari Sarawak dan Semenanjung ini memanggil manuk sebagai ayam.

Orang Asli dari kaum Kintak yang menetap di Kampung Asu ini menamakan ayam masak dalam buluh sebagai 'manuk bi'. Persamaan perkataan itu merumuskan mereka adalah daripada rumpun yang sama daripada rumpun bangsa Negrito.

Saya juga sungguh tertarik dengan nasi yang dimasak dalam buluh yang juga dikenali sebagai nasi lemang. Istimewanya 'manuk bi' dan 'nasi lemang' ialah ia menggunakan bahan-bahan semula jadi yang didapati dari hutan. Mereka menggunakan buluh, daun lirik (yang menyerupai daun kunyit tetapi lebih lebar yang berfungsi sama seperti daun pisang untuk melapik bahagian dalam buluh dan memberi aroma).

Bahan-bahan perapan 'manuk bi' sangat ringkas iaitu menggunakan bawang putih, bawang merah, halia dan garam.

Ia diperap dengan ayam yang telah dipotong kecil agar mudah untuk dimasukkan ke dalam buluh. Setelah dimasuk, ia ditutup dengan daun lirik.

Untuk penyediaan nasi lemang pula, beras yang telah dibasuh akan dibalut dengan daun lirik dan dimasukkan dalam buluh sebelum dimasakkan manakala sukatan air dan beras adalah seperti memasak beras biasa.

Kemudian, kedua-dua makanan ini dibakar dengan kayu api. Proses memasak mengambil masa selama 2-3 jam bergantung kepada kemarakan api kata penduduk tempatan yang terdiri daripada kaum-kaum wanita.

Keaslian bahan sumber semula jadi yang digunakan dalam masakan mereka ini telah memberikan keunikan dan keenakan pada 'manuk bi' dan 'nasi lemang'. Rasa dan aroma buluh dan daun lirik memang terasa dan ia sungguh lazat!

Saya memuji kesedapan kedua-dua makanan yang unik ini.

Pengalaman bersama penduduk tempatan juga telah memberi ilham kepada saya mencipta resipi minggu ini untuk dikongsikan bersama pembaca.

Inspirasi resipi minggu ini lahir dari cara memasak masakan orang asli yang telah saya pelajari dengan mengolah resipi 'manuk bi' agar lebih sesuai dengan cara hidup kita yang lebih moden.

Intan's Oven menuju global

Posted: 08 Jul 2010 11:40 PM PDT


Intan Zubaidah Ibrahim mempamerkan biskut cip jenama Intan's Oven yang diusahakannya sejak 2001 dan kini dipasarkan di Dubai, UAE.


BERMULA daripada hobi, biskut cip buatan tangan Intan Zubaidah Ibrahim kini dijual di pasar raya di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Biskut dengan jenama Intan's Oven itu dijangka memasuki pasaran China tidak lama lagi jika perbincangan dengan ejen dari negara itu memenuhi syarat dan terma yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Menurut Intan Zubaidah, beberapa wakil dari negara lain seperti Oman, Serbia dan Thailand juga menunjukkan minat untuk memasarkan biskut keluaran syarikatnya di negara masing-masing.

"Perbincangan awal ini diharap membuka langkah kepada usaha untuk meluaskan pasaran produk kami," katanya kepada Mega di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2010 di Matrade Jalan Duta, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Intan's Oven memulakan perniagaan dari rumah dan kini beroperasi di sebuah kedai kafe milik sendiri di Kuantan, Pahang.

Kedai yang dibeli pada 2005 itu menjadi pembakar semangat kepada Intan Zubaidah selepas menceburi perniagaan biskut secara serius.

Ia menjadi mercu tanda kepada segala titik peluhnya sejak 2001 yang memulakan perniagaan secara sambilan dari rumah.

"Pada waktu itu, saya hanya menerima tempahan daripada rakan dan saudara-mara sahaja," ceritanya mengimbau sejarah awal Intan's Oven.

Setahun kemudian, selepas yakin dengan potensi produknya, beliau bertekad menyewa kedai untuk mengembangkan perniagaan biskut cipnya. Kedai berkonsepkan kafe bakeri itu turut menjual kek, roti, makanan barat dan juadah tempatan. Ia juga menerima tempahan hamper dari syarikat korporat.

Pada masa sama, jelasnya, Intan's Oven turut dipasarkan di stesen minyak, institusi pengajian tinggi dan kedai koperasi di sekitar bandar Kuantan selain jualan secara atas talian.

"Tempahan online akan dihantar menggunakan perkhidmatan courier ke seluruh negara," ujarnya.

Sejak itu, perniagaannya terus berkembang maju dan pada 2008 Intan's Oven menjadi kafe pertama di Kuantan yang menerima Sijil Halal.

Menurutnya, isu halal dan mutu produk amat dititikberatkan khususnya dalam pemilihan bahan mentah seperti coklat cip, tepung, badam dan gajus.

"Saya tidak berkompromi dalam hal kualiti biarpun kita mungkin boleh mendapat bekalan bahan asas tersebut dengan harga yang lebih murah," tegasnya.

Tambah beliau, produk keluarannya tidak dicampur dengan bahan pengawet, pewarna atau perasa tiruan demi mengutamakan kesihatan pengguna.

"Kawalan mutu yang menepati piawai ini membolehkan Intan's Oven memasuki pasaran antarabangsa dan kini mula dijual di kedai coklat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur," katanya yakin.

Menyentuh perancangan masa depan perniagaannya, Intan Zubaidah berhasrat untuk meluaskan pasaran produknya menggunakan sistem francais.

"Syarikat sedang dalam perbincangan untuk menjadi francaisor dengan pihak berkuasa yang berkaitan," jelasnya.

Selain itu, syarikat ini turut disenarai pendek dalam projek hab halal negeri Pahang.

Semua pencapaian ini, katanya, memerlukan tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi pelbagai cabaran menguruskan perniagaan tersebut.

"Paling penting, jangan patah semangat dan bergerak ikut kemampuan sendiri," tuturnya memberi panduan.

Pesannya lagi, sesiapa yang ingin menceburi dunia keusahawanan perlu berani mengambil langkah permulaan.

Jika tidak, katanya, sampai bila-bila kita tidak akan menjadi seorang usahawan apatah lagi untuk memahami selok-belok bidang perniagaan.

"Namun galakan dan sokongan ahli keluarga amat penting khususnya dalam situasi ekonomi merundum," nasihatnya.

Sebagai pembuka jalan, Intan Zubaidah mempelawa individu yang berminat untuk menjadi ejen mengedarkan produknya sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Maklumat lanjut layari www.intansoven.com.

'Istana' kelengkapan perkahwinan

Posted: 08 Jul 2010 11:34 PM PDT


Busana pengantin antara kelengkapan perkahwinan yang disediakan.


BUKAN senang hendak bergelar seorang ahli perniagaan. Tambahan pula apabila sesuatu perniagaan yang hendak diuruskan itu mempunyai banyak persaingan.

Namun pujian perlu diberikan kepada usahawan berjaya ini, Zaidi Osman, 38, yang mengusahakan sebuah perniagaan kelengkapan perkahwinan.

Berpeluang bertemu dengannya di premis perniagaan miliknya di Puchong, Selangor, iaitu Dios Astana Bridal, membawa seribu erti dalam perniagaan bersumberkan budaya Melayu itu.

Bangunan empat tingkat miliknya itu penuh dengan pelbagai barangan kelengkapan perkahwinan.

Pendek kata, sebut apa sahaja keperluan yang diingini oleh si pengantin semuanya ada di sini.

Barangan seperti reben, busana pengantin, kelengkapan pelamin, bunga telur, cenderahati, kraf tangan, tekstil, kad undangan dan pakej hantaran semuanya ada.

Malah pengantin juga boleh menempah baju mengikut cita rasa dan impian masing-masing.

''Dios Astana Bridal ialah pusat kraf tangan perkahwinan dan kelengkapan andaman. Kami memang terkenal di kalangan mak andam atau mereka yang berkecimpung dalam bidang perkahwinan, kerana kami menjual barangan di sini secara borong,'' jelasnya.

Bermula pada tahun 2000 di Puchong dengan sebuah kedai kecil, Zaidi kini mempunyai lima cawangan lain iaitu di Kota Bharu, Johor Bahru, Ipoh dan Sungai Petani.

Beliau dibantu oleh lebih 100 orang kakitangan dan merancang untuk membuka cawangan baru di Kuantan dan Kota Kinabalu.

Anak muda yang berasal dari Pulau Pinang ini, juga pemilik kepada Dios Textiles Industries Sdn. Bhd., yang memegang lesen mengilang, mengeluarkan tekstil, mengambil tempahan pakaian dan menghasilkan pakaian siap.

"Memang pada empat tahun pertama banyak cabaran yang dihadapi terutama persaingan hebat daripada peniaga-peniaga bukan bumiputera.

"Namun berkat minat, kecekalan dan usaha yang berterusan tanpa mengenal erti penat, perniagaan saya mampu bertahan dan berkembang sebagaimana sekarang," kata bekas akauntan ini.

Bagi meneruskan usahanya dalam perniagaan, bapa kepada enam orang anak berusia antara 13 hingga sebulan ini, kini mempelawa sesiapa yang berminat untuk menjadi usahawan berjaya menyertai program francais anjuran syarikatnya.

Katang, program francais dalam perniagaan kelengkapan perkahwinan ini dibuka khusus untuk bumiputera yang berminat di seluruh negara.

''Kepada francaisi, apa sahaja barang yang dikehendaki akan dibekalkan oleh Dios. Kita akan beri galakan dan modal serta barangan.

"Usahawan yang berminat memerlukan modal sekurang-kurangnya RM600,000.

"Namun tidak perlu bimbang kerana jumlah itu meliputi stok yang disediakan Dios sendiri berjumlah RM100,000, peruntukan PNS (Perbadanan Nasional Berhad) atau agensi-agensi kerajaan yang menyediakan dana sebanyak RM300,000 dan selebihnya modal dari usahawan itu sendiri kira-kira RM200,000).

''Satu iklan mengenai program francais ini akan disiarkan tidak lama lagi menyatakan prosedur, kawasan terpilih dan kemudahan yang diberikan serta borang.

"Namun kepada mereka yang berminat boleh bertanya kepada pihak kami sekarang ini,'' jelasnya.

Zaidi menambah tujuannya membuka dan memperkenalkan program francais kelengkapan perkahwinan di bawah satu bumbung ini adalah kerana ingin berkongsi dan mengimbangi perniagaan ini yang 90 peratus daripadanya dimonopoli oleh bukan bumiputera.

''Kita harus ingat industri perkahwinan Melayu sekarang ini bukan dimonopoli oleh bumiputera. Ia adalah sesuatu yang janggal kerana bagaimana kita punya budaya orang lain yang uruskan?

''Di samping itu, kita juga ingin memberi peluang kepada pengusaha bumiputera yang berminat untuk berniaga dan memudahkan penawaran barangan perniagaan dan stok di seluruh Malaysia,'' katanya.

Zaidi juga memberitahu mengenai jualan mega bagi kelengkapan perkahwinan yang akan diadakan serentak di seluruh negara pada 10 hingga 18 Julai 2010 ini.

Kepada yang berminat mengenai program usahawan francaisi dan jualan mega ini boleh melayari laman sesawang www.diosastana.com.my.

Kes Maria Tengku Sabri Ditetap 30 Julai

Posted: 08 Jul 2010 11:29 PM PDT

Maria Tunku Sabri.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 30 Julai untuk keputusan isu perundangan tanpa perbicaraan berhubung tuntutan saman personaliti TV3 Maria Tunku Sabri terhadap seorang ahli perniagaan Datuk Wan Johani Wan Hussin.

Wan Johani, 57, didakwa mengingkari penyelesaian perjanjian pembayaran pampasan RM5.5 juta kerana tidak berkahwin dengan Maria.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan kehadiran peguam Karpal Singh yang mewakli Maria, 40, dan peguam Jangjit Singh dan Akhbardin Abdul Kader, yang mewakili Wan Johani.

Akhbardin memberitahu pemberita bahawa isu undang-undang yang dibangkitkan oleh pihaknya sebelum ini termasuklah kesahihan perjanjian yang dibuat oleh Maria iaitu seorang perempuan Islam yang telah berkahwin.

"Keputusan itu juga berkaitan dengan dakwaan defendan bahawa perjanjian tersebut tidak sah dan melanggar undang-undang mengikut Seksyen 14 (1) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 yang jelas menyatakan bahawa seorang perempuan Islam tidak boleh berkahwin lagi selagi perkahwinan itu wujud," katanya.

Pada 24 Jun lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan Maria untuk mengemukakan semula saman terhadap Wan Johani kerana didakwa melanggar perjanjian.

Pada 2004, Maria pengacara program 'Jalan-Jalan Cari Makan', memohon agar dikuatkuasakan perjanjian melibatkan janji oleh Wan Johani untukmembayarnya RM5.5 juta kerana beliau (Maria) tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan itu kerana enggan mengahwininya seperti yang dijanjikan.

Dalam pembelaannya, Wan Johani, menafikan wujud sebarang kontrak, dan sebagai alternatifnya, berkata perjanjian itu tidak sah dan mempunyai unsur ugutan dan pujukan.

Bendang Garam Di Pattani

Posted: 08 Jul 2010 11:28 PM PDT

Inilah caranya para petani mengusahakan garam secara tradisional sejak hampir 100 tahun lepas di Kampung Keresik, Pattani.

PATTANI: Sebagai antara negara pengeluar padi utama di dunia, bendang padi sudah tentulah menjadi pemandangan biasa di Thailand.

Bagaimanapun di Pattani, selatan Thailand, penduduk tetap turun ke bendang tetapi yang diusahakan ialah garam.

Di sini proses menghasilkan garam masih dilakukan secara tradisional dengan menggunakan air laut sebagai bahan utama mengeluarkan garam berbuku (garam jantan) yang dihasilkan dalam petak sawah.

Sekurang-kurangnya 10 buah kampung di wilayah ini mengusahakan bendang garam dengan keluasan tanah lebih 2,000 rai (satu rai bersamaan 0.2 hektar).

Kampung-kampung ini, yang berdekatan dengan laut, menjadikan perusahaan membuat garam sebagai punca pendapatan mereka. Dengan itu juga penghasilan garam dari air laut menjadi daya tarikan pelancong ke wilayah ini.

Garam yang dihasilkan di sini mendapat sambutan baik sejak wujudnya perusahaan garam ini kerana dipercayai mempunyai khasiat tertentu untuk kecantikan kulit dan kesihatan.

BAGAIMANA GARAM DIHASILKAN

Menurut pengusaha bendang garam di Kampung Lamdok, Bisim Mamat, 45, proses menghasilkan garam perlu dilakukan ketika musim kemarau. Proses menghasilkan garam dari air laut diusahakan secara tradisional sejak hampir 100 tahun lepas.

Sebelum air laut dimasukkan ke kawasan petak yang dikhaskan untuk menghasilkan garam, air berkenaan perlu terlebih dahulu dijernihkan hampir sebulan di dalam satu kawasan petak sawah yang lain tetapi berdekatan dengan petak yang bakal menghasilkan garam.

"Setelah sebulan air laut dijernihkan, barulah dilepaskan ke petak bendang yang bakal menghasilkan garam dan dibiarkan selama seminggu sekurang-kurangnya," katanya.

PETAK GARAM

Pengusaha garam di wilayah ini hanya menggunakan alat penarik seakan-akan cangkul lebar yang diperbuat daripada papan untuk mengumpulkan garam yang masih terendam air di dalam kawasan petak sawah.

Menurut seorang pengusaha di Kampung Kuing, Pattani, Ismail Ahmad, 50, jika hujan lebat berlaku, penghasilan garam akan terbantut dan berkurangan kerana kepingan garam di permukaan air dan di dasar bendang akan hancur, tetapi jika cuaca panas garam terhasil dengan banyak.

Bagi setiap petak hampir 10 x 20 meter luas, pengusaha garam mampu menghasilkan hampir 50 kilogram garam buku yang bersih, dijual dengan harga RM1 segantang.

TANAH SEWA

Ismail, yang menjadi pengusaha garam sejak lebih 30 tahun, berkata dia menyewa tanah kerajaan di kawasan perusahaan garam di kampung itu dengan kadar RM100 setahun.

Bagaimanapun akibat tawaran harga yang terlalu tinggi, ramai pemilik tanah di kawasan perusahaan garam di sini menjualnya kepada pengusaha garam yang mempunyai modal besar, katanya.

Menurut Ismail, bukan semua kawasan bendang di Pattani ini boleh dijadikan kawasan perusahaan garam kerana tanahnya tidak sesuai.

Walaupun ada pihak yang mencubanya di beberapa kawasan lain, tetapi ianya tidak berhasil.

Beliau berkata hanya di kampung berdekatan dan sekitar Krue Se (Keresik) sahaja yang sesuai dijadikan bendang penghasilan garam kerana dipercayai tanah bendang di sekitar itu terlalu masin serta mengandungi bahan yang boleh membekukan air laut hingga menghasilkan garam.

UBAT KESIHATAN

Seorang lagi pengusaha bendang garam Abdul Kadir Nik, 60, berkata garam dari air laut ini dipercayai mampu menjadi ubat tradisional terutama untuk penyakit kulit.

Beliau yang merupakan generasi kedua mengusahakan bendang garam ini juga yakin perusahaan garam daripada air laut ini mampu bertahan lebih lama.

Menurut Abdul Kadir, ramai pelawat dan pelancong yang datang ke kawasan bendang garam di sini dan membelinya untuk dibawa pulang dalam kadar yang banyak kerana mahu dicampur menjadi ramuan ubat pada sabun mandi bagi tujuan melicinkan kulit serta menghindarkan penyakit kulit.

"Ada pengusaha alat kecantikan dari Malaysia yang menghasilkan bahan mencuci badan untuk kaum wanita menggunakan garam yang dihasilkan di sini sebagai bahan campuran di dalam produk keluaran mereka," katanya.

KURANG MINAT

Abdul Kadir berkata kebanyakan bendang yang dijadikan kawasan pengeluaran garam sudah banyak bertukar tangan kerana tawaran harga yang begitu tinggi.

Jelasnya, ada pemilik tanah yang tidak sanggup menolak tawaran harga yang begitu tinggi dan bertindak menjualnya kepada pihak lain menyebabkan banyak kawasan pengeluaran garam di sini dimiliki orang 'luar'.

"Ada dalam kalangan petani di sini menjualnya kepada pengusaha yang lebih banyak wang, tetapi saya tetap mengusahakan perusahaan membuat garam ini walaupun di atas tanah tidak sampai tiga rai (0.6 hektar) kerana ia mampu menyara hidup keluarga," katanya.

Bagi Abdul Kadir, perusahaan garam di Pattani ini kurang diminati generasi muda di sini kerana kebanyakan mereka lebih gemar terlibat dengan perniagaan lain selain berhijrah ke Malaysia mencari pekerjaan.

Tinjauan Bernama di pasar besar Pattani mendapati garam yang dihasilkan di kawasan bendang garam di sini dijual dengan harga 15 bhat (RM1.50) bagi setengah kilogram.

Santuari Harapan Bagi Lokimala Dan Rakan-Rakan

Posted: 08 Jul 2010 11:26 PM PDT

Selendang merupakan seekor gajah yang kurang bernasib baik setelah kehilangan sebahagian daripada kaki kiri depan kerana perangkap dawai. Oleh kerana peluang survival Selendang di habitat semulajadi adalah tipis, gajah tersebut diberi perlindungan di Pusat Pemuliharaan Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lancang, Pahang.

KARAK: Lokimala, disusuli Myanthonpyan bangun dengan dua kaki dan mengangguk kepala apabila nama mereka dipanggil.

Kedua-duanya jelas menonjol berbanding rakan yang lain memandangkan masing-masing bersaiz besar dan akan bertindak pantas apabila nama mereka dipanggil.

Lokimala dan Myanthonpyan adalah penghuni sebuah pusat yang berlainan sama sekali, Pusat Pemuliharaan Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lancang, Pahang.

Rupa kedua-dua gajah India ini yang berdiri sebaris bersama gajah tempatan yang lain mengagumkan pelawat, warga tempatan dan asing.

Di pusat ini, ramai daripada pelawat buat pertama kali mendekati gajah teruja apabila mereka dibenarkan menyuap makanan ke mulut gajah itu sendiri, mendengar deruman gajah dari dekat, dan menyaksikan haiwan ini mandi di sungai berhampiran.

Pusat ini memberikan satu gambaran mengagumkan bagaimana manusia dan haiwan mamalia terbesar di darat mengetepikan rasa takut dan keraguan untuk mengenali satu sama lain.

SEBUAH SANKTUARI HARAPAN

Lokimala, dalam lingkungan usia 70-an, dan Myanthonpyan, dalam lingkungan usia 30-an merupakan 'senior' di pusat ini yang juga bertindak sebagai rumah kebajikan bagi gajah yang cacat atau yang kehilangan habitat.

Norain Saudi, seorang pegawai di pusat itu, yang memperkenalkan gajah-gajah itu, berkata Lokimala dari Assam, India, dan Myanthonpyan dari Myanmar dibawa ke sini bagi membantu dalam program penempatan semula gajah. Lokimala yang tiba di sini pada awal 1970-an masih berperanan dalam program penempatan semula.

Selain daripada dua gajah asing ini, juga terdapat gajah tempatan yang menjadikan pusat pemuliharan ini sebagai kediaman mereka.

Antaranya ialah gajah yang kurang bernasib baik seperti Selendang yang hilang sebahagian daripada kaki kiri depan kerana perangkap dawai sementara Sanum kehilangan sebahagian daripada ekornya kerana serangan harimau.

Oleh kerana kecacatan fizikal ini, peluang survival mereka di habitat semulajadi adalah tipis dan dengan itu mereka diberi perlindungan di pusat ini.

Sementara itu, Abot seekor gajah jantan berusia 15 tahun dan Mawar seekor gajah betina berusia 10 tahun, kedua-duanya dari Johor, dipindahkan selepas mereka menceroboh ladang dan penempatan manusia. Seekor lagi gajah betina berusia lapan tahun, Chery, dari Perak juga dipindahkan ke sini selepas ditemui merayau di kawasan penempatan manusia.

Nasib mereka menunjukkan konflik antara gajah dan manusia. Bagaimanapun, Abot, Mawar dan Chery bernasib baik kerana dapat sampai ke pusat ini dan terlepas daripada menjadi mangsa ditembak atau diracun.

MEMAHAMI GAJAH

Di pusat pemuliharan ini, 21 ekor gajah penghuni menghiburkan pelawat dengan pelbagai aktiviti selain membantu memindahkan gajah-gajah liar apabila perlu.

Pusat ini juga menerangkan nasib yang dialami gajah-gajah ini dan mengajar masyarakat bahawa haiwan-haiwan ini perlu dilayan dengan baik jika kita mahu menyelamatkannya daripada kepupusan.

Lebih daripada itu, pusat ini membantu manusia menghargai alam semulajadi. Ini membantu dalam meningkatkan kesedaran dan penghargaan yang lebih lagi bukan sahaja bagi gajah tetapi juga semua bentuk kehidupan.

Dalam mendekatkan jurang antara manusia dan gajah, Pandan yang berusia dua tahun dan Langsat yang berusia tiga tahun menjadi tumpuan. Para pelawat ke pusat ini bebas untuk memberi makan kepada kedua-dua anak gajah ini dengan tebu yang disediakan oleh penjaganya. Selain daripada kedua-dua anak gajah ini, gelagat Tapis berusia lapan bulan yang minum susu daripada sebuah botol susu besar juga menawan hati pengunjung.

Kanak-kanak dengan mudah mendampingi ketiga-tiga anak gajah ini dan ini membantu mewujudkan penghargaan bagi gajah dari awal lagi.

Gajah dan manusia telah wujud bersama-sama selama ini tetapi malangnya manusia hanya mula menghargai haiwan ini sejak kebelakangan ini. Lokimala, Myanthonpyan, Selendang, Sanum, Abot, Mawar, Chery, Pandan, Langsat, Tapis dan gajah-gajah lain di pusat pemuliharaan ini membawa harapan baru kepada populasi gajah di negara ini yang semakin menyusut.

'Satu kejayaan jika saya dibenci'

Posted: 08 Jul 2010 11:24 PM PDT

DIA tidak kecewa dan tetap berpuas hati walaupun hanya menduduki tangga keempat pada final musim pertama program realiti Pilih Kasih. Nabila Dally yang berdarah campuran Pakistan di sebelah bapa dan Inggeris, Cina serta Filipina sebelah ibu berkata, peluang menyertai program terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd memperkenalkan namanya dalam lakonan.

pix_middle
pix_topright
"Saya berbangga dengan pencapaian sendiri kerana ini ialah program pertama yang disertai selepas tamat belajar. Daripada tiada apa-apa, saya belajar banyak perkara mengenai seni terutama lakonan. Sekarang saya puas kerana semakin kerap dapat tawaran berlakon dan kian dikenali.

"Sekarang saya terus mengintai peluang untuk terus berlakon. Tak dinafikan saingan terlalu sengit, tapi saya tak jemu mencuba kerana untuk berjaya kita perlu bersabar dan bekerja keras. Saya mencontohi beberapa pelakon yang bermula dari bawah dan sekarang dikenali ramai," katanya.

Kata Nabila, kegigihannya merantau dari Sabah untuk berlakon menampakkan hasil apabila berlakon beberapa drama antaranya Aalia yang sedang disiarkan menerusi Astro Prima dan Sutera Di Sebalik Wajah terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. yang ditayangkan menerusi slot cerekarama TV3, baru-baru ini.

"Dalam Aalia, saya bawakan watak Suzan iaitu kawan kepada Marina (Mira Lyana). Watak yang diberi sebagai gadis baik mungkin kerana faktor wajah saya yang lembut. Saya terima tawaran ini untuk pelbagaikan watak lakonan. Manakala dalam Sutera Di Sebalik Wajah, saya lakonkan watak Carol.

"Wataknya juga tak terlalu berat dan selesa untuk saya bawakan. Namun, daripada respons peminat, ramai yang menyukai lakonan saya dalam drama ini. Saya terima watak sebegini sebagai pendedahan untuk dapat peranan yang lebih besar. Sebagai muka baru saya tak boleh terlalu memilih."Bagaimanapun cabaran sebenar saya hadir apabila berlakon drama Qalesya untuk musim kedua yang bakal menemui peminat pada bulan puasa nanti di Astro Prima. Saya lakonkan watak gadis bertudung bernama Shakira, iaitu pencabar kepada Qalesya (Nurul Elfira Loy).


"Dalam satu adegan, saya dikehendaki pukul Nurul. Mulanya saya ragu-ragu tapi Elfira suruh saya buat adegan itu betul-betul hingga saya kena melakukannya. Ketika buat adegan itu memang saya rasa bersalah, tapi nak buat macam mana kerana ia permintaan Nurul juga."Saya dapat bayangkan apabila drama ini keluar nanti, saya mungkin akan dibenci peminat yang bersimpati dengan Qalesya. Jika ia berlaku, pada saya ia satu kejayaan kerana bukan senang nak bagi orang bencikan kita. Saya banyak menonton lakonan orang lain untuk menjiwai watak itu. Namun, walaupun watak jahat, ada juga adegan saya menangis dalam drama itu," katanya.

Nabila yang tinggal dengan abangnya di Kuala Lumpur berkata, dia semakin menunjukkan kemajuan dalam lakonan dan setakat ini berpuas hati kerana sudah berlakon lebih daripada 10 drama.

"Banyak respons daripada peminat dan kawan-kawan yang memuji lakonan saya. Secara tak langsung semangat saya untuk terus berlakon semakin memuncak. Malah saya berharap dapat membaiki mutu lakonan dari semasa ke semasa. Saya harap penerbit mempercayai bakat saya dan terus beri peluang untuk bawakan watak yang mencabar.

"Saya turut berterima kasih kepada Rosyam yang beri peluang kepada saya untuk berlakon drama terbitan syarikatnya. Mungkin berlaku salah faham sesetengah pihak yang menyangka saya terikat dengan Rosyam, sebaliknya saya tiada apa-apa kontrak dengan mereka dan bebas berlakon dengan mana-mana produksi.

"Sekarang saya belajar mendekatkan diri berbaik dengan semua produksi lain kerana menerusi cara inilah saya akan dapat tawaran. Alhamdulillah, cara ini berhasil kerana banyak juga tawaran saya dapat. Lagipun untuk kekal lama dalam industri kita perlu ramah dengan semua orang dan buang sikap yang negatif," katanya.

Satu masalah yang membelenggu Nabila sehingga membataskan peluangnya berlakon ialah loghat Sabah yang begitu menebal dalam pertuturannya. Bagaimanapun, dia bersyukur masalah ini semakin dapat diatasi menerusi pergaulan dengan rakan dalam industri seni.

Ketika masih belajar, Nabila aktif sebagai model peragaan di Sabah. Dia meminati bidang fesyen dan berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam rekaan pakaian di International Fesyen Training Center, Kuala Lumpur pada hujung bulan ini. Dia mahu dikenali dalam rekaan fesyen seperti mana idolanya Marc Jacobs dan Alexander McQueen.

"Saya begitu meminati bidang fesyen dan lakonan. Pada saya kedua-duanya saling berkaitan dalam industri seni. Saya akan ambil diploma selama dua tahun dan kena pandai bahagikan masa untuk kedua-duanya. Harapnya penerbit jangan ingat saya akan berhenti berlakon pula.

"Selepas tamat belajar nanti, saya tetap akan tinggal di Kuala Lumpur kerana nampak peluang yang lebih terbuka untuk bidang fesyen. Bagaimanapun, jika ditakdirkan saya kembali ke Sabah, saya mungkin akan buka butik kerana ia turut menjadi impian saya selama ini," kata Nabila.

Sementara itu, Nabila kini sedang bercuti selama sebulan di Sabah bersama keluarga tersayang dan akan kembali bekerja pada 16 Julai nanti. Dia seronok apabila sesekali dapat menghabiskan masa di kampung halamannya di Sabah.

"Seronok kerana dapat lepaskan rindu dengan berjalan-jalan di Kota Kinabalu dan berjumpa kawan-kawan lama serta makan makanan kegemaran saya ambuyat (sejenis sagu). Sudah lama saya sibuk dengan berlakon, sesekali balik kampung memang terasa indah sangat.

"Peluang yang ada juga digunakan untuk bermesra dengan keluarga kerana saya memang anak manja terutama dengan emak yang dianggap sebagai 'best friend' saya. Saya rapat dengan keluarga dan ketika di Kuala Lumpur, setiap hari saya akan berhubung dengan emak menerusi telefon dan Internet," katanya.


PROFIL

NAMA PENUH: Nabila Ali Dally
TARIKH LAHIR: 27 September 1991
ASAL: Kota Kinabalu, Sabah
KELUARGA: Anak bongsu daripada dua beradik
PENDIDIKAN: SPM
KERJAYA: Pelakon dan model
DRAMA: Sutera Sebalik Wajah, Aalia, Jangan Bunuh Matahariku, Hati Liya, Qalesya

Terangsang pil babi

Posted: 08 Jul 2010 11:22 PM PDT

PUTRAJAYA: Pil dan cecair yang biasanya digunakan untuk menggalakkan babi mengawan kini menjadi senjata utama segelintir lelaki kasanova untuk memerangkap wanita sehingga boleh dibawa ke bilik tidur.

Lelaki hidung belang terbabit biasanya memasukkan bahan perangsang seks itu ke dalam minuman kotak tanpa disedari gadis yang menjadi sasaran dan selepas mangsa meneguk air berkenaan, mereka tiba-tiba terangsang untuk melakukan hubungan jenis, sekali gus memudahkan jantan buas itu memuaskan nafsu.

Lebih menakutkan, wanita yang pernah tertelan pil atau cecair babi mengawan akan menjadi ketagih untuk mengambil bahan itu dan seterusnya melakukan hubungan seks.

Demi memenuhi nafsu mereka, wanita terbabit sanggup menggadai maruah dengan mencari semula lelaki kasanova yang menganiayai mereka atau mana-mana lelaki yang mampu menyediakan pil babi mengawan itu.

Perkara ini didedahkan Pengetua Rumah Pengasih, Mohd Yunos Pathi, berdasarkan maklumat diberikan lima penghuni wanita rumah pemulihan diuruskannya yang berusia 25 hingga 30 tahun.

Beliau berkata, penghuni wanita terbabit memaklumkan selepas minum air kotak dicampur dengan pil atau cecair babi mengawan, mereka menjadi khayal, terangsang dan sanggup melakukan hubungan seks untuk tempoh beberapa jam."Saya difahamkan, pil terbabit kebiasaannya digunakan di ladang ternakan babi. Ia dicampur dalam makanan babi bertujuan menggalakkan babi mengawan. Bahan sama dalam bentuk cecair pula kebiasaannya disuntik terus pada badan babi betina.


"Namun, ia kini disalahgunakan lelaki kasanova untuk memudahkan mereka mencari mangsa. Lelaki pemangsa terbabit bukan saja terhad di kalangan mereka yang gemar berkeliaran di pusat hiburan, tapi turut membabitkan pelajar sekolah serta penuntut institut pengajian tinggi (IPT)," katanya.Mohd Yunos berkata, pil atau cecair babi mengawan itu kebiasaannya dimasukkan ke dalam minuman kotak kerana mangsa menyangka minuman itu selamat kerana ia secara kasar seolah-olah belum dibuka.

"Lebih teruk apabila ada lelaki menggunakan pil itu untuk merosakkan teman wanita rakan sendiri yang menjadi sasarannya," katanya.

Menurut Mohd Yunos, beliau sentiasa memberi peringatan mengenai taktik kasanova dan penyalahgunaan pil serta cecair babi mengawan itu dalam setiap program kesedaran dadah di beberapa IPT awam dan swasta yang dikendalikannya dari semasa ke semasa.

Beliau turut menasihatkan gadis remaja supaya berwaspada terhadap pasangan masing-masing atau mereka yang tiba-tiba memberikan minuman kerana ia selalunya mempunyai agenda jahat yang boleh memerangkap mereka.

"Ramai wanita 'rosak' disebabkan terlalu percaya terhadap kekasih yang merancang jerat bagi merosakkan mereka dengan apa cara sekali pun. Jika mereka tidak dapat meniduri kekasih mereka secara rela, mereka akan menggunakan pelbagai cara termasuk memasukkan dadah dalam minuman.

"Akibatnya, masa depan mangsa menjadi gelap. Bukan saja maruah mereka tergadai, tapi mereka pula terpaksa mendapatkan rawatan apabila ketagih bahan pelik yang diberikan teman lelaki mereka," katanya.

Adik hanyut

Posted: 08 Jul 2010 11:21 PM PDT

YAN: "Tiba-tiba saya hanya nampak basikal saja di atas titi manakala adik terkapai-kapai sebelum tenggelam dalam arus sungai deras," kata Muhammad Fitri Zamzuri, 10, abang Muhammad Hafiz, 9, yang lemas dalam kejadian di Kampung Titi Teras, kira-kira 6.30 petang kelmarin.

DI SINI...Muhammad Haniff Hashim menunjukkan lokasi tempat mangsa  tergelincir sebelum lemas di Sungai Titi Teras, semalam. Gambar kecil,  Zamzuri.
DI SINI...Muhammad Haniff Hashim menunjukkan lokasi tempat mangsa tergelincir sebelum lemas di Sungai Titi Teras, semalam. Gambar kecil, Zamzuri.
Dalam kejadian itu, kedua-dua beradik berkenaan menaiki basikal selepas keluar dari rumah datuk mereka di Kampung Kepala Bukit yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

Muhammad Fitri berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mereka berhenti melihat beberapa penduduk kampung memancing di situ.

"Muhammad Hafiz yang berada di belakang saya tiba-tiba tergelincir sebelum terjatuh ke sungai," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Difahamkan, mangsa yang juga murid tahun tiga Sekolah Integrasi Al Faizin, Guar Chempedak memberhentikan basikalnya sambil meletakkan sebelah kaki di tepi titi sebelum tergelincir ke sungai sedalam kira-kira dua meter.

Hujan lebat pada sebelah petang kelmarin menyebabkan arus Sungai Titi Teras selebar kira-kira tiga meter itu bertukar deras.Muhammad Fitri yang cemas dengan kejadian itu meminta pertolongan penduduk berhampiran sebelum menghubungi bapanya, Zamzuri Hamid, 37.


"Saya memang rapat dengan arwah kerana usia kami tidak jauh beza. Ketika kami baru hendak berseronok keluar bersiar-siar, arwah tiba-tiba tergelincir sebelum hilang dibawa arus," katanya.Sementara itu, Zamzuri ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Yan berkata, dia sempat bertemu mangsa di rumah datuk mereka ketika kedua-duanya meminta kebenaran untuk keluar bersiar-siar dengan basikal.

"Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan menjadi perkara biasa apabila dia meminta kebenaran untuk keluar bermain atau bersiar-siar pada waktu petang.
"Saya seperti tidak percaya apabila Muhammad Fitri menghubungi saya memaklumkan adiknya lemas," katanya.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama penduduk kampung dimulakan petang kelmarin sebelum dihentikan kira-kira jam 11.30 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Hasbullah Mohd Isa berkata, operasi yang disertai sembilan anggota dari balai berkenaan serta lapan anggota Unit Penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Petani itu menemui mayat Muhammad Fitri kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan sebahagiannya tertimbus di dasar sungai kira-kira 100 meter dari tempat mangsa terjatuh," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Yan sebelum dituntut keluarganya pagi semalam. Jenazah dikebumikan di Kampung Kepala Bukit petang semalam.

'Saya mahu bersihkan nama'

Posted: 08 Jul 2010 11:19 PM PDT

DIFITNAH dan diburukkan bekas isteri sendiri adalah satu mimpi ngeri buat bekas anggota kumpulan nasyid popular Unic, Mohd Fitri Mohd Haris, 26. Dia yang kini bergerak solo, tampil di Harian Metro semalam bagi menjawab segala dakwaan bekas isterinya yang disiarkan menerusi program Melodi di TV3, Ahad lalu.

Bekas isteri Fitri mendakwa dia seorang 'playboy', pemeras wang serta tidak bertanggungjawab terhadap perkahwinan mereka. Namun, Fitri memberitahu segala-galanya adalah rekaan dan dilakukan bekas isteri keduanya itu kerana perasaan sakit hati terhadapnya.

Katanya, sekarang wanita itu menyesali perbuatannya dan mahu menarik balik kenyataan yang dikeluarkannya.

"Tuduhan itu menjejaskan nama dan karier saya malah menyebabkan ayah saya sakit dan masuk hospital. Sebelum ini saya malas nak ceritakan perkara sebenar kerana fikirkan ibu bapanya yang sudah tua tapi apabila dah berlaku perkara ini, saya akan bongkarkan segala-galanya kepada mereka.

"Dia sering mengulangi perkara sama dengan memfitnah saya. Paling memeranjatkan, dia sanggup gunakan nama saya untuk kepentingan sendiri dengan meminta wang sebanyak RM100,000 daripada keluarganya dengan alasan saya yang minta. Malah perbuatannya pernah menyebabkan saya pernah masuk lokap semalaman kerana perbuatannya. Kesannya saya disingkirkan dari Unic.

"Saya mengaku berkahwin dengannya di Songkhla, Thailand pada 12 Mei 2009. Tapi itu urusan keluarga dan biarlah saya jawab berkenaan tuduhan yang dia lemparkan kepada saya saja. Bagaimanapun, beberapa hari selepas kenyataan itu, kami berbincang hati ke hati. Saya tanya sama ada nak daftar perkahwinan kami di Malaysia, tapi dia tetap berkeras macam dulu."Jadi apa motif dia buat kenyataan itu pun saya tak faham. Kenyataannya yang menyebut sudah dicerai dua kali juga tak benar. Hubungan saya dengan keluarganya dulu begitu rapat, tapi apabila saya nak balik kampungnya, keluarga dia tidak mahu terima saya. Tak tahulah apa cerita mengenai saya yang disampaikan kepada mereka.


"Punca jadi begini juga kerana kata bekas isteri saya itu, ayah saya tak sukakan dia. Disebabkan itu, dia akan cari orang yang rapat dengan saya untuk cungkil berita mengenai saya. Malah dengan anggota Unic pun dia bercerita macam-macam mengenai saya. Mulanya saya enggan buka mulut bercerita kepada media, tapi saya dengar cakap ibu supaya mengaku apa yang benar dan menafikan apa yang salah. Secara tak langsung ia akan bersihkan nama saya," katanya.Fitri yang pernah berkahwin dengan wanita Singapura, Saleha Soffyan dan mempunyai seorang anak, Sofia Solehah, 6, menjelaskan perkahwinannya dengan bekas isteri keduanya itu berlalu seolah-olah dirancang dan di luar sedarnya. Dia hanya menurut perancangan bekas isteri dan abang ipar serta seorang wanita yang mengaku tunangnya.


"Bekas isteri saya sering melagakan-lagakan saya dengan Saleha hingga saya bertindak menceraikan Saleha pada Jun 2009. Perkahwinan kami selama lima tahun hancur kerana perbuatan bekas isteri kedua. Saya tak nak tipu masyarakat mengenai perkara ini.

"Saya takkan maafkan bekas isteri kedua sehinggalah dia benar-benar berubah dan menceritakan perkara sebenar kepada keluarga. Saya juga enggan bersama dia lagi kerana cukuplah pengalaman yang dilalui. Saya juga enggan menuduh orang lain terbabit merancang perkara ini dan berhasrat selesaikan sendiri masalah ini.

"Mungkin orang akan pandang serong kepada saya dan akan beri kesan pada karier saya. Pada saya apa yang berlaku adalah takdir. Mungkin ini hukuman buat saya dan saya terima seadanya. Saya belajar daripada kesilapan dan akan tetap menyanyi. Saya minta masyarakat beri peluang untuk saya buktikan kebenaran," katanya yang turut membawa bukti surat nikah dan surat laporan polis mengenai bekas isterinya yang dituduh mencuri komputer peribadi.

Sementara itu, Hafiz Hamidun, Pengurus Besar Art Effects Production yang menerbitkan album solo Fitri menafikan dakwaan pihaknya sengaja mencipta kontroversi yang bertujuan memberi publisiti kepada Fitri.

"Saya nafikan buat perkara ini kerana ia boleh burukkan lagi keadaan. Saya juga tak mahu tuduh ada pihak lain yang terbabit. Ia adalah masalah rumah tangga antara mereka berdua. Saya hairan kenapa bekas isterinya nak babitkan hal mereka dalam karier Fitri pula.

"Tuduhan yang dilemparkan terhadap Fitri akan mencalarkan industri rakaman dan penyanyi nasyid khususnya. Dalam facebook (fb) kami pun sudah ramai yang bertanyakan mengenai isu ini. Cerita negatif sebegini memanglah orang suka sangat nak tahu. Saya memang tahu masalah Fitri sejak Julai tahun lalu dan ikat kontrak dengan dia pada Februari tahun ini.

"Saya ambil dia sebagai artis kerana simpati dengan nasibnya, apatah lagi saya juga pernah bersama Unic. Bakatnya besar dan saya tak nak ambil tahu mengenai hal peribadinya. Urusan dengan Fitri adalah kerana muzik dan atas dasar kawan. Hal rumah tangganya biarlah dia jawab sendiri," katanya.

Setakat ini Fitri sudah merakamkan tujuh lagu dan tiga lagi dalam proses untuk memasukkan suara. Hafiz akan memasukkan lagu Fitri, Suara Azan dan Musafir Rawan dalam album kompilasi Cinta Ilahi... Cinta Insani dalam album kompilasi 14 lagu nasyid terbaru yang akan dipasarkan pada bulan puasa nanti. Album penuh Fitri akan menyusul selepas hari raya.

Tegas tapi mesra

Posted: 08 Jul 2010 11:17 PM PDT

MEMILIKI ketinggian 165 sentimeter selayak model, ia pernah membuat hatinya terdetik untuk bergelar peragawati.

KENANGAN...antara kenangan ketika pesta pelancongan antarabangsa di  Sumatera Barat.
KENANGAN...antara kenangan ketika pesta pelancongan antarabangsa di Sumatera Barat.
Namun itu impiannya ketika kecil. Setelah menginjak usia, cita-cita tertanam di jiwa mula berubah untuk bergelar setiausaha pula.

Selepas menempuh pengalaman bergelar setiausaha, nyata rezeki berpihak kepada Noraishah Abd Aziz, 33, kerana dalam usia muda, wanita ini sudah mampu meraih jawatan sebagai pengarah di syarikat berkaitan pelancongan.

"Melalui semua ini, memerlukan kerja keras dan harus fokus dengan kerjaya. Pengalaman berdepan dengan pelancong, mengurus keperluan yang pelbagai dan ada kalanya begitu menduga, memberi kelebihan untuk menjadikan saya matang.

"Bertitik tolak daripada pengalaman, diadun dengan skil komunikasi dengan pelanggan menjadi nilai tambah terbaik untuk meletakkan seseorang mencapai sasaran dalam bidang yang diceburi," katanya.

Pengalamannya paling mencabar berdepan kerenah pelanggan apabila menangani masalah pelancong dari negara Timur Tengah yang agak cerewet."Saya pernah mengurus pelancong Arab yang ada empat isteri dan mahukan bilik berdekatan atau sebelah-menyebelah untuk menyenangkan dia berhubung sesama keluarga dan ingin berlaku adil kepada semua isteri.


"Bukan mudah memenuhi semua keperluannya kerana pelbagai perkara timbul tetapi itulah cabarannya."Akhirnya, pelancong berkenaan mengucapkan terima kasih kerana memenuhi semua kehendak dia sebaiknya.


"Lebih membuat hati teruja, lelaki itu kemudian memperkenalkan lebih ramai kenalannya menggunakan perkhidmatan syarikat kami hingga sekarang," katanya mengimbau kenangan manis beberapa tahun lalu.

Mengurus berpuluh kakitangan lelaki dan wanita, dia meletakkan minat mendalam sebagai keutamaan. Memandangkan kerjaya itu lebih menjurus kepada aspek berkaitan perkhidmatan kepada orang ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negara, ia membuatkan dia harus lebih peka.

Wanita yang sudah menjadi tunangan orang ini turut menyangkal pandangan mengenai ketua wanita kurang disenangi kakitangan malah ia bukan sesuatu yang menjadi kudis kepadanya.

Pendiriannya yang tegas dan ada prinsip tersendiri menjadi amalan ketika bekerja yang membataskan hubungan sesama pekerja. Namun di luar waktu kerja, dia mengamalkan sikap mesra kerana katanya, rasa hormat itu lahir daripada sikap profesionalisme atau karisma yang ditonjolkan oleh personaliti cemerlang.

"Sebenarnya, rasa hormat orang bawahan tidak lahir secara paksaan. Bahkan, ia datang dalam pelbagai bentuk dan sebagai ketua, kita harus menonjolkan kualiti terbaik buat orang bawahan. Orang bawahan juga harus dianggap aset kepada syarikat.

"Atas persefahaman itu, saya membina kerjaya yang serius bertahun-tahun sehingga lupa usia semakin meningkat tanpa memikirkan masa untuk mendirikan rumah tangga.

"Memikirkan inilah sandaran masa depan saya, saya meletakkan seluruh jiwa raga dalam bidang ini.

"Bahkan, saya berhasrat menggamit lebih ramai pelancong mengenali betapa uniknya Malaysia dalam pelbagai sudut. Mungkin sumbangan ini dianggap kecil tetapi pengaruhnya amat besar buat saya," katanya penuh bersemangat.

Tidak hairan jika MP Travel & Tours Sdn Bhd sering mendapat pengiktirafan daripada pelbagai pihak termasuk hotel terkemuka sebagai sebuah syarikat berdaya maju serta mendapat anugerah atas reputasi antara kelima hingga ke-10 terbaik.

Wanita aktif ini tidak menafikan menyimpan impian besar untuk berjaya dalam perniagaan suatu hari nanti dengan memiliki syarikat sendiri. Membina kenalan yang ada untuk dikembangkan dalam skala lebih besar memberi inspirasi kepadanya malah dia punya sasaran untuk merealisasikan hasrat itu sebelum mencapai usia 40 tahun.

Pakej ditawarkan syarikat termasuk destinasi Asia seperti Brunei Darussalam, Jepun, Filipina, Indonesia, India dan pelbagai negara memberikan kepuasan tersendiri kepada wanita ini.

Amat meminati sukan lasak seperti permotoran, Noraishah akui sering mengendalikan pakej untuk aktiviti Formula Satu membuatkan dia terpanggil untuk terbabit sama dengan aktiviti berkaitan.

"Apabila membawa motosikal berkuasa tinggi dengan kelajuan tertentu, ia memberi kepuasan yang sukar digambarkan.

"Saya sering berkongsi hobi bersama tunang untuk melakukan aktiviti konvoi dan pelbagai acara lain dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi.

"Apabila gemar melakukan aktiviti mencabar sedemikian, tidak bermakna ia menukar sikap kita untuk jadi lebih ganas sebaliknya pengalaman itu memberi makna tersendiri kepada diri ini," katanya yang bakal mendirikan rumah tangga pada tahun depan.

Tembak dada pengutip hutang

Posted: 08 Jul 2010 11:15 PM PDT

RAWANG: Mengerikan apabila seorang pengutip hutang mati dalam keadaan tragis selepas dadanya ditembak sebanyak dua das dari jarak dekat dipercayai dilakukan pembunuh upahan.

TUTUP...mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.
TUTUP...mayat mangsa di tempat kejadian, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi semalam, mangsa, S Remesh, 38, dipercayai ditembak dari jarak kurang lima meter berhampiran sebuah sekolah menengah di Jalan Garing Utama, Rawang di sini.


Difahamkan kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal bersendirian selepas keluar dari rumahnya di Jalan Garing di sini, untuk pergi bekerja.


Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mamah, berkata penjenayah menaiki motosikal dipercayai mengekori mangsa sebelum menembaknya di tempat kejadian.


Katanya, tembakan suspek dari arah belakang itu menembusi tepat dada kanannya hingga mengakibatkan mangsa rebah.


"Sejurus menyedari mangsa ditembak, suspek memecut menaiki motosikal Honda EX-5 ke arah Rawang.


"Siasatan polis di tempat kejadian menemui dua kelongsong peluru dan suspek dipercayai menggunakan pistol automatik .9mm," katanya ketika ditemui meninjau tempat kejadian, semalam.


Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan kes terbabit bermotifkan balas dendam selain ada hubungan dengan pekerjaan dilakukan mangsa.


Difahamkan, seorang pengawal keselamatan sempat melihat seorang lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh memecut selepas dia mendengar tembakan.


"Pengawal terbabit tidak berani berbuat apa-apa sebelum menghubungi polis," katanya.


Beliau berkata, pihaknya akan meneliti jika suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk yang berkaitan aktiviti dan pekerjaan dilakukan mangsa.Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak 03-61262222 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jejak usahawan

Posted: 08 Jul 2010 11:14 PM PDT

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menerusi Program Jejak Usahawan Bumiputera Berdaya Saing anjurannya diharap membantu usahawan Bumiputera memperluaskan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.

TERANG...Hanaffi Daud (kiri) memberi penerangan kepada Mustapa  (tengah)  ketika pelancaran Program Jejak Usahawan Bumiputera, semalam.
TERANG...Hanaffi Daud (kiri) memberi penerangan kepada Mustapa (tengah) ketika pelancaran Program Jejak Usahawan Bumiputera, semalam.
Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pihaknya kini memperkemaskan sistem pengurusan data mengumpul maklumat terkini membabitkan usahawan Bumiputera yang berdaya saing bagi membolehkan mereka dibantu dari segi pemberian maklumat dan peluang perniagaan di dalam mahupun luar negara.


"Kami akan memperkukuhkan sistem pengurusan data usahawan Bumiputera bagi membantu usahawan dan pelbagai pihak berkaitan untuk mendapatkan maklumat dan peluang perniagaan di luar negara.


"Semua maklumat usahawan berkenaan itu akan dikumpulkan, dianalisa dan digunakan untuk tujuan perancangan yang lebih mantap dalam usaha membangunkan usahawan Bumiputera.


"Dengan itu, kami dapat mengetahui usahawan berjaya yang sebelum ini kami tak tahu pun kewujudannya," katanya pada sidang media selepas majlis perasmian program itu di Shah Alam, semalam.


Terdahulu, Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir, ketika berucap merasmikan program itu berkata, kekurangan maklumat yang komprehensif berkenaan firma dan usahawan Bumiputera membuatkan kerajaan komited untuk melaksanakan program.

Vanessa nafi main kayu tiga

Posted: 08 Jul 2010 11:14 PM PDT

LONDON: Peragawati Vanessa Perroncel yang pemalu memberitahu dia amat terseksa dengan skandal John Terry ketika sesi fotografi pakaian renang, baru-baru ini.

VANESSA kenali Terry lebih lapan tahun.
VANESSA kenali Terry lebih lapan tahun.
TERRY dikatakan beri sogokan.
TERRY dikatakan beri sogokan.
Peragawati pakaian dalam warga Perancis berusia 34 tahun itu yang digosip menjalin hubungan dengan bintang bola sepak England, berkata dia mahu berterus-terang mengenai skandal terbabit.


Vanessa juga menafikan mempunyai hubungan intim dengan bintang Chelsea itu ketika dia masih menjalin cinta dengan bekas teman lelakinya, pemain Manchester City, Wayne Bridge.


Mengulas mengenai Terry, 29, Vanessa berkata: "Terry adalah sahabat saya. Saya sudah mengenalinya lebih lapan tahun. Ketika saya berpisah dengan Bridge, dia sentiasa ada di samping saya memberi sokongan moral." Vanessa menafikan sekeras-kerasnya gosip skandalnya dengan Terry yang tersebar luas itu.


"Gosip itu tidak benar sama sekali. Saya dikatakan mengadakan hubungan seks dengan Terry lima kali seminggu dan berita itu amat menjengkelkan," ujarnya.


Vanessa mempunyai anak berusia tiga tahun hasil hubungannya dengan Bridge. Dia juga menolak dakwaan sesetengah pihak mengatakan Terry memberinya duit bagi menutup mulutnya.


"Saya tidak pernah mendapat sesen pun daripada Terry. Namun, ada pihak yang menuduh saya pisau cukur dan hanya mereka yang bodoh saja akan percaya dengan dakwaan seperti itu.

253 andartu ditipu RM4j

Posted: 08 Jul 2010 11:13 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dengan hanya bermodalkan komputer peribadi, sekumpulan pelajar kolej swasta dipercayai mampu mengaut keuntungan mencecah RM4.7 juta melalui janji manis dan perkenalan singkat dengan rakan di laman sosial.

RAMPAS...Rohaimi menunjukkan  komputer riba dan wang palsu yang  dirampas dalam serbuan.
RAMPAS...Rohaimi menunjukkan komputer riba dan wang palsu yang dirampas dalam serbuan.
Pelajar terbabit terdiri daripada warga asing mensasarkan golongan andartu sebagai 'rakan baik selamanya' dalam laman sosial itu sebelum memperdaya mereka kononnya ingin menghantar bungkusan hadiah istimewa berupa barangan berharga sebagai tanda persahabatan.

Ketua Penolong Pengarah Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman), Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, kumpulan terbabit dikenali sebagai 'African Scam' dikesan bergiat aktif sejak awal tahun ini dan sehingga kini, sudah memperdayakan 253 mangsa membabitkan kerugian RM4.7 juta.

"Setakat ini, polis sudah menahan 21 pelajar warga asing terbabit dalam beberapa siri serbuan dalam tempoh dua minggu lalu di sekitar Jalan Ampang, Puchong dan Kajang hasil laporan dibuat mangsa.

"Daripada tangkapan itu, 16 daripadanya warga Nigeria, masing-masing seorang lelaki warga Ghana, Ivory Coast dan seorang wanita warga Botswana, serta Filipina. Turut ditahan seorang wanita tempatan," katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Difahamkan, suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu memperdaya wanita warga tempatan berpendidikan tinggi dan berpangkat eksekutif berusia 40-an hingga 50-an sebagai mangsa mereka.Menurutnya, polis turut merampas wang tunai sejumlah RM42,979, 13 komputer riba, sebuah komputer meja, 16 telefon bimbit dan satu pena pemacu.


"Turut dirampas lima slip bank, tiga ikat mata wang AS$100 palsu, tiga ikat kertas potong kosong dipercayai akan dicetak sebagai wang palsu, satu cop keselamatan, serta salinan dokumen bertajuk 'United State of America Federal Reserve Note Anti Breeze' untuk tujuan penipuan."Semua tangkapan dan rampasan itu hasil intipan dan risikan polis selama seminggu terhadap mereka yang terbabit selepas menerima maklumat mangsa," katanya.


Rohaimi berkata, sindiket itu didalangi warga Afrika dan semakan ke atas nombor akaun bank digunakan untuk mengikis wang mangsa didaftarkan atas nama warga tempatan dipercayai turut bersubahat.

Hadiah perpisahan buat Sepanyol

Posted: 08 Jul 2010 07:27 PM PDT

PUYOL menanduk kencang untuk gol tunggal kejayaan Sepanyol ke atas   Jerman dalam saingan separuh akhir, kelmarin.
PUYOL menanduk kencang untuk gol tunggal kejayaan Sepanyol ke atas Jerman dalam saingan separuh akhir, kelmarin.
Tarzan hanya tumpu Barcelona selepas ini

DURBAN: Tandukan kencang yang membawa Sepanyol ke final Piala Dunia buat kali pertama akan sentiasa dikenang sebagai hadiah perpisahan paling sempurna Carles Puyol, tatkala pertahanan veteran itu membayangkan persaraan aksi antarabangsa selepas temasya ini.

Puyol menjaringkan gol menerusi tandukan padu pada minit ke-73 dalam perlawanan separuh akhir awal pagi semalam, untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas Jerman.Mencecah usia 32 tahun, Puyol berkata dia akan memutuskan mengenai masa depannya bersama pasukan kebangsaan selepas perlawanan akhir bertemu Belanda, awal pagi Isnin ini.Sekiranya bek tengah Barcelona itu memutuskan untuk bersara, ia pasti dilakukan dengan penuh bergaya tatkala dia menjaringkan hanya gol ketiganya dalam 89 penampilan buat Sepanyol.

Selepas segala-galanya diberikan kepada pasukan kebangsaan, dia berhak mendapatkan jaringan cantik seperti itu, kata gandingan pertahanannya, Joan Capdevila. Kepantasan yang dibawa bersamanya cukup menakjubkan dan tiada hadiah yang lebih baik selain meletakkan kami di final.

Seperti biasa, Puyol hanya mendiamkan diri selepas perlawanan di Stadium Moses Mabhida, di Durban itu, membiarkan rakan sepasukan memberitahu ia mungkin gol paling penting buat pemain yang sudah mengumpul kejayaan di peringkat kelab dan kejuaraan Kejohanan Eropah 2008.

Mari kita berdoa dia menjaringkan gol sekali lagi dan memberikan kami satu lagi kemenangan, kata penyerang David Villa, penjaring terbaik kejohanan dengan lima gol.
Rambut panjang ala gondrong Puyol dan corak permainan fizikalnya memberikan dia jolokan Tarzan tetapi penyerang lawan tidak langsung tersengeh apabila berdepan pemain yang membimbing Barcelona merangkul takhta Liga Juara-juara Eropah dan La Liga itu sepanjang 11 tahun kerjayanya.

Dengarnya: Dua selebriti tak sedar diri

Posted: 08 Jul 2010 07:26 PM PDT

TERASA seperti dunia ini mahu terbalik apabila Cik Normah mendapat tahu kerja gila yang hendak dilakukan dua personaliti ini yang tahap popularitinya hanyalah suam-suam kuku. Si A bekerja di sebuah stesen penyiaran dan Si B pula pernah menyertai sebuah program realiti. Pertemuan mereka di tempat kerja personaliti A rupa-rupanya telah membibitkan putik percintaan.

Hubungan mereka berdua ini sebenarnya bukan lagi rahsia di kalangan tempat kerja personaliti A. Rasanya semua kawan-kawan tahu. Dan yang memecahkan lubang hubungan songsang ini adalah salah seorang kawan personaliti terbabit. Rasa nak muntah Cik Normah apabila pasangan wanita ini dikatakan sedang merancang untuk berhijrah ke luar negara semata-mata atas nama cinta.Kononnya, pasangan ini sedang memilih satu dari dua negara ini untuk mendaftarkan perkahwinan mereka. Iyalah, sudah namanya cinta terlarang, mana boleh nak daftarkan di sini. Bukan saja dikutuk masyarakat tetapi dilarang agama. Jadi jalan pintas adalah, pindah ke luar negara dan berkahwin di sana. Memang mengucap panjang Cik Normah mendengarkan khabar ini.Di manakah letaknya akal yang dikurniakan Tuhan sehingga sanggup melakukan apa saja demi menurutkan hawa nafsu duniawi. Cik Normah akui bukanlah baik sangat tapi dalam bab seperti ini, Cik Normah tidak akan bertolak ansur langsung. Masa muda memanglah seronok, maklumlah kata orang darah tengah panas. Nanti apabila usia meningkat barulah sedar bahawa disebabkan terlalu mengikut rasa, akhirnya badan sendiri yang binasa.

Kepada pasangan tadi, Cik Normah nasihat, lupakanlah saja hasrat mengarut itu. Masih ada peluang bertaubat dan jangan sia-siakan usia yang ada kerana nanti bila Tuhan laknat, menangis air mata darah pun tak berguna.

Dengarnya: Jangan ada nama Tiz Zaqyah?

Posted: 08 Jul 2010 07:25 PM PDT

NAMPAKNYA payah juga Cik Normah nak elak daripada menulis kontroversi membabitkan pelakon Fasha Sandha, Jejai dan Tiz Zaqyah berterusan diperkatakan media. Kalau Cik Normah tak buat, orang lain akan buat. Maklumlah cerita panas.

Dalam kata tak suka, ramai juga yang nak baca. Sebab itu, ada pembaca tanya, apa lagi cerita menarik pasal Fasha dengan Tiz dan Jejai. Kalau diikutkan, macam-macam perkara yang hendak diketahui oleh pembaca pasal Fasha. Tapi Cik Normah rasa, tak semua benda boleh diceritakan. Apa-apa pun, Cik Normah masih hormati Fasha.Berhubung cerita terbaru pelakon ini, ada kawan yang bekerja sebagai kru produksi memberitahu Cik Normah, kononnya Fasha sudah meletakkan syarat kepada mana-mana syarikat penerbitan, kalau hendak mengambilnya berlakon, pastikan jangan ada nama Tiz Zaqyah. Maknanya, Fasha tak nak berlakon digandingkan dengan Tiz.Cik Normah boleh faham kenapa Fasha buat syarat macam itu. Ini mungkin gara-gara dengan dakwaan Tiz menghubungi kekasih hati Fasha iaitu Jejai pada jam 4 pagi untuk keluar melepak. Tiz dikatakan menafikan laporan itu.

Wah! Ingatkan kisah ini berakhir begitu saja tetapi nampaknya semakin berpanjangan. Apa pula jawapan Tiz apabila Jejai mengesahkan dakwaan Fasha itu? Kalau betul Tiz tak bersalah, Cik Normah rasa baik bersemuka saja anda bertiga. Barulah kita tahu mana yang benar dan mana salah. Selagi bertegang urat di media saja, rasanya tak membawa ke jalan kebenaran.

Jadi, Cik Normah ada cadangan kepada mana-mana produser yang suka dengan kisah kontroversi seperti ini, apa kata terbitkan satu drama yang boleh menggabungkan Fasha dan Tiz. Tak kisah telefilem atau drama bersiri, yang penting dua pelakon berbakat besar lagi cantik ini dapat digabungkan bersama. Mesti meletup drama itu dan melambung tinggi ratingnya.

Iyalah, sekarang ini kebanyakan stesen televisyen kan suka kejar rating. Jadi gunakanlah kesempatan ini untuk mengaut keuntungan. Cik Normah percaya, baik Fasha atau Tiz pasti tidak keberatan untuk digandingkan bersama. Macam Tiz pernah kata dulu, dia tak ada masalah dengan Fasha, jadi tentu dia tidak menolak untuk berlakon dalam drama itu.
Begitu juga dengan Fasha. Kalau sebelum ini dia mengaku profesional dan tidak menolak jika dipertemukan dengan Nora Danish dalam satu lokasi, pasti dia juga akan melakukan perkara yang sama kalau diminta berlakon di samping Tiz yang meletup menerusi drama Nur Kasih.

Rahsia bahagia Vanida

Posted: 08 Jul 2010 07:22 PM PDT

pix_gal0
Bukti rumah tangga pasangan sesama artis boleh berkekalan

SEJAK kebelakangan ini, berderet nama artis boleh dilaporkan berada di Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan kes penceraian masing-masing. Ada yang baru mendirikan rumah tangga dua atau tiga tahun, tiba-tiba mengemukakan permohonan untuk bercerai.

Secara kebetulan, kebanyakan penceraian ini membabitkan pasangan sesama artis. Apakah memang benar berkahwin sesama artis sukar untuk bertahan sedangkan mereka sudah saling memahami soal kerjaya masing-masing?Itu semua mungkin kebetulan saja. Masih ada pasangan sesama artis yang kekal bahagia sehingga sekarang. Antaranya ialah Vanida Imran dan bekas anggota kumpulan muzik Deadmushroom, Rashidi Ishak.Oktober ini genaplah sedekad pelakon ini melayari kehidupan berumah tangga. Dikurniakan suami penyayang dan sepasang cahaya mata comel serta semakin membesar iaitu Mikhail Imran, 8 and Maryam Rashika, 5, membuatkan kehidupan Vanida dan Rashidi atau Shidi kini sedang enak diulit bahagia.

Memang jarang ada cerita bukan-bukan membabitkan pasangan ini. Jika ada pun, itu adalah asam garam kehidupan sebagai selebriti. Kejayaan pasangan ini mempertahankan keharmonian rumah tangga membuatkan ramai yang tertanya-tanya apakah rahsianya.

Maklum sajalah, sebagai anak seni, ujian dan dugaan adalah makanan harian mereka. Itu belum lagi gosip panas yang melanda, jika tidak kebal iman di dada dan disertai dengan sabar pasti goyah juga benteng yang dibina.

Pada ketika ini heboh mengatakan bahawa program Sehati Berdansa bagaikan membawa badi kepada pesertanya apabila mahligai beberapa pasangan yang menyertai rancangan itu roboh di pertengahan jalan, membuatkan sedikit sebanyak nama mereka terpalit sama kerana pasangan ini pernah menyertai program ini pada musim pertama dan bergelar juara.
Bukan mendoakan yang tidak baik, tetapi mahu juga mendengar maklum balas wanita ini terhadap isu yang amat menakutkan setiap pasangan yang berkahwin.
Tidak menganggap apa yang berlaku itu sebagai badi, Vanida berkata, apa yang berlaku itu hanyalah satu kebetulan.

Kalau hendak cakap banyak pun, perkara ini ada kaitan dengan rumah tangga masing-masing. Saya sendiri menganggap keruntuhan rumah tangga mereka bukanlah disebabkan badi program itu, tetapi hanyalah satu kebetulan dan takdir. Bagi saya sendiri, program itu sendiri sebenarnya mengeratkan lagi hubungan saya dan suami.

Selama dua bulan terbabit dalam program itu, wajah Shidi sentiasa di depan mata saya. Tapi tak dinafikan, kerana program itu juga ada pasangan yang berselisih faham terutama apabila ada di antara pasangan masing-masing tidak boleh menari dengan baik. Shidi juga begitu, dia memang tidak boleh menari. Sebagai isteri, kita tidak boleh memaksa pasangan kita buat seperti apa yang kita hendak.

Kesudian dia untuk menyertai program itu serta bersabar menjalani latihan yang agak sukar itu sudah cukup bermakna buat kita. Tak perlulah sampai nak bergaduh depan orang ramai hanya kerana soal menari, ulas Vanida.

Tambahnya, suami isteri harus saling bertolak ansur bagi mengekalkan kerukunan rumah tangga. Dan baginya, mereka mempunyai formula tersendiri untuk menyemarakkan lagi api cinta mereka.

Selalu jika tidak terbabit dalam apa-apa aktiviti penggambaran, kami lebih senang menghabiskan masa bersama-sama. Kami juga beruntung kerana mempunyai hobi yang sama iaitu menyanyi. Jadi ada juga perkara yang boleh dikongsikan bersama. Terbaru, saya sekarang berjinak-jinak dalam sukan tenis kerana Shidi dan anak saya, Mikhail suka sukan itu.

Jadi, Shidi yang akan ajar saya bermain. Dari situ ia mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan kami, katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Isabella yang berlangsung di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara, petang semalam. Hadir sama adalah pelakon drama terbabit iaitu Rosyam Nor, Omar Abdullah, Corrine Adriene, Izreen Azminda dan Raja Nurbaizura.

Bercerita mengenai cahaya matanya, dalam nada teruja, Vanida berkata anaknya yang sulung itu sudah menampakkan ciri-ciri untuk mengikut jejak langkah mereka.

Kami belikan dia kamera digital dengan harapan dapat merakam gambar yang artistik. Tetapi dia lebih senang menggunakan video dan merakamkan aksi pertarungan patung Star Warz yang dikumpulkannya itu dan menjadikannya sebuah cerita. Saya dan suami tak kisah kalau dia betul-betul menunjukkan minat dalam bidang lakonan atau muzik.

Tapi, dia haruslah menghabiskan dulu persekolahannya, kata Vanida yang pernah dinobatkan sebagai pelakon wanita popular sewaktu Festival Filem Malaysian ke-20 sekitar tiga tahun lalu.

Tewas pujukan Rosyam

SEJAK mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, memang menjadi prinsip Vanida untuk tidak mengambil tawaran drama bersiri. Bukan mengada-ngada atau memilih, tetapi dia perlu memikirkan tanggungjawabnya terhadap keluarga.

Bagaimanapun, tawaran yang diterima daripada Rosyam, mengubah pendiriannya.
Memang saya sudah lama tidak mengambil tawaran drama bersiri. Tempoh yang lama membuatkan saya terpaksa mendahulukan keluarga dari segalanya. Namun, apabila Rosyam menelefon saya tahun lalu dan meminta saya bersedia kerana dia mahu mengambil saya berlakon dalam drama bersirinya, saya sudah fikir panjang.

Maklum sajalah, inilah peluang untuk saya berlakon bersamanya. Bukan tidak pernah berlakon dengannya sebelum ini tetapi wataknya tidaklah sebesar ini. Namun apa yang membuatkan saya kembali menjadi was-was ialah apabila diberitahu yang saya akan menjalani penggambaran di London dan Paris untuk drama ini. Masa itu berbelah bagi juga perasaan kerana terpaksa berjauhan dengan anak-anak.

Tapi, apabila memikirkan kekuatan skrip drama ini serta peluang untuk belajar sesuatu dari Rosyam, saya terima pelawaannya dan terpaksa berada di lokasi penggambaran selama tiga bulan. Mujurlah Shidi ada dan dialah yang menjaga anak-anak, jelas pelakon ini sambil ketawa.

Memegang watak Isabella dalam drama bersiri terbitan Suhan Movies ini tetap memberi cabaran kepada Vanida walaupun dia boleh dikatakan antara pelakon wanita yang berpengalaman serta yang terbaik di negara ini.

Cabaran saya adalah cuaca. Ingatkan masih dalam musim panas tetapi rupa-rupanya masih sejuk. Kesejukan membuat saya tidak dapat melontarkan dialog dengan baik. Bagaimanapun, lama kelamaan, saya sudah dapat mengawal keadaan dan penggambaran dapat dilaksanakan dengan jayanya, tutur Vanida yang masih mempunyai dua filem yang sedang menanti untuk ditayangkan iaitu Magika dan Jalan Lama.